Kita ingin menerangkan kepada manusia tentang matlamat kita, kita ingin mendedahkan manhaj (method) kita di hadapan mereka, kita ingin mengemukakan da'wah kita kepada mereka dalam suatu bentuk yang tidak menimbulkan keraguan dan kesamaran, lebih cerah dari pancaran matahari, lebih bercahaya dari sinar pagi, malah lebih cerah dari siang yang terang benderang.
Di samping itu kita ingin supaya kaum kita dan ummat muslimin seluruhnya mengetahui bahawa da'wah Ikhwan Muslimin adalah da'wah yang suci dan bersih, dengan kesuciannya da'wah ini telah meningkat tinggi melewati batas kepentingan diri sendiri, memandangkan hina manfaat kebendaan,
meninggalkan jauh di belakangnya segala bentuk hawa-nafsu dan tujuan-tujuan kepentingan, mara ke hadapan menuruti jalan yang telah digariskan Allah kepada penda'wah-penda'wah. Firman Allah:
"Katakanlah; inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah dengan penuh kesedaran aku dan pengikutku. Maha suci Allah dan bukanlah aku dari golongan mereka yang musyrik':
Kita tidak meminta sesuatu dari manusia, Kita tidak meminta harta dari mereka, kita tidak meminta upah dari mereka, kita tidak mengharapkan sanjungan mereka, kita tidak mengharapkan balasan dan terima kasih mereka, balasan kita dalam berda'wah ini hanyalah pada Allah yang menjadikan kita.
Demikian juga Kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih dari diri kita sendiri, Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup dicabut sebagai harga kepada keagungan mereka, kemuliaan mereka, agama dan cita-cita mereka andainya perkara-perkara ini memerlukan demikian. Kita mengambil sikap yang demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang telah membelenggu hati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan mengalirkan air mata. Amat sukar dan luar dari kesanggupan kita melihat sesuatu menimpa bangsa kita dan kita terus menyerah diri kepada kehinaan atau merelainya, atau kita terus berputus asa. Kami (Ikhwan) bekerja untuk manusia kerana Allah lebih dari kami bekerja untuk diri kami, kami untuk kamu, bukan untuk orang lain dan kami tidak akan menjadi beban kepada kamu. Keistimewaan dan nikmat hanya dari Allah:
Kita tidak mendakwa memberi suatu nikmat, dan kita tidak menganggap bahawa kita mempunyai keistimewaan dalam hal ini, tetapi Kita percaya kepada firman Allah:
"Maka Allah lah yang mengurniakan nikmat kepadamu dengan memimpin kamu kepada keimanan seandainya kemu orang yang benar':
Kita berharap, sekiranya harapan itu memberi manfaat, agar hati-hati ini dapat diterima oleh pandangan dan pendengaran ummat kita, dengan itu mereka akan melihat; adakah pada hati- hati ini selain dari inginkan kebaikan dan rasa kasih terhadap mereka, juga pengorbanan demi mereka.
Adakah mereka dapati pada hati-hati ini selain dari rasa derita yang melarat akibat dari keadaan yang kita alami sekarang.
Pun demikian cukuplah bagi kita bahawa Allah mengetahui segala apa yang di dalam hati Kita. Hanya Allah tempat perlindungan yang tunggal, tempat minta pertolongan, Allah yang memberi taufik kepada jalan yang tepat, di tanganNya teraju dan kunci yang dapat membuka pintu hati. Siapa yang diberi pertunjuk oleh Allah maka tidak ada yang akan menyesatkannya dan siapa yang sesatkan Allah maka tidak ada sesiapa yang dapat memberi pertunjuk kepadanya dan Allah tempat tumpuan harapan kita, paling nikmat tempat kita berserah. Tidakkah Allah melindungi hambaNya.
Empat jenis:
Kita mengharapkan manusia menjadi salah satu daripada empat golongan ini:--
- Mu'min:
Sama ada beliau menjadi seorang yang beriman dengan da'wah kita, membenarkan perkataan kita, kagum dengan prinsip-prinsip kita, beliau melihat dalam da'wah ini sesuatu yang dapat memuaskan hati dan diterima oleh nuraninya. Kepada beliau Kita menyeru supaya mengambil inisiatif untuk
menggabungkan diri dan bekerja bersama-sama kita, supaya dengan penggabungannya itu bilangan mujahid akan bertambah, semoga dengan suaranya itu seruan da'wah akan bertambah kuat. Tidak ada erti bagi keimanan yang tidak diikuti dengan amal, tidak ada faedah bagi 'aqidah yang tidak rnendorong tuannya untuk melaksanakan aqidah itu dan berkorban untuknya.
Demikianlah keadaannya orang-orang yang terdahulu, orang-orang yang dibukakan Allah dadanya untuk menerima hidayah Allah, lantas mereka mengikut jejak para Anbia', mereka beriman dengan risalahNya, berjihad demi risalah itu dengan jihad yang sungguh-sungguh. Mereka inilah yang dianugerahkan Allah dengan ganjaran nikmat yang maha besar, mereka akan menerima ganjaran pahala yang sama dengan pengikut-pengikut mereka dengan sedikitpun tidak mengurangkan pahala pengikut mereka.
- Ragu-ragu:
Sama ada beliau menjadi seorang yang belum melihat kebenaran dalam da'wah kita, belum mengenali keikhlasan dan faedah pada apa yang kita katakan, lantas beliau terhenti dan ragu-ragu. Beliau kita tinggalkan kerana keraguannya dan kita mewasiatkan beliau agar berhubung dengan kita lebih rapat,
membaca tentang kita dari jauh atau dekat, mengkaji tulisan-tulisan kita, menziarahi kelab-kelab kita dan berkenalan dengan saudara-saudara kita. Dengan itu insya Allah beliau akan puas hati terhadap kita. Demikianlah keadaannya pengikut-pengikut Rasul yang masih ragu-ragu.
- Mengejar manfaat:
Sama ada beliau menjadi seorang yang tidak akan memberikan bantuannya kecuali setelah beliau mengetahui faedah yang akan diterimanya, keuntungan-keuntungan yang akan diperolehinya hasil dari pengorbanannya itu. Kepada beliau kita katakan: "Kasihan...... tidak ada pada kami ganjaran selain pahala dari Allah sekiranya engkau ikhlas dan balasan syurga sekiranya Allah melihat kebaikan padamu. Adapun kami....., kami miskin dari kemegahan, miskin harta benda, keadaan kami
sentiasa berkorban dengan apa yang ada pada kami berkorban dengan sesuatu yang kami miliki, harapan kami hanyalah keredhaan Allah, Dialah paling nikmat tempat berserah dan paling
nikmat Penolong. Seandainya Allah membukakan tutupan dari hati beliau, menghilangkan kabus tamak dari nuraninya, kelak beliau akan rnengetahui bahawa sesuatu yang di sisi Allah itu
lebih baik dan lebih kekal, dan beliau akan menggabungkan diri ke dalam ketumbukan Allah, murah hati dengan kemewahan dunia yang ada padanya, semoga beliau mendapat pahala di hari akhirat.
"Apa yang ada pada kamu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal'.
Tetapi jika berlaku sebaliknya; maka Allah Maha Kaya (tidak berhajat) dari orang yang tidak melihat keutamaan Allah pada dirinya, hartanya, dunianya, akhiratnya, mati dan hidupnya. Demikianlah keadaannya golongan yang seperti ini sewaktu mereka enggan melakukan taat setia terhadap RasuluLlah Sallallahu 'alaihi Wasallam kecuali RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi Wasallam menyerahkan segala urusan kepada mereka setelah beliau wafat. Tiada jawapan yang diberikan oleh RasuluLlah SaliaLlahu'alaihi Wasallam selain dari memberitahu mereka bahawa:
"Bumi ini adalah milik bagi Allah, akan diserahkanNya kepada hambanrya yang dikehendakinya, dan kesudahan yang baik adalah un tuk orang yang bertaqwa ':
- Buruk Sangka:
Sama ada beliau menjadi orang yang buruk sangka terhadap kita, syak dan ragu-ragunya bulat kepada kita, beliau tidak melihat kita kecuali dengan kacamata yang hitam pekat, beliau tidak berbicara tentang kita kecuali dengan lidah yang bimbang dan ragu, dia terus dalam keadaan terpedaya, berlarutan dalam keraguan, kekal dalam perasangkanya. Kita berdo'a untuk beliau dan untuk kita sendiri supaya Allah menunjukkan kebenaran itu sebagai suatu kebenaran dan memberi hidayat
supaya kita mengikutinya, menunjukkan kebatilan itu sebagai suatu kebatilan dan memberi hidayat supaya kita menjauhinya.
Kita berdo'a kepada Allah supaya mengilhamkan kebijaksanaan kepada kita dan beliau. Bahkan kita seru, andainya beliau menerima seruan, beliau kita jemput andainya beliau menerima jemputan. Kita berdo'a kepada Allah untuk beliau, kerana hanya Allah tempat gantungan harapan. Allah telah menurunkan kepada RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi Wasallam sepotong ayat mengenai segolongan manusia, firman Allah:
“Engkau tidak akan dapat memberi hidayat kepada mereka yang engkau kasihi, tetapi hanya Allah yang memberi hidayat kepada sesiapa yang dikehendakiNya ':
Dan kita sentiasa mengasihi beliau, kita mengharapkan agar beliau kembali kepada kita, puas hati dengan da'wah kita.
Slogan yang menjadi pegangan kita berhadapan dengan beliau ialah apa
yang telah diajarkan oleh RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dalam sabdanya:
"Tuhanku, ampunkanlah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui ".
Kita mengharapkan agar manusia tergolong dalam salah satu dari golongan-golongan ini. Telah sampai masanya seorang muslim mengetahui matlamatnya, menentukan haluannya dan bekerja sejajar dengan haluan tersebut hingga beliau mencapai matlamatnya. Namun untuk kekal dalam keadaan ragu yang berlarutan, kekal dalam khayalan-khayalan yang indah-indah, kekal dalam nafsu yang lupa daratan, tunduk patuh dengan membabi buta, mengikut sebarang seruan yang bergema dialunkan, kesemua ini bukanlah langkah seorang muslim.
Sebahagian daripada penulisan asy-Syahid Hasan al-Banna RahimahulLah.