Monday, January 03, 2011

Musafir

Ahad 2 Jan 2011 jam 4.50 pagi, pesawat D7 2007 yang kami tumpangi dari London selamat mendarat di LABKL terminal LCCT. Dikatakan 40 minit lebih awal daripada waktu yang dijangkakan.

Betapa Maha Kaya dan Maha Kuasanya Allah yang mendekatkan jarak dan mempercepatkan perjalanan yang jauh. Kami bertolak dari lapangan terbang Stansted lebih kurang jam 8.30 pagi. Sempat solat Subuh di airport sebelum berlepas.

Perjalanan yang memakan masa hampir 13 jam menuntut kami menunaikan solat zohor, asar, maghrib dan isya di atas pesawat. Anak kapal cadangkan supaya kami solat di bahagian belakang, kawasan dapor. Agak luas juga tempat tu, cukup untuk berjamaah 3 orang. Waktu solat zohor dan asar, yang bertugas tak kata apa-apa, malah beri kerjasama yang baik. Semasa solat maghrib dan isya mereka tetap memberikan kerjasama yang baik dengan meminjamkan selimut merah untuk dijadikan sejadah. Tetapi pada masa yang sama mereka menunjukkan keberatan untuk membenarkan kami solat berjamaah. Secara penuh adab dan berlapik mereka menyatakan bahawa tempat itu tidak dibenarkan untuk berjamaah kerana menghalang kerja-kerja mereka. Namun kami teruskan juga solat berjamaah. Perintah Allah itu lebih utama daripada segala-galanya.

Sedihnya, solat sudah jadi agenda peribadi, siapa nak dia kena cari, siapa tak nak tak siapa peduli. Solat bukan lagi agenda ummah, bukan agenda insan secara keseluruhan yang memang dicipta hanya untuk beribadah kepada-Nya. Terapung di udara selama 13 jam cukup-cukup menginsafkan betapa luasnya rahmat Allah. Dialah sebenarnya yang menjaga dan memelihara pesawat dari terhempas ke bumi atau tersedut ke dalam ruang 'kosong' melepasi gravity sehingga hilang lesap entah ke mana…? Bagaimana manusia boleh tak ingat nak solat?

Kalaulah kita ada syarikat penerbangan sendiri, tentu dapat disediakan satu ruang yang selesa untuk solat, lengkap dengan waktu solat, petunjuk arah qiblat dan lain-lain. Banyak perkara boleh diselaraskan dengan tuntutan Islam seperti pakaian ‘pelayan’, makanan dan minuman, tazkirah, media hiburan dan lain-lain. Nak letak dalam sasaran strategic tahun berapa ya? Banyak ruang dakwah boleh digunakan.

Keluar dari pesawat, memasuki bangunan terminal, menuju ke kaunter imigresyen. Sesaknya seperti berada di lapangan terbang sebuah Negara Arab 10 – 20 tahun yang lalu.

Dalam perjalanan pulang (disambut habibi zauji), singgah di stesyen petronas yang paling dekat dengan LCCT untuk solat subuh. Sungguh mengejutkan! Ruang solat yang begitu sempit dikongsi bersama jamaah lelaki dan perempuan? MasyaAllah! Macamana jamaah perempuan nak ambil wuduk (tandas yang berdekatan rosak, ada satu lagi tandas jauh, di bangunan lain), pakai telekung, tukar tudung dan seumpamannya? Memang sungguh-sungguh tak muslimah friendly.

Selepas berehat lurus-luruskan badan dan ambil sedikit sarapan, pergi ke Hulu Selangor ziarah anak yang sedang mengikuti program MH-i.

Dalam perjalanan pulang, singgah di pekan berhampiran tempat program untuk makan tengahari. Masuk sebuah restoran ‘orang kita’ yang agak penuh juga. Ambil tempat duduk. Sambil menunggu pelayan datang ambil order, mata merayau memerhati keadaan dalam restoran; lantainya, mejanya dan persekitarannya membunuh selera untuk makan. Kami keluar, pusing-pusing sekejap, masuk pula restoran lain. Keadaan sama sahaja. Akhirnya terpaksa masuk tempat yang dah sekian lama tak jenguk dan tak pernah teringinpun nak jenguk, KFC. Mohon maaf daripada saudara-saudaraku di Palestin! Moga kami tidak termasuk dalam golongan mereka yang mengkhianati perjuangan kita dalam membebaskan bumi suci itu.

Kemudian singgah pula di stesyen petronas untuk solat zohor. Alhamdulillah tempat solat lelaki dan perempuan diasingkan. Tetapi keluasan tempat solat perempuan adalah sama dengan sebuah lubang kubur kali dua tanpa kipas! Inna lilLah…

Itulah serba sedikit catatan musafirku kali ini. Bukan nak mengata atau mengutuk sesiapa, atau tidak bersyukur dengan apa yang disediakan. Hanya sekadar beri pandangan betapa kepentingan Islam dan apa-apa yang berkaitan dengan tuntutannya begitu terpinggir dalam kerangka pemikiran dan perancangan manusia masa kini; baik syarikat penerbangan, pemilik restoran, pemilik stesyen minyak dan lain-lain.

Maka tugas kita sangat besar dan dakwah kita mesti diperhebat dan diperluaskan.

No comments: