Tuesday, April 26, 2011

Doa untukmu

Antara perkara yang membahagiakan seseorang ialah rasa disayangi dan dihargai.
Seorang sahabat menceritakan kepada saya, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui mati membunuh diri di landasan keretapi yang terletak kira-kira 50 km dari rumahnya. Untuk sampai ke situ dia mesti menukar haluan dan menukar keretapi beberapa kali. Di dalam biliknya ditemui sekeping nota yang ditulis sebelum dia membuat keputusan nekad untuk membunuh diri. Di dalam nota tersebut dia mencurahkan isi hatinya bahawa dia berasa sangat sunyi, hidup sendirian tanpa siapapun mempedulikannya. Ayah dan ibunya sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sekiranya dalam perjalanannya nanti dia bertemu dengan seorang manusia yang senyum kepadanya, dia akan batalkan niat membunuh diri.
Ya! Hanya seorang yang senyum sudah cukup untuk dia rasa dihargai akan kewujudannya di muka bumi ini. Dan penemuan mayatnya di tempat yang begitu jauh dengan menaiki beberapa gerabak kereta api, membuktikan bahawa sepanjang perjalanan itu tiada sekuntum senyumanpun yang dilemparkan ke arahnya!
Lantas, untuk apa dia hidup di dunia ini?
Namun mukmin tidak akan mengalami semua itu. Walaupun tiada seorang manusiapun yang sudi melemparkan sekuntum senyuman atau mengungkap sekelimah ucapan sayang, mukmin tidak akan rasa kesepian. Allah sentiasa bersamanya, cinta Allah melimpah ruah meresapi seluruh jiwanya. Membaca kitab Allah, penuh dengan ungkapan cinta kepada sekelian makhluk-Nya, terutama yang memiliki sifat tertentu yang dianjurkan-Nya. Sesungguhnya Allah cinta kepada orang yang bertaubat dan membersihkan diri dari najis dan kekotoran, cinta kepada orang yang sabar, cinta kepada orang yang bertaqwa, cinta kepada orang yang berbuat kebaikan, cinta kepada orang yang mengikut Nabi s.a.w., cinta kepada orang berperang di jalan-Nya dalam satu barisan yang tersusun kukuh.
Tidak cukup sekadar itu, sekelian makhluk diperintahkan agar mencintai hamba yang dicintai Allah. Makhluk yang paling pantas menyahut perintah itu tentulah para malaikat yang tidak kenal erti derhaka. Renungkan ayat-ayat di bawah yang menceritakan betapa intimnya para malaikat dengan manusia yang dicintai Allah:
- Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab Neraka.
- Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
- Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya).
(Ghafir 40: 7, 8, 9)

Sunday, April 24, 2011

Sujud



Semua makhluk sujud kepada Allah Yang Maha Pencipta.
Manusia yang enggan sujud kepada Allah merupakan makhluk terbuang dan terasing.

Keengganan sujud kepada Pencipta adalah suatu fenomena takbur yang dawarisi daripada Iblis laknatullah.

Muslim diajar sujud kepada Allah di dalam solat lima waktu sehari semalam. Di dalam solat lima waktu itu, muslim sujud sebanyak 34 kali.

Kenapa 34 kali? Hanya Dia sahaja yang mengetahui.

34 kali ini disusun mengikut sistem yang begitu teratur pada waktu-waktu yang tertentu dengan cara-cara tertentu.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh anggota.” Al-Bukhari

Satu lagi bukti menunjukkan kepentingan angka 7 dalam ajaran Islam selain daripada tawaf 7 pusingan, al-Fatihah 7 ayat dan lain-lain.

Bilangan 34 tidak terhasil daripada gandaan 7. Tetapi bilangan itu terdiri daripada angka 3 dan 4, jika dijumlahkan keduanya jawapannya adalah 7.

Jika diperhatikan bilangan sujud dibahagikan di dalam setiap solat seperti berikut:
Subuh 4
Zohor 8
Asar 8
Maghrib 6
Isyak 8
86884 adalah hasil darab 7, iaitu 7 x 12412 = 86884.

Kalau kita susun waktu solat mula dengan Asar (solat al-wusto)
Asar 8
Maghrib 6
Isyak 8
Subuh 4
Zohor 8
Susunannya : 84868 merupakan hasil darab 7 juga, iaitu 7 x 12124 = 84868

Itulah bukti kebenaran Islam ini datangnya daripada Allah.

Dipetik daripada:
http://www.kaheel7.com/modules.php?name=News&file=article&sid=732

Wednesday, April 20, 2011

Hari-hari yang berlalu … itulah umurmu!

Genap satu tahun, bermula pula tahun yang baru. Begitulah putaran dunia ini. Hari menjadi bulan. Bulan bertukar tahun melintasi hidup kita dengan kepantasan yang begitu menakjubkan.

Adakah kita benar-benar mengetahui nilainya?

Sesungguhnya hari-hari yang berlalu tidak lain dan tidak bukan, itulah sebenarnya usia kita.

Berlalu satu hari, bahkan satu detik, berkuranglah umur kita dan bertambah dekatlah kita kepada ajal. Detik yang sedang kita berada sekarang ini sekejap lagi akan pergi seperti detik-detik lalu yang telah pergi. Dan detik yang lain pula akan menggantikan tempatnya. Kemudian pergi lagi dan bertukar lagi. Kemudian, tiba-tiba, sedar tak sedar kita telah berada di dalam kubur!

Maka apa yang kita sediakan?

Detik inilah satu-satunya peluang untuk kita mengumpul bekalan kerana apabila kita telah terbaring di dalam kubur, tiada lagi peluang untuk mencari bekalan, tiada lagi peluang untuk kembali memperbaiki kesilapan.

Maka apa yang patut kita persiapkan?

Soalan yang mesti dijawab sendiri oleh setiap orang daripada kita. Renung dan tanyalah diri sendiri apa bekalan untuk hidup di alam barzakh dan alam akhirat nanti? Apa persediaan yang telah dibuat untuk mengadap Allah Yang Maha Agong di padang mahsyar kelak? Fikirkanlah…

Adakah amalan bertambah dengan penambahan usia di muka bumi ini?

Adakah semakin dekat dengan ajal kita semakin dekat dengan Allah ‘Azza wa Jalla?
Adakah akaun pahala kita meningkat hari demi hari?

Adakah kita termasuk orang yang umurnya makin kurang dan amalan juga kian merosot? Dan lebih malang lagi kalau orang yang umurnya makin berkurang, maksiat pula bertambah kencang. Semoga kita dijauhkan Allah dari termasuk dalam kedua-dua golongan tersebut.

Monday, April 18, 2011

قرية – قارئة – قارعة

Tiga perkataan di atas semuanya dieja dengan huruf rumi qariah. Mereka yang tidak tahu perkataan asal dalam bahasa Arab seringkali tersalah sebut menyebabkan maksud yang dikehendaki jauh menyimpang. Kerana itu ejaan rumi bagi perkataan itu mesti dipinda untuk mengelak kesilapan menyebut yang membawa kesilapan maksud.

1. قرية – qaryah bermaksud kampong

2. قارئة – qari-ah bermakna orang perempuan yang membaca. Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, bila disebut قارئة ia bererti orang perempuan yang membaca al-Quran.

3. قارعة – qari’ah bermaksud Hari Qiamat sebagaimana terdapat di dalam salah satu surah al-Quran (surah ke 101).

Pastikan yang mana satu maksud yang anda kehendaki dan sebut biar betul.

Friday, April 15, 2011

Tuhan itu adil atau zalim?

Diceritakan bahawa seorang ibu telah datang menemui Nabi Daud a.s. lalu berkata:

Ibu – Wahai Nabi Allah! Adakah Tuhanmu zalim atau adil?

Nabi Daud – kenapa kamu ini wahai perempuan? Tuhan itu Maha Adil dan tidak pernah melakukan kezaliman! Apa yang telah berlaku ke atas dirimu?

Ibu – Aku seorang balu. Bersamaku tiga orang anak perempuan yang masih kecil. Aku menjaga mereka seorang diri dengan hasil tenunan tanganku. Semalam aku mengikat kemas-kemas tenunanku dalam sehelai kain berwarna merah dan membawanya ke pasar untuk dijual kemudian membeli barang-barang keperluan anak-anakku. Di pertengahan jalan, tiba-tiba seekor burung menyerangku, lantas menyambar tenunanku dan terbang entah ke mana. Kini tiada lagi yang tinggal untukku menyara anak-anakku.

Belum sempat Nabi Daud menjawab kata-kata ibu tersebut, tiba-tiba pintu diketuk dan Nabi mengizinkan orang yang mengetuk pintu itu masuk. Tetamu yang baru tiba itu terdiri daripada 10 orang saudagar yang di dalam tangan masing-masing terdapat wang sebanyak 100 dinar. Mereka berkata:

Saudagar – Wahai Nabi Allah, ambillah wang dinar ini dan berilah kepada orang yang berhak menerimanya!

Nabi Daud – Apa yang menyebabkan kamu menyerahkan wang ini kepadaku?

Saudagar – Wahai Nabi Allah, semalam kami berada di atas kapal layar untuk pergi berniaga. Tiba-tiba angin bertiub sangat kencang sehingga kapal layar kami hampir pecah dan kami hampir-hampir akan karam. Tiba-tiba seekor burung mencampakkan sehelai kain berwarna merah yang terdapat di dalamnya hasil tenunan. Maka kami gunakan kain dan benang itu untuk mengikat kapal layar kami dan menampung kebocorannya. Dengan itu kami dapat mengharungi angin ribut itu dengan selamat. Kami telah bernazar dengan Nama Allah bahawa setiap orang daripada kami mengeluarkan 100 dinar sebagai sedekah kerana Allah. Dan inilah wang tersebut. Ambillah dan berilah kepada sesiapa yang berhak pada pandangan Nabi.

Nabi Daud a.s. berpaling kepada ibu tadi seraya berkata:

Nabi Daud – Tuhan yang berniaga untuk kamu di darat dan di laut, sedang kamu menuduh-Nya zalim? Ambillah wang ini dan belanjakannya untuk anak-anakmu.

Tuesday, April 12, 2011

Aku ingin kembali kepada diriku, seorang perempuan!

Seorang penulis wanita Kuwait yang terkenal, Ghanimah al-Fahd, ketua pengarang majalah ‘Usrati’ dan bekas aktivis feminism meluahkan rasa hatinya yang disiarkan di dalam sebuah majalah yang bernama ‘al-Majallah’:

Kami telah menjejaki usia tua, harapan dan cita-cita kami turut meningkat. Kami telah mencapai semua yang kami hajati; kami telah menyelami pelbagai bidang ilmu pengetahuan lebih daripada apa yang mampu kami ungkapkan…

Kami telah menjadi seperti lelaki sepenuhnya: kami memandu sendiri kereta kami, kami musafir keluar negara seorang diri, kami memakai seluar panjang, memiliki akaun sendiri di dalam bank dan kami berjaya memegang jawatan kepimpinan di segenap lapangan.

Kami bergaul dengan kaum lelaki, bertemu dengan lelaki yang pernah kami takut ketika kami masih kanak-kanak.

Kemudian… lelaki tetap lelaki! Perempuan yang telah bertukar menjadi lelaki! Perempuan menjadi pengelola ke atas rumahnya, mendidik anak-anaknya dan memerintah pembantu rumahnya!

Dan selepas kami mencapai segala perkara, dada kami berasa puas dan selesa kerana kami kaum wanita di Kuwait telah berjaya menyaingi lelaki… aku berkata kepada kamu dengan terus terang, sebagaimana kebiasaanku (suka berterus terang):

Alangkah indahnya kewanitaan, alangkah indahnya perempuan yang dilindungi oleh lelaki, lelaki yang dipandang kuat oleh wanita, yang mampu melarang wanita musafir seorang diri, yang memintanya agar duduk di rumah menjadi suri.

Alangkah indahnya semua itu! Dia (wanita) mendidik anak-anaknya sambil mengurus daerah kekuasaannya (rumahtangganya) dan dia (lelaki) sebagai ketua yang gagah…! Ya! Aku katakan semua ini selepas apa yang aku alamai sendiri.

Aku ingin kembali kepada kewanitaanku yang telah hilang ketika aku terjebak dalam medan kehidupan dan kerjaya!

Saturday, April 09, 2011

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia memperingati tragedi Deir Yassin - 9 April 1948




Tarikh 9 April akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu 63 tahun yang lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada dinihari sekitar 4.30 pagi Jumaat 9 April 1948, kumpulan pengganas zionis Haganah membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan. Hanya seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya , beliau melihat sendiri bagaimana adek perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.

Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta darah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan oleh sekelompok manusia yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendukong zionis hanya berselindung disebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan yang jauh lebih keji dari apa yang mereka alami. Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap yang amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya. Cukuplah apa yang didedahkan oleh beberapa orang yang terselamat kerana terlindung di sebalik tumpukan mayat dan timbunan batu dan kayu yang menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka dan dikeluarkan janinnya. Semua ke 25 orang ibu yang mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini. Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga. Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin, namun sebagai umat yang bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampong halaman mereka meski terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong oleh Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negera-negara Eropah. Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati oleh tiga kumpulan pengganas yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern gang. Menjelang November 1974 apabila pelan pemisahan (partition plan) dilaksanakan oleh PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 mortas. Dengan pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampong halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.

Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doctor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.

Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar sadat hasil dari perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan Negara haram Israel. Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak oleh Menachem Begin dengan ucapan biadapnya ‘Selamat dating ke Jerusalem, ibu Negara abadi Israel’. Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir. Mesir yang sebelum itu merupakan satu-satunya Negara Arab yang mempunyai kekuatan yang standing dengan Israel bertukar menjadi kambing yang dikebirikan. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh oleh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.

Tragedi Deir Yassin adalah symbol berdirinya Negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan

“Tanpa apa yang dilakukan di deir Yassin maka tidak akan wujud Negara Palestin. Dia menambah; ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang Berjaya di medan-medan lain…orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panic sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!’

Menachem Begin dan semua pepimpin Israel yang dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat palestin tanpa sedikitpun merasa bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa ‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah. Inilah pendekatan yang masih digunakan oleh Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat palestin yang diperlukan bagi memastikan Negara haram Israel terus kekal dan lestari.

Aqsa Syarif mengajak umat islam dan rakyat Malaysia sempena ulang tahun tragedy pembunuhan Deir Yassin supaya memperbaharui tekad dan keazaman untuk membela rakyat Ralestin dan berjuang berganding bahu untuk memerdekakan rakyat dan bumi Palestin yang terjajah.

:Luka Deir yassin masih berdarah meski sudah berlalu 63 tahun. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.

Ayuh! Bersama Aqsa Syarif mempergiat usaha untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin.



Aqsa Syarif

9 April 2011

Wednesday, April 06, 2011

Ambil visa dari Yahudi untuk ziarah Masjid al-Aqsa?

Akhir-akhir ini terdapat beberapa syarikat pelancongan yang menawarkan lawatan ke Masjid al-Aqsa. Dan pastinya tawaran itu mendapat sambutan daripada kalangan umat Islam yang berada dengan segala senang hatinya tanpa berfikir dan bertanya pandangan Islam mengenainya. Mereka menganggap ini satu peluang keemasan untuk menziarahi masjid yang digalakkan oleh Nabi s.a.w. sendiri supaya menziarahinya.

Sebagai memenuhi amanah ilmu, ana turunkan di sini perbahasan para ilmuan mengenai hukum menziarahi al-Quds khususnya Masjid al-Aqsa pada masa kini, yang dikupas oleh Dr. Anas Jarrab (PhD. Jami’ah al-Ulum al-Islamiyyah, takhassus Fiqh wa Usul Fiqh).

Menurut beliau, berlaku perselisihan pendapat yang agak sengit di kalangan ulamak berhubung persoalan ini. Ada yang berpendapat harus dan ada juga yang mengatakan haram. Setiap golongan mengemukakan hujah serta dalil masing-masing.

Hujah golongan yang mengatakan harus:
Golongan ini berpendapat harus bagi seseorang muslim menziarahi al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa dari kedutaan Israel. Antara alasan yang mereka bawa ialah:
1. Qias kepada ziarah Mekah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang mana Mekah ketika itu berada di bawah penguasaan Musyrikin Quraisy. Sedia maklum bahawa kaum Quraisy memerangi Nabi s.a.w. Mereka menguasai tempat paling suci di muka bumi ini, iaitu Bait-Allah al-Haram. Sekiranya perbuatan ziarah itu haram, sudah tentu Rasulullah s.a.w. tidak akan melakukannya.
2. Ziarah boleh membantu rakyat Palestin dengan memberikan sokongan material dan moral, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menetap di al-Quds. Ini dapat meningkatkan semangat juang serta ketabahan mereka menentang musuh.
3. Perkongsian isu Palestin, khususnya isu al-Quds. Melalui lawatan dapat menzahirkan ikatan umat Islam dengan Bandar suci ini dan mendorong mereka mengambil berat mengenainya lebih daripada sebelumnya.
4. Ziarah sama sekali tidak bermakna mengiktiraf Negara Yahudi. Bahkan sekadar mengambil kebenaran masuk demi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu memelihara kesucian al-Quds dan meramaikan umat Islam di sana.
5. Qias kepada rakyat Palestin yang berada di dalam Palestin itu sendiri, di mana mereka masuk dan keluar al-Quds di bawah pengawasan Israel. Dan tidak ada seorang ulamak pun yang mengatakan keluar masuknya mereka itu haram.
6. Meraih pahala yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda yang bermaksud: “Jangan kamu bersusah payah bermusafir kecuali untuk mengunjungi tiga masjid; Masjid aku ini, Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa.” At-Tirmizi.

Dalil golongan yang mengatakan haram:
Golongan ini berpendapat tidak harus menziarahi Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa daripada penjajah Israel atau kedutaan mereka. Dalil mereka ialah:
1. Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kita bekerjasan dengan musuh dan menolong mereka. Allah berfirman maksudnya: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” (Al-Maidah:2). Masuk ke dalam al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa daripada mereka bererti kita menolong Yahudi dari segi material dengan membayar harga visa dan lain-lain. Dari segi moral juga memberi keuntungan kepada mereka dengan menunjukkan bahawa mereka membenarkan umat Islam masuk untuk ziarah Masjid al-Aqsa. Ini jelas merupakan satu bentuk tolong menolong dalam perkara dosa.
2. Sesungguhnya mengiktiraf rejim Yahudi adalah haram sebagaimana diputuskan oleh jumhur ulamak. Mengambil visa daripada mereka bererti kita memperakui kewujudan dan keabsahan kedutaan mereka. Dengan itu secara langsungnya kita mengiktiraf keabsahan kewujudan rejim mereka serta kekuasaannya di atas bumi umat Islam.
3. Palestin kini sedang dijajah. Kewajipan kita adalah membebaskan dan membersihkannya dari penjajahan. Sekiranya kita tidak mampu membebaskannya, maka lebih utama kita memboikot pihak yang menjajahnya, bukan dengan cara kita masuk ke dalam kedutaan mereka dan meminta izin daripada mereka untuk masuk, kemudian mereka yang menentukan sama ada kita boleh masuk atau tidak.
4. Masuk ke dalam keduataan Israel kemudian ke bumi Palestin menjadikan itu satu kebiasaan yang akan menjadikan orang berasa tidak salah lagi Yahudi menjajah bumi itu. Apa lagi segolongan besar mereka yang dapat masuk itu mengambil kesempatan pula menziarahi penempatan haram mereka seperti Tel Aviv, Haifa, Netanya, dan Kaisarea. Ini bererti suatu perkara yang mungkar dan keji.

Perbahasan dan tarjih (pemilihan pendapat yang paling tepat):
Pada hakikatnya, masalah ini tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja. Sebaliknya mesti dilihat dari semua sudut;
- dari sudut fiqh al-waqi’ (fiqh reality) di mana kita bercakap tentang reality yang dihadapi oleh umat Islam masa kini, bukan masa lampau
- dari sudut fiqh al-muwazanat yang bermaksud mengkaji maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) yang timbul daripada perkara ini (ziarah) kemudian mendahulukan mana yang lebih utama daripada keduanya (maslahah dan mafsadah). Al-Qarafi, di dalam kitabnya “Al-Furuq” berkata: “Maka sesungguhnya suruhan-suruhan Syarak berdasrkan maslahah yang murni atau benar-benar jelas (khalisah dan rajihah). Dan larangan-larangannya berdasarkan mafsadah yang khalisah dan rajihah.
- Isu ini juga berkaitan dengan fiqh al-maalat, iaitu mengambil kira natijah dan kesudahan selepas sesuatu tindakan yang kita lakukan. Dalam hal ini, Ibn al-Qayyim berkata di dalam kitabnya “I’lam al-Muwaqqa’een” : “Oleh kerana maqasid (matalamat) tidak boleh dicapai kecuali dengan sebab serta jalan-jalan yang menyampaikan kepadanya, maka sebab-sebab dan jalan-jalan itu mengikut matalamat yang hendak dicapai itu (dari segi hukumnya)”. Imam asy-Syatibiy, di dalam kitabnya “Al-Muwafaqat” berkata: “Dan melihat kepada maal (apa yang akan terjadi akhirnya) sesuatu perbuatan adalah sesuatu yang dituntut dan dan diberi perhatian oleh Syarak, sama ada maal itu bersesuaian atau bercanggah dengannya”.

Oleh itu, apabila kita melihat isu ini secara sempurna dan menyeluruh kita mentarjihkan pendapat yang mengatakan haram berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh golongan ini. Pihak yang mengatakan harus, berpegang kepada maslahah yang diharap akan berlaku, sedangkan pihak yang mengatakan haram mengingatkan mafsadah yang akan berlaku. Para ulamak telah menjelaskan bahawa apabila bertentangan antara mafsadah dengan maslahah, mestilah didahulukan dengan menolak atau mengelak mafsadah. Hal ini disebut oleh Ibn Nujaim al-Hanafiy di dalam kitabnya “al-Asybah wa an-Nadzair”: “Menolak mafsadah lebih diutamakan daripada menarik maslahah. Maka apabila berlawanan antara mafsadah dan maslahah, dahulukan menolak mafsadah”.
Maka bagaimana kalau mafsadah yang akan timbul lebih besar daripada maslahah yang diharapkan? Tentulah menolaknya lebih utama. Al-‘Izz bin Abdus-Salam berkata di dalam kitabnya “Qawaed al-Ahkam”: “Sekiranya mafsadah lebih besar daripada maslahah, kita tolak mafsadah dan tidak perlu peduli dengan hilangnya maslahah”.

Menolak hujah golongan yang mengatakan harus:
1. Qias kepada Nabi menziarahi Mekah untuk menunaikan umrah adalah qias ma’a al-fariq, iaitu qias sesuatu perkara kepada sesuatu yang berbeza dengannya. Kaum Quraisy bukan penjajah kora Mekah. Sebaliknya mereka adalah penduduk tempatan sejak berzaman. Mereka bukan datang dari serata pelusuk dunia untuk menguasai Mekah. Berbeza dengan Yahudi yang menjajah bumi Palestin dengan menggunakan kekerasan, menghalau dan mengusir penduduk asal secara zalim dan tidak bermaruah.
2. Adapun alasan membantu rakyat Palestin dengan bantuan material dan moral, boleh dilakukan dengan menyalurkan bantuan melalui jalan-jalan yang sah dan dipercayai. Dari segi sokongan moral pula, boleh dilakukan dengan mendokong isu Palestin, memberi kesedaran, menyebarkan kefahaman mengenainya dengan pelbagai cara yang sah. Ini boleh meningkatkan sokongan dunia dan mengambil berat mengenainya.
3. Kata-kata bahawa mengambil visa tidak bererti mengiktirah Yahudi adalah bercanggah dengan reality. Sedia maklum bahawa kedutaan adalah satu pengiktirafan kepada kewujudan sesebuah Negara. Masuk ke dalam kedutaan dan ambil visa adalah satu bentuk pengiktirafan kepadanya. Lebih-lebih lagi apabila kita mengambil visa bererti kita kena hormat undang-undang mereka dan tidak boleh melakukan perkara yang boleh menyentuh kepentingan mereka. Ini tentunya bercanggah dengan ajaran agama kita. Bagaimana kita boleh mengiktiraf ketuanan mereka di atas bumi umat Islam? Bagaimana kita reda berjanji tidak akan mencemarkan keselamatan mereka di atas bumi Palesti pada hal jihad menentang mereka adalah fardu ain?
4. Adapun qias kepada orang dalam Palestin yang keluar masuk itu juga qias ma’a al-fariq. Orang Palestin berinteraksi dengan Yahudi adalah berdasarkan fiqh al-waqi’ dan fiqh adh-dharurah. Mereka tidak boleh keluar dari rumah mereka dan tidak boleh mendapatkan apa-apa dokumen kecuali dengan izin Yahudi. Untuk mereka ada hukum khas yang tidak boleh disamakan dengan muslimin yang tidak berada di bawah penjajahan. Qaedah Fiqhiyyah menegaskan bahawa: “Sesuatu perkara itu apabila telah sempit akan diluaskan” dan “Dharurat (keterpaksaan) mengharuskan yang dilarang”. Maka qaedah ini diaplikasikan ke atas orang Palestin. Ia tidak boleh diaplikasikan ke atas orang lain yang tinggal di luar kerana mereka tidak terperangkap di dalam belenggu penjajahan.
5. Adapun hujah untuk mendapat pahala, maka kita boleh mendapatkannya dengan ziarah al-Haramain (Mekah dan Madinah). Di situ pahalanya lebih berganda-ganda lagi berbanding dengan al-Quds. Di samping itu maslahah yang umum, iaitu tidak bekerjasama dengan Yahudi dan memboikot mereka lebih diutamakan daripada maslahah khusus yang diperolehi oleh individu tertentu daripada ziarah itu.

Dengan ini jelaslah kepada kita kekuatan hujah pihak yang mengatakan haram berbanding dengan pihak yang mengatakan harus ambil visa dari Yahudi untuk ziarah Masjid al-Aqsa.
والله تعالى اعلم

Erti syukur

Seorang lelaki bertanya kepada Abu Hazim (salah seorang sahabat Nabi s.a.w.),

L – apakah yang dikatakan syukur mata itu, wahai Abu Hazim?
AB – jika engkau melihat kebaikan dengannya, engkau warwarkan, tetapi jika engkau melihat keburukan dengannya, engkau tutupkan

L – apakah pula maksud syukur telingan?
AB – jika engkau mendengar kabaikan dengannya, fahami dan ambil apa yang engkau denagar, tetapi jika engkau mendengar kejahatan dengannya, engkau tolak.

L – apakah pula syukur tangan?
AB – jangan ambil dengannya apa yang bukan haknya dan jangan tahan hak Allah yang ada di dalamnya (di dalam tanganmu)

L – apakah pula syukur perut?
AB – engkau jadikan bahagian bawahnya makanan dan bahagian teratasnya ilmu.

L – apakah pula syukur kemaluan?
AB – seperti firman Allah Ta’ala (maksudnya): “… dan orang-orang yang memelihara kemaluan mereka…”

Akhirnya Abu Hazim menyimpulkan, adapun orang yang bersyukur dengan lidahnya (dengan mengucap Alhamdulillah), tetapi tidak bersyukur dengan seluruh anggotanya, maka bandingannya adalah seperti seorang lelaki yang mempunyai pakaian, lalu dia memegang salah satu daripada hujungnya tetapi tidak memakainya. Maka dengan berbuat demikian, pakaian itu tidak langsung memberi manfaat kepadanya, ia tidak melindunginya sama ada daripada panas, sejuk, salji atau hujan.

Saturday, April 02, 2011

Jangan tergesa-gesa menghukum!

Suatu pagi dalam sebuah bilik darjah, seorang guru bertanya kepada salah seorang murid tahun satu:
Guru: apa pekerjaan ayah kamu?
Murid: (diam membisu)
Guru: (mengulangi soalannya) apa pekerjaan ayah kamu?
Murid: (masih membisu)
Keadaan itu menyebabkan murid-murid lain mentertawakannya, kelas jadi bising. Wajah murid itu kelihatan muram, kesedihannya bagai tidak terbendung. Guru pula tidak sabar dan mula meradang. Dengan suara yang agak tinggi dia menengking murid tadi,
Guru: hai bodoh! Kamu tak tahu apa pekerjaan ayah kamu?
Dalam deraian air mata dia menjawab dengan suara yang hampir tidak kedenganran, “dia sedang tidur di dalam kuburnya…!”