Telah dua minggu Syawal berlalu. Anda tentunya telah selamat menyambut Hari Raya Puasa, dan tentunya sudah ramai yang selesai menjalani ibadah Puasa Sunat Syawal sebanyak 6 hari. Didoakan semua ibadah yang ditunaikan diqabulkan Allah sepenuhnya.
Mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah pula, kini sedang bersiap sedia menanti tibanya hari yang penuh bermakna sambil mempersiapkan diri dengan bermacam-macam persiapan yang diperlukan. Didoakan moga perjalanan anda dimudahkan, ibadah diterima, dosa diampuni dan ganjaran syurga diperolehi sebagaimana janji-Nya bahawa haji yang mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.
Terlalu banyak peristiwa suka dan duka menerjah dalam kehidupan untuk menguji siapa di antara kita yang paling baik amalnya. Orang yang benar-benar beriman akan berjaya menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang. Namun sebahagian manusia akan tewas bila diuji dengan kesusahan, dan tak kurang pula yang tewas bila diuji dengan kesenangan.
Maka jalan yang selamat adalah saling ingat mengingati dan nasihat menasihati dengan kebenaran serta kesabaran.
No comments:
Post a Comment