Genap satu tahun, bermula pula tahun yang baru. Begitulah putaran dunia ini. Hari menjadi bulan. Bulan bertukar tahun melintasi hidup kita dengan kepantasan yang begitu menakjubkan.
Adakah kita benar-benar mengetahui nilainya?
Sesungguhnya hari-hari yang berlalu tidak lain dan tidak bukan, itulah sebenarnya usia kita.
Berlalu satu hari, bahkan satu detik, berkuranglah umur kita dan bertambah dekatlah kita kepada ajal. Detik yang sedang kita berada sekarang ini sekejap lagi akan pergi seperti detik-detik lalu yang telah pergi. Dan detik yang lain pula akan menggantikan tempatnya. Kemudian pergi lagi dan bertukar lagi. Kemudian, tiba-tiba, sedar tak sedar kita telah berada di dalam kubur!
Maka apa yang kita sediakan?
Detik inilah satu-satunya peluang untuk kita mengumpul bekalan kerana apabila kita telah terbaring di dalam kubur, tiada lagi peluang untuk mencari bekalan, tiada lagi peluang untuk kembali memperbaiki kesilapan.
Maka apa yang patut kita persiapkan?
Soalan yang mesti dijawab sendiri oleh setiap orang daripada kita. Renung dan tanyalah diri sendiri apa bekalan untuk hidup di alam barzakh dan alam akhirat nanti? Apa persediaan yang telah dibuat untuk mengadap Allah Yang Maha Agong di padang mahsyar kelak? Fikirkanlah…
Adakah amalan bertambah dengan penambahan usia di muka bumi ini?
Adakah semakin dekat dengan ajal kita semakin dekat dengan Allah ‘Azza wa Jalla?
Adakah akaun pahala kita meningkat hari demi hari?
Adakah kita termasuk orang yang umurnya makin kurang dan amalan juga kian merosot? Dan lebih malang lagi kalau orang yang umurnya makin berkurang, maksiat pula bertambah kencang. Semoga kita dijauhkan Allah dari termasuk dalam kedua-dua golongan tersebut.
No comments:
Post a Comment