Thursday, February 26, 2009

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza

Azamin Amin
Thu | Feb 19, 09 | 10:35:48 am MYT
Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu. Iklan



Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.- azm

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

Sunday, February 22, 2009

ISA dan ADAM di dalam kitab suci AL-QURAN

Kelahiran Nabi Isa ‘alaihis-salam merupakan satu daripada mukjizat yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT di dalam penciptaan makhlukNya.
Oleh kerana kelahiran yang tidak sama dengan manusia lain, iaitu semua manusia mempunyai ibu dan ‘ayah’, sedangkan ISA tidak mempunyai ayah menyebabkan segolongan manusia percaya bahawa baginda adalah anak lelaki Tuhan.
Allah SWT menolak kepercayaan ini dengan mengemukakan perbandingan kejadian ISA dengan ADAM. Kedua-duanya tidak mempunyai ayah. Malah kalau difikirkan dengan lebih mendalam, kejadian ADAM lebih menakjubkan. ADAM bukan sahaja tidak ada ayah, ibu pun tidak ada!
Persamaan antara ADAM dan ISA dari segi tidak ada ayah tersebut di dalam AL-QURAN surah Aali-’Imran 3 : 59.
(إِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ آَدَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ)
Maksudnya:
“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka menjadilah ia.”
Namun, persamaan antara ADAM dan ISA bukan sahaja dari segi mukjizat penciptaan keduanya. Bilangan nama keduanya disebut di dalam AL-QURAN juga sama, iaitu sebanyak 25 kali.
Ayat yang menghimpunkan kedua-dua nama Nabi yang mulia ini adalah ayat 59 surah ke 3.
Yang anehnya ini merupakan bilangan ke 7 nama mereka disebut. Sebelum ayat ini nama kedua-duanya telah disebut sebanyak enam kali di dalam ayat yang berasingan.
Untuk lebih jelas, perhatikan ayat-ayat berikut:
Ayat-ayat yang mengandungi nama Nabi ADAM ‘alaihis-salam:
1. Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya,.... (2:31)
2. Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka... (2:33)
3. Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.... (2:34)
4. Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga... (2:35)
5. Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah.... (2:37)
6. Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam dan Nabi Nuh dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (3:33)
7. Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka menjadilah ia. (3:59)
8. Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya,.... (5:27)
9. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. (7:11)
10. Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya.... (7:19)
11. Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan.... (7:26)
12. Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga,.... (7:27)
13. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat.... (7:31)
14. Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (7:35)
15. Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri,.... (7:172)
16. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam;.... (17:61)
17. Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (17:70)
18. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis;.... (18:50)
19. Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam.... (19:58)
20. Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu,... (20:115)
21. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, dia enggan sujud. (20:116)
22. Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu;.... (20:117)
23. Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? (20:120)
24. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (20:121)
25. Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu! (36: 60)

Ayat-ayat yang mengandungi nama Nabi ISA ’alaihis-salam:
1. Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Mariam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Rohulqudus (Jibril).... (2:87)
2. Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil) dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu orang Yahudi dan Nasrani membeza-bezakannya) dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata. (2:136)
3. Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Mariam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat),... (2:253)
4. (Ingatlah) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Mariam,.... (3:45)
5. Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?.... (3:52)
6. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna dan akan mengangkatmu ke sisiKu dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir.... (3:55)
7. Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka menjadilah ia. (3:59)
8. Katakanlah (wahai Muhammad): Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan keturunannya dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam). (3:84)
9. Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Mariam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang iaitu salib),.... (4:157)
10. ...... Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya dan Nabi Isa dan Nabi Ayub dan Nabi Yunus dan Nabi Harun dan Nabi Sulaiman...... (4:163)
11. .... sesungguhnya Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya ..... (4:171)
12. Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Mariam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil..... (5:46)
13. Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (5:78)
14. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu,.... (5:110)
15. Dan (ingatlah) ketika orang-orang Hawariyyiin berkata: Wahai Isa Ibni Mariam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?... (5:112)
16. Isa Ibni Mariam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit,…. (5:114)
17. Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? Dia menjawab: Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya)..... (5:116)
18. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria dan Yahya dan Isa dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh. (6:85)
19. Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Mariam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. (19:34)
20. dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya): Perjanjian setia mereka dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad) dan dari Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa Ibni Mariam dan Kami telah mengambil dari mereka: Perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka). (33:7)
21. Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.... (42:13)
22. Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan) dan untuk menerangkan kepada kamu: Sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku. (43:63)
23. Kemudian Kami iringi sesudah mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibni Mariam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil.... (57:27)
24. Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.... (61:6)
25. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?.... (61:14)

Renung dan tanyalah diri kita adakah ini terjadi atau tersusun secara kebetulan?
Pastinya TIDAK!
Ia adalah susunan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui!
Allah SWT berfirman:
قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآَنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri. (17:88)

Susunan
Maznah Daud
Berdasarkan kajian Abdul Daim al-Kaheel
www.kaheel7.com
23/02/2009
27/02/1430

Sunday, February 08, 2009

Hukum Dan Adab Berpakaian Menurut Islam

Pakaian adalah satu daripada ni’mat Allah yang dianugerahkan kepada manusia.
Firman Allah bermaksud:
”Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan. Dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (al-A’raf:26)

Pakaian adalah satu tuntutan fitrah.
Firman Allah bermaksud:
”Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga). Dan dia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (al-A’raf: 20-22)
Ayat ini menjelaskan bahawa pendedahan aurat merupakan satu kemungkaran yang tidak selaras dengan fitrah insan. Lihat bagaimana Adam dan Hawa tergesa-gesa meragut dedaun syurga apabila pakaian yang menutupi badan mereka terlondeh setelah menelan buah yang Allah telah larang mereka dari memakannya!

Islam memerintahkan umatnya agar berpakaian dan menetapkan batasannya.
Meskipun pendedahan aurat merupakan satu perbuatan yang tidak selari dengan fitrah kejadian insan, namun Allah tidak membiarkan manusia bebas menentukan corak dan batas pakaian mereka kerana Allah Maha Mengetahui fitrah makhlukNya. Ia tidak semestinya sentiasa lurus di atas jalan yang benar. Seringkali ia tergelincir diheret hawa nafsu atau terseleweng ke jalan sesat yang dipacak oleh syaitan yang suka membuat angkara.
Firman Allah bermaksud:
”Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’raf:31)

Bentuk pakaian muslimah
1. Menutup seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan (depan dan belakang).
2. Pakaian hendaklah luas, tidak ketat atau sempit
3. Pakaian mestilah tebal, tidak nipis atau jarang
4. Bukan pakaian syuhrah
5. Tidak menyerupai pakaian lelaki

Maksud pakaian syuhrah ialah pakaian yang membezakan si pemakai dari manusia lain dari segi warna, bentuk dan coraknya. Dengan sabab itu semua mata tertumpu kepadanya lalu timbul perasaan bangga dan megah di dalam hatinya.
Ibn Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah pakaikannya pakaian seumpama itu di hari qiamat, kemudian ia disambar api neraka”. Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya.
Di dalam Hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Majah, baginda bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang memaki pakaian syuhrah, Allah membelakanginya sehingga dia menanggalkannya”.

Pakaian syuhrah tidak semestinya yang mahal dan bermutu tinggi. Ia boleh jadi yang murah dan tidak bernilai. Ibn Taimiyyah berkata: ”Pakaian syuhrah yang dilarang ialah yang terlalu mahal mengatasi kebiasaan orang ramai dan yang terlalu murah atau terlalu teruk berbanding kebiasaan orang ramai. Sesungguhnya orang-orang salaf tidak suka kepada dua syuhrah, iaitu yang terlalu tinggi dan yang terlalu hina. Baliau menyebut sepotong Hadis yang bermaksud: ”Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah akan pakaikannya pakaian yang menghina. Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan”.

Termasuk pakaian syuhrah juga ialah sengaja beriltizam dengan pakaian tertentu sepanjang waktu supaya dikenali ramai dengan cara itu. Ibn al-Qayyim menceritakan, pada suatu hari seorang lelaki bertemu dengan Ibn Sirin. Lelaki tersebut memakai baju daripada bulu, kain daripada bulu dan serban daripada bulu. Ibn Sirin tidak senang melihatnya. Maka dia berkata: “Ramai orang memakai pakaian yang dibuat daripada bulu. Mereka menyangka itulah pakain terbaik dan ia dipakai oleh Isa bin Maryam. Sesungguhnya seseorang yang aku percayai telah menceritakan kepadaku bahawa Nabi SAW memakai pakaian daripada kattan (sejenis tumbuhan), bulu dan kapas. Sunnah Nabi kita itulah yang wajar diikuti.

Dipetik daripada buku al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah, Dr. Abdul Karim Zaidan, jld 3.

Friday, February 06, 2009

ADAKAH ANDA TAHU KE MANAKAH ROH ANDA PERGI KETIKA ANDA SEDANG TIDUR?

Daripada Abdullah bin Amru RA katanya: ’Sesungguhnya roh-roh manusia naik ke langit ketika mereka sedang tidur. Roh-roh itu diperintahkan agar sujud di sisi ’Arasy.
Jika ia dalam keadaan suci, ia sujud di sisi ’Arasy.
Jika sebaliknya (bukan dalam keadaan suci) ia hanya sujud dari jauh (tidak menghampiri ’Arasy”. Riwayat al-Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan sentiasa di sisinya. Setiap kali dia terjaga malaikat berdoa untuknya: ”Ya Allah, ampunkanlah hambaMu ini. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan suci”. Riwayat al-Tabraniy.
(( سبحان الله العظيم سبحان الله وبحمده ))

Oleh itu jangan lupa berwuduk sebelum tidur agar roh kita sentiasa berada di sisi ’Arasy al-Rahman.

HIJRAH

Syukur ke Hadrat Ilahi. Dengan RahmatNya kita telah melangkah ke tahun baru; Hijrah dan Masihi.
Tahun baru adalah petanda meningkatnya usia kita dan semakin dekat saat temu janji kita denganNya.
Cukupkah persediaan dan bekalan kita untuk menempuh kehidupan yang tiada bernoktah di akhirat sana?
Sama-sama kita fikir dan hisab diri sendiri dari masa ke masa.

Di ambang tahun baru hijrah, kita sering diingatkan mengenai peristiwa yang amat bersejarah, yang menjadi titik permulaan tegaknya negara Islam serta hukum hakamnya di muka bumi ini.

Kali ini, mari kita teliti persediaan dan langkah-langkah awal sebelum berlakunya peristiwa bersejarah itu.

Pada musim haji tahun ke 13 nubuwwah bersamaan bulan Jun 622M, lebih 70 orang Islam dari Yathrib datang ke Mekah untuk menunaikan haji. Mereka datang bersama rombongan kaum mereka yang musyrik. Di dalam hati mereka tertanya-tanya, sampai bilakah mereka akan membiarkan Rasulullah SAW menghadapi tentangan dan ancaman kaumnya bersendirian di Mekah?

Setiba di Mekah, mereka berhubung secara sulit dengan baginda sehingga persetujuan dicapai untuk mengadakan satu pertemuan antara mereka dengan baginda. Ikuti kisah yang disampaikan sendiri oleh salah seorang pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu.

Ka’ab bin Malik al-Ansariy RA melaporkan:

”Kami berangkat untuk menunaikan haji. Kami berjanji untuk bertemu dengan Rasulullah SAW di ’Aqabah pada pertengahan Hari Tasyriq. Pada malam yang dijanjikan, kami bawa bersama Abdullah bin ’Amru bin Hiram, salah seorang ketua yang dihormati di kalangan kami. Kami membawanya secara sembunyi tanpa diketahui oleh kaum kami yang musyrik. Kami berkata kepadanya: ”Wahai Abu Jabir, sesungguhnya tuan adalah salah seorang ketua dari kalangan kami dan salah seorang yang sangat dihormati. Kami tidak mahu keadaan tuan sekarang ini (musyrik) menjadi sebab tuan akan menjadi bahan bakar di neraka nanti...” Kami mengajaknya memeluk Islam dan menceritakan perjanjian kami untuk menemui Rasulullah SAW. Maka beliau memeluk Islam dan hadir bersama kami dalam Bai’ah Aqabah dan menjadi salah seorang naqib...

Malam itu kami tidur di dalam khemah bersama kaum kami. Setelah berlalu sepertiga malam, kami keluar dari khemah untuk memenuhi janji kami dengan Rasulullah SAW. Kami menyusup perlahan-lahan supaya tidak disedari oleh kaum kami sehingga kami tiba dan berkumpul di satu lereng di ’Aqabah. Bilangan kami seramai 73 lelaki dan 2 wanita, Nusaibah binti Ka’ab dan Asma’ binti ’Amru...

Kami berkumpul di situ menanti ketibaan baginda. Sejurus kemudian baginda tiba diirngi bapa saudara baginda al-’Abbas bin Abdul Muttalib yang ketika itu belum menganut Islam. Namun beliau ingin mengikuti perkembangan anak saudaranya dan mempastikan keselamatannya. Dialah orang pertama yang memulakan bicara....

”Wahai orang-orang Khazraj (Orang Arab memanggil orang Yathrib semuanya Khazraj)! Sesungguhnya Muhammad adalah kaum kami. Dia telah sekian lama berada bersama kami. Kami melindunginya dan mempertahankannya sebagaimana yang kamu ketahui. Dia dihalang dari dihina di negerinya dan di kalangan keluarganya. Kini dia memilih untuk menyusuli kamu. Sekiranya kamu yakin kamu akan setia dengan apa yang diserunya, kamu akan melindunginya dari penentangnya, maka kamu mesti pikul semua yang kamu janjikan. Tetapi jika kamu merasakan kamu akan membiarkan dia kepada musuh, kamu tidak berupaya melindunginya setelah dia berada di negeri kamu, maka dari sekarang hendaklah kamu tinggalkan dia. Sesungguhnya dia di sini, di negerinya dan di kalangan kaumnya dinaungi dan dilindungi”.

Ka’ab menjawab: ”Ya! Kami dengar apa yang tuan perkatakan. Kami mahu mendengar dari Rasulullah. Katakanlah sesuatu ya Rasulullah dan nyatakan apakah tuntutan Allah dan Rasul ke atas kami?”

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa mereka diminta berjanji untuk berpegang kepada 5 perekara:
1. dengar dan taat ketika cergas dan malas
2. membelanjakan harta ketika susah dan senang
3. melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar
4. menegakkan hukum Allah tanpa takut kepada celaan orang yang suka mencela
5. menulungku bila aku telah berhijrah ke negeri kamu dan mempertahnakan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu.
Maka salah seorang daripada mereka, Abu al-Haitham bin al-Tihan mencelah: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengikat perjanjian setia dengan satu kaum (Yahudi), dengan perjanjian ini bererti kami memutuskan perjanjian setia itu dengan mereka. Maka seandainya Allah telah berikan kemenangan kepada tuan nanti, adakah tuan akan kembali ke pangkuan kaum tuan dan meninggalkan kami?”

Rasulullah SAW tersenyum mendengar kegusaran itu, lalu baginda bersabda: ”Bahkan darah dibalas darah, kemusnahan di balas kemusnahan. Aku adalah sebahagian kamu dan kamu adalah sebagian aku. Aku memerangi orang yang kamu perangi dan berdamai dengan orang yang kamu berdamai”.

Setelah berbincang dan mendengar dari semua pihak, bangun dua orang dari kalangan mereka yang mula-mula memeluk Islam. Seorang demi seorang bertanya kepada semua yang hadir untuk mempastikan kesediaan mereka berbai’ah dan memikul tanggungjawab.
Al-’Abbas bin ’Ubadah berkata: ”Adakah kamu benar-benar faham dan mengerti untuk apakah kamu berjanji dengan lelaki ini?”
Mereka menjawab: ”Ya!”
Al-’Abbas bin ’Ubadah berkata: ”Sesungguhnya kamu berjanji dengannya untuk memerangi semua golongan manusia, tidak kira hitam atau merah. Jika kamu fikir apabila kamu ditimpa musibah dengan musnahnya harta kamu, terbunuhnya ketua-ketua kamu, ketika itu kamu akan tinggalkan dia, maka dari sekarang tinggalkan dia. Jika kamu lakukan, maka demi Allah kehinaan buat kamu di dunia dan akhirat. Jika kamu fikir kamu akan setia meskipun semua harta kamu musnah, ketua kamu terbunuh, maka ambillah. Demi Allah itulah kebaikan buat kamu di dunia dan akhirat.

Mereka berkata: ”Kami sedia menanggung risiko kemusnahan harta dan kematian ketua. Maka apa yang kami dapat sekiranya kami mengambilnya ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: ”Untuk kamu syurga!”

Mereka berkata: ”Hulurkan tanganmu....

Setelah janji diikat, Rasulullah SAW meminta supaya mereka mengemukakan 12 orang naqib dari kalangan mereka untuk memantau dan mempastikan perjanjian yang telah dipersetujui benar-benar terlaksana. Mereka memilih 9 orang daripada Khazraj dan 3 orang daripada Aus.

Kemudian Rasulullah SAW mengambil satu perjanjian khusus dengan 12 orang naqib ini sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas anak buah mereka. Baginda berkata kepada mereka: ”Kamu adalah penjamin kaum kamu mematuhi perjanjian dan aku adalah penjamin kaumku, iaitu kaum muslimin”.
Mereka menjawab: ”Ya”.

Syaitan membuka rahsia.

Setelah semuanya selesai, ketika mereka hampir bersurai, perjanjian sulit itu dapat dihidu oleh syaitan. Si laknatullah itu mendaki puncak bukit dan menjerit sekuat-kuatnya: ”Wahai yang mendiami rumah-rumah! Tidakkah kamu tahu, Muhammad dan pengikutnya berkumpul untuk memerangi kamu!?”

Mendengar jeritan itu, Rasulullah SAW menyuruh mereka agar segera kembali ke khemah masing-masing.

Berita tersebut begitu pantas tersebar dan hinggap ke pendengaran orang-orang Quraisy. Berita panas itu sungguh memeranjatkan dan menggusarkan hati para pembesar Quraisy. Mereka sangat mengerti implikasi perjanjian itu dari segi kedaulatan dan ketenteraan. Seawal pagi-pagi mereka bergegas mendatangi khemah orang-orang Yathrib untuk mengemukakan bantahan ke atas perjanjian yang mengancam keselamatan mereka.

”Wahai orang-orang Khazraj! Kami mendapat tahu bahawa kamu datang untuk mengambil dan membawa keluar orang kami! Kamu mengadakan perjanjian untuk memerangi kami! Demi Allah! Kamu mengetahui bahawa kami amat tidak suka berperang dengan kamu!”

Musyrikin Khazraj yang tidak tahu menahu tentang perjanjian yang sangat rahsia itu terpinga-pinga kehairanan. Mereka bersumpah menafikan sekeras-kerasnya apa yang didakwa oleh puak Quraisy. Manakala orang-orang Islam hanya membisu seribu bahasa sambil berpandangan sesama sendiri.

Pemimpin Quraisy beredar kehampaan. Mereka terpaksa mempercayai kata-kata musyrikin Khazraj. Sungguhpun begitu, mereka tidak rasa tenteram. Risikan demi risikan dilakukan. Akhirnya mereka mendapat kepastian bahawa perjanjian memang benar-benar telah berlaku. Sayangnya ketika itu angkatan haji Yathrib telah berangkat pulang.

Namun mereka tidak berputus asa. Dengan memecut kuda-kuda mereka cuba mengejar rombongan yang telah jauh meninggalkan bumi Makkah. Akhirnya mereka ternampak bayang dua orang daripada anggota rombongan, Sa’ad bin ’Ubadah dan al-Munzir bin ’Amru. Mereka cuba mengejar mereka berdua. Al-Munzir terlepas, tetapi Sa’ad tertangkap. Kedua tangan Sa’ad diikat pada tengkuknya, dipukul, dipegang rambut dan diheret sehingga ke Makkah. Al-Mut’im bin ’Adiy dan al-Haris bin Harb membebaskan Sa’ad kerana Sa’ad sering melindungi qafilah mereka ketika melintasi jalan Madinah. Kaum muslimin menyedari kehilangan Sa’ad. Ketika mereka sedang mengatur langkah untuk menjejakinya tiba-tiba Sa’ad muncul di tengah-tengah mereka.

Kisah ini dipaparkan tanpa huraian dan ulasan.
Harapan semoga kita sama-sama dapat menghayati dan menyedut sebanyak mungkin pengajaran dan iktibar yang terselit di sebaliknya.

SELAMAT TAHUN BARU.

Sunday, February 01, 2009

Wanita digalak solat raya

“MAMA, kenapa kita tidak pergi dengan abang dan abah ke masjid untuk sembahyang raya?” tanya Ruhaimah, gadis belasan tahun kepada ibunya yang sibuk memasak dan menghidang makanan di meja makan untuk juadah raya. “Ruhaimah, kita orang perempuan dan tugas kita menyediakan makanan. Biar abang dan abah sebagai orang lelaki saja yang pergi ke masjid. “Kalau tidak kita menyediakan makanan untuk mereka, siapa lagi,” jawab mamanya tersenyum sambil mencubit sayang dagu si comel itu.

Kita sering mendengar perbualan sebegini di kalangan wanita pada pagi raya. Namun, adakah pandangan itu secocok dengan roh hari raya? Benarkah hanya lelaki yang perlu bersembahyang hari raya dan tugas wanita hanya memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah, memasang langsir baru dan menyambut tetamu pada pagi raya? Adakah amalan lain (dikira ibadat dan mendapat pahala) yang lebih afdal dan utama yang seharusnya dilakukan oleh wanita pada pagi raya?

Justeru, kita perlu melihat semula beberapa amalan lain yang lebih utama ketika merayakan Aidilfitri, sekali gus diredai supaya hari raya kali ini lebih baik daripada hari raya tahun lalu.

Hari raya adalah hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh manusia tanpa mengira bangsa atau agama. Ia disambut meriah dengan pelbagai acara. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Anas menceritakan: “Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu hari Adha dan hari Fitri.” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)

Jelas di sini, hari raya bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia bukan satu hari yang direka atau diilhamkan oleh sesiapa. Ia adalah anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya baik lelaki dan wanita yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa Ramadan. Pada pagi Syawal, Rasulullah menjamah sedikit makanan sebelum keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya. Kebiasaannya, Baginda memakan beberapa tamar dalam bilangan ganjil.

Jadi wanita tidak perlu bersusah payah menyediakan juadah yang berlebihan.

Disunatkan juga sebelum pergi solat hari raya, kita mandi sunat hari raya, memakai baju baru atau yang lebih elok. Anas menceritakan: “Pada kedua-dua hari raya, Rasulullah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik daripada apa yang ada pada kami, memakai bauan paling wangi daripada apa yang ada pada kami, dan menyembelih binatang yang paling mahal daripada apa yang ada pada kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim).

Maksud paling baik daripada apa yang ada adalah tidak semestinya kita bersusah payah berbelanja secara berlebihan untuk menyediakan pakaian baru. Pilih saja mana yang ada dirasakan lebih baik berbanding lain.

Selepas itu, Baginda menuju ke tempat solat hari raya dengan berjalan kaki sambil memperbanyakkan takbir sepanjang perjalanan. Apabila pulang, Baginda akan memilih jalan lain daripada yang dilalui ketika pergi. Di kampung, mungkin sunnah ini masih berterusan tetapi di bandar, penghuninya lebih senang berkereta. Jika mereka dapat mengikuti sunnah ini, pasti sambutan hari raya akan lebih meriah.

Baginda mengerahkan seluruh umat Islam keluar ke tempat solat, termasuk kaum wanita. Ummu ‘Atiyyah Al-Ansoriyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya membawa bersama pada kedua-dua hari raya anak perempuan dan gadis remaja serta wanita yang sedang haid untuk bersama melakukan kebaikan. Wanita yang sedang haid duduk berjauhan dari tempat solat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menggambarkan Rasulullah begitu mengambil berat supaya wanita turut merasakan kemeriahan dan keberkatan hari raya. Bertemu sambil mengucap tahniah serta mendengar wasiat berguna daripada pemimpin secara terus dan langsung.

Pada masa ini, kebanyakan wanita kita masih belum merasakan pentingnya keluar menyertai solat sunat hari raya. Ramai beranggapan menyediakan makanan untuk keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung itu adalah lebih penting. Suami pergi bersendirian tanpa membawa isteri. Ayah pergi bersama anak lelaki dan meninggalkan anak perempuan untuk membantu ibu memasak serta menghias rumah. Sedar atau tidak, wanita kita sudah terlepas daripada pahala ibadat menghayati sambutan hari raya yang sebenar kerana kemuncak sambutan hari raya dalam Islam adalah solat Aidilfitri. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mengeluarkan zakat, mengingati dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Sebahagian ulama berkata, maksud solat dalam ayat ini adalah solat hari raya. Jadi orang yang disebut sebagai beruntung ialah mereka yang mengerjakan solat, bukan yang memasak dan menghias rumah.

Solat sunat hari raya dilakukan di tanah lapang. Baginda tidak solat di masjid kecuali jika hujan. Selain menambah kemeriahan hari raya, Baginda memilih tempat lain dari masjid untuk memberi peluang kepada wanita haid bersama-sama menyertainya. Jika solat diadakan di masjid, sudah pasti penyertaan wanita terbatas. Pada hari raya, Rasulullah SAW dan sahabat saling mengucap tahniah antara satu sama lain dengan ucapan taqabbalallahu minna wa minkum yang bermaksud: “Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kami dan juga anda.” Tiada riwayat yang menyatakan mereka saling bermaafan pada hari raya seperti yang dilakukan oleh umat Islam di tanah air kita. Sesungguhnya sikap bermaafan itu dituntut Islam sepanjang masa bukan pada hari tertentu. Ia wajib disegerakan dan dilakukan sepanjang tahun, bukan pada hari raya saja. Meminta maaf juga tidak memadai dengan bersalam saja. Ia mesti diiringi dengan taubat nasuha dan memulangkan atau menjelaskan hak kepada tuannya. Budaya meminta maaf sambil bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dihentikan kerana ia mencemari kesucian Aidilfitri yang mana pada hari itu, kita kembali kepada fitrah.

Rasulullah SAW membenarkan umat Islam menjamu selera dan berhibur dengan hiburan yang diharuskan. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Bakar mengherdik dua kanak-kanak atau hamba perempuan yang sedang mendendangkan syair di rumah Aisyah RA pada hari raya. Lalu Rasulullah SAW menegur Abu Bakar RA dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.”

Kesimpulannya, hari raya dalam Islam mempunyai pengertian tersendiri. Ia adalah satu ibadat dan syiar yang murni. Oleh itu sambutannya juga mengandungi adab, etika dan sunnah tersendiri. Sebagai umat yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Rasulullah, kita tidak patut terikut-ikut dengan cara dan budaya orang lain dalam menyambut hari raya. Di sinilah, letaknya peranan wanita dalam menentukan corak sambutan yang terbaik berlandaskan agama. Lantaran itu, hari raya sebagai ibadat tidak seharusnya disambut dengan cara berlebihan, bercampur maksiat atau bercanggah dengan agama Islam. Hal ini kerana seperti ibadat lain, ia adalah satu ibadat syiar Islam yang suci.

Perkataan fitri bermaksud ‘berbuka puasa’ iaitu hari di mana umat Islam selesai menjalankan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan. Ada pula yang berpendapat perkataan fitri berasal dari fitrah yang bermaksud naluri atau sifat semula jadi manusia yang bersih suci, tidak dicemari oleh sifat keji seperti syirik dan fasik. Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam melawan nafsu, membersih diri daripada dosa dan kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37) Takbir ini diamalkan oleh Nabi, sahabat dan umat Islam selepasnya. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong yang bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia yang diciptakan dalam keadaan yang suci. Disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya.

Oleh Prof Madya Maznah Daud.
10 November 2004

Enam ciri jamin kejayaan Muslim di dunia, akhirat

AIDILFITRI dipanggil hari kemenangan dan kejayaan bagi orang Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan. Apabila disebut kejayaan, setiap hati akan berbunga bangga, setiap mata akan bersinar.

Kalau setiap orang ditanya: Apakah impian hidupnya? Pasti mereka akan menjawab: Menjadi orang yang berjaya! Tidak kira apa bidang yang diceburi dan apa juga lapangan yang diterokai, tiada seorang pun yang mahukan kegagalan. Allah sentiasa mendorong serta menyuruh hamba-Nya berusaha mencapai kejayaan. Perkara ini terbukti dengan begitu banyak ayat al-Quran yang membicarakan mengenainya.Perkataan al-Falah yang bermaksud kejayaan serta pecahannya disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali.

Perkataan al-Fauz yang juga bermaksud kejayaan atau kemenangan serta pecahannya disebut sebanyak 29 kali. Al-Quran menghuraikan secara terperinci maksud kejayaan. Bagaimana mencapai, peringkat, ciri orang yang berjaya serta halangan dalam menuju kejayaan.

Bukan sekadar itu, malah umat Islam diseru dan diperingatkan agar melangkah ke mercu kejayaan sekurang-kurangnya 10kali sehari melalui laungan azan (haiyya ‘alal-falah).Lantaran itu, sebagai orang yang mengaku beriman, kita perlu menilai kejayaan yang dicapai atau yang ingin dicapai dengan neraca Allah yang dinyatakan dengan jelas dan terperinci dalam al-Quran. Allah menyenaraikan ciri orang yang berjaya dan beruntung dalam firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya telah berjaya (beruntung) orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri atau sahya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak dicela. Barangsiapa mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal dalamnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 -11). Ayat ini mengemukakan enam ciri mukmin yang berjaya.

Khusyuk dalam solat. Solat adalah Rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Kalau syahadah diibaratkan sebagai tapak sebuah bangunan, solat adalah tiangnya. Tanpa tiang, tidak mungkin terdiri bangunan. Begitulah, tanpa solat tidak terbina agama. Namun sekadar solat belum tentu menjamin kemenangan. Allah hanya menjamin kemenangan bagi mereka yang khusyuk dalam solatnya. Khusyuk lahir daripada perasaan takwa, takut serta gentar berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa. Orang yang benar-benar mengenali Allah, mengetahui sifat-Nya Yang Maha Agung, Kebesaran serta Kekuasaan-Nya yang tiada tara, dengan sendirinya akan menginsafi kekerdilan dan kehinaan diri di hadapan-Nya. Keinsafan melahirkan rasa takut, malu dan gentar, lalu sekalian anggota tunduk menyepi dan mengadap penuh mengharap. Anda boleh bayangkan ketika dipanggil bertemu orang atasan. Sebelum pergi anda berfikir baju apa hendak dipakai, bagaimana cara hendak masuk ke biliknya, bagaimana cara duduk, apa hendak jawab apabila ditanya, bagaimana mimik muka dan sebagainya. Ketika bertemunya, tentu anda tidak terfikir untuk melayan atau memberi perhatian kepada orang lain, walaupun orang yang paling anda sayangi. Demikian apabila kita mengadap Allah yang jauh lebih besar dan berkuasa daripada orang atasan kita. Tetapi mengapa kadang-kadang kita tidak berasa kebesaran-Nya? Itu yang perlu diperbaiki supaya kita tersenarai dalam golongan orang yang berjaya.

Menjauhi perkara yang tidak berfaedah. Kita semua tahu betapa berharganya masa. Ia lebih bernilai daripada emas dan pelbagai harta. Hilang emas boleh dicari ganti, tetapi tidak demikiannya dengan masa. Masa yang berlalu tidak mungkin dapat kembali lagi. Menghabiskan masa untuk perkara sia-sia adalah kerugian yang tiada bandingannya. Perkara yang tidak berguna adalah yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan sama ada di dunia atau akhirat. Ia merangkumi perbuatan, perkataan, fikiran, perasaan atau khayalan. Perkara itu sia-sia, mungkin kerana ia haram, maka kita mendapat dosa dengan melakukannya. Atau ia harus, tetapi tidak ada kena mengena dengan diri dan kehidupan kita. Maka, sia-sia saja melakukannya.Lantaran orang yang suka menghabiskan masa untuk perkara itu, tentu tidak boleh digolongkan dalam senarai orang yang berjaya.

Mengeluarkan zakat. Mukmin yang berjaya tidak memikirkan kepentingan diri semata-mata. Dia sedar harta yang diperoleh walaupun dengan usaha dan titik peluhnya sendiri, tidak mungkin diperoleh tanpa kudrat serta nikmat daripada Allah. Mukmin yang berjaya ialah mereka yang tahu nilai harta dan meletakkannya pada tempat yang betul. Mukmin wajib bersyukur kepada Allah, Pemilik dan Pemberi segala harta di dunia ini serta mengikut segala ketentuan yang dituntut oleh Allah. Jadi untuk menjadi mukmin berjaya, akui nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran serta bebaskan diri daripada belenggu kepentingan diri, kikir harta dan lokek jiwa.

Memelihara kemaluan dan kehormatan diri. Hubungan seksual adalah sebahagian daripada naluri yang dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap insan sesuai dengan hikmah penciptaannya iaitu menjadi khalifah di bumi. Khalifah bermakna makhluk yang silih berganti iaitu daripada satu generasi lahir generasi berikutnya. Bagi memastikan naluri itu berfungsi dengan sebaiknya, Allah mensyariatkan perkahwinan. Tanpa perkahwinan terputus kesinambungan zuriat bani insan. Begitu juga jika dibiarkan naluri yang dibekalkan digunakan tanpa batasan. Dengan itu setiap orang berkewajipan mengawal nafsunya demi keselamatan generasi yang bakal mewarisinya. Kegagalan melahirkan generasi sejahtera adalah kegagalannya dalam melaksanakan sebahagian daripada fungsi yang diamanahkan kepadanya.

Menunaikan amanah dan janji. Pepatah Melayu yang sangat masyhur berbunyi: “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Sesungguhnya amanah dan janji adalah asas hubungan setiap orang dengan pihak lain. Sebelum lahir ke dunia, manusia berjanji dengan Allah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya (lihat surah al-A’raf, ayat 172). Manusia juga telah menyanggupi di hadapan-Nya untuk memikul amanah yang telah ditolak oleh langit, bumi dan bukit bukau (lihat surah al-Ahzab, ayat 72). Semua itu adalah janji dan amanah yang paling asas. Sekiranya janji dan amanah itu dimungkiri dan dikhianati, sukar untuk kita mengharapkan janji lain ditepati. Justeru, gejala mengkhianati amanah dan memungkiri janji begitu berleluasa dalam masyarakat kini. Lebih malang lagi bangsa Melayu sering dikaitkan dengan tabiat tidak menepati janji. Apabila satu janji dimungkiri atau satu amanah dikhianati, kepercayaan akan hilang, buruk sangka dan dendam akan subur. Kejayaan yang diharap, kecundang yang datang.

Sentiasa memelihara solat. Ciri pertama berkaitan dengan solat. Ciri terakhir juga berkaitan dengan solat. Isyarat yang cukup jelas menunjukkan betapa pentingnya solat dalam Islam. Solat adalah amanah Allah, kemuncak pengabdian insan terhadap Penciptanya. Islam tidak mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh seseorang sekiranya dia meremehkan solat. Menjaga solat dari segi waktu, rukun, syarak, adab serta hikmahnya adalah teras utama untuk berjaya.


Oleh Prof Madya Maznah Daud
24 November 2004

Harus Bela Anjing Pengawal

TULISAN saya minggu lalu, menyentuh peristiwa anjing menggigit kanak-kanak. Berikutan itu, beberapa pembaca bertanyakan mengenai pandangan Islam berkaitan dengan anjing peliharaan.

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan lalu, anjing menurut pandangan jumhur fuqahak adalah najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilatnya sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Namun, tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi.


Setiap makhluk ciptaan Allah ada kelebihan tersendiri. Lantaran itu tidak wajar bagi kita memandang hina pada sesuatu makhluk disebabkan kejadiannya yang buruk, kotor dan najis.


Dalam satu hadis diceritakan seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ketika mana seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu dia turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya lantas mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


Selain itu, al-Quran menerangkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Antaranya anjing sebagai pengawal keselamatan. Ketika menceritakan kisah Ashabul-Kahfi, Allah berfirman maksudnya: “Dan kamu mengira mereka itu jaga padahal mereka tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua-dua lengannya di muka pintu gua...” (Surah al-Kahfi, ayat 18). Ayat ini menunjukkan harus membela anjing untuk dijadikan pengawal keselamatan. Allah menyatakan bahawa anjing itu berada di muka pintu, bukan dalam gua bersama tuannya.
Jadi keharusan membela anjing sebagai pengawal tidak bermakna ia boleh dibawa masuk ke dalam rumah. Maksud yang tersirat dalam ayat ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malaikat (rahmat) tidak memasuki rumah yang ada dalamnya patung dan anjing.”
Ayat ini juga menunjukkan bahawa anjing adalah haiwan yang setia kepada tuannya. Perihal kesetiaan anjing memang selalu didengar. Ada yang berjaya menemui jalan pulang ke rumah tuannya walaupun terpisah berpuluh-puluh batu jauhnya.

Di samping itu, ayat berkenaan memaparkan bahawa keberkatan orang salih akan melimpahi sesiapa saja yang berdampingan dengannya walaupun seekor haiwan. Lantaran itu, kita seharusnya berhati-hati dalam memilih teman. Pastikan sentiasa berdampingan dengan golongan yang baik agar sama-sama mendapat kebaikan dan keberkatannya.

Selain menjadi pengawal, anjing juga boleh digunakan untuk berburu.
Allah berfirman maksudnya: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka, makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepasnya). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha cepat hisab-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 4).

Binatang buas yang disebutkan di dalam ayat di atas termasuk anjing. Malah perkataan ‘mukallibin’ yang bermaksud ‘mengajar binatang buas untuk berburu’ diambil daripada perkataan ‘kalb’ yang bermakna anjing.
Ia menunjukkan binatang yang paling kerap digunakan untuk berburu adalah anjing. Hal ini diperkuatkan dengan beberapa hadis yang menunjukkan sahabat memang menggunakan anjing untuk berburu. Antaranya hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Adi bin Hatim. ‘Adi berkata: “Saya berkata kepada Rasulullah : Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah melepaskan anjing saya yang telah saya ajar untuk berburu dan saya menyebut Nama Allah.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau melepaskan anjingmu yang telah diajar untuk berburu dan engkau menyebut nama Allah maka makanlah binatang yang ditangkap oleh anjingmu itu.”

Di samping kelebihan yang ada pada anjing, ia mempunyai satu tabiat hodoh, iaitu lidahnya yang terjelir-jelir setiap ketika.
Namun, di sisi Allah ada manusia yang sama hodohnya dengan anjing itu. Mereka ialah orang yang meninggalkan petunjuk kebenaran yang nyata dan memilih kesesatan. Mengutamakan kesenangan dunia yang sementara dan melupakan akhirat yang kekal abadi. Firman Allah bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan kalau Kami mengkehendaki, sesungguhnya Kami tingkatkan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah.
Maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.” (Surah al-A’raf, ayat 175-176).

Kesimpulannya, semua makhluk yang diciptakan Allah, sama ada haiwan, tumbuhan-tumbuhan dan sebagainya untuk mempermudahkan kehidupan manusia. Hal ini agar mereka dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah dengan sebaiknya. Sebahagian makhluk menjadi sumber makanan, sebahagian digunakan untuk membuat tempat tinggal, pakaian, kenderaan dan sebagainya. Malah, ada yang berkhidmat kepada manusia secara diam-diam tanpa disedari oleh manusia sendiri seperti apa yang dilakukan oleh pelbagai jenis bakteria termasuk dalam badan manusia.Ada antara makhluk Allah, khususnya haiwan yang boleh dijadikan pengajaran serta iktibar dalam pelbagai aspek.
Perkara ini yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu...” (Surah al-Baqarah, ayat 29)Firman-Nya lagi bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk kepentinganmu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan antara manusia ada yang membantah keesaan Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.” (Surah Luqman, ayat 20).


Oleh Prof Madya Maznah Daud
Wadah Wanita Islam: 6 April 2005

Saintis Buktikan Keistimewaan Tanah

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Hazman Khan, 9, diserang anjing di Taman Putra Perdana, Puchong. Serangan itu, menyebabkan mangsa luka dan terpaksa dijahit 180 jahitan. Akibatnya dia mengalami trauma teruk, sentiasa mengalirkan air mata setiap kali teringat peristiwa mengerikan itu.

Di kalangan masyarakat Islam, anjing sinonim dengan perkataan najis mughallazah. Lantaran itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam khususnya, di Malaysia ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.Anjing sebagai sesuatu yang najis, termaktub dalam hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan lain-lain. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sucinya bejana salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”
Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Ada mengatakan, terbukti bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air. Menurut ahli sains, dalam air liur setiap makhluk yang hidup di bumi ini ada bakteria yang tidak terhitung banyaknya. Contohnya, manusia mengeluarkan 1.5 liter air liur dalam sehari. Dalam setiap satu mililiter air liur yang dikeluarkan ada 750 ribu juta bakteria. Ketika mulut itu mengandungi sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan atau selepas bangun tidur, bilangan bakteria itu bertambah tujuh kali ganda banyaknya. Ini dinisbah kepada air liur manusia, makhluk paling suci. Ali liur anjing? Allah saja Maha Mengetahui.
Mengenai tanah, Dr Danial Zainal Abidin menulis dalam bukunya bertajuk Empayar Minda Muslim:”Tanah mempunyai komposisinya yang tersendiri, 45 peratus daripadanya adalah zat logam (galian), 25 peratus udara, 25 peratus air dan 5 peratus adalah bahan-bahan organik. Tanah ada kelebihannya. Ahli sains di Norway menemui sejenis kulat di tanah yang mampu menghasilkan ubat dinamakan cyclosporin. Ia digunakan sebagai rawatan selepas pembedahan pemindahan organ (anti-rejection drug). Di sebuah ladang jagung, seorang pelajar dari Universiti Wisconsin menemui sejenis protein daripada bakteria tertentu yang boleh mengeluarkan ais (bacterial ice-forming protein). Pada hari ini, ia digunakan untuk mengeluarkan ais bagi pusat ski.
Di Indonesia, saintis menemui sejenis bahan daripada kuman tertentu (microbial molecule) dalam tanah yang mampu menukarkan kanji (starch) kepada glukos. Di sebuah padang golf di Jepun, seorang saintis menemui sejenis ubat yang mampu merawat penyakit parasit (parasitic infection) yang sering menyerang binatang ternakan.Bakteria dari tanah telah menghasilkan produk yang bernama ivermectin. Ubat ini mampu membunuh cacing yang menyerang manusia dan binatang dengan cara menghalang penyebaran maklumat dalam sistem saraf cacing (blocking the transmission of nerve signals).
Pada tahun 1980-an, saintis menemui satu bahan kimia dari tanah di Sepanyol. Ia digunakan untuk menghasilkan ubat yang mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah (cholesterol-lowering drug). Dalam konteks pemindahan organ, antara masalah besar yang sering dihadapi adalah penolakan organ baru oleh badan penerima dan reaksi ini boleh membahayakan nyawa. Pada pertengahan 1980-an, saintis menemui satu bahan yang mampu mengawal proses penolakan organ dengan cara mengawal proses tertentu dalam sistem pertahanan badan (immune system). Bahan ini diperoleh dari tanah bukit dan produk yang terhasil daripadanya dikenali sebagai Prograf. Ia digunakan sebagai rawatan kepada pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan pemindahan hati (liver transplant) bermula 1994.
Kira-kira 3,222 antibiotik pada hari ini diperoleh daripada kuman dan kebanyakannya dari tanah. Antara produk antibiotik yang terhasil daripadanya adalah erythromycin, streptomycin dan tetracycline. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah membuat kajian untuk menilai kemampuan tanah sebagai alat pencuci kotoran. Kajian ini dilakukan di Bangladesh pada 1993. Ia untuk membandingkan kuasa cucian yang ada pada sabun biasa, abu dan tanah selut. Dua puluh wanita dari Dhaka terbabit dalam kajian ini. Sebahagian mereka mencuci tangan dengan sabun, abu dan tanah selut.
Mereka melakukannya dengan cara tertentu selama lima hari. Rumusannya adalah sabun, abu dan tanah selut adalah sama-sama berkesan sebagai bahan pencuci, jika dilakukan dengan betul. Apabila seseorang Muslim bersuci dengan tanah, dia juga mendekatkan dirinya kepada alam dan kunci kehidupan yang diciptakan Allah. Lebih daripada itu, tanah adalah alat pencuci yang murah, berkesan dan boleh diperoleh di seluruh dunia.Justeru, penggunaan air dan tanah mendekatkan umat Islam kepada alam dan kunci kehidupan.
Ia juga mengingatkan mereka kepada asal usul manusia, selain merangsang untuk terus mengkaji alam dan mencungkil rahsianya.Begitu pun, kenajisan sesuatu benda walaupun dikategorikan sebagai najis mughallazah tidak bermakna haram menyentuhnya. Begitu juga sucinya sesuatu itu tidak bermakna halal bagi kita menyentuhnya. Umpamanya, tahi dan air kencing manusia serta haiwan yang haram dimakan adalah najis. Namun, setiap hari kita menyentuh benda itu ketika membasuh kemaluan selepas membuang air kecil dan besar. Tidak ada ulama mengatakan perbuatan itu (menyentuh najis) berdosa.
Wanita yang bukan mahram adalah haram bagi lelaki ajnabi menyentuhnya, padahal wanita itu suci dan tidak najis. Al-Quran, menurut majoriti fuqaha, haram disentuh oleh mereka yang berhadas sama ada kecil atau besar. Hal ini bukan kerana orang berhadas itu dianggap najis. Buktinya benda yang disentuh oleh orang yang berhadas tidak wajib dibasuh.Kesimpulannya, hukum najis dan sentuh adalah dua isu berbeza yang tidak boleh dikaitkan antara satu dengan lain. Najis tidak semestinya haram disentuh, suci tidak semestinya halal disentuh oleh sesiapa saja tanpa batas dan syarat. Bertitik tolak dari konsep ini, maka dalam al-Quran disebutkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Insya-Allah akan dibincangkan pada penulisan akan datang.


Oleh Prof Madya Maznah Daud
Wadah Wanita Islam: 30 Mac 2005