Monday, June 15, 2026

BERNIAGA DENGAN ALLAH?

Al-Asma‘i (antara tokoh bahasa Arab yang paling masyhur pada zaman Abbasiyah dan sering dijadikan rujukan dalam ilmu bahasa, sastera dan syair Arab) berkata:

"Aku pernah melihat seorang hamba perempuan membawa bakul berisi buah delima di atas kepalanya. Tiba-tiba seorang lelaki mendekatinya lalu mencuri sebiji delima daripada bakul itu tanpa disedari oleh wanita tersebut.

Aku mengekori lelaki itu sehingga aku melihat dia melalui seorang miskin, lalu dia memberikan buah delima yang dicurinya itu kepada orang miskin tersebut.

Maka aku mendatanginya dan berkata:

'Aneh sekali engkau ini wahai lelaki. Engkau mencuri buah delima itu, lalu aku menyangka engkau lapar. Tetapi engkau mencurinya untuk disedekahkan kepada orang miskin! Ini benar-benar suatu perkara yang pelik.'

Lelaki itu menjawab:

'Tidak wahai saudaraku. Demi Allah, aku sedang berniaga dengan Tuhanku.'

Al-Asma‘i bertanya dengan nada hairan:

'Bagaimana engkau berniaga dengan Tuhanmu seperti itu?'

Lelaki itu berkata:

'Aku mencurinya daripada wanita itu, maka dicatatkan ke atasku satu dosa. Kemudian aku bersedekah dengannya kepada orang miskin, maka dicatatkan bagiku sepuluh pahala. Jadi masih berbaki sembilan pahala untukku di sisi Tuhanku. Apa pendapatmu? Bukankah ini suatu perniagaan dengan Allah?'

Lalu Al-Asma‘i berkata kepadanya:

'Engkau mencurinya, maka dicatatkan ke atasmu satu dosa. Kemudian engkau bersedekah dengannya, tetapi Tuhanmu tidak akan menerimanya daripadamu kerana Allah itu Maha Baik dan tidak menerima melainkan yang baik. Engkau ibarat seseorang yang mencuci pakaian yang bernajis dengan air kencing!'

Subhanallah, betapa ramai pada zaman kita orang yang seperti lelaki ini.

Mereka berhujah untuk mempertahankan kebatilan sedangkan mereka menyangka berada di atas kebenaran.

Mereka memberi pelbagai alasan dan pembelaan untuk menghalalkan perkara yang haram bagi diri mereka sendiri."


No comments: