Wednesday, December 06, 2023

Untuk Mereka Yang Bertanya: Di Manakah Allah? Kenapakah Allah Tidak Membalas Demi Ghazzah?


Nukilan : Adham Syarqawi


Muslim, Ahmad, al-Nasae, Abu Daud meriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW dikunjungi beberapa orang sahabat RA. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, tercetus dalam hati kami sesuatu persoalan. Kami rasa terlalu berat untuk kami perkatakan. Jika kami memperoleh harta satu dunia sekalipun tidak sanggup kami meluahkan apa yang berligar dalam hati kami itu.” 

Baginda bertanya: “Adakah benar kamu dapatinya dalam hati kamu?”

Mereka menjawab: “Benar.”

Baginda berkata kepada mereka: “Itulah iman yang jelas benar!”


Krisis dan fitnah adalah mazhab syaitan dan peluang keemasan untuknya merosakkan iman orang yang beriman, menyingkirkan maqam Allah dari hatinya, meletakkannya di tempat yang buruk pada penghujung jalan sehingga kita tidak dapat melihat hikmah Allah SWT dalam setengah perkara. Kita tidak mengetahui apa-apa kecuali yang kita saksikan dengan mata. Justeru, berligar-ligarlah dalam kepala kita persoalan-persoalan yang kita rasa takut untuk luahkan. Kita menepisnya dengan istighfar. Ini tidak membatalkan iman. Bahkan itulah kesempurnaannya. Maka setiap kali kita terlupa akan hikmahnya, serahkanlah kepada Pemilik semua urusan. Dialah yang Maha Adil, Maha Penyayang. Tidak sepatutnya kita mempersoalkan ketentuanNya atau bertanya tentang takdirNya dalam dunia milikNya. Kita semua adalah hamba dalam kerajaanNya.


Syaitan akan berkata kepadamu: Di manakah Allah dalam situasi paling teruk yang sedang berlaku di Ghazzah? 

Tidakkah Allah murka melihat kanak-kanak yang ditarik keluar dalam keadaan tidak bermaya dari bawah runtuhan bangunan?

Tidakkah Allah membalas terhadap mereka yang mencarik-carikkan jasad wanita dengan roket-roket mereka?

Apakah dosa orang-orang tua yang dibunuh? Apakah kesalahan warga emas yang disemebelih?

Tidakkah Allah berkuasa untuk menghentikan kapal-kapal terbang dan melumpuhkan muncung-muncung senapang?


Pertama: Dunia ini negeri ujian. Bukan negeri pembalasan. Dan hanya Allah yang berhak untuk menyoal hambaNya tentang apa yang mereka lakukan terhadap ujian yang dikenakan kepada mereka. Bukan hamba yang berhak bertanya Tuhan kenapa Engkau menguji kami dengan ujian seperti ini?


Kedua: sesungguhnya semua perkara diambil kira pada kesudahannya yang terakhir, bukan pada keadaannya yang semasa. Jika engkau melihat Firaun mencampakkan anak-anak Masyitah ke dalam minyak panas yang sedang menggelegak sehingga menghancurkan tulang-tulang mereka, kemudian dia mencampakkan ibu mereka bersama dengan mereka sehingga tulang-tulangnya juga turut hancur, nescaya engkau akan bertanya seperti pertanyaan seorang hamba yang ingin segera melihat pembalasan yang setimpal: Di manakah Allah? Apakah dosa kanak-kanak itu sehingga mereka dibunuh dengan begitu kejam? Kenapakah Allah tidak mempertahankan Masyitah dan anak-anaknya yang malang itu?

Kemudian apakah yang terjadi selepas itu? Firaun ditimbus oleh Allah di dalam laut dan dihumban ke dalam neraka kekal abadi selama-lamanya. Manakala Masyitah dan anak-anaknya berada dalam syurga, wanigan mereka dapat dihidu oleh Rasulullah SAW pada malam baginda mi’raj.


Ketiga: Sesungguhnya Allah SWT menangguhkan pembalasan ke atas orang yang zalim. Kemudian apabila tiba masanya Dia membalasnya dengan pembalasan yang sekeras-kerasnya. Sekiranya ada yang berkata bahawa setiap kezaliman itu balasannya di dunia, maka apa gunanya hari kiamat jika begitu? Untuk apa pula Sirat, Mizan dan Hisab? Untuk apa pula diciptakan syurga dan neraka?


Ashabul-Ukhdud semuanya dibakar di dunia. Allah mengizinkan bayi yang masih menyusu bertutur dan berkata kepada ibunya: “Teguhkan pendirianmu kerana sesungguhnya ibu berada di atas jalan yang benar!” Lalu kedua-duanya (ibu dan bayi itu) dihumban ke dalam api yang sedang marak. Dan Allah tidak pernah memberitahu kita bahawa Dia telah membela mereka dengan membalas pemerintah yang kejam itu di dunia ini. Namun Dia pasti akan membalasnya pada hari kiamat kelak.


Pertempuran bukan diukur pada natijahnya yang zahir. Seandainya kita menang dalam semua pertempuran kemudian akhirnya kita tercampak ke dalam neraka, maka hakikatnya kita rugi. Sebaliknya jika kita kalah, tewas dan dibakar sedangkan kita berada dipihak yang benar dan tetap teguh di atas kebenaran, maka kita adalah orang yang menang.


Keempat: Sekiranya Allah terus melaksanakan pembalasan setiap kali berlaku kezaliman, maka tumbanglah prinsip ujian di dunia dari akar umbinya. Sekiranya kebenaran sentiasa menang dalam setiap pertembungannya dengan kebatilan, nescaya saf-saf di pihak yang benar akan dipenuhi oleh mereka yang mencari keuntungan. Tetapi Allah hendak dunia ini menjadi tempat bergegarnya hati-hati manusia, tamparan yang kuat kepada mereka yang berpegang kepada prinsip. Jika tidak ada serangan dan ancaman musuh, bagaimanakah hamba-hamba akan diuji dengan kefardhuan jihad? Bagaimanakah akan berlaku pembahagian hamba kepada mujahidin dan mutakhallifin (yang tidak menyahut seruan jihad), yang membantu dan yang mengelak dari membantu, yang mengeluarkan harta di Jalan Allah dan yang bakhil dan membelanjakan harta di jalan syaitan? 


Kelima: Sesungguhnya seorang wanita yang melahirkan seorang anak, mengalami kesakitan dan diiringi dengan keluar darah yang agak banyak. Itu keadaan yang dialami untuk melahirkan seorang anak. Maka bagaimanakah sakitnya satu umat yang hendak melahirkan satu negara dan satu kemuliaan? 


Seandainya engkau berada bersama orang Quraisy sewaktu Abu Jahal mengikat Sumayyah dan menikamnya, mungkin engkau juga akan menyoal sebagaimana yang engkau soalkan sekarang: Dimanakah Allah?

Dan aku ingin bertanyamu: Dimanakah Sumayyah sekarang dan dimanakah Abu Jahal?


Begitu juga jika engkau melihat Bilal yang terbaring di atas padang pasir yang membahang di Mekah dengan batu besar diletakkan di atas dadanya, sedang Umayyah bin Khalaf  menyuruhnya supaya menyebut nama al-Lata dan Hubal. Namun Bilal dalam keadaan nafas yang tercungap-cungap hanya mengulang Ahad, Ahad, tentu juga engkau bertanya: Dimanakah Allah? Dan aku tanya engkau: Sekarang di manakah Bilal dan dimanakah Umayyah? Kemudian, sekiranya engkau tidak melihat kemenangan itu selain dari kemenangan di dunia semata-mata, maka engkau pada waktu itu, tidak beranggapan bahawa kemenangan itu pasti datang. 


Tetapi sekarang engkau tahu bahawa Mekah telah dibuka. Orang-orang yang dulunya diazab memasukinya dari segenak penjuru pada waktu siang hari yang terang benderang.


Sesungguhnya Allah Yang Maha Bijaksana mempunyai waktunya dalam menentukan sesuatu peristiwa. Jika engkau faham hal ini, maka tetaplah berpegang dengannya. Jika engkau tidak faham, maka berilah salam (say good bye) 


https://shuhoud.com


No comments: