Nabi SAW bersabda:
ما من يومٍ يُصبحُ العبادُ فيه إلا وملَكانِ ينزلانِ ، فيقولُ أحدُهما : اللهمَّ أعطِ مُنفقًا خلفًا ، ويقولُ الآخرُ : اللهمَّ أعطِ مُمْسكًا تَلفًا
“Tidaklah suatu hari para hamba memasuki waktu pagi melainkan ada dua malaikat turun. Salah satu daripada keduanya berdoa: ‘Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang berinfak (bersedekah).’ Dan malaikat yang satu lagi berdoa: ‘Ya Allah, berilah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut).” Al-Bukhari
Hadis ini mengandungi pengajaran yang sangat penting khususnya bagi mereka yang selalu risau memikirkan soal rezeki atau selalu ditewaskan oleh sifat terlalu sayangkan harta, tamak serta bakhil.
Kita sering melihat dan menghitung harta yang ada dalam simpanan kita. Bila ada pihak yang meminta sumbangan untuk sesuatu tujuan yang tidak ada kaitan dengan kepentingan kita, mulalah kita rasa berat hati untuk memberi kerana bimbang harta yang ada berkurangan. Perasaan itu sebenarnya bisikan syaitan, musuh kita yang kerjanya adalah menghalang kita dari melakukan kebaikan. Cuba perhatikan firmah Allah SWT yang bermaksud:
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:268)
Jadi, melalui hadis ini, Rasulullah SAW mengingatkan kita dan memberi khabar gembira bahawa harta kita tidak akan berkurang dengan infaq dan sedekah. Allah siap hantar malaikat untuk mendoakan keberkatan harta kita. Sebenarnya untuk Allah gantikan dan gandakan harta kita tidak perlu hantar malaikat pun untuk berdoa. Allah Maha Kuasa dan Maha Kaya untuk gantikan bila-bila masa. Tapi Allah nak tunjuk betapa semua makhluk suka kepada hamba-Nya yang berbuat baik, nak yakinkan kita bahawa dalam melakukan kebaikan, kita tidak bersendirian.
Dan sebaliknya pula mereka yang rasa selamat dan gembira dengan harta yang tidak luak, tidak terusik dengan sedekah itu, rupa-rupanya tanpa disedari dia menempah kerugian yang tidak diundang dengan doa malaikat. Mungkin secara tiba-tiba Allah uji dengan satu musibah yang menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan harta yang dia simpan untuk membayarnya. Mungkin tayar keretanya bocor, anaknya demam, motorsikalnya hilang dan bermacam-macam lagi.
Justeru, yakinlah pada Pemberi rezeki Yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah. Dia-lah satu-satunya Pemilik dan Pentadbir yang menentukan segala-galanya.

No comments:
Post a Comment