Thursday, September 15, 2011

Wahai Rasulullah...!!!

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ‌ۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ ۥ‌ۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.” [Al-Maidah:67]

Allah memanggil Nabi dengan nama kerasulan (wahai Rasul!) dan memerintahkan agar baginda menyampaikan kepada manusia semua yang diutuskan kepadanya.

Dan sesungguhnya baginda s.a.w. telah melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sebaik-baiknya. Ketika mentafsirkan ayat ini, al-Bukhari menyatakan bahawa Sayyidatuna Aisyah r.a. telah berkata: “Sesiapa yang berkata kepadamu bahawa Muhammad s.a.w. telah menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diturunkan Allah kepadanya, maka sesungguhnya dia benar-benar telah berdusta.”

Di dalam as-Sohihain (dua kitab sahih, al-Bukhari dan Muslim), Aisyah r.a. berkata: “Sekiranya Muhammad s.a.w. seorang yang menyembunyikan sedikit daripada al-Quran, nescaya ayat yang akan disembunyikan adalah
وَتُخۡفِى فِى نَفۡسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبۡدِيهِ وَتَخۡشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَٮٰهُۖ
Maksudnya: “…engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya)…” al-Ahzab:37

Ibn Abi Hatim menceritakan apa yang didengar dari Harun bin ‘Antarah. Dia berkata, ayahnya menceritakan: “Ketika aku berada di sisi Ibn Abbas r.a., tiba-tiba datang seorang lelaki berkata: “Beberapa orang datang kepada kami memberitahu bahawa pada kamu terdapat sesuatu yang tidak dinyatakan oleh Rasulullah kepada orang ramai?” Ibn Abbas berkata, “Tidakkah kamu tahu bahawa Allah Ta’al berfirman (maksudnya): “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu..”? Demi Allah! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak mewariskan kepada kami yang hitam dalam yang putih.”

Daripada Wahab bin Abdullah, dia berkata: saya telah berkata kepada Ali bin Abi Talib r.a. “Adakah terdapat di sisimu sesuatu daripada wahyu yang tidak terdapat di dalam al-Quran?” Ali menjawab: “Tidak! Demi Tuhan Yang membelah biji benih, tidak ada selain daripada kefahaman yang diberikan Allah kepada seseorang tentang al-Quran dan apa yang ada di dalam sahifah ini. Saya bertanya, “Apa yang ada di dalam sahifah ini?” Ali menjawab, “Akal atau diyat, membebaskan tawanan dan tidak dibunuh balas seorang muslim yang membunuh kafir.” Al-Bukhari

Al-Bukhari memetik kata-kata az-Zuhriy: “Daripada Allah ar-Risalah, ke atas Rasulullah al-balagh (menyampai), dan ke atas kita at-taslim (patuh dan menyerah).”

Sesungguhnya seluruh umat menjadi saksi bahawa baginda benar-benar telah menyampaikan risalah dan menunaikan amanah. Pada perhimpunan agung Haji Wadak, baginda telah mendengar pengakuan dan persaksian para sahabat yang berjumlah kira-kira 40000 orang tentang kesempurnaan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh baginda. Daripada Jabir bin Abdullah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda semasa menyampaikan khutbah pada hari tersebut (maksudnya): “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya kamu bertanggungjawab tentang diriku. Maka apakah yang akan kamu katakana?” Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, engkau telah menunaikan dan engkau telah menasihatkan!” Maka baginda mengangkat jari-jarinya ke langit dan menuding ke arah mereka sambil bersabda:
اللهم هل بلغت؟
maksudnya: “Ya Tuhanku, adakah aku telah menyampaikan?” Riwayat Muslim

YA WAHAI RASULULLAH, ENGKAU TELAH MENYAMPAIKAN!!!

No comments: