Saturday, January 29, 2011

Demi memelihara pertumpahan darah… berambuslah!

Seorang sahabat dari Mesir mengirimkan kepada saya melalui email sebuah sajak, luahan hati rakyat Mesir yang tertindas. Saya terjemahkan sekadar mampu untuk kita kongsi pahit derita mereka dan tolong doakan kesejahteraan mereka. Semoga Allah segera datangkan pertolonganNya buat saudara-saudara kita yang berjuang demi menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Tuhan. Hayatilah...

Meskipun telah lenyap sejuta harapan masa hadapan
Selepas usiamu menjangkau 90 tahun atau sedikit kurang
Iaitu pada usiamu yang telah nyanyuk
Tidakkah sudah tiba masanya untuk engkau memelihara hakmu yang terabai?
Yang bijaksana di zamanmu diturunkan
Tidakkah engkau akan berambus?

Sesungguhnya semua manusia mendesakmu
Angin kencang bertiup menyerangmu
Tidakkah engkau mahu berambus?

Kalau bukan sekarang, katakan kepadaku bila engkau akan berambus?
Apabila engkau telah tukarkan syurga Tuhan kami menjadi neraka
Apabila engkau telah runtuhkan kaabah kami
Dan mimpi telah menjadi batu
Apabila engkau telah mabuk dan ketagih meneguk darah-darah kami
Dan engkau masih belum berambus?

Kalau begitu, katakan kepadaku bila engkau akan berambus?
Apabila engkau telah dapat menukar warna darah
Apabila engkau telah dapat menggantikan keindahan segala sesuatu
Apabila engkau telah menghapuskan wangian bunga-bunga mawar
Dan engkau telah padamkan seri pagi menjadi petang yang suram
Apabila engkau telah memusnahkan ciptaan Allah yang indah rekaanNya
Dan engkau belum juga berambus!

Kalau begitu katakana kepadaku bila engkau akan berambus?
Apabila engkau telah hilangkan harapan di sebalik mentari
Apabila engkau tanamkan beberapa generasi di dalam perut bumi
Apabila engkau cacatkan bayi-bayi di dalam rahim
Apabila engkau pertuhankan harta bukan Pemberi rezeki
Apabila engkau isytiharkan bahawa engkau tuhan kami yang paling tinggi
Dan engkau berehat daripada kepahitan sedangkan dunia sakit tak terperi
Dan engkau tidak malu
Engaku tidak juga berambus
Demi Tuhanmu! Katakan bila engkau akan berambus?

Tanpamu, sesungguhnya dunia lebih baik
Tanpamu, sesungguhnya dunia lebih cantik
Tanpamu, sesungguhnya dunia lebih unggul
Dan kini air ludah berhamburan di atas dua tapak tanganmu:
Wahai orang yang mengaku membawa kebaikan, berambuslah!

Engkau telah jadikan negeri kami lebih kami cintai daripada biji sawi
Maka ayuhlah berambus!
Engkau telah jadikan nenek moyang kami dan warisan umat kami melaknat kami
Sungai Nil kami cemburu kepada anak-anak sungai lain
Maka ayuhlah berambus!

Engkau telah jadikan Barat menunggang belakang kami dan Timur menumbuk perut kami
Engkau telah jadikan kami cacat dan lumpuh
Maka kami tidak dapat bekerja
Kami tidak mampu membina harapan
Maka ayuhlah berambus!

Engkau telah jadikan manusia suka tidur di atas daratan
Dan suka mati di dalam lautan
Dan engkau tidak takut orang berdoa melaknat kamu secara diam-diam
Dan secara terang-terangan
Dan engkau tidak akan diberi tempoh untuk menerima azabNya!
Maka ayuhlah berambus!

Telah datang kepadamu pemberontakan terbesar
Yang berkata kepadamu ikutilah jejak ‘Zainal Abidin’ sekarang
Ayuhlah segera berambus
Sesungguhnya rakyat tidak bodoh
Sesungguhnya Allah akan membalasmu di mana jua
Dan engkau sekali-kali tidak akan diberi tangguh

Thursday, January 27, 2011

Kenyataan Ikhwan Muslimin mengenai peristiwa 25 Januari 2011 dan implikasinya

Mesir yang berada di tengah-tengah dunia Arab dan Islam terkesan dengan berbagai-bagai peristiwa besar dan penting. Kini rakyat Mesir di kota Kaherah dan Bandar-bandar lainnya bangkit untuk menyatakan bantahan serta kemarahannya terhadap tindakan melampau dan pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah. Mereka bergerak secara aman, tertib dan berdisiplin. Yang ketara golongan muda berada di barisan hadapan. Semuanya sepakat menyatakan dengan jelas dan tegas apa yang mesti dilakukan demi masa depan rakyat dan Negara. Mereka menuntut pembaikan, keamanan, kebebasan dan pemulihan demokrasi. Tanpa semua itu keadaan Mesir tidak akan aman dan stabil.
Dalam situasi ini Ikhwan Muslimin berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Mesir dan menyokong sepenuhnya tuntutan mereka. Ikhwan mengucapkan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Mesir di atas kebangkitan yang positif, aman dan diberkati. Ikhwan juga menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga syuhadak yang terdiri dari orang awam dan anggota keselamatan yang telah terkorban di dalam peristiwa ini. Ikhwan berdoa kepada Allah agar mengampuni mereka dan amalan mereka diterima. Untuk mereka yang tercedera Ikhwan mendoakan agar mereka cepat sembuh.
Ikhwan ingin menegaskan beberapa perkara berikut:
1. Kebangkitan rakyat Mesir yang bermula pada hari Selasa 25 Januari 2011 adalah satu kebangkitan yang aman, matang dan bertamadun. Ia mesti berterusan seperti ini untuk melawan kerosakan, kezaliman dan kediktatoran sehingga tercapai apa yang diinginkan, iaitu pembaikan yang menyeluruh bermula dengan pembubaran Dewan Rakyat yang terbentuk secara penipuan terang-terangan, kemudian diikuti dengan mengadakan pilihanraya yang bebas dan bersih di bawah seliaan penguatkuasa undang-undang sepenuhnya.
2. Pemerintah Mesir mestilah menyahut kehendak rakyat dan segera melaksanakan pembaikan yang mereka mahu serta menghentikan dengan segera polisi kekerasan dan melawan kehendak rakyat yang diperakui oleh undang-undang Negara. Pemerintah hendaklah mengambil tindakan pantas, serius dan berkesan dalam merealisasikan apa yang dituntut demi kebaikan semua golongan. Pemerintah hendaklah jangan sekali-kali bertindak kasar ke atas rakyat yang menunjuk perasaan dan hendaklah membebaskan segera mereka yang ditahan dalam kebangkitan ini dan yang ditahan sebelumnya.
3. Sesungguhnya Ikhwan Muslimin adalah satu pertubuhan Islam yang merangkumi semua aspek. Dan ahli-ahlinya adalah terdiri daripada susur galur masyarakat Mesir yang sentiasa bersama-sama dengan mereka dalam suka dan duka serta turut merasai keperitan hidup mereka. Ikhwan sentiasa mengajak ahli-ahlinya dan saudara-saudaranya di Negara-negara Islam dan Negara-negara bukan Islam agar berkerjasama, tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa, menyeru supaya berusaha menegakkan keadilan, memantapkan asas-asas kebenaran dan mengutamakan kepentingan umat mengatasi kepentingan perseorangan atau kepentingan sesuatu golongan. Ikhwan menyeru semua pihak dalam menghadapi keadaan yang genting ini agar bersatu hati menentang kezaliman, penyelewengan, penipuan dan kekacauan. Usaha ini mestilah dilakukan dengan cara yang selamat, bersungguh-bersungguh serta mengambil kira reality. Jangan rosakkan mana-mana institusi, harta milik awam atau individu. Kita mesti bersabar dalam mempertahankan kaedah ini sehingga tuntutan rakyat yang dijamin oleh undang-undang terlaksana.
Adalah penting untuk kita berkerjasama dengan semua pihak termasuk parti-parti politik dan berdiri di dalam satu barisan, menyamakan gerak langkah dan menyatukan suara bersama-sama rakyat jelata sehingga terlaksana kehendak mereka semuanya.

Ikhwan Muslimin
Kaherah: 22 Safar 1432H bersamaan 26 Januari 2011M.

Sunday, January 23, 2011

Penawar DUKA

Tersebutlah sebuah kisah, seorang wanita hidup bahagia bersama anak lelaki tunggalnya. Tiba-tiba tanpa diduga anak tunggal kesayangannya direntap kematian. Tak terkira betapa sedihnya si ibu dengan kehilangan anak tersayang. Untuk menghilangkan kesedihan yang tak tertanggung dia (kita beri nama Hazinah) pergi menemui seorang alim yang bijak di daerahnya. Dia meminta orang alim tersebut memberitahu bagaimana caranya untuk mengembalikan anak tunggalnya yang telah mati agar hidup kembali. Apa cara sekalipun akan diusahakan walaupun sukar.
Orang alim memerah otaknya sehabis daya untuk mencari jalan bagaimana menghidupkan anak Hazinah yang telah mati. Akhirnya dia mendapat satu idea, lalu dikemukakan idea bernasnya itu kepada Hazinah.
- Bawakan kepada saya satu biji biji sawi. Syaratnya biji sawi itu hendaklah diambil daripada sebuah rumah yang tidak mengenal langsung erti kesedihan!
Dengan keazaman yang kental, Hazinah mula melangkah mengunjungi rumah demi rumah di sekitar daerahnya untuk mendapatkan sebiji biji sawi.
Mula-mula dia mengetuk pintu sebuah rumah. Seorang perempuan tua membuka pintu, dia menjenguk sambil menghadiahkan sekuntum senyuman manis kepada Hazinah. Hazinah bertanya tuan rumah:
- Adakah ahli rumah ini mengenali kesedihan?
Soalan itu dijawab oleh perempuan tua dengan senyuman pahit sambil air mata bercucuran dari matanya. Dia mengajak Hazinah masuk dan menceritakan kisahnya.
- Suamiku telah meninggal dunia setahun yang lalu. Dia meninggalkan empat orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki. Tiada langsung sumber pendapatan untuk kami sekeluarga sehingga kami terpaksa menjual perkakas rumah. Kini tidak ada apa lagi yang tinggal untuk dijual.
Hazinah sangat terkesan mendengar penderitaan perempuan itu. Dia cuba sedaya mampu meringankan beban yang ditanggung. Kunjungan itu berakhir dengan jalinan persahabatan dan Hazinah berjanji akan datang lagi menziarahinya.
Hazinah meneruskan perjalanan mengunjungi rumah ke dua sebelum menjelang mangrib untuk mencari apa yang dihajatinya. Di rumah kedua, dia menemui seorang suri rumah yang suaminya sedang sakit tenat. Makanan untuk anak-anaknya telah kehabisan beberapa hari yang lalu. Hazinah sangat kasihan melihat keadaan keluarga itu. Dia segera ke pasar dan membeli bahan-bahan mentah seperti gandum, minyak dan lain-lain. Dia kembali semula ke rumah itu dan membantu tuan rumah memasak untuk keluarganya kemudian membantunya menyuapkan makanan kepada anak-anaknya. Setelah selesai, dia meninggalkan keluarga malang itu dan berjanji akan menjenguk lagi di lain kali.
Esoknya Hazinah meneruskan pencariannya. Rumah demi rumah diziarahi namun tidak ada sebuah rumahpun yang tidak mengenal kesedihan untuk diambil daripadanya sebiji biji sawi. Oleh kerana Hazinah seorang wanita berhati mulia, dia berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh setiap rumah yang dikunjungi atau sekurang-kurangnya berusaha meringankan beban mereka dan melakukan sesuatu yang menyenangkan hati mereka.
Hari demi hari sepanjang pencariannya dia membina persahabatan dengan ahli keluarga yang dikunjungi menyebabkan dia lupa apa yang ingin dicarinya, iaitu sebiji biji sawi.
Dia tidak menemui sebuah rumahpun yang tidak mengenali kesedihan. Malah dia sendiri telah larut dengan kesedihan yang mereka alami menyebabkan dia lupa kepada kesedihannya sendiri.
Demikianlah saranan yang telah diberikan oleh orang alim yang bijak telah dapat mengubat kesedihan Hazinah.
Sesungguhnya menulung orang lain, berkongsi suka duka dengan mereka menjadikan kita bebas dari belenggu keakuan yang sempit. Dengan itu juga kita akan disayangi mereka dan hidup kita akan bahagia.
Musibah yang menimpa kita tidak mungkin dapat diketahui besar atau kecil kecuali setelah kita mengukurnya dengan musibah yang menimpa orang lain…

Sunday, January 16, 2011

Doa Malaikat

ٱلَّذِينَ يَحۡمِلُونَ ٱلۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُ ۥ يُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّہِمۡ وَيُؤۡمِنُونَ بِهِۦ وَيَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَا وَسِعۡتَ ڪُلَّ شَىۡءٍ۬ رَّحۡمَةً۬ وَعِلۡمً۬ا فَٱغۡفِرۡ لِلَّذِينَ تَابُواْ وَٱتَّبَعُواْ سَبِيلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِيمِ (٧) رَبَّنَا وَأَدۡخِلۡهُمۡ جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ ٱلَّتِى وَعَدتَّهُمۡ وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕهِمۡ وَأَزۡوَٲجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِهِمۡۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٨) وَقِهِمُ ٱلسَّيِّـَٔاتِۚ وَمَن تَقِ ٱلسَّيِّـَٔاتِ يَوۡمَٮِٕذٍ۬ فَقَدۡ رَحِمۡتَهُ ۥۚ وَذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (٩
Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu dan peliharalah mereka dari azab Neraka.
Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya).

Surah Ghafir 40 : 7, 8, 9

Demikian indahnya hidup di dalam dakapan iman. Kita tidak pernah keseorangan. Seluruh makhluk di langit dan di bumi sentiasa bersama dengan kita. Memohon doa untuk kesejahteraan kita, baik di dunia mahupun di akhirat.
Maka kenapa kita harus berduka? Kenapa kita mencari teman selain Dia? Kenapa kita enggan membalas cinta-Nya dan selalu memalingkan muka ke arah sesuatu yang mendatangkan kemurkaan-Nya?

Sunday, January 09, 2011

Seorang wanita dan sebiji terung



Di Damsyiq (Dimascus) terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan. Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan membina di atas tapaknya sebuah masjid.
Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu terdapat seorang syaikh atau mahaguru yang alim mendidik umat Islam di kampong itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihurmati oleh penduduk setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada urusan dunia atau akhirat.
Di masjid itu juga terdapat seorang murid yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.
Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan.
Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.
Masjid itu terletak di sebuah kampong di mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal kampong hingga ke hujungnya.
Si miskin tadi memanjat bumbung masjid dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang wanita di dalam rumah, dia akan segera menjaga mata dan menjauhkan diri dari rumah itu. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong dan terhidu bau makanan yang menyelerakan. Perasaan lapar yang menguasai dirinya menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia terus ke dapur dan membuka periuk. Didapati di dalam periuk itu beberapa biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak, lantas terus menggigitnya. Ketika hampir-hampir menelan terung itu tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di masjid menyergahnya!
Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya?
Dia rasa terlalu besar dosa yang telah dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali ke masjid. Ketika itu Syaikh sedang mengajar, lalu dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan tidak faham apa yang didengarnya.
Setelah sesi pengajian tamat, semua murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh, tetapi murid itu tidak mendengar apa yang dikatakannya.
Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak Nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu.
Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!
Syaikh bertanya, adakah kamu ingin berkahwin? Dia diam.
Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu ingin berkahwin?
Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia hendak berkahwin?
Syaikh berkata kepadanya bahawa wanita ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang tinggal bersama dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang duduk di sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya. Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah dan Rasul supaya dia tidak bersendiriann kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu menikahinya?
Murid itu terus menjawab, ya!
Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan bertanya, mahukah kamu menerimanya?
Wanita itu menjawab, ya!
Maka Syaikh memanggil bapa saudaranya dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin bagi pihak muridnya.
Setelah selesai aqad, Syaikh berkata kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan membawanya pulang ke rumah. Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan jelita. Dia juga amat terkejut kerana rumah itu adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada dapurnya.
Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?
Dia menjawab, ya!
Dia membuka periuk dan melihat terung yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah dan menggigit terung?
Murid itupun menangis sambil menceritakan apa yang telah berlaku.
Isterinya berkata, inilah hasil amanah. Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah serta tuannya sekali dengan halal.
Diceritakan oleh Syaikh Ali at-Tantawi di dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.

Monday, January 03, 2011

Untuk Penggemar Matematik

Angka 7 sangat signifikan dengan kehidupan dan Islam.
Terdapat 7 hari dalam seminggu.
Langit dan bumi 7 lapis.
Al-Fatihah 7 ayat
Tawaf 7 pusingan.
Saei 7 pusiangan.
Melontar jamrah 7 biji anak batu.
Sujud di atas 7 anggota.
Neraka 7 pintu.
Dan lain-lain.

Ayat-ayat suci al-Quran juga sebahagiannya disusun berligar di atas struktur angka 7.

Contoh yang akan dikemukakan di sini ialah perkataan (نُفِخَ) yang bermaksud ditiupkan (sangkakala sebagai petanda qiamat dan kebangkitan semula). Perkataan ini disebut di dalam al-Quran sebanyak 7 kali di dalam 6 surah.

1 [ـ (وَتَرَكْنَا بَعْضَهُمْ يَوْمَئِذٍ يَمُوجُ فِي بَعْضٍ وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَجَمَعْنَاهُمْ جَمْعاً) [الكهف: 18/99
2 [ـ (فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءلُونَ) [المؤمنون: 23/101
3 [ـ (وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ) [يس: 36/51
4 [ـ (وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاء اللَّهُ) [الزمر: 39/ 68
5 [ـ (ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَى فَإِذَا هُم قِيَامٌ يَنظُرُونَ) [الزمر: 39/68
6 [ـ (وَنُفِخَ فِي الصُّورِ ذَلِكَ يَوْمُ الْوَعِيدِ) [ق: 50/20
7 [ـ (فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ) [الحاقة: 69/ 13

Ada 6 surah yang terdapat di dalamnya perkataan ‘nufikha’, iaitu:
1. Surah 18 (Al-Kahf)
2. Surah 23 (Al-Mu’minun)
3. Surah 36 (Ya Sin)
4. Surah 39 (Az-Zumar)
5. Surah 50 (Qaf)
6. Surah 69 (Al-Haqqah)

Nombor-nombor surah di atas, jika diletak dalam satu baris (dari kanan ke kiri) akan jadi :
69 50 39 36 23 18 atau 695039362318

Enam ratus sembilan puluh lima billion, tiga puluh sembilan juta, tiga ratus enam puluh dua ribu, tiga ratus lapan belas.

Bilangan tersebut boleh dibahagi dengan 7 sebanyak 4 kali:
695039362318 / 7 = 99291337474
99291337474 / 7 = 14184476782
14184476782 / 7 = 2026453826
2026453826 /7 = 289479118

Jadi, susunan nombor surah yang terdapat di dalamnya perkataan ‘nufikha’ adalah:
695039362318 = 289479118 x 7 x 7 x 7 x 7

Dan jika diambil 289479118 dan jumlahkan angka-angka ini:
2+8+9+4+7+9+1+1+8 = 49
49 adalah 7x7

289479118 disusun secara terbalik – 811974982, boleh pula dibahagi dengan 7 sebanyak 4 kali juga!

811974982 / 7 = 115996426
115996426 /7 = 16570918
16570918 / 7 = 2367274
2367274 / 7 = 338182

Maka seperti yang pertama tadi, 811974982 juga boleh dibahagi dengan 7 sebanyak 4 kali!
811974982 = 338182 x 7 x 7 x 7 x 7

Kebetulankah ini atau satu perancangan yang rapi dari Yang Maha Bijaksana lagi Maha Teliti?

Belum selesai lagi. Kita ambil pula hasil bahagi 4 kali tadi:
1. 811974982 / 7 = 115996426
2. 115996426 /7 = 16570918
3. 16570918 / 7 = 2367274
4. 2367274 / 7 = 338182

Hasil bahagi dari 1 hingga 4 dijuamlahkan:
115996426 : 1+1+5+9+9+6+4+2+6 = 43
16570918 : 1+6+5+7+0+9+1+8 = 37
2367274 : 2+3+6+7+2+7+4 = 31
338182 : 3+3+8+1+8+2 = 25

Susunan jumlah angka-angka di atas:
25 31 37 43

Hairannya! Susunan angka-angka ini juga boleh dibahagi dengan 7 empat kali!

25313743 / 7 = 3616249
3616249 / 7 = 516607
516607 / 7 = 73801
73801 / 7 = 10543

25313743 = 10543 x 7 x 7 x 7 x 7

Ringkasan kiraan tadi:
1. Susunan nombor surah : 695039362318 boleh dibahagi dengan 7 sebanyak 4 kali. Natijahnya yang terakhir ialah 289479118. Angka-angka ini bila dijumlahkan jadi 49 = 7x7

2. 289479118 bila diterbalikkan – 811974982 juga boleh dibahagi dengan 7 sebanyak 4 kali. Natijahnya yang terakhir ialah 338182

3. Apabila diambil hasil 695039362318 bahagi 7 empat kali tadi, iaitu 289479118 dan hasil angka yang diterbalik 811974982 dibahagi 7 empat kali, iaitu 338182, disusun sebaris:
338182289479118, boleh dibahagi dengan 7 pula:

338182289479118 / 7 = 48311755639874

Hasil bahagi ini diterbalikkan – 47893655711384 boleh dibahagi dengan 7 juga:

47893655711384 / 7 = 6841950815912

Maha Suci Allah!

Kini kita beralih pula kepada nombor ayat yang terdapat perkataan ‘nufikha’:
1. Surah al-Kahfi : 99
2. Surah al-Mu’minun : 101
3. Surah Ya Sin : 51
4. Surah az-Zumar : 68
5. Surah Qaf : 20
6. Surah al-Haqqah : 13

Susunan nombor-nombor ayat adalah seperti berikut (dari kanan ke kiri):

13 20 68 51 101 99.

Susunan inipun boleh dibahagi dengan 7 sebanyak 2 kali:
1320685110199 / 7 = 188669301457
188669301457 / 7 = 26952757351

JADI,
1. ADAKAH ANDA FIKIR BAHAWA KITAB SUCI AL-QURAN INI REKAAN MANUSIA?
2. ADAKAH ANDA KIRA SETIAP PATAH PERKATAAN DILETAK BEGITU SAJA TANPA SEBARANG PERHITUNGAN?
3. ADAKAH ANDA ANGGAP NOMBOR SURAH, BILANGAN AYAT YANG TERDAPAT PADA SETIAP SURAH ITU HANYA SUATU KEBETULAN SAHAJA?

RENUNGKANLAH…!!!

Dipetik daripada hasil kajian Abdul Daim al-Kaheel
www.kaheel7.com/ar

(Surah al-Fatihah yang mengandungi 7 ayat itu juga berkait rapat dengan angka 7. Anda boleh dapatkan buku mengenainya melalui Jimedia)

Musafir

Ahad 2 Jan 2011 jam 4.50 pagi, pesawat D7 2007 yang kami tumpangi dari London selamat mendarat di LABKL terminal LCCT. Dikatakan 40 minit lebih awal daripada waktu yang dijangkakan.

Betapa Maha Kaya dan Maha Kuasanya Allah yang mendekatkan jarak dan mempercepatkan perjalanan yang jauh. Kami bertolak dari lapangan terbang Stansted lebih kurang jam 8.30 pagi. Sempat solat Subuh di airport sebelum berlepas.

Perjalanan yang memakan masa hampir 13 jam menuntut kami menunaikan solat zohor, asar, maghrib dan isya di atas pesawat. Anak kapal cadangkan supaya kami solat di bahagian belakang, kawasan dapor. Agak luas juga tempat tu, cukup untuk berjamaah 3 orang. Waktu solat zohor dan asar, yang bertugas tak kata apa-apa, malah beri kerjasama yang baik. Semasa solat maghrib dan isya mereka tetap memberikan kerjasama yang baik dengan meminjamkan selimut merah untuk dijadikan sejadah. Tetapi pada masa yang sama mereka menunjukkan keberatan untuk membenarkan kami solat berjamaah. Secara penuh adab dan berlapik mereka menyatakan bahawa tempat itu tidak dibenarkan untuk berjamaah kerana menghalang kerja-kerja mereka. Namun kami teruskan juga solat berjamaah. Perintah Allah itu lebih utama daripada segala-galanya.

Sedihnya, solat sudah jadi agenda peribadi, siapa nak dia kena cari, siapa tak nak tak siapa peduli. Solat bukan lagi agenda ummah, bukan agenda insan secara keseluruhan yang memang dicipta hanya untuk beribadah kepada-Nya. Terapung di udara selama 13 jam cukup-cukup menginsafkan betapa luasnya rahmat Allah. Dialah sebenarnya yang menjaga dan memelihara pesawat dari terhempas ke bumi atau tersedut ke dalam ruang 'kosong' melepasi gravity sehingga hilang lesap entah ke mana…? Bagaimana manusia boleh tak ingat nak solat?

Kalaulah kita ada syarikat penerbangan sendiri, tentu dapat disediakan satu ruang yang selesa untuk solat, lengkap dengan waktu solat, petunjuk arah qiblat dan lain-lain. Banyak perkara boleh diselaraskan dengan tuntutan Islam seperti pakaian ‘pelayan’, makanan dan minuman, tazkirah, media hiburan dan lain-lain. Nak letak dalam sasaran strategic tahun berapa ya? Banyak ruang dakwah boleh digunakan.

Keluar dari pesawat, memasuki bangunan terminal, menuju ke kaunter imigresyen. Sesaknya seperti berada di lapangan terbang sebuah Negara Arab 10 – 20 tahun yang lalu.

Dalam perjalanan pulang (disambut habibi zauji), singgah di stesyen petronas yang paling dekat dengan LCCT untuk solat subuh. Sungguh mengejutkan! Ruang solat yang begitu sempit dikongsi bersama jamaah lelaki dan perempuan? MasyaAllah! Macamana jamaah perempuan nak ambil wuduk (tandas yang berdekatan rosak, ada satu lagi tandas jauh, di bangunan lain), pakai telekung, tukar tudung dan seumpamannya? Memang sungguh-sungguh tak muslimah friendly.

Selepas berehat lurus-luruskan badan dan ambil sedikit sarapan, pergi ke Hulu Selangor ziarah anak yang sedang mengikuti program MH-i.

Dalam perjalanan pulang, singgah di pekan berhampiran tempat program untuk makan tengahari. Masuk sebuah restoran ‘orang kita’ yang agak penuh juga. Ambil tempat duduk. Sambil menunggu pelayan datang ambil order, mata merayau memerhati keadaan dalam restoran; lantainya, mejanya dan persekitarannya membunuh selera untuk makan. Kami keluar, pusing-pusing sekejap, masuk pula restoran lain. Keadaan sama sahaja. Akhirnya terpaksa masuk tempat yang dah sekian lama tak jenguk dan tak pernah teringinpun nak jenguk, KFC. Mohon maaf daripada saudara-saudaraku di Palestin! Moga kami tidak termasuk dalam golongan mereka yang mengkhianati perjuangan kita dalam membebaskan bumi suci itu.

Kemudian singgah pula di stesyen petronas untuk solat zohor. Alhamdulillah tempat solat lelaki dan perempuan diasingkan. Tetapi keluasan tempat solat perempuan adalah sama dengan sebuah lubang kubur kali dua tanpa kipas! Inna lilLah…

Itulah serba sedikit catatan musafirku kali ini. Bukan nak mengata atau mengutuk sesiapa, atau tidak bersyukur dengan apa yang disediakan. Hanya sekadar beri pandangan betapa kepentingan Islam dan apa-apa yang berkaitan dengan tuntutannya begitu terpinggir dalam kerangka pemikiran dan perancangan manusia masa kini; baik syarikat penerbangan, pemilik restoran, pemilik stesyen minyak dan lain-lain.

Maka tugas kita sangat besar dan dakwah kita mesti diperhebat dan diperluaskan.