Seorang Raja telah mengeluarkan satu polisi dalam negaranya bahawa sesiapa yang mengungkapkan kata-kata yang baik (kalimah toyyibah) dia akan diberi ganjaran sebanyak 400 dinar.
Pada suatu hari, Raja berjalan di sebuah pekan bersama dengan pengiring-pengiringnya.
Tiba-tiba dia terpandang seorang peladang tua dalam lingkuangan usia 90 tahun sedang menanam pokok zaitun.
Dia berasa hairan, lalu bertanya:
Kenapakah anda menanam pokok zaitun? Pokok zaitun memerlukan masa 20 tahun untuk berbuah sedangkan anda telah menjangkau usia 90 tahun. Ajalmu telah terlalu hampir?
Peladang menjawab:
Tuanku, orang-orang dahulu telah menanam dan sekarang kita menuai hasilnya. Jadi sekarang kita menanam supaya generasi akan datang dapat menuai hasilnya pula.
Raja suka jawapan tersebut dan menganggapnya sebagai kalimah toyyibah. Baginda memerintahkan supaya diberikan ganjaran kepada peladang itu 400 dinar.
Peladang mengambil wang itu dan tersenyum.
Raja bertanya kenapa dia tersenyum?
Peladang menjawab: Pokok zaitun akan berbuah selepas 20 tahun. Pokok aku telahpun berbuah sekarang.
Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi.
Peladang mengambil wang itu dan tersenyum.
Raja bertanya kenapa dia tersenyum?
Peladang menjawab: Pokok zaitun berbuah satu kali setahun. Pokokku berbuah dua kali.
Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi dan Baginda segera berlalu dari sisi peladang itu.
Ketua tentera pengiring bertanya: Kenapakah Tuanku segera meninggalkan peladang itu?
Raja menjawab: Sekiranya beta duduk di sisinya sampai pagi, wang dari khazanah negara akan habis, namun kalimah toyyibahnya tidak akan habis….
SESUNGGUHNYA KEBAIKAN ITU AKAN SENTIASA BERBUAH!
Dipetik daripada FB https://www.facebook.com/elmolkhs
No comments:
Post a Comment