Diberitakan bahawa pada suatu hari Menteri Perusahaan India melawat sebuah kilang.
Beliau tertarik melihat seorang pekerja yang sedang menyusun paku pelbagai saiz dalam kotak mengikut saiznya sambil menyanyi riang. Di wajahnya terpancar riak-riak kegembiraan dan kebahagiaan yang ketara.
Menteri menghampirinya. Beliau hairan melihat betapa bahagianya pekerja itu, lalu bertanya:
- Apa yang kamu sedang lakukan?
- Saya sedang membina kapal terbang! (jawabnya dengan penuh yakin.)
- Membina kapal terbang? (jawapan itu benar-benar mengundang kehairanan yang tidak mampu disembunyikan)
- Ya, Tuan. Membina kapal terbang!. (jawabnya dengan tenang dan yakin). Syarikat ini menerima tempahan untuk membina kapal terbang. Kapal terbang yang tuan naiki untuk bermusafir ke sana sini. Ia tidak boleh terbang tanpa paku-paku yang kecil ini!
Demikianlah bagaimana seorang pekerja yang zahirnya sangat enteng kerjanya membongkar rahsia nilai dan harga diri di hadapan kita dan mendedahkan satu daripada sebab kebahagiaan kita!
Sangat jauh beza antara seseorang yang melihat dirinya sebagai pengumpul paku dengan seseorang yang melihat dirinya sebahagian daripada orang yang bertanggungjawab membina kapal terbang.
Sangat jauh beza antara seseorang yang tidak melihat pekerjaannya selain daripada untuk mendapat upah dengan seseorang yang melihat kerjanya memberikan kesan yang bermakna kepada sesuatu yang besar.
Engkau bukan hanya sekadar seorang tukang sapu. Sebaliknya engkau telah memberi sumbangan dalam mencantikkan bandar ini.
Engkau bukan hanya sekadar seorang tukang jahit. Sebaliknya engkau yang memberikan sentuhan yang menyerlahkan keanggunan pemakai pakaiannya itu.
Engkau bukan sekadar seorang khatib di atas mimbar masjid. Sebaliknya engkau membuka satu jalan yang luas untuk manusia menapak dengan jelas di jalan yang diredhai Tuhan semesta alam.
Engkau bukan sekadar seorang guru di sekolah rendah. Sebaliknya engkau adalah pembina dan pencorak generasi.
Engkau bukan sekadar seorang doctor yang merawat pesakit. Sebaliknya engkau adalah orang yang meringankan beban yang ditanggung oleh umat manusia
Engkau bukan sekadar seorang suri rumah. Sebaliknya engkau adalah pendidik yang pertama dan yang paling utama. Tidak ada di sana pekerjaan yang lebih penting daripada membina seorang manusia.
Kesimpulan dan pengajaran daripada cerita di atas ialah orang yang melihat pekerjaannya sekadar untuk mendapat upah atau gaji untuk menyara diri dan keluarga adalah seorang yang buta dan tidak dapat melihat.
Hakikat yang tidak harus dipadamkan dari hati kita ialah:
Pekerjaan adalah satu risalah. Pekerjaanlah yang menentukan nilai diri kita yang sebenarnya.
Nilai diri kita yang sebenar ialah bagaimana kita melihat diri kita, bukan yang dilihat oleh orang lain terhadap kita.
Tiada seorang pun yang mampu merendahkan nilai diri kita selagi mana kita tidak merasai diri kita rendah.
Dan tiada seorang pun yang mampu mengangkat nilai diri kita selagi mana kita tidak merasai diri kita bernialai.
Lihatlah! Betapa kita berhajat kepada suatu contoh seperti yang ditunjukkan oleh pekerja India yang bertaraf rendah itu.
No comments:
Post a Comment