Sunday, December 28, 2025

KISAH AL-QADHI MUHAMMAD BIN ‘ABD AL-BAQI AL-ANSARI AL-BAZZAR

Satu kisah yang menakjubkan telah berlaku kepada salah seorang imam hadis, iaitu al-Qadhi Muhammad bin ‘Abd al-Baqi al-Ansari al-Bazzar, yang terkenal dengan gelaran Qadhi al-Maristan, seorang hafiz yang wafat pada tahun 535 Hijrah.

Beliau menceritakan bahawa pada suatu musim haji, beliau berada di Mekah dalam keadaan sangat miskin, tidak memiliki apa-apa daripada kesenangan dunia. Pada suatu hari, rasa lapar yang amat sangat memaksanya keluar mencari secebis roti atau apa sahaja yang dapat mengalas perutnya. Tiba-tiba beliau menemui sebuah bungkusan kain sutera merah yang terletak di atas tanah. Lalu beliau membukanya dan mendapati di dalamnya terdapat seutas kalung mutiara yang sangat berharga, yang nilainya dianggarkan mencecah lima puluh ribu dinar. Beliau pun mengambil bungkusan itu dan beredar.

Ketika beliau sedang dalam perjalanan, tiba-tiba terdengar seorang lelaki mengumumkan kehilangan kalung tersebut kepada orang ramai. Lelaki itu berkata bahawa dia telah kehilangan sebuah bungkusan sutera, dan sesiapa yang menemuinya akan diberi ganjaran lima puluh dinar.

Beliau bertanya: “Apakah yang terdapat di dalam bungkusan itu?”

Lelaki tersebut menjawab: “Di dalamnya terdapat seutas kalung mutiara yang sangat berharga.”

Beliau bertanya lagi tentang tanda-tanda kalung tersebut.

Apabila lelaki itu menyebutkan ciri-cirinya, beliau segera menyerahkan bungkusan itu kepadanya.

Lelaki tersebut pun mengeluarkan lima puluh dinar dan menghulurkannya kepadanya. Namun beliau enggan menerimanya sambil berkata:

“Tidak sepatutnya aku mengambil balasan terhadap barang yang aku temui lalu aku kembalikan kepada pemiliknya. Aku mengembalikan kalung ini bukan kerana mengharapkan ganjaran, tetapi kerana mengharapkan keredaan Tuhanku.”

Beliau menolak untuk menerima wang itu, sedangkan pada ketika itu beliau sangat kelaparan dan tidak mempunyai walau secebis roti kering untuk mengalas perutnya.

Lelaki tersebut mendoakan kebaikan untuknya lalu beredar.

Qadhi dan ahli hadis itu tinggal di Mekah beberapa hari, kemudian beliau memutuskan untuk belayar menaiki kapal laut, dengan harapan memperoleh sedikit rezeki. Namun ketika mereka berada di tengah lautan, tiba-tiba bertiup ribut yang sangat kuat, menghempas kapal mereka sehingga hancur dan tenggelam.

Qadhi itu berpaut pada sekeping papan daripada serpihan kapal. Beliau terus berpaut sambil dihempas ombak selama beberapa hari, sehingga akhirnya ombak mencampakkannya ke tepi pantai dalam keadaan sangat letih dan tidak berdaya.

Dengan sisa tenaga yang ada, beliau mengheret dirinya sehingga sampai ke sebuah masjid yang terdekat, lalu rebah di dalamnya. Beliau tidak mengetahui apa-apa tentang kawasan itu, dan tidak mengenali sesiapa pun daripada penduduknya.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki masuk ke masjid tersebut. Apabila melihat keadaannya, lelaki itu bertanya tentang dirinya. Setelah beliau menceritakan kisahnya, lelaki itu membawakan makanan, minuman dan pakaian untuk menghangatkannya. Lelaki itu juga berkata bahawa mereka sedang mencari seseorang untuk diupah menjadi imam solat di masjid tersebut.

Apabila beliau memberitahu bahawa beliau menghafaz Kitab Allah Ta‘ala, mereka segera melantiknya sebagai imam masjid. Apabila mereka mengetahui bahawa beliau juga pandai menulis, mereka turut mengupahnya untuk mengajar anak-anak mereka.

Beliau berkata: “Aku pun memperoleh rezeki dan hidup dalam keadaan baik.”

Pada suatu hari mereka berkata kepadanya:

“Kami mempunyai seorang gadis yatim. Kami ingin menikahkan engkau dengannya.”

Mereka mendesaknya, lalu beliau pun bersetuju.

Apabila beliau dibawa bertemu dengannya, beliau terlihat pada dada gadis itu seutas kalung mutiara. Beliau tidak dapat menahan dirinya daripada memandang kalung itu dengan penuh kehairanan dan kekaguman, kerana itulah kalung yang sama yang pernah beliau temui di Mekah dahulu.

Ketika beliau sedang memandang kalung itu, tiba-tiba gadis tersebut keluar sambil menangis teresak-esak dan berkata:

“Dia tidak mahu memandang wajahku, sebaliknya dia hanya memandang kalung di dadaku.”

Setelah beliau mengimami mereka solat Subuh, mereka menyampaikan hal itu kepadanya. Lalu beliau memberitahu mereka bahawa beliau pernah menemui kalung itu pada sekian-sekian waktu dahulu, terletak di atas tanah di dalam bungkusan sutera di Baitullah al-Haram, dan beliau telah mengembalikannya kepada pemiliknya.

Mereka semua bertakbir sehingga masjid bergema dengan takbir mereka.

Kemudian mereka memberitahunya bahawa pemilik kalung tersebut ialah bapa kepada gadis yatim itu. Dia tidak mempunyai sesiapa selain anak perempuannya itu. Dia dahulu mengimami mereka solat di masjid tersebut dan telah meninggal dunia beberapa waktu yang lalu.

Namun sejak dia pulang dari haji, dia tidak pernah berhenti berdoa dengan doa ini, dan mereka mengaminkan di belakangnya:

“Ya Allah, aku tidak pernah menemukan seseorangpun seperti pemilik kalung ini. Ya Allah, pertemukanlah aku dengannya agar aku dapat menikahkannya dengan anak perempuanku yang tunggal ini.”

Maka Allah Ta‘ala telah memperkenankan doanya, lalu mendatangkan engkau dan menikahkan engkau dengan anak perempuannya, walaupun setelah kematiannya!

Inilah balasan bagi amanah dan kesucian jiwa. 💜

Sumber 📚

Dhayl Tabaqat al-Hanabilah karya Imam Ibn Rajab

Siyar A‘lam al-Nubala’ karya Imam Shams al-Din al-Dhahabi


No comments: