“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
Maksud al-Qadar: 1 – 5
Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Mujahid, Nabi s.a.w. menyatakan bahawa seorang lelaki Bani Israel memikul senjata berperang di jalan Allah selama seribu bulan!
Pernyataan itu membuatkan umat Islam berasa kagum. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat di atas.
Ibn Jarir meriwayatkan daripada Mujahid, di kalangan Bani Israel terdapat seorang lelaki yang bangun malam sehingga subuh, di waktu siang memerangi musuh sehingga ke petang. Hal itu dilakukan selama 1000 bulan. Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat di atas yang membawa maksud: qiam pada malam tersebut lebih baik daripada amalan lelaki Bani Israel itu.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam pada malam al-Qadar dengan iman dan ihtisab (mengharap rahmat dan redha Allah), diampunkan dosanya yang telah lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Daripada Abu Hurairah r.a. juga, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya ia (lailatul-Qadar) yang ke 27 atau 29. Dan sesungguhnya para malaikat pada malam itu berada di bumi lebih banyak daripada bilangan anak batu.” Riwayat Abu Daud at-Toyalisi.
Daripada Ibn ‘Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Ia satu malam yang tenang, lapang, luas tiada batasan. Tidak panas dan tidak sejuk. Di waktu paginya matahari muncul dengan warna merah yang lemah.” Riwayat Abu Daud at-Toyalisi.
Daripada Jabir bin Abdullah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Aku melihat Lailatul-Qadar, tetapi aku telah lupa waktunya. Ia pada salah satu malam daripada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan. Ia satu malam yang cerah, ceria dan nyaman. Tidak panas dan tidak sejuk. Seolah-olah ada bulan yang menerangi. Syaitan tidak keluar pada malam itu sehingga terbit cahaya fajar.” Ibn Kathir.
Daripada Abdullah bin Buraidah, Aisyah r.a. berkata: “Ya Rasulullah, sekiranya aku bertemu Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut dipohon?” Baginda menjawab: “Pohonlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampunkan, maka ampunilah aku!”
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
No comments:
Post a Comment