Saturday, March 17, 2012

Kitaran Kehidupan

Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang tua yang hidup sederhana di sebuah kawasan tanah tinggi bersama keluarga, di kelilingi jiran-jiran yang baik dan berbudi.

Dia mempunyai seekor kuda yang sangat disayanginya.

Pada suatu hari kudanya hilang entah ke mana. Datanglah jiran-jirannya yang baik itu mengucap takziah di atas kemalangan yang menimpanya. Dengan tenang dia berkata kepada jiran-jirannya, “Mana anda tahu kejadian itu sesuatu yang malang buatku?”

Beberapa hari kemudian kuda kesayanganya pulang diekori beberapa ekor kuda lain yang agak banyak bilangannya. Sekali lagi jiran-jirannya datang mengucapkan tahniah di atas perkara yang sangat menguntungkannya. Dengan tenang dia berkata, “Mana kalian tahu perkara itu akan membahagian hidupku?”

Keesokannya, salah seorang anak lelakinya yang sedang meningkat remaja hendak melatih satu daripada kuda-kuda yang banyak itu. Ketika dia menungganginya, tiba-tiba dia terjatuh dan kakinya patah. Dan seperti biasa jirannya datang mengucap takziah di atas kemalangan yang menimpa anaknya. Jawapan yang diberikan kepada jirannya juga sama, “Mana kalian tahu, kejadian itu suatu yang malang?”

Beberapa hari kemudian, pihak pemerintah mengisytiharkan peperangan dengan negara jiran. Pemuda-pemuda dikerah untuk berangkat ke medan perang. Akibatnya ramai di kalangan anak muda di daerahnya terkorban dalam peperangan itu. Tetapi anaknya terselamat. Dia dikecualikan daripada pergi berperang kerana kakinya patah!

Demikianlah kitaran hidup ini. Sesuatu yang nampak baik tidak semestinya menguntungkan kita. Dan sesuatu yang nampak tidak baik tidak semestinya merugikan kita.

Justeru, jangan terlalu gembira apabila mendapat kejayaan dan jangan terlalu bersedih apabila diuji dengan kegagalan. Kita tidak tahu apa kebaikan yang Allah rancang untuk kita pada hari esok di sebalik apa yang menimpa kita pada hari ini.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya”.

Sunday, March 11, 2012

Sensitifnya Seorang Isteri

Suatu petang di bulan Ramadan.

Seorang suami duduk mengadap meja menunggu waktu berbuka. Manakala isteri masih sibuk menyiap dan menghidangkan juadah untuk berbuka.

Sementara menunggu azan berkumandang, suami menadah tangan dan berdoa. Antara yang dipohon di dalam doanya ialah supaya sahabatnya Khalid diberi taufiq oleh Allah dan dipertemukan jodoh dengan wanita solihah.

Tiba-tiba, isterinya datang dan memukulnya dengan kuat.

Suami terkejut dan kehairanan lantas bertanya: “Kenapa awak pukul saya? Saya berdoa untuk sahabat saya, Khalid!”

Isterinya menjawab: “Saya tahu!”

“Habis tu, kenapa awak pukul saya? Apa salahnya saya berdoa untuknya?”

“Abang boleh doakan apa saja untuk sahabat abang tu, tapi jangan doakan supaya dia berkahwin!”

Suami bertamah hairan mendengar jawapan isterinya yang pelik itu.

“Kenapa saya tak boleh doa supaya dia berkahwin?”

“Sekarang ni waktu mustajab. Kalau abang doa untuknya, malaikat akan kata, “dan untukmu pun begitu juga!”

Ha ha ha. Jauhnya fikiran seorang isteri…

Wednesday, March 07, 2012

Ziaralah al-Quds sebagai insan yang merdeka, bukan penderhaka!


Oleh : Prof. Abd as-Sattar Qasim

Di dalam Muktamar Doha khas mengenai al-Quds, Mahmud Abbas telah menyeru umat Islam dan Arab agar menziarahi al-Quds sebagai tanda sokongan dan dokongan mereka terhadap Bandar Suci itu dalam menghadapi usaha meyahudikannya. Beliau berkata bahawa ziarah yang dilakukan tidak bermakna suatu pengiktirafan kepada Israel. Seruan ini telah disambut oleh kebanyakan khatib di beberapa masjid di Tebing Barat pada hari Jumaat 2 Mac 2012. Mereka mengulangi seruan agar umat Islam dan Arab datang menziarahi Bandar al-Quds. Mereka mengecam Shaikh Yusuf al-Qardhawi yang mengharamkan menziarahi al-Quds selagi Bandar itu berada di bawah cengkaman Israel dan menganggapnya sebagai mengiktiraf Negara haram itu. Para khatib itu membandingkan percubaan Rasulullah s.a.w. untuk menziarahi Makkah yang ketika itu berada di bawah kekeuasaan musuh-musuhnya yang terdiri dari kafir Quraisy.

Namun, perlu diingat bahawa Rasulullah s.a.w. menziarahi Makkah dengan senjata di tangannya. Dan Allah Ta’ala telah memilih agar tidak berlaku peperangan, sebaliknya berakhir dengan suatu perdamaian atau gencatan senjata di Hudaibiah. Rasulullah s.a.w. tidak menziarahi Makkah dalam keadaan hina dan tunduk kepada musyrikin. Sebaliknya baginda pergi dengan kekuatan, penuh rasa bangga dan mulia dan siap siaga menyahut cabaran. Firman Allah bermaksud: “(Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmanNya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Dia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Dia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman dan juga supaya Dia menambahkan kamu hidayat ke jalan yang lurus. Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan sekiranya orang-orang kafir (dari penduduk Mekah) itu memerangi kamu (di Hudaibiyah), tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan; kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung atau memberikan pertolongan.” (Al-Fath:20-22)

Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa sekiranya berlaku pertempuran antara muslimin dengan kuffar di Hudaibiah, nescaya muslimin akan menang. Tetapi Allah memilih supaya berlaku perdamaian berbanding dengan kemenangan pada ketika itu kerana sebab-sebab yang Dia Maha Tahu. Justeru tidak harus sama sekali membandingkan antara apa yang dikehendaki dan direncanakan Allah dengan seruan yang dibuat oleh Abu Mazin (Mahmud Abbas) itu.

Umat Islam dan Arab yang ingin menziarahi al-Quds mesti mengheret kakinya ke kedutaan Israel atau konsulnya atau wakilnya, memohon daripada mereka visa masuk serta membayarnya untuk mendapatkan visa. Mereka juga akan dikenakan cukai memasuki airport yang dikuasai oleh musuh. Di samping itu mereka mungkin terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang kebanyakannya akan masuk ke dalam kantung Israel. Dan satu kemungkinan yang tidak dapat ditolak mereka akan diekori oleh pengintip-pengintip Israel kemudian akan menghubungi mereka bagi tujuan mendapatkan maklumat-maklumat yang mereka perlukan. Semua ini tidak syak lagi akan memperkayakan Israel dan menguatkan tentera mereka yang menjajah al-Quds.
Ziarah adalah pengiktirafan kepada musuh. Ia dilakukan dengan mendapat izin serta kebenaran mereka. Ini dengan jelas merupakan pengiktirafan kepada mereka dan penjajahan mereka ke atas Bandar suci kita al-Quds.

Maka sesiapa yang ingin menziarahi al-Quds, pergilah dalam keadaan bebas dan merdeka. Daripada mereka mengeluarkan wang untuk kepentingan Israel, lebih baik mereka mempersiapkan senjata dan bergerak ke arah al-Quds. Datang kepadanya dengan mengangkat kepala sebagai lambang keberanian dan keperwiraan, bukan menundukkan tengkuk, merendahkan telinga. Dengan cara ini barulah Israel akan faham bahawa al-Quds adalah sesuatu yang suci bagi kita, dan di sana ada orang yang akan menuntut bela dengan kata-kata dan perbuatan juga.

Tidak layak dan tidak berhak bagi orang yang berjabat tangan dengan Israel bercakap tentang al-Quds. Tidak layak bagi orang yang mengadakan hubungan dengan Israel sama ada hubungan dagang, politik, keselamatan, ekonomi dan diplomatic untuk bercakap tentang al-Quds. Cukuplah sudah pembohongan dan kedajalan!