Pada suatu masa dahulu, terdapat seorang tua yang hidup sederhana di sebuah kawasan tanah tinggi bersama keluarga, di kelilingi jiran-jiran yang baik dan berbudi.
Dia mempunyai seekor kuda yang sangat disayanginya.
Pada suatu hari kudanya hilang entah ke mana. Datanglah jiran-jirannya yang baik itu mengucap takziah di atas kemalangan yang menimpanya. Dengan tenang dia berkata kepada jiran-jirannya, “Mana anda tahu kejadian itu sesuatu yang malang buatku?”
Beberapa hari kemudian kuda kesayanganya pulang diekori beberapa ekor kuda lain yang agak banyak bilangannya. Sekali lagi jiran-jirannya datang mengucapkan tahniah di atas perkara yang sangat menguntungkannya. Dengan tenang dia berkata, “Mana kalian tahu perkara itu akan membahagian hidupku?”
Keesokannya, salah seorang anak lelakinya yang sedang meningkat remaja hendak melatih satu daripada kuda-kuda yang banyak itu. Ketika dia menungganginya, tiba-tiba dia terjatuh dan kakinya patah. Dan seperti biasa jirannya datang mengucap takziah di atas kemalangan yang menimpa anaknya. Jawapan yang diberikan kepada jirannya juga sama, “Mana kalian tahu, kejadian itu suatu yang malang?”
Beberapa hari kemudian, pihak pemerintah mengisytiharkan peperangan dengan negara jiran. Pemuda-pemuda dikerah untuk berangkat ke medan perang. Akibatnya ramai di kalangan anak muda di daerahnya terkorban dalam peperangan itu. Tetapi anaknya terselamat. Dia dikecualikan daripada pergi berperang kerana kakinya patah!
Demikianlah kitaran hidup ini. Sesuatu yang nampak baik tidak semestinya menguntungkan kita. Dan sesuatu yang nampak tidak baik tidak semestinya merugikan kita.
Justeru, jangan terlalu gembira apabila mendapat kejayaan dan jangan terlalu bersedih apabila diuji dengan kegagalan. Kita tidak tahu apa kebaikan yang Allah rancang untuk kita pada hari esok di sebalik apa yang menimpa kita pada hari ini.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Semua perkara baik untuk mukmin; jika ditimpa musibah dia sabar, maka itu baik untuknya. Jika beroleh kesenangan dia syukur, maka itu baik untuknya”.
No comments:
Post a Comment