“MAMA, kenapa kita tidak pergi dengan abang dan abah ke masjid untuk sembahyang raya?” tanya Ruhaimah, gadis belasan tahun kepada ibunya yang sibuk memasak dan menghidang makanan di meja makan untuk juadah raya. “Ruhaimah, kita orang perempuan dan tugas kita menyediakan makanan. Biar abang dan abah sebagai orang lelaki saja yang pergi ke masjid. “Kalau tidak kita menyediakan makanan untuk mereka, siapa lagi,” jawab mamanya tersenyum sambil mencubit sayang dagu si comel itu.
Kita sering mendengar perbualan sebegini di kalangan wanita pada pagi raya. Namun, adakah pandangan itu secocok dengan roh hari raya? Benarkah hanya lelaki yang perlu bersembahyang hari raya dan tugas wanita hanya memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah, memasang langsir baru dan menyambut tetamu pada pagi raya? Adakah amalan lain (dikira ibadat dan mendapat pahala) yang lebih afdal dan utama yang seharusnya dilakukan oleh wanita pada pagi raya?
Justeru, kita perlu melihat semula beberapa amalan lain yang lebih utama ketika merayakan Aidilfitri, sekali gus diredai supaya hari raya kali ini lebih baik daripada hari raya tahun lalu.
Hari raya adalah hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh manusia tanpa mengira bangsa atau agama. Ia disambut meriah dengan pelbagai acara. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Anas menceritakan: “Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu hari Adha dan hari Fitri.” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)
Jelas di sini, hari raya bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia bukan satu hari yang direka atau diilhamkan oleh sesiapa. Ia adalah anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya baik lelaki dan wanita yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa Ramadan. Pada pagi Syawal, Rasulullah menjamah sedikit makanan sebelum keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya. Kebiasaannya, Baginda memakan beberapa tamar dalam bilangan ganjil.
Jadi wanita tidak perlu bersusah payah menyediakan juadah yang berlebihan.
Disunatkan juga sebelum pergi solat hari raya, kita mandi sunat hari raya, memakai baju baru atau yang lebih elok. Anas menceritakan: “Pada kedua-dua hari raya, Rasulullah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik daripada apa yang ada pada kami, memakai bauan paling wangi daripada apa yang ada pada kami, dan menyembelih binatang yang paling mahal daripada apa yang ada pada kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim).
Maksud paling baik daripada apa yang ada adalah tidak semestinya kita bersusah payah berbelanja secara berlebihan untuk menyediakan pakaian baru. Pilih saja mana yang ada dirasakan lebih baik berbanding lain.
Selepas itu, Baginda menuju ke tempat solat hari raya dengan berjalan kaki sambil memperbanyakkan takbir sepanjang perjalanan. Apabila pulang, Baginda akan memilih jalan lain daripada yang dilalui ketika pergi. Di kampung, mungkin sunnah ini masih berterusan tetapi di bandar, penghuninya lebih senang berkereta. Jika mereka dapat mengikuti sunnah ini, pasti sambutan hari raya akan lebih meriah.
Baginda mengerahkan seluruh umat Islam keluar ke tempat solat, termasuk kaum wanita. Ummu ‘Atiyyah Al-Ansoriyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya membawa bersama pada kedua-dua hari raya anak perempuan dan gadis remaja serta wanita yang sedang haid untuk bersama melakukan kebaikan. Wanita yang sedang haid duduk berjauhan dari tempat solat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menggambarkan Rasulullah begitu mengambil berat supaya wanita turut merasakan kemeriahan dan keberkatan hari raya. Bertemu sambil mengucap tahniah serta mendengar wasiat berguna daripada pemimpin secara terus dan langsung.
Pada masa ini, kebanyakan wanita kita masih belum merasakan pentingnya keluar menyertai solat sunat hari raya. Ramai beranggapan menyediakan makanan untuk keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung itu adalah lebih penting. Suami pergi bersendirian tanpa membawa isteri. Ayah pergi bersama anak lelaki dan meninggalkan anak perempuan untuk membantu ibu memasak serta menghias rumah. Sedar atau tidak, wanita kita sudah terlepas daripada pahala ibadat menghayati sambutan hari raya yang sebenar kerana kemuncak sambutan hari raya dalam Islam adalah solat Aidilfitri. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mengeluarkan zakat, mengingati dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Sebahagian ulama berkata, maksud solat dalam ayat ini adalah solat hari raya. Jadi orang yang disebut sebagai beruntung ialah mereka yang mengerjakan solat, bukan yang memasak dan menghias rumah.
Solat sunat hari raya dilakukan di tanah lapang. Baginda tidak solat di masjid kecuali jika hujan. Selain menambah kemeriahan hari raya, Baginda memilih tempat lain dari masjid untuk memberi peluang kepada wanita haid bersama-sama menyertainya. Jika solat diadakan di masjid, sudah pasti penyertaan wanita terbatas. Pada hari raya, Rasulullah SAW dan sahabat saling mengucap tahniah antara satu sama lain dengan ucapan taqabbalallahu minna wa minkum yang bermaksud: “Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kami dan juga anda.” Tiada riwayat yang menyatakan mereka saling bermaafan pada hari raya seperti yang dilakukan oleh umat Islam di tanah air kita. Sesungguhnya sikap bermaafan itu dituntut Islam sepanjang masa bukan pada hari tertentu. Ia wajib disegerakan dan dilakukan sepanjang tahun, bukan pada hari raya saja. Meminta maaf juga tidak memadai dengan bersalam saja. Ia mesti diiringi dengan taubat nasuha dan memulangkan atau menjelaskan hak kepada tuannya. Budaya meminta maaf sambil bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dihentikan kerana ia mencemari kesucian Aidilfitri yang mana pada hari itu, kita kembali kepada fitrah.
Rasulullah SAW membenarkan umat Islam menjamu selera dan berhibur dengan hiburan yang diharuskan. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Bakar mengherdik dua kanak-kanak atau hamba perempuan yang sedang mendendangkan syair di rumah Aisyah RA pada hari raya. Lalu Rasulullah SAW menegur Abu Bakar RA dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.”
Kesimpulannya, hari raya dalam Islam mempunyai pengertian tersendiri. Ia adalah satu ibadat dan syiar yang murni. Oleh itu sambutannya juga mengandungi adab, etika dan sunnah tersendiri. Sebagai umat yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Rasulullah, kita tidak patut terikut-ikut dengan cara dan budaya orang lain dalam menyambut hari raya. Di sinilah, letaknya peranan wanita dalam menentukan corak sambutan yang terbaik berlandaskan agama. Lantaran itu, hari raya sebagai ibadat tidak seharusnya disambut dengan cara berlebihan, bercampur maksiat atau bercanggah dengan agama Islam. Hal ini kerana seperti ibadat lain, ia adalah satu ibadat syiar Islam yang suci.
Perkataan fitri bermaksud ‘berbuka puasa’ iaitu hari di mana umat Islam selesai menjalankan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan. Ada pula yang berpendapat perkataan fitri berasal dari fitrah yang bermaksud naluri atau sifat semula jadi manusia yang bersih suci, tidak dicemari oleh sifat keji seperti syirik dan fasik. Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam melawan nafsu, membersih diri daripada dosa dan kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37) Takbir ini diamalkan oleh Nabi, sahabat dan umat Islam selepasnya. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong yang bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia yang diciptakan dalam keadaan yang suci. Disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya.
Oleh Prof Madya Maznah Daud.
10 November 2004
No comments:
Post a Comment