Beberapa persoalan yang dikemukakan oleh seorang wartawan kepada penulis:
1. Apakah pandangan puan berkaitan isu tersebut yang melibatkan remaja masa kini dan orang yang sudah berumah tangga?
2. Berikutan hal tersebut, bagaimana tentang hak isteri dan anak yang terlibat dalam pernikahan ini?
3. Adakah hukuman yang ada sekarang setimpal dengan perbuatan mereka?
4. Apa peranan badan NGO untuk membendung gejala ini terutamanya bagi remaja yang tidak mampu berfikir panjang dan memberi impak kepada diri mereka sendiri?
5. Pada pandangan puan, apakah punca yang menyebabkan hal sebegini terjadi?
6. Bagi suami yang berpoligami secara bersembunyi tidak diketahui oleh isteri pertama, apakah kesannya terhadap keluarga tersebut terutama bagi kepada isteri tadi?
7. Apakah nasihat puan kepada mereka yang terbabit dalam hal ini?
8. Apakah kesan-kesan berikutan hal tersebut?
9. Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan yang tidak termasuk soalan di atas, puan boleh turut sertakan.
Pandangan Penulis:
Kahwin lari tidak boleh dilihat secara terpisah daripada isu-isu lain. Ia hanyalah sebahagian daripada gejala penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat kita pada hari ini.
Menurut ajaran Islam, institusi keluarga mesti dibina di atas tapak akidah yang kukuh, disusun mengikut acuan syari’ah yang lengkap dan dihias dengan akhlak Islam yang unggul dan murni.
Apa yang berlaku sekarang adalah natijah pelaksanaan Syariah yang tidak menyeluruh. Islam mensyariatkan perkahwinan mempunyai tujuan tertentu. Antaranya ialah untuk menjamin penerusan zuriat keturunan manusia di muka bumi ini. Perkahwinan juga dianggap sebagai satu ibadah. Setiap anggota mempunyai hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Orang yang melaksanakan tanggungjawab sebagaimana yang telah diwajibkan ke atasnya akan pendapat pahala. Begitulah sebaliknya jika tanggungjawab diabaikan, mereka akan dibebani dosa.
Justeru hukuman seberat manapun tidak dapat menjamin penyelesaian sebarang masalah. Seseorang manusia, ketika melakukan kesalahan dia tidak fikirpun tentang hukuman. Bila nafsu telah menguasai akal, manusia akan lupa segalanya, lupa dosa dan neraka, apa lagi hukuman dunia yang dibuat oleh manusia.
JIM sebagai sebuah NGO Islam sentiasa berusaha menyebarkan fikrah dan ajaran Islam yang lengkap dan menyeluruh serta mengajak semua anggotan masyarakat tanpa mengira pangkat dan peringkat agar memahami dan menghayatinya. Namun NGO bukanlah satu-satunya pihak yang harus memainkan peranan. Semua pihak harus terlibat, lebih-lebih lagi mereka yang diamanahkan dengan kuasa pemerintahan.
Apabila terjadi sesuatu perkahwinan yang sah, sama ada secara sembunyi atau terang-terang, hak dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan. Jika ditakdirkan mendapat anak, maka haknya sama dengan anak isteri pertama dalam serba serbinya.
Sebelum berlaku, kita harus berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan. Perlu diketahui bahawa kehancuran rumahtangga adalah matlamat utama musuh nombor satu manusia itu. Jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul. Adab dan batas itu mesti dipatuhi oleh semua, tidak kira lelaki atau perempuan, sudah berkahwin atau belum.
Kepada para isteri, ingin diingatkan jika ditakdirkan suami berkahwin dengan wanita lain sama ada dengan pengetahuan kita atau sebaliknya, jangan bertindak di luar batas kewarasan. Sebesar manapun kesilapan yang dilakukan oleh para suami, kita mesti kembali kepada qadha dan qadar Allah. Kalau bukan kerana jodoh, kita sendiripun tidak akan menjadi isterinya. Begitulah juga perkahwinannya dengan wanita kedua atau seterusnya. Nabi SAW bersabda ketika baginda berpesan kepada sepupunya, Ibn ‘Abbas RA mksudnya: “Ingatlah bahawa sekiranya seluruh umat bersepakat untuk memberikan sesuatu kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu berbuat demikian, kecuali kebaikan yang telah ditulis oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak dapat memudaratkan kamu, kecuali apa yang telah ditulis oleh Allah ke atasmu”.
No comments:
Post a Comment