Jemaah haji merupakan tetamu Allah yang terpilih. Sebagai tetamu kepada Yang Maha Agong, sewajarnya para jemaah memelihara adab, hukum-hakam dan tatacara yang selayaknya bermula dari saat membuat keputusan untuk pergi menyahut panggilan haji atau lebih awal daripada itu.
Di dalam kitab ‘al-Idhah fi mansikil-hajji wal-umrati’, Imam an-Nawawi telah menukilkan 29 adab safar (perjalanan), khususnya perjalanan ke tanah suci untuk menunaikan fardhu haji dan umrah.
Di sini saya petik sebahagian daripada adab-adab yang telah dinukilkan beliau. Sebahagiannya tidak dimasukkan bukan kerana tidak penting, tetapi kerana apa yang dinukilkan itu tidak berkaitan dengan bentuk perjalanan masa kini. Allahu A’lam.
Adab-adab safar:
1. Disunatkan bermesyuarat meminta pandangan mereka yang boleh dipercayai dari segi agamanya, pengalamannya dan ilmunya tentang kesesuaian waktu untuk menunaikan haji pada tahun ini.
2. Setelah berazam untuk menunaikan haji, hendaklah beristikharah memohon petunjuk daripada Allah Ta’ala. Istikharah ini bukan untuk memilih sama ada pergi menunaikan haji atau tidak kerana Haji itu sendiri tidak diragukan akan kebaikannya, tetapi meminta petunjuk dari segi waktu pelaksanaannya sama ada tahun ini atau tahun yang lain. (Kaifiat dan doa istikharah, boleh rujuk buku-buku doa)
3. Apabila keputusan telah dibuat, keazaman telah bulat, mulalah bertaubat dari segala maksiat dan perkara-perkara yang tidak disukai Allah dan Rasul. Bebaskan diri dari segala kezaliman terhadap makhluk, tunaikan hutang piutang yang terdaya ditunaikan, pulangkan barang-barang yang diamanahkan, minta halal segala salah silap dalam pergaulan dan perhubungan. Tuliskan wasiat mengenai hutang-hutang yang belum mampu atau belum sampai waktu untuk ditunaikan. Siapkan nafkah yang secukupnya untuk mereka yang wajib ditanggungi sehingga waktu pulang.
4. Berusaha bersungguh-sungguh untuk medapat keredhaan ibu bapa dan mereka yang berkenaan seperti guru-guru, suami bagi seorang isteri dan lain-lain.
5. Pastikan perbelanjaan yang digunakan untuk menunaikan haji itu daripada harta yang halal dan bersih dari sebarang syubhah dan keraguan.
6. Disunatkan membawa perbelanjaan yang lebih untuk menolong mereka yang berhajat dengan hati ikhlas dan berlapang dada.
7. Disunatkan tidak terlalu tawar menawar ketika membeli barang -barang atau menyewa barang dan perkhidmatan untuk kegunaan pelaksaan hajinya.
8. Disunatkan perbelanjaan yang dibawa tidak dikongsi dengan orang lain agar lebih mudah untuk membelanjakannya pada jalan kebaikan tanpa perlu meminta izin daripada rakan kongsi.
9. Hendaklah mempelajari cara-cara melaksanakan haji dengan sebaiknya. Ini merupakan fardu ain ke atas setiap muslim yang hendak menunaikan haji kerana tanpa ilmu ibadah tidak sah.
10. Carilah teman yang baik, yang suka kepada kebaikan dan benci kepada keburukan. Apabila kita lupa dia akan peringatkan, dan apabila kita ingat dia akan membantu memperkuatkan.
11. Disunatkan pergi dan balik dalam keadaan tangan kosong dari segala harta dagangan. Walaupun tidak haram untuk berniaga di musim haji, namun sebaiknya tidak menyibukkan diri dengan urusan yang lain daripada amalan haji, lebih-lebih lagi jika haji itu merupakan haji fardu.
12. Disunatkan sebelum keluar dari rumah, tunai solat sunat dua rakaat dengan membaca surah al-kafirun pada rakaat pertama dan al-ikhlas pada rakaar kedua selepas membaca al-fatihah. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada perkara yang ditinggalkan oleh seseorang kamu di sisi keluarganya selain daripada dua rakaat yang ditunaikan di sisi mereka ketika dia hendak bermusafir.” Selepas salam, sunat dia membaca Ayat Kursi dan surah al-Quraisy kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat.
13. Disunatkan mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga, jiran dan kawan-kawan serta saling doa mendoakan dengan doa ini.
أستودع الله دينك وأمانتك وخواتيم عملك, زودك الله التقوى وغفر ذنبك ويسرلك الخير حيث كنت
Maksudnya: “aku amanahkan kepada Allah agamamu, amanahmu dan kesudahan amalanmu. Semoga Allah membekalkanmu dengan taqwa, mengampunkan dosamu, memudahkanmu akan kebaikan di mana jua engkau berada.”
14. Ketika keluar dari rumah, sunat membaca doa keluar rumah (rujuk buku-buku doa) yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w.
15. Apabila menaiki kenderaan, bacalah doa menaikki kenderaan (insya Allah ramai dah tahu).
16. Elakkan diri dari terlampau kenyang, berhias dengan cara berlebih-lebihan, bermewah-mewah dengan pelbagai jenis pakaian dan makanan.
17. Apabila kenderaan naik ke tempat tinggi sunat bertakbir, dan apabila menurun sunat bertasbih.
18. Apabila berhenti di sesuatu tempat, sunat baca doa berikut:
أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق
19. Apabila menjelang malam di waktu dalam perjalanan sunat baca doa sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibn Umar r.a. (doanya agak panjang, boleh rujuk buku panduan doa)
20. Jika berdepan dengan seseorang yang ditakuti atau digeruni, baca doa berikut:
اللهم إنا نجعلك فى نحورهم ونعوذ بك من شرورهم
21. Disunatkan membanyakkan doa di sepanjang perjalanan untuk diri, ibu bapa, keluarga, orang-orang yang disayangi, pemimpin-pemimpin umat Islam dan seluruh kaum muslimin agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiga doa yang mustajab, tiada keraguan tentangnya: doa orang yang dizalimi, doa orang yang musafir dan doa ibu bapa ke atas anaknya.” Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi.
22. Disunatkan sentiasa memelihara wuduk dan sentiasa berusaha untuk tunaikan solat di awal waktu. Disunatkan juga mengamalkan solat jamak dan qasar apabila memenuhi syarat-syaratnya sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Untuk makluman sahabat-sahabat pengunjung Zaadut-Taqwa, insya Allah pada tahun ini ana dan suami terpilih untuk menjadi tetamu ar-Rahman. Oleh itu bagi pihak diri sendiri dan suami ana menyusun jari memohon berbanyak-banyak maaf dari antum semua di atas apa jua kesalahan yang telah kami lakukan. Tolong doakan supaya Allah mudahkan segala urusan perjalanan dan pelaksanaan ibadah yang agong ini dan Allah bantu ana dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan oleh pihak TH.
جزاكم الله خيرا كثيرا
No comments:
Post a Comment