Monday, October 30, 2023

Hukum Membunuh Wanita Dan Kanak-kanak Dalam Peperangan

Tidak ada perselisihan dalam kalangan ulamak bahawa hukum asal dalam Syariat Islam ialah haram membunuh wanita dan kanak-kanak dalam jihad. Dalil mengenainya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar RA: “Aku dapati seorang wanita terbunuh dalam setengah peperangan yang disertai Rasulullah SAW. Maka baginda melarang membunuh Wanita dan kanak-kanak.”

Tentang haram membunh mereka yang tidak terlibat dalam operasi peperangan yang diistilahkan sebagai masyarakat civil, ulamak berpegang kepada dalil Nabi SAW mengutus seorang lelaki kepada Khalid bin al-Walid RA yang sedang memimpin satu angkatan tentera. Nabi SAW berkata kepada lelaki itu: “Katakan kepada Khalid: janganlah engkau membunuh perempuan dan orang yang tidak berperang!” Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih. Dan terdapat nas-nas lain yang menunjukkan haram membunuh mereka yang tidak terlibat seperti pendeta, peladang dan lain-lain.

Namun ulamak mengecualikan dua keadaan di mana keadaan tersebut harus dibunuh mereka yang asalnya diharamkan seperti orang awam/ masyarakat civil dan Wanita.

Keadaan Pertama:

Apabila mereka terlibat secara langsung dalam peperangan dengan membunuh, memberikan idea, bermesyuarat, memberi semangat dan seumpamanya. Dalam keadaan ini hukum haram telah terangkat daripada mereka dan harus membunuh mereka. Imam Nawawi (Mazhab Syafie) berkata dalam Syarah Sahih Muslim: (Nabi SAW melarang bunuh wanita dan kanak-kanak. Ulamak sepakat (ijmak) beramal dengan hadis ini. Haram bunuh Wanita dan kanak-kanak jika mereka tidak berperang/membunuh. Jika mereka turun berperang/membunuh, jumhur ulamak berkata, mereka hendaklah dibunuh. Dalilnya, Ketika mana Nabi SAW melihat seorang perempuan terbunuh, baginda bersabda: “Perempuan ini tidak terlibat dalam peperangan/pembunuhan). Ini menunjukkan jika mereka terlibat, maka harus membunuhnya).

Harus diingatkan bahawa tentera dalam peperangan masa kini disertai oleh mereka tidak terlibat secara langsung dalam medan perang. Ia terdiri dari mereka yang bertugas untuk menyempurnakan operasi peperangan. Bahkan tidak berlaku peperangan kecuali dengannya seperti kerja dalam menyusun program computer askar yang melakukan  serangan ketenteraan. Kadang-kadang seorang saintis civil merekacipta program computer untuk meluncur roket atau bom yang canggih lebih berbahaya ke atas muslimin dalam peperangan bersenjata. Begitu juga yang merancang strategi ketenteraan, kekuatan pasukan simpanan yang boleh dikerah dan bersiap sedia untuk dipanggil pada bila-bila masa, ataupun yang bertugas di pejabat pentadbuaran, anggota perisik dan sebagainya. Semua mereka termasuk dalam kategori membantu untuk memerangi kaum muslimin. Maka harus menujukan serangan ke atas mereka, lebih-lebih lagi mereka yang berada di bumi umat Islam yang dijajah seperti Palestin.

Dan perlu diingatkan juga bahawa semua Wanita Yahudi yang berada dalam rejim penjajah zionis adalah pasukan tentera yang terlibat dalam peperangan. Ini kerana latihan ketenteraan diwajibkan ke atas kaum wanita juga sebagaimana lelaki. Sedia maklum bahawa masyarakat zionis merupakan masyarakat tentera. Setiap individu dalam kalangan mereka mengambil bahagian dalam peperangan, sama ada sebagai tentera, tentera simpanan, atau pembayar cukai kepada negara haram zionis dan tenteranya untuk membunuh umat islam. Atau yang memberikan suara/mengundi supaya pemerintah meneruskan penjajahan mereka dan membunuh Muhammad Durah dan yang seangkatan dengannya.

Keadaan Kedua:

Apabila muslimin terpaksa melancarkan serangan yang menyeluruh ke atas musuh atau melepaskan tembakan dari jarak jauh. Ini akan melibatkan wanita, kanak-kanak dan orang awam turut terbunuh. Apa yang wajib, tidak mensasarkan mereka sedari awal. Tetapi sekiranya mereka terbunuh dalam serangan itu, maka tidak berdosa atas orang yang membunuh mereka. Kadang-kadang hal seperti ini berlaku dalam peperangan masa kini. Bila dicampakkan bom ke atas markas tentera yang terletak di kawasan rumah kediaman. Lebih-lebih lagi penempatan askar penjajah di Palestin. Kadang-kadang operasi pengeboman yang dilakukan oleh pejuang terkena orang awam, wanita, kanak-kanak, bahkan orang Islam juga.

Daripada So’b bin Juthamah, Nabi SAW ditanya tentang anak-anak kaum musyrikin. Mereka menyerang pada waktu malam. Maka terkena wanita dan kanak-kanak mereka?” Baginda SAW menjawab “Hum minhum”. (hum minhum) bermakna hukum mereka sama dengan hukum bapa mereka.

Imam Nawawi berkata: (Hadis ini menunjukkan harus serang waktu malam dan membunuh wanita dan kanak-kanak yang berada dalam rumah atau tempat serangan dilakukan. Inilah Mazhab kita, Mazhab Malik, Abu Hanifah dan jumhur.

Imam Bahuti daripada Hanabilah berkata dalam alRaudh alMurbi’: (harus menyerang kuffar pada waktu malam dan menembak dengan catapult (lastik) sekalipun terbunuh tanpa niat kanak-kanak dan seumpamanya.

Imam Ibn Hajar berkata: ( Bukanlah maksud harus bunuh mereka dengan cara menujukan serangan ke atas mereka dari mula. Bahkan apabila tidak mungkin sampai kepada bapa-bapa mereka kecuali dengan melanggar atau memijak anak-anak mereka. Maka jika mereka terkena kerana bercampur dengan bapa-bapa mereka, harus membunuh mereka).

Dan termasuk dalam bab ini opreasi istisyhad yang bertujuan membunuh kuffar penjajah demi untuk menimbulkan kegerunan dalam hati mereka dan memaksa mereka meninggalkan bumi yang mereka jajah, keluar dari bumi umat Islam atau merealisasikan maslahah umat islam dalam jihad mereka. Kadang-kadang operasi itu menyebabkan terbunuhnya wanita dan kanak-kanak, bukan mereka yang disasarkan kerana tidak mungkin untuk mengelak terjadinya pembunuhan mereka pada setiap kali serangan. Maka ianya harus dari segi Syarak. Namun wajib tidak mensasarkan tempat-tempat yang diletakkan kanak-kanak pada asalnya yang tidak ada orang lain selain mereka. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memanah penduduk Taif dengan catapult semasa baginda mengepung mereka. Dalam kubu-kubu mereka terdapat kanak-kanak dan wanita. Hal ini disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad.

Sekiranya diharamkan ke atas mujahidin menyerang atau menambak tempat-tempat yang mungkin terdapat padanya orang yang tidak terlibat dengan perang, tentulah mengakibatkan terhentinya jihad fi sabilillah. Dan sebagaimana diketahui bahawa mustahil untuk mengelak terjadinya kematian dalam kalangan bukan tentera dalam sesuatu peperangan lebih-lebih lagi dalam suasana yang dihadapi oleh warga Palestin di mana kawasan yang diduduki oleh penceroboh bercampur dengan kawasan yang diduduki oleh muslimin. Yang wajib dijaga ialah tidak menajdikan mereka sasaran dari awal.

Sumber:

https://m.facebook.com/nt/screen/?params=%7B%22note_id%22%3A1257418904633561%7D&path=%2Fnotes%2Fnote%2F 

Sunday, October 29, 2023

Adakah Hamas Bersalah Kerana Membunuh Orang Awam Israel?


Prof Mohd Nazari Ismail

Pengarah

Pusat Kajian Palestin Hashim Sani

Universiti Malaya


12 Oktober 2023


Berikutan operasi berani Hamas baru-baru ini, terdapat banyak pihak yang menuduh bahawa Hamas telah membuktikan dirinya sebagai organisasi pengganas dan bukannya sebagai kumpulan pejuang pembebasan yang teratur dan berdisiplin. Asas utama tuduhan itu ialah walaupun Hamas secara umumnya menyasarkan serangan terhadap anggota tentera Israel, namun laporan media mendakwa bahawa semasa serangan berlaku, ramai warga Israel yang terbunuh, cedera atau diculik adalah daripada kalangan orang awam. 


Memandangkan Hamas mendakwa dirinya sebagai kumpulan yang bermotifkan ajaran agama, mengapakah para pejuangnya meninggalkan ajaran Islam yang melarang membunuh orang awam yang tidak bersalah?


Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita mesti mengakui terlebih dahulu bahawa terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pejuang Hamas sememangnya memberi tumpuan untuk membunuh anggota tentera Israel dalam operasi mereka baru-baru ini. Senarai panjang nama orang Israel yang dibunuh oleh pejuang Hamas yang diterbitkan oleh Jerusalem Post pada 11 Oktober 2023 hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota tentera. Portal berita Israel lain turut menyenaraikan nama-nama anggota tentera yang dibunuh oleh pejuang Hamas setelah mereka berjaya menembusi sekurang-kurangnya tiga pangkalan tentera Israel.


Bukti juga menunjukkan bahawa pejuang Hamas telah mengelak daripada membunuh orang awam. Sebagai contoh, dalam satu kes di sebuah penempatan Yahudi, seorang ibu yang mempunyai dua anak kecil menceritakan kepada stesen TV Saluran 12 Israel bagaimana pejuang Hamas yang menceroboh rumahnya langsung tidak mencederakan sama dia mahupun anak-anaknya. Mereka memberitahunya supaya tidak bimbang kerana sebagai orang Islam, mereka tidak akan membunuh nya dan anak-anaknya. Selepas dua jam berada di rumah wanita berkenaan, pejuang Hamas tersebut telah meninggalkannya tanpa mencederakannya langsung. Mereka hanya memakan beberapa biji buah pisang yang terdapat di atas meja dapur, itupun setelah mendapatkan kebenaran daripadanya.


Namun, mungkin ada yang bertanya, bagaimana pula dengan kes kira-kira 260 orang muda yang ditembak mati oleh pejuang Hamas ketika sedang berpesta berhampiran sempadan Gaza. Menurut laporan berita, ramai di antara mereka adalah orang awam dalam kategori tentera simpanan. Mereka terdiri daripada penduduk Israel yang telah menamatkan perkhidmatan ketenteraan dan akan ditugaskan sebagai tentera simpanan apabila berlaku kecemasan termasuk peperangan, operasi ketenteraan dan bencana alam. Mereka juga secara rutin menjalani latihan ketenteraan dan terlibat dalam aktiviti keselamatan Israel secara berterusan. Sesetengah pasukan tentera simpanan ini akan ditugaskan semula ke unit yang sama yang mereka telah berkhidmat sebelum ini, dan ada juga yang ditugaskan ke unit simpanan khusus. Perkhidmatan sebagai tentera simpanan adalah wajib di Israel dan dianggap sebagai sebahagian daripada etos kebangsaan. Semua warga Israel di bawah umur 40 tahun yang telah berkhidmat dalam tentera Israel adalah termasuk dalam kategori tentera simpanan.  Sebagai contoh, salah seorang daripada peserta pesta `orang awam' yang diculik oleh pejuang Hamas adalah Hersh Goldberg-Polin. Goldberg-Polin berumur 23 tahun dan dilahirkan di Amerika Syarikat. Sehingga April tahun ini, beliau telah bertugas sebagai pemandu kereta kebal di Briged Berperisai ke-7. Oleh itu, beliau adalah termasuk dalam kategori pasukan tentera simpanan Israel yang boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk memandu kereta kebal dan menjalankan operasi ketenteraan terhadap warga Palestin. Oleh yang demikian,  Hamas menganggap beliau dan orang-orang lain seperti beliau sebagai sasaran operasi ketenteraan yang sah.


Namun demikian, premis terpenting yang mendasari pendekatan ketenteraan Hamas ialah keyakinan rakyat Palestin bahawa Israel dan semua aparatnya bukan sahaja musuh ketat tetapi juga entiti haram kerana ia wujud secara langsung melalui perampasan kawalan Palestin ke atas tanah air mereka. Ahli sejarah Yahudi, Profesor Ilan Pappe telah mengesahkan perkara ini di dalam bukunya yang bertajuk `The Ethnic Cleansing of Palestine'. Menurut Pappe, kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah akibat langsung daripada tindakan jenayah kumpulan separa tentera Yahudi Zionis, yang terdiri daripada individu yang datang dari Eropah ke bumi Palestin, yang kemudiannya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap ratusan rakyat Palestin yang tidak bersalah, termasuk wanita dan kanak-kanak. Tindakan mereka yang paling keji ialah ‘pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin’ pada 1948 apabila ratusan penduduk kampung Palestin yang tidak bersalah dibunuh dan rumah mereka dibakar.


Kesan langsung daripada tindakan ini ialah kira-kira 750,000 orang rakyat Palestin telah menjadi pelarian, namun tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga kini, walaupun ia adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai pada 1948. Bagi rakyat Palestin, tindakan mengiktiraf negara Israel adalah sama dengan memberi legitimasi kepada pembunuhan ibu bapa, datuk nenek dan saudara mara mereka. Atas sebab yang sama, ramai ulama Islam menganggap adalah `Haram’ bagi mana-mana kerajaan Islam mengiktiraf negara Israel.


Satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah ramai sarjana yang mengkaji isu Palestin, seperti Profesor Ilan Pappe, Joseph Massad, Rashid Khalidi, Noura Erakat, Hamid Dabashi dan Robert Wolfe, menganggap Israel adalah satu projek peneroka-penjajah (settler colonialism). Ini kerana wujudnya Israel adalah hasil daripada projek Zionis yang melibatkan proses pengilhakan tanah yang berterusan yang bermula daripada awal pembentukannya. Projek itu melibatkan pemindahan keluar penduduk Palestin dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada pendatang asing dari Eropah dan tempat lain. Peneroka asing ini kemudiannya telah megisytiharkan kedaulatan ke atas bumi yang dirampas secara paksa daripada rakyat Palestin. Sarjana-sarjana tersebut merumuskan bahawa Israel adalah seperti mana-mana projek `settler-colonialism’ yang lain sebelum ini, di mana orang asing telah merampas dan menjajah wilayah dan mengisytiharkan kedaulatan mereka ke atas wilayah tersebut sambil menghapuskan serta melenyapkan kedaulatan warga tempatan ke atas tanah mereka sendiri. Ini terbukti dengan tindak tanduk secara berterusan di pihak Israel untuk menghapuskan identiti dan kedaulatan Palestin daripada wilayah Palestin, termasuk dengan cara menukar nama-nama kampung Palestin dan menggantikan tanah perkuburan lama Palestin dengan taman-taman rekreasi baru.


Sikap peneroka-penjajah negara haram Israel semakin jelas sejak pelantikan semula Benjamin Netanyahu sebagai perdana menteri pada Disember 2022 melalui sokongan puak pelampau Zionis. Kerajaan Israel tidak lagi merasakan perlu menyembunyikan agenda Zionisnya yang sebenar iaitu untuk memastikan semua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, berada seratus peratus di bawah kawalan mereka. Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar, dan peneroka haram Yahudi akan mengambil alih tanah mereka. Gaza pula dikepung untuk memaksa penduduknya tidak menentang Israel atau akur dan berpindah keluar dari Gaza. Ini adalah sebahagian daripada dasar aparteid yang dilaksanakan oleh kerajaan Israel, sepertimana yang telah dilaporkan juga oleh badan hak asasi manusia terkenal seperti Human Rights Watch, Amnesty International dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Israel B'TSelem .


Atas sebab ini, Hamas dan kumpulan Palestin yang lain menganggap seluruh Israel (yang mereka masih rujuk sebagai Palestin) sebagai zon perang di mana operasi bersenjata untuk membebaskan tanah mereka yang dijajah ini dianggap sah. Mana-mana warga asing yang datang ke Israel mesti faham bahawa mereka akan mempertaruhkan nyawa mereka apabila memasuki zon perang. Lebih-lebih lagi jika mereka datang dan berkhidmat dalam kerajaan dan institusi Israel, mereka akan dianggap bersubahat dalam jenayah menjajah bumi Palestin. Dengan kata lain, mereka tidak boleh mengaku sebagai `orang awam yang tidak bersalah’.


Kesimpulannya, istilah `orang awam Israel’ yang digunapakai dalam laporan berita adalah amat mengelirukan. Orang yang terlibat dalam pembersihan etnik dan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin tidak boleh mendakwa diri mereka sebagai orang awam. Mereka patut menerima risiko tercedera atau terbunuh semasa berada dalam zon operasi perang para pejuang Palestin yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajah asing.


Walaupun perjuangan bersenjata Palestin untuk membebaskan tanah mereka adalah sah di sisi undang-undang, terdapat satu lagi jalan tanpa kekerasan yang boleh diikuti oleh masyarakat antarabangsa untuk membantu rakyat Palestin mencapai kebebasan mereka iaitu dengan menyokong gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS). Gerakan ini menyeru supaya negara haram Israel diboikot selagi mana ia tidak memenuhi tiga tuntutan penting yang berikut:

1. Menamatkan pendudukan dan penjajahannya ke atas semua tanah Arab Palestin serta meruntuhkan tembok pemisah

2. Mengiktiraf hak asasi rakyat Arab-Palestin Israel ke arah kesaksamaan yang total

3. Menghormati, melindungi dan mempromosi hak pelarian Palestin untuk pulang ke rumah dan kampung halaman mereka sepertimana yang ditetapkan dalam Resolusi PBB 194

Paling penting untuk kita sedar sebenarnya ialah jika gerakan BDS berjaya memaksa Israel untuk memenuhi ketiga-tiga tuntutan di atas serta meninggalkan dasar aparteid dan genosid terhadap rakyat Palestin serta memberikan hak sama rata kepada semua penduduk di Palestin tanpa mengira bangsa dan agama, maka Hamas tidak perlu lagi menjalankan operasi bersenjata terhadap semua warga Israel, sama ada anggota tentera atau bukan tentera.

Friday, October 20, 2023

Oktober 2023 Berbicara

Oktober 2023 Berbicara


Usah ditanya tentang kemanusiaan
Kemanusiaan telah dilongkangkan
Usah ditanya tentang kasih sayang
Kasih sayang telah dipadamkan
Usah ditanya tentang persaudaraan
Persaudaraan telah dirungkaikan
Usah ditanya tentang keadilan
Keadilan telah dirombak makna dan pengertian
Usah ditanya tentang kebenaran
Kebenaran hanya puak petualang yang menentukan

Kemanusiaan
Kasih sayang
Persaudaraan 
Keadilan 
Kebenaran 
Hanya tinggal lafaz
Hanya tinggal kerangka 
Yang kosong tanpa makna


20 Oktober 2023
05 Rabiul Akhir 1445

Sunday, October 08, 2023

Wajarkah Hamas Menyerang Israel?

Wajarkah Hamas Menyerang Israel?

Oleh:

Prof Mohd Nazari Ismail, 

Pengarah

Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

8 Oktober 2023

Pada 7 Oktober 2023, Hamas, iatu gerakan pembebasan Palestin, telah melakukan serangan berani terhadap Israel dan berjaya membunuh ratusan askar Israel serta menculik pulohan yang lain. Mereka juga telah berjaya menghancurkan aset-aset Israel termasuk pengkalan tentera dan balai polis. 

Rejim Zionis Israel telah bertindak balas dengan mengebom Gaza. Pengeboman tersebut setakat ini meragut lebih dari 300 nyawa warga Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita. Banyak bangunan, rumah dan pejabat juga hancur musnah akibat pengeboman oleh jet pejuang tentera udara Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Mungkin ada dari kalangan rakyat Malaysia berpendapat bahawa kesengsaraan warga Palestin adalah hasil dari tindakan kurang cerdik tentera Hamas di Gaza yang telah melancarkan serangan sebelum itu. Mereka mungkin merasakan semua ini boleh dielakkan jika Hamas `tidak cari pasal menyerang’ Israel.

Sebenarnya, sesiapa yang mempunyai pandangan seperti di atas perlu disedarkan bahawa kefahaman mereka tentang apa yang berlaku di Palestin adalah sangat cetek serta buta sejarah.

Hakikat yang paling penting yang perlu disedari oleh meraka ialah Israel sebenarnya adalah sebuah negara haram. Seperti yang diterangkan oleh seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi dari Israel sendiri yang bernama Prof Ilan Pappe dalam bukunya yang masyhur `The Ethnic Cleansing of Palestine’, kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah hasil dari tindakan kumpulan Yahudi Zionis yang telah datang dari Eropah ke bumi Palestin pada awal kurun ke 20 dan seterusnya telah melakukan tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai (massacre)  serta penghalauan penduduk Palestin dari kampong halaman mereka (expulsion).  

Akibat dari tindakan tersebut lebih dari 750 ribu penduduk Palestin telah menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga sekarang, walaupun ini adalah hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada tahun 1948 lagi. 

Tidak cukup dengan itu, kumpulan penjenayah Zionis ini terus mengganas dan pada tahun 1967 telah merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuk termasuk Masjid Al Aqsa. 

Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian dari Israel, namun kerajaan Israel terus membuka penempatan atau bandar-bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah-tanah yang dirampas dari warga Palestin. Bahkan banyak kebun-kebun zaiton warga Palestin juga telah dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Israel. 

Sebahagian besar Tebing Barat sekarang (dipanggil Area C) adalah di bawah kuasa penuh tentera Israel. Ini membenarkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalanraya. Warga Palestin dihalang dan disekat dari bergerak bebas di dalam negara mereka sendiri sama ada untuk berkerja, mengusahakan kebun zaiton mereka, untuk ke sekolah atau hospital atau untuk melawat ahli keluarga. 

Semenjak terlantiknya Benjamin Netanyahu sekali lagi sebagai perdana menteri pada bulan Disember 2022 dengan sokongan puak-puak pelampau Zionis, kerajaan Israel semakin tidak segan untuk mendedahkan agenda sebenar mereka semenjak penubuhan negara haram Israel. Agenda tersebut ialah memastikan kesemua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur adalah seratus peratus di bawah kawalan mereka. Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar dan tanah mereka akan diambil alih oleh peneroka-peneroka haram Yahudi. 

Sebelum ini, mereka juga telah merampas rumah puluhan warga Palestin di sebuah daerah bernama Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis Timur bersebelahan dengan Masjid Al Aqsa. Mereka juga telah berusaha untuk menghalau warga Palestin dari melakukan iktikaf di Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan dan sebaliknya membenarkan kumpulan ekstrimis Zionis mengadakan sambutan `Jerusalem Day’ iaitu upacara tahunan memperingati kejayaan mereka merampas Baitul Maqdis dari milik rakyat Palestin. Beberapa orang pemimpin Israel juga telah mendedahkan rancangan mereka untuk merobohkan masjid AlAqsa dan digantikan dengan sebuah kuil Yahudi yang dipanggil Haikal Sulaiman. 

Semenanjung Gaza pula dikepung oleh mereka seperti sebuah penjara. Tujuan dilakukan demikian ialah supaya penduduk berjumlah lebih dari 2 juta di dalam kawasan itu akur dengan kehendak mereka iaitu tidak menentang mereka langsung. Akibatnya hak asasi warga Palestin dicabul dengan sewenang-wenangnya di bumi mereka sendiri. 

Dalam erti kata yang lain, kumpulan penjenayah Zionis ini tidak akan berhenti dari melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Palestin sehingga kesemua bumi Palestin adalah di dalam milik mereka dan warga Palestin kesemuanya dihalau keluar dan identiti Palestin dihapuskan sama sekali.

Dalam suasana tersebut, sebenarnya warga Palestin tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mereka berpindah ke negara lain, atau hidup sebagai manusia yang dihinakan dibumi mereka sendiri dan akhirnya identiti mereka dilenyapkan terus.

Namun, alhamdulillah masih wujud dari kalangan masyarakat Palestin yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi. Mereka tidak akan tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas kesemua tanah mereka serta mencabul hak asasi mereka dan menghina Masjid Al Aqsa yang suci itu. 

Yang paling menonjol dari kalangan warga Palestin yang menentang Israel ini ialah kumpulan Hamas. Berbeza dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas yang telah bersetuju untuk menjadi budak suruhan kerajaan Zionis Israel, Hamas dari awal kewujudannya lagi pada tahun 1980an menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah. 

Sebaliknya Hamas berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan cara ketenteraan. Perjuangan Hamas untuk membebaskan negara Palestin dari penjajahan oleh pihak Zionis ini adalah dianggap oleh kebanyakan ulamak muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji dan jika mereka mati dalam perjuangan tersebut, kematian mereka dianggap `syahid’.  

Atas dasar itulah Hamas yang sekarang berpengkalan di Gaza telah memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayah zalim tehadap warga Palestin yang semakin hari semakin serius seperti merampas rumah kediaman warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah, merampas tanah Palestin di Tebing Barat, membunuh warga Palestin, memenjarakan ribuan warga Palestin, serta mencabul kesucian Masjid Al Aqsa. Namun oleh kerana Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah tersebut, Hamas telah tidak mempunyai pilihan selain dari menyerang rejim Zionis Israel dengan menggunakan roket yang mereka bina sendiri dengan tangan-tangan mereka serta melakukan serangan berani mati di wilayah Palestin yang dijajah bersebelahan dengan Gaza dengan cara merobohkan pagar pemisah di antara Israel dan Gaza, serta melalui laut dan udara.

Sudah tentu mereka menyedari risiko bahawa Israel akan menyerang balas dengan ganas dan ramai dari kalangan ahli mereka mungkin akan terkorban. Namun bagi Hamas, ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana tanggung jawab menentang musuh yang ingin merampas tanah air mereka dan ingin menghapuskan masyarakat Islam Palestin adalah tanggungjawab mulia yang tidak boleh dikorbankan.  

Sebagai rumusan, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah kensengsaraan yang bukan pilihan mereka sendiri. Ia adalah kesengsaraan yang telah dipaksa ke atas mereka oleh penjenayah Zionis yang datang dari Eropah serta anak-cucu mereka yang sehingga hari ini berusaha untuk menghalau warga Palestin dan menghapuskan saki baki identiti masyarakat Palestin di negara milik mereka. Penjajah yang juga penjenayah dari Eropah ini jelas akan terus melakukan kezaliman terhadap warga Palestin di masa masa akan datang. Yang paling dasyat ialah kezaliman Zionis Israel ini dilakukan dengan bantuan kuasa-kuasa barat, terutama sekali Amerika Syarikat sementara masyarakat dunia hanya terus menonton dan tidak berbuat apa-apa.

Persoalannya ialah apakah reaksi kita semua terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang? Adakah kita hanya mahu menjadi penonton yang pasif yang sekadar mengucapkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku atau kita ingin menjadi pembela kepada kumpulan lemah yang dizalimi?

Tepuklah dada dan tanyalah iman kerana hadis Rasulullah SAW berbunyi:

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”

(Riwayat  Ahmad)