Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Shaikh Yusuf al-Qaradhawi mengeluarkan fatwa harus dibunuh seorang penjenayah Libya, Muammar Gadafi yang telah melampau batas membunuh rakyarnya sendiri dengan melontarkan bom ke arah mereka dari kapal terbang dan menggunakan khidmat pembunuh upahan asing untuk membunuh rakyat sendiri.
Al-Qaradhawi, dalam temubualnya dengan al-Jazeerah pada petang Isnin 21 Feb meminta seluruh anggota angkatan tentera semua peringkat supaya jangan mendengar dan mentaati perintah Gadafi agar membunuh anak bangsa mereka kerana dengar dan taat dalam hal ini adalah haram. Sesungguhnya tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada al-Khaliq.
Al-Qaradhawi menyatakan dengan tegas, “Sekarang saya mengeluarkan fatwa supaya Gadafi dibunuh. Mana-mana anggota polis atau tentera atau orang perseorangan yang boleh menghalakan senapang ke arahnya maka hendaklah ia lakukan. Biar rakyat Libya dan umat seluruhnya dapat berehat daripada kejahatan lelaki gila ini serta kezalimannya”.
Tambah beliau lagi, “Tidak harus bagi mana-mana anggota polis atau tentera mentaati lelaki ini untuk melaksanakan perintah maksiatnya, kezaliman dan kedurjanaannya terhadap rakyat jelata yang merupakan hamba kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Sesungguhnya seorang pemerintah yang membunuh rakyatnya dengan cara yang begini kejam merupakan sebesar-besar kesalahan dan sebesar-sebesar dosa di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Aku ingin memperingatkan anggota tentera yang berada di sekiling Gadafi dan melaksanakan perintahnya ayat al-Quran yang mulia ini yang bermaksud: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. ” (An-Nisaa’:93). Dan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya melenyapkan satu dunia ini lebih enteng di sisi Allah daripada membunuh seorang muslim”.
Al-Qaradhawi berkata lagi, “Sesungguhnya Gadafi telah hilang akalnya. Sejak dahulu dia dikatakan sebagai orang gila!” Kemudian beliau mengajukan ucapannya kepada Gadafi dengan berkata, “Sekiranya engkau benar-benar seorang ayah kepada rakyat Libya, maka adakah masuk akal seorang ayah membunuh anak-anaknya, mengupah pembunuh upahan untuk menghentam bangsamu? Zionis sekalipun ketika mereka menyerang Gaza tidak berbuat demikian”.
Al-Qaradhawi menyifatkan Saiful Islam al-Gadafi sebagai “Sebilah pedang daripada pedang-pedang jahiliah. Ucapannya adalah semata-mata untuk melaga-lagakan rahyat Libya antara satu sama lain”.
Kemudian al-Qardhawi berbicara kepada anggota tentera Libya dengan berkata, “Sebenarnya kamu mempunyai semangat patriotic yang tidak kurang daripada tentera Tunisia yang menolak arahan presiden mereka yang telah cabut lari, Zainal Abidin bin Ali supaya melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sana. Semangat patriotic kamu juga tidak kurang dariapada tentera Mesir yang hebat yang mengawal revolusi di sana, di mana mereka tidak mengendahkan arahan presiden Mesir yang kini telah tersingkir, Husni Mubarak supaya menyekat kemaraan revolusi pada hari Jumaat al-Ghadhab (Hari Jumaat Kemarahan). Maka saya menyeru tentera Libya supaya jangan memukul bangsa sendiri. Jangan korbankan rakyat demi menjaga seorang manusia gila dan jangan ikut perintahnya supaya menghentam rakyat”.
Tidak ketinggalan, al-Qardhawi juga menyeru rakyat Libya dengan berkata: “Tetapkan pendirian kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya semahal manapun pengorbanan yang terpaksa dicurahkan demi mencapai kebebasan yang memang mahal harganya, kamu mesti teruskan perjuangan. Sesiapa di antara kamu yang gugur syahid di sisi Tuhannya, dia akan ditempatkan di maqam yang mulia, di Firdaus yang tinggi “.
Beliau juga turut menyeru rakyat Tunisia dan Mesir, kerajaan-kerajaan Arab, pertubuhan-pertubuhan Islam, kesatuan-kesatuan Afrika dan PBB supaya tidak berdiam diri terhadap apa yang berlaku di Libya.
Beliau berdoa untuk rakyat Libya agar mendapat pertolongan dan kemenangan dalam perjuangan mereka dan Allah Yang Maha Perkasa akan membalas kezaliman Gadafi dengan pembalasan yang sewajarnya, yang dia tidak akan terlepas lari daripadanya.
Sumber:
http://egyptwindow.net/news_Details.aspx?News_ID=11308
No comments:
Post a Comment