Saya timbulkan beberapa soalan yang dikemukakkan pada pertemuan usrah pada selasa 23hb Januari baru ini.
1) Apabila membaca surah al-Insyiqaq kita terasa betapa peristiwa yang akan berlaku iatu hari kiamat itu cukup besar. Dewasa ini kebanyakan kita (orang awam) hidup dengan perencanaan besar. Umpamanya kita bekerja keras untuk kumpul simpanan -harta & wang yang banyak, hingga anak -cucu kita harap dapat kita bantu.
1.1) Adakah cara hidup begini suatu yang dianjurkan oleh Islam?
Jawapan:
Allah s.w.t. menjadikan kita manusia sebagai khalifah di bumi dan menciptakan semua yang ada di muka bumi ini dan juga di langit untuk kemudahan dan kegunaan manusia (lihat al-Baqarah:29, Luqman:20, Ibrahim:32,33,34, al-Mulk:15, al-Muzammil:20 dan lain-lain)
Lantaran itu, tidak terdapat ayat yang melarang manusia mencari harta/kekayaan. Yang ada ialah peringatan/larangan supaya harta TIDAK melalaikan dari tanggungjawab terhadap agama, tanggungjawab terhadap Allah, Rasul dan jihad di jalannya (lihat al-Munafiqun:9, at-Taubah:24, an-Nur:37 dan lain-lain), di samping larangan mencari/mendapatkan harta dengan cara yang salah dan batil (lihat an-Nisaa':29,30, Aali-'Imran:130 dan lain-lain).
Membuat perancangan untuk anak-anak adalah sesuatu yang dituntut sebagaimana sabda Nabi yang bermaksud: "Cukuplah seseorang itu dikira berdosa, apabila dia mensia-siakan orang yang ditanggung makannya (tidak memberi makan kepada orang yang berada di bawah tanggungannya)" Hadis sahih riwayat Abu Daud dan lain-lain dari Abdullah bin 'Amru bin al-'Aas.
Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan bahawa Sa'ad telah berkata kepada Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak. Tidak ada siapa yang akan mewarisi hartaku kecuali seorang anak perempuan. Bolehkah aku mewasiatkan 2/3 daripada hartaku? Baginda menjawab: "Tidak". Sa'ad bertanya lagi: "Kalau begitu bolehkah aku mewasiatkan 1/2 daripadanya?" Baginda menjawab: "Tidak". Seterusnya Sa'ad bertanya: "Kalau 1/3?" Baginda menjawab: "1/3. Dan 1/3 pun banyak. Sesunnguhnya engkau tinggalkan keluargamu sebagai orang kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan papa meminta-meminta belas kasihan manusia". Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah an-Nisaa':9
2) Dlm huraian tentang golongan manusia yang terima kitabnya dari belakang atau sebelah kiri, dia akan disiksa sebab sewaktu hidup dia bersuka-ria dan berasa angkuh dengan kemewahan yang diperolehinya.
2.1) Apakah muslim yang kaya dan bersyukur tidak akan di'azab oleh Allah s.w.t. walaupun dia banyak bersedekah dari harta kekayaannya?
Jawapan:
Bagi menjawab soalan ini, saudar boleh merujuk kitab Riadhus-Solihin bab 64 Kelebihan Orang Kaya Yang Bersyukur.
Maksud ayat 8 'maka dia akan dihisab dengan hisab yang mudah' menurut 'Aisyah, itu hanyalah sekadar pembentangan sahaja. Ertinya kitabnya dibentangkan sahaja di hadapan Allah tanpa dihitung segala titik-bengiknya. (lihat tafsir Ibn Kathir)
2.2) Apakah dari ajaran Islam sebenarnya menyuruh membasmi kemiskinan sehingga ulama kerajaan Malaysia menafsirkan membasmi kemiskinan sebagai suatu jihad yang penting bagi umat Islam di Malaysia?
Jawapan:
Bagi saya kemiskinan adalah sesuatu relatif. Saya tidak pernah menemui satu istilah di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menyamai maksud membasmi kemiskinan. Namun terdapat banyak ayat dan Hadis yang menerangkan hak orang miskin dan kelebihan berbuat baik kepada mereka. Lihat Riadhus-Solihin bab 32 dan 33
3) Tentang manusia akan melalui hidup yang peringkat demi peringkat. Ini dinyatakan dalam ayat dari surah al-Insyqaq tapi tidak dikupas atau tafseer oleh punulis kitab ini.
3.1) Apakah yang dimaksudkan peringkat-peringkat ini, merujuk kitab-kitab tafseer yang lain seperti dari tafseer al-Manar, dari al-Jalalain dan ibni Kathir?
Jawapan:
Terdapat beberapa pendapat tentang ayat itu:
- keadaan Nabi Muhammad naik ke langit pada malam isra' mi'raj dari stu tingkat ke satu tingkat
- keadaan umat Islam meniru perbuatan umat yang lalu tahap demi tahap sebagaimana dinyatakan di dalam hadis sahih bahawa umat Islam akan meniru Yahudi dan Nasrani sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawakpun akan diikut juga.
- keadaan manusia yang hina semasa di bumi kemudian menjadi mulia di akhirat atau sebaliknya
- keadaan diri manusia dari bayi jadi kanak-kanak, muda jadi tua....
- keadaan hidup yang silih berganti; miskin jadi mewah, mewah jadi miskin, sihat jadi sakit, sakit jadi sihat, susah jadi senang, senang jadi susah dan seterusnya
Allahu A'lam.
No comments:
Post a Comment