Monday, March 27, 2023

30 NIAT KETIKA MEMBACA AL-QURAN


Apakah yang kamu niat ketika membaca al-Quran?

Kebanyakan muslimin tidak membaca al-Quran kecuali dengan niat untuk mendapat pahala serta ganjaran semata-mata. Mereka lupa tentang betapa besarnya manfaat al-Quran itu. Mereka lupa bahawa setiap kali mereka membacanya dengan niat tertentu, mereka akan memperolehinya dan Allah akan kurniakan untuknya apa yang diniatkan sebagaimana dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadis “Sesungguhnya semua amalan bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap individu itu apa yang dia niatkan.”


Al-Quran adalah manhaj hidup. Niat adalah perniagaan para ulamak. Bertolak dari sini, aku mengingatkan diriku, ikhwah dan akhawatku agar memasang niat-niat berikut setiap kali membaca al-Quran:


1. Untuk mendapat ilmu dan beramal dengannya

2. Untuk mendapat hidayah daripada Allah buat diriku, zuriatku dan ahli keluargaku

3. Untuk bermunajat dengan Allah SWT

4. Untuk mengubati pelbagai penyakit zahir dan batin (fizikal dan spiritual)

5. Supaya Allah mengeluarkanku dari kegelapan kepada cahaya yang terang

6. Untuk merawat hati yang keras dan menolak waswas. Dalam al-Quran terkandung penawar yang menenangkan hati

7. Untuk mengelak diriku dan keluargaku dari terkena gangguan hasad dan sihir

8. Supaya aku tidak ditulis dalam senarai orang yang lalai, sebaliknya aku termasuk dalam senarai orang yang berzikir

9. Untuk menambah iman dan keyakinanku kepada Allah

10. Untuk mematuhi perintah Allah SWT yang menyuruhku supaya membacanya dengan tartil

11. Untuk mendapat pahala bagi setiap huruf satu hasanah. Dan satu hasanah itu diganjari dengan 10 hasanah. Dan Allah menggandakan lagi bagi sesiapa yang Dia kehendaki

12. Untuk mendapat syafaat al-Quran pada Hari Qiamat

13. Untuk melaksanakan wasiat Nabi SAW. Baginda SAW berpesan dengan sabdanya: “Bacalah al-Quran!”

14. Supaya Allah mengangkat darjatku dan memberikan aku manfaat dengannya

15. Supaya aku melonjak dengannya ke beberapa darjat di syurga sebagaimana sabda Nabi SAW: “اقرأ وارتق ورتل”

16. Supaya aku dipakaikan dengan mahkota kemuliaan, ibu bapaku disarungkan dengan perhiasan yang tidak ada bandingan nilainya di dunia ini

17. Untuk mengingati Allah dan meraih kebersamaanNya (ma’iyyatih) serta bertaqarrub dengan KalamNya.

18. Supaya aku menjadi ahli Allah dan orang yang istimewa di sisiNya

19. Supaya aku terselamat dari neraka dan azab Allah

20. Untuk menawarkan atau membatalkan sihir dan sebarang gangguan syaitan yang terkena ke atasku atau salah seorang daripada ahli keluargaku

21. Untuk memandang mushaf sebagai satu ibadah

22. Untuk mencapai kebaikan dan kurniaan dari sisi Allah

23. Supaya bauku harum dan wangi

24. Supaya Allah singkapkan dengannya semua kesedihan, kerisauan dan tekanan perasaan

25. Supaya Allah tunaikan hajatku dan kabulkan doa-doaku

26. Supaya al-Quran menjadi temanku di dalam kuburku dan cahaya buatku di atas titian sirat nanti

27. Supaya Allah mendidikku dengan akhlak dan adab mulia seperti akhlak dan adab yang menghiasi diri Rasulullah SAW

28. Supaya aku dapat menyibukkan diriku dengan kebenaran serta mengelakkan diriku dari sibuk dengan kebatilan.

29. Untuk bermujahadah melawan nafsu dan syaitan

30. Supaya Allah jadikan untuk dinding yang memisahkanku dari orang kafir pada hari qiamat kelak


Ayuh! Marilah kita jadi ahli al-Quran.

Inilah perniagaan dengan Allah yang dijamin untung, yang Allah janji akan kurniakan kelebihan dan kebaikan yang tidak akan pupus.

Sesiapa yang berniat untuk khatam pada bulan Ramadan, maka teruskanlah langkahmu itu.

Berselawatlah ke atas Nabi serta keluarganya yang suci.

أللهم صل وسلم على نبينا محمد وعلى آله الطيبين الطاهرين


Dicadangkan supaya saranan ini dicetak dan ditampal di masjid-masjid dan di rumah-rumah supaya kita memperolehi pahala yang besar dengan mengamalkannya dan diamalkan oleh orang lain yang membacanya.


Monday, March 13, 2023

Antara Mandi Wiladah dan Mandi Nifas

Sering timbul persoalan tentang perbezaan antara mandi wiladah dan mandi nifas. Ada yang menyangka setiap wanita yang melahirkan anak  wajib melakukan kedua-duanya.


Sebenarkan, mereka hanya wajib melakukan satu daripadanya, bukan kedua-duanya.

Mandi wiladah wajib ke atas wanita yang tidak ada nifas.

Manakala mandi nifas wajib ke atas wanita yang ada nifas.


Sungguhpun saya selalu menjelaskan tentang kedua-dua hukum tersebut, namun saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana berlakunya seseorang wanita bersalin tanpa nifas.


Hari ini barulah Allah tunjukkannya apabila seseorang mengemukakan soalan tentang seorang wanita bersalin dan mengalami tumpah darah yang banyak sehingga rahimnya terpaksa dibuang. Maka darah nifasnya tidak ada kerana darah nifas keluar dari rahim selepas keluarnya bayi yang dikandung.


Rupa-rupanya itulah keadaan wanita bersalin tanpa ada nifas. Maka wanita ini wajib mandi wiladah dan wajib ke atasnya menunaikan ibadah yang dilarang ke atas wanita yang ada nifas: solat, puasa dan sebagainya.


Alhamdulillah dapat satu ilmu baru.


Wednesday, February 15, 2023

RIADHUS-SOLIHIN BAB SILATUL RAHIM


 

Menolak sindiran Hadi pada konsep Madani

KOLUM | Menolak sindiran Hadi pada konsep Madani
Dikemaskini: 9:00 AM

Beberapa tulisan Abdul Hadi Awang kelihatan tidak selesa dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak diketahui, apa punca kebencian beliau begitu kuat sehingga kandungan sindiran beliau terhadap konsep tersebut kadangkala tidak masuk akal dan tidak rasional.

Makalah ringkas ini cuba menjelaskan konsep Madani yang mungkin masih kabur dari pandangan Presiden PAS itu.

Madani


ADS

Tamadun - peradaban

Apa beza antara peradaban dan tamadun?

Peradaban itu daripada kata adab. Tamadun pula daripada kata da-na دان yang antara maksudnya adalah agama dan pembalasan.

Dari da-na itu, datang kalimah al-Din (agama), tamadun dan Madinah. kata Madani adalah ambil dari kata Madinah.

Kamus dewan mendefinisikan Madani sebagai: Ar maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (bukan masyarakat, generasi dsb): usaha untuk membentuk masyarakat ~dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan; kurikulum itu juga terarah kepada pembinaan masyarakat

Bermaksud madani menjurus kepada kemajuan pada tiga perkara besar: (1), pemikiran, (2) spiritual, dan (3) material.

Apa itu adab?

Peradaban berasal dari kata adab. Apabila disebut adab, bukan bermakna perbuatan yang terpamer. Ekoran itu, ada beza antara kata adab, akhlak dan suluk.

Perkataan suluk yang diterjemah dengan akhlak juga tidak tepat. Hal ini kerana, suluk adalah sesuatu perbuatan yang baik, tetapi tidak semestinya datang dari hati yang jujur dan tulus.

Ada manusia jadi baik kerana mahu mencari keuntungan. Contoh, seorang peniaga yang senyum kepada pembelinya, sebab kalau tidak senyum, dia bimbang pelanggannya lari.

Senyum dia itu ada faktor keuntungan perniagaan. Bukan datang dari jujur hatinya. Ini disebut suluk.

Ataupun seperti orang yang tidak rasuah, sebab takut kena tangkap dengan SPRM. Bermakna, kalau tidak kerana undang-undang, mungkin sahaja dia terjebak dengan rasuah.

Ini disebut sebagai suluk.

Adapun akhlak dari akar kata kha-la-qa yang diterjemah sebagai asal sesuatu ciptaan. Dalam al-Quran, ada disebut;

“Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi” (Surah ali-Imran, ayat 90)

Al-Quran menyebut ciptaan langit dan bumi digunakan perkataan kha-la-qa kerana itu adalah asal ciptaan. Namun, apabila ciptaan itu berhadapan dengan proses, seperti ciptaan manusia berasal dari tanah yang diproses, maka digunakan perkataan ja’ala. Firman Allah;

“Ketika berkata tuhan kamu kepada malaikat, aku jadikan pada bumi ini khalifah” (al-Baqarah, ayat 30)

Apabila manusia itu disebut berakhlak, bermaksud perbuatan baiknya sudah sebati dengan hidupnya - bukan buat-buat dan bukan berlakon.

Kalau dia tidak rasuah, bukan kerana dia takut undang-undang, tetapi memang dia benci rasuah. Kalau dia senyum, bukan kerana dia tidak mahu pelanggannya lari, tetapi itu memang dari jiwanya yang baik.

Itu baru disebut sebagai akhlak, bukan lagi suluk. Suluk itu masih berlakon, sedangkan akhlak, itu diri dia yang sebenar.

Untuk membentuk akhlak, bermula dengan adab. Adab adalah pembinaan terhadap hati manusia. sebab itu ada pepatah menyebut:

Tuhanku telah ajar adab kepadaku, lalu adab aku menjadi baik. (ini bukan perkataan Nabi, tetapi kata-kata hikmah)

Konsep adab ini dalam ilmu tasawwuf disebut sebagai proses membuang sifat mazmumah (keji). Dalam bahasa ahli tasawwuf disebut dengan takhalli. Kemudian mengisi sifat mahmudah (terpuji) yang disebut tahalli. Mencapai kesempurnaan yang disebut sebagai al-Insan al-Kamil atau disebut juga sebagai tajalli.

Apabila hati manusia itu baik, maka terpamer dari sudut perbuatan yang baik. Dalam sahih al-Bukhari ada hadis bahawa Nabi berkata:

"Ketahuilah, dalam jasad manusia ada seketul daging. apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya. Kalau buruk daging itu, maka buruk seluruh jasadnya. Ketahuilah daging itu adalah hati. (al-Bukhari, hadis no: 52).

Bagi individu, dari hati yang capai tahap tajalli akan melahirkan akhlak. Dari kerangka masyarakat pula, dari peradaban akan melahirkan tamadun.

Adab ini perlu dibudayakan. Apabila berbudaya, akan terbina masyarakat yang baik. Apabila adab sudah berbudaya, maka masyarakat itu adalah masyarakat yang mempunyai peradaban dan bertamadun.

Masyarakat yang mempunyai peradaban akan melahirkan tamadun yang baik. Semua bangsa dalam dunia ini boleh membina tamadun, tetapi tidak semestinya mempunyai peradaban. Hal ini kerana, ada tamadun tanpa peradaban, makanya mereka baik bukan kerana dari Nurani mereka, tetapi factor kepentingan material.

Pembentukkan peradaban kepada tamadun adalah akar bagi fikrah madani yang diperkenalkan oleh sekian ramai ulama Islam seperti al-Farabi, tetapi peliknya konsep sebegini dibenci dan diperli oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.


WAN JI WAN HUSIN ialah seorang pendakwah bebas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.