Sunday, July 03, 2011

Ucapan Musyid Am ketika merasmikan Muktamar Akhawat Muslimat Pertama (2 July 2011)



Akhawat yang mulia, hadirin yang dihormati,
Saya memuji Allah di atas nikmat-nikmatNya yang besar dan kurniaanNya yang agung yang diacurahkan ke atas bumi Mes i rtercinta melalui tsaurah yang cukup hebat yang mengembalikan Mesir ke tempat yang selayaknya serta membetulkan hala tujunya selepas dilanyak dan dipendamkan beberapa tahun lamanya.

Pertamanya izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap ibu-ibu, bapa-bapa, isteri-isteri dan anak-anak para syuhadak yang mulia, syuhadak tsaurah yang diberkati. Meskipun mereka tidak ada bersama dengan kita, namun kita tidak bersedih kerana mereka hidup di sisi Tuhan mereka, mendapat rezeki sepanjang masa. “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Aali Imran: 169-171)

Akhawat yang mulia, hadirin yang dihormati,
Tiada siapa dapat menafikan peranan, penglibatan serta sumbangan akhawat Mesir di dalam tsaurah. Mereka memainkan peranan berkesan sama ada sebagai aktivis, ibu, adik atau kakak serta isteri. Mereka mengambil berat tentang isu tanah air, mempertahankan kedaulatannya dan mencetuskan perubahan, bukan hanya sekadar pemerhati semata-mata.

Sesungguhnya peranan besar yang dimainkan oleh wanita Mesir sehingga tsaurah mencapai kemenangan yang diberkati akan tercatat di lembaran sejarah dengan cahaya dan dakwat daripada emas, supaya dunia dapat belajar daripadanya bagaimana wanita Mesir mencipta sejarah tanah airnya, menentang kezaliman dan penindasan, menjadi contoh bagaimana wanita melibatkan diri dengan masyarakatnya, menyelami duka dan derita masyarakat, bergandingan dan berkerjasama dengan lelaki.

Sesungguhnya wanita Mesir telah menyumbang barisan-barisan pejuang dalam pelbagai bidang sejak hari pertama tercetusnya tsaurah. Sebahagian mereka ada yang syahid dengan izin Allah dalam keadaan reda tanpa takut dan gentar pada sesiapa agar wanita Mesir mengetahui betapa besar tanggungjawabnya dalam mendokong kedaulatan Negara dan tanah air.

Wanita Mesir mendokong tsaurah dengan apa yang dimilikinya; harta, anak, tenaga dan peluh. Keberanian mereka, kemaraan mereka serta sokongan mereka kepada suami, anak dan saudara-saudara lelaki menimbulkan kekaguman di kalangan semua pemerhati. Para wanita mendorong kaum lelaki agar terus tabah menentang kezaliman dan orang-orang yang zalim dan jangan berundur. Apabila salah seorang anak mereka syahid, mereka tidak lemah dan mengalah, sebaliknya terus mendorong anak-anak yang lain agar terlibat di medan tsaurah dengan peranan yang berbagai-bagai. Semua itu menjadi saham yang amat bermakna dan berkesan dalam kejayaan tsaurah selepas nikmat serta kurniaan Allah.

Akhawat yang mulia, hadirin yang dihormati,
Sesungguhnya peranan yang dituntut untuk kemajuan Mesir pada masa mendatang lebih besar daripada sebelumnya kerana pembinaan memerlukan sumbangan tenaga, pengorbanan dan usaha yang lebih banyak. Justeru, marilah kita semua berusaha menyumbang apa saja yang ada; tenaga, ilmu, kemahiran dan lain-lain bagi membina Mesir baharu demi masa depan anak-anak dan kemajuannya.

Dan kamu, wahai akhawat hendaklah menghiasi dirimu dengan sabar dalam menghadapi segala rintangan dan kepayahan. Carilah jalan-jalan untuk mengatasinya, jangan jadikan kesusahan itu sebagai batu penghalang yang menyekat perjalanan kamu menuju matlamat. Sesungguhnya dengan pertolongan Allah kita telah dapat melangkahi kesusahan yang lebih besar dan lebih sukar daripada itu.

Sesungguhnya peranan yang dituntut daripada wanita Mesir di saat persimpangan sejarah Mesir tercinta ini tidak kurang daripada peranan yang telah dimainkan dalam mendokong tsaurah. Kita hendaklah menyatukan tenaga, menggandingkan kekuatan dan keupayaan untuk membina apa yang telah diruntuhkan oleh rejim dahulu. Wanita mesti menggembleng tenaga secara berkesan dalam pelbagai bidang; politik, kemasyarakatan dan pendidikan.

Sesungguhnya peranan kamu dalam menyebarkan nilai-nilai murni dalam masyarakat, mendidik generasi muda, menerapkan kefahaman Islam dalam jiwa dan minda anak-anak merupakan peranan kamu yang paling penting pada marhalah sekarang. Dengan itu kita dapat mengangkat kedudukan individu, menyerlahkan potensi dan kekuatan mereka untuk melakukan perubahan, membina Negara, serta bersedia untuk berkorban demi mempertahankan kedaulatannya.

Sesungguhnya Mesir, pada saat yang mencabar seperti ini sangat memerlukan usaha kamu untuk mendidik rakyatnya dan membangunkan rasa izzah, mulia, merdeka, cintakan tanah air dalam diri mereka. Prinsip dan nilai itu mesti dimiliki tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita, muslim atau masihi, yang berfahaman libral, sosialis atau kapitalis. Kita semua adalah rakyat Mesit, negeri ini milik kita semua, kemajuannya tanggungjawab kita bersama.

Sesungguhnya keteguhan nilai mulia di dalam jiwa anak-anak muda bererti masa depan yang cemerlang dan gemilang bagi Mesir dengan izin Allah Ta’ala.

Akhawat yang mulia, hadirin yang dihormati,
Dalam mengharungi arus peristiwa yang hebat ini jangan lupa membelai dirimu dengan iman dan tarbiah, sama ada tarbiah zatiah atau ijtimaiyyah. Hendaklah kamu memperuntukkan waktu yang cukup untuk tazkiatun-nafs, mengelokkan hubungan dengan Allah dan mengikhlaskan niat demi mencari keredaan-Nya semata-mata. Dia-lah satu-satunya Penolong. Dengan berkat kejujuran dan keikhlasan, masa akan jadi singkat, tenaga dapat dikurangkan dan beban menjadi ringan.

Sesungguhnya Allah s.w.t. yang memberi nikmat dan kelebihan kepada kita semua dengan kejayaan tsaurah. Maka hendaklah kita menghampirkan diri kepadaNya dengan taat, beramal dengan apa yang disukai dan diredhai-Nya di samping menjauhkan diri dari apa yang dimurkai-Nya. Dia-lah Penolong, Pelindung dan tempat bergantung.

وصلى اللهم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
والله أكبر ولله الحمد

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=210&ArtID=87037

1 comment:

rokiah said...

jazakillah kak maznah. Mohon izin kongsi dengan rakan2 lain. Moga ente dan keluarga sentiasa dalam rahmat Allah.kiah aziz