“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Maksud al-Isra’:1)
Ketika mengingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj, beberapa lintasan berligar di dalam diriku:
Tidakkah terdapat suatu perbezaan yang sangat aneh, apabila umat Islam begitu mengambil berat mengadakan perayaan mengingati malam yang hebat, malam di mana Allah membawa Nabi-Nya berjalan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, Allah perlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya, Allah serlahkan kepadanya ni’mat yang agong, sedang pada masa yang sama Masjid al-Aqsa ini, bumi yang diberkati di sekitarnya dan Palestin yang suci tanahnya diancam dengan serangan membabi buta oleh Yahudi yang tamak haloba, imprialis Barat dan Amerika. Kaum muslimin yang memperingati Isra’ dan Mi’raj hanya melihat dan tidak bergerak, bercakap tapi tak buat, walhal orang lain berusaha sungguh-sungguh, mara ke depan untuk mencapai apa yang mereka inginkan!
Tidakkah suatu perbezaan yang sangat aneh, umat Islam dapat mengupas bagaimana pada malam yang agong itu Allah Tabaraka wa Ta’ala mengangkat Nabi-Nya yang agong melapasi langit tertinggi, sehingga ke Sidratul-Muntaha, “Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia berjuntai sedikit demi sedikit, Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi;” (Maksud an-Najm: 8-9), umat membaca firman Allah yang bermaksud: “…Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman;…” (Al-Munafiqun:8) di samping tidak ketinggalan membaca sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan kehinaan daripada dirinya dengan sukarela tanpa dipaksa, maka dia bukan daripada kalanganku.” Umat juga sentiasa mengulang-ulang ayat suci yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab:21) Kemudian setelah semua itu mereka rela berada di tahap paling rendah, berpuas hati dengan kedudukan yang hina dina, bertapak di tempat paling corot di belakang umat dan bangsa-bangsa lain, tunduk kepada kuasa perampas dan penindas yang zalim, pada hal Allah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada mereka yang berjihad?!
Bukankah suatu perbezaan yang aneh, bahawa umat ini mengetahui ayat pertama yang diturunkan di dalam al-Qurannya ialah: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Maksud al-‘Alaq: 1-5), dan Allah Tabaraka wa Ta’ala, ketika Dia Membawa Nabi-Nya berjalan di waktu malam dan mengangkatnya ke langit, Dia mahu menunjukkan kepada Nabi-Nya itu tanda-tanda kekuasaan-Nya yang Maha Besar, dia mahu memperlihatkan kepada Nabi-Nya rahsia-rahsia alam dan khazanah kewujudan, Dia mahu mengisi hati dan minda Nabi-Nya dengan ilmu dan ma’rifah, sehingga Nabi-Nya mencapai puncak keimanan dan keilmuan secara serentak. Selain itu, Allah memerintahkan Nabi-Nya dengan tegas agar berjalan di muka bumi dan memerhati ciptaan alam ini di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)…” (Yunus:101). Kemudian selepas semua itu umat ini hanya berpada dengan pengetahuan senipis kulit, baik mengenai ilmu keduniaan mahupun rahsia-rahsia keagamaan.
Umat ini terkebelakang dari rombongan umat-umat lain dalam memanfaatkan sumber kekuatan alam yang Allah ciptakan untuk kegunaan manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jathiah:13), sehinggakan mereka diperintah oleh umat lain dengan kekuatan kebendaan yang ada pada mereka dan keupayaan mereka menguasai ilmu sains dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan rahsia kejadian alam?!
Ada satu lagi keanehan, iaitu orang-orang yang terpedaya dengan ilmu mereka yang cetek berkata: bagaimana mungkin seseorang manusia itu beralih dari Mekah ke Baitul-Maqdis dalam jangka masa yang begitu singkat sebelum wujud motokar dan sebelum tercipta kapalterbang? Bagaimana dia boleh mendaki ke langit tinggi yang tidak dilengkapi dengan apa-apa yang diperlukan untuk manusia hidup seperti udara, air dan makanan?! Bagaimana dia boleh bertahan tanpa lebur bertembung dengan jutaan cakrawala ketika dia meluru ke langit dengan kepantasan yang sukar dipercayai? Dan lain-lain lagi persoalan yang ditimbulkan untuk mencari alasan menolaknya (peristiwa Isra’ dan Mi’raj).
Kita berkata kepada mereka ini: sesungguhnya perkara ini jauh lebih mudah daripada apa yang kamu sangkakan. Topic ini jauh lebih enteng daripada apa yang kamu gambarkan! Sesungguhnya kamu mengakui bahawa kamu tidak memahami semua kekuatan alam dan ilmu kamu tidak menyeluruh mengenai undang-undang alam. Maka letakkan dalam andaian kamu bahawa apa yang berlaku itu termasuk dalam ruang lingkup yang kamu tidak ketahui, tergolong dalam lingkungan perkara yang kamu tidak faham. Bukankah Allah berfirman maksudnya: “… dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Al-Isra’:85) Sekiranya kamu perhatikan kembali sejarah penemuan sains mengenai setiap perkara baru, kamu akan ingat bahawa setiap kali penemuan baru dikemukan pasti akan berdepan dengan penolakan dan keingkaran. Malah seringkali saintis yang berjaya menemui perkara baru itu dituduh berdusta dan mereka-reka. Kemudian secara beransur-ansur akal manusia akan tunduk ke bumi nyata. Mereka akan terima sepenuhnya setelah puas menafi dan mendustakan dengan pelbagai hujah dan alasan.
Kami ingin berkata kepada mereka: begitulah juga, sesungguhnya ilmu sains moden telah membuktikan secara saintifik kebenaran apa yang kamu ragukan. Mereka dapat membuktikan bahawa kekuatan jiwa dapat mengatasi kekutan fizikal dan benda, dengan kekuatan metafizik manusia boleh memindahkan sesuatu benda dari satu tempat ke tampat yang lain, malah boleh mengangkatnya dari permukaan bumi. Pakar-pakar ilmu kerohanian telah melakukan beberapa percubaan, di mana mereka boleh mengangkat orang-orang yang duduk di atas kerusi mereka terangkat dari lantai beberapa meter. Justeru, kalau manusia dapat melakukan perkara menakjubkan seperti itu dengan kekuatannya yang sekelumit cuma, maka apa yang anehnya kalau Allah menganugerahkan kepada Nabi-Nya, Muhammad s.a.w. kekuaran ruhi yang boleh membawanya mengatasi puncak langit tertinggi mengikut Kehendak-Nya? Sesungguhnya tidak susah untuk menolak dan mengingkari sesuatu bagi mereka yang mahu menolak, tetapi perbuatan itu sebenarnya bukanlah lahir daripada orang yang benar-benar mantap ilmunya. “… dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Aali Imran:7)
Maka, wahai umat Nabi yang agong s.a.w. berbanggalah, rasailah kemuliaanmu, tuntutlah ilmu dan berjuanglah. Berimanlah kepada Allah dengan iman yang mendalam. Itulah kemenangan yang nyata. “ Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Maksud at-Taubah:105)
Surat khabar harian Ikhwan Muslimin, bil.48 tahun pertama, 28 Rejab 1365 bersamaan 28 Jun 1946
No comments:
Post a Comment