Thursday, June 28, 2012

Bangsa yang tidak disia-siakan Allah

Risalah Mursyid Am Ikhawan Muslimin

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah al-Amin, keluarga baginda, sahabat-sahabat serta para pengikut sesudahnya.
Amma ba’du

Kalimah yang satu:

Sesungguhnya kalimah pertama yang diungkapkan oleh penghulu wanita di dunia, Khadijah r.a. kepada Rasulullah s.a.w.: “Tidak sekali-kali! Bergembiralah! Demi Allah, anda tidak akan disia-siakan Allah selama-lamanya!” (Al-Bukhari). Itulah juga kalimah yang diungkapkan oleh bonda orang Mesir, Hajar ketika beliau bertanya suaminya, bapa sekelian nabi-nabi, Ibrahim a.s.: “Adakah Allah yang perintahkan anda melakukan ini?” Apabila beliau mendapat jawapan yang jelas dan tegas dari mulut baginda: “Ya!”, Hajar dengan penuh kepercayaan, tawakkal serta yakin kepada Allah Ta’ala berkata dengan spontan: “Kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kita!” (Al-Bukhari).

Thaurah Mukjizat

Sesungguhnya revolusi (thaurah) Mesir terbukti telah menyalahi segala ramalan dan andaian para penganalisis politik serta pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Thaurah telah berjaya dengan pertumpahan darah, luka-luka dan pengorbanan yang sangat minimum, sehinggakan dunia telah sepakat menamakannya sebagai ‘mukjizat’. Ini kerana ia merupakan kehendak rakyat. Maka sudah pasti kegelapan malam akan segera tersingkap, cahaya fajar segera memancar. Sesungguhnya rakyat Mesir yang berpegang kepada kebenaran lebih benar daripada semua berita-berita para penganalisis, saluran-saluran udara dan keputusan-keputusan yang cuba dibuat secara senyap. Bahkan sesungguhnya rakyat Masir mampu untuk mengisytiharkan kekuatannya di tengah-tengah ramalan, andaian dan penantian. Rakyat mara dengan keazaman yang kental, kekuatan yang pejal yang tidak mengenal erti goyah dan gelabah sehingga tercapai kemenangan mutlak revolusi rakyat secara sah.

Ke Arah Kestabilan, Keamanan dan Kemajuan

Berbekalkan kekentalan semangat yang hebat, rakyat Mesir telah mencipta thaurahnya. Thuarah yang telah mengubah rejim yang lalu dan mereka telah memilih presiden dari kalangan anggota thaurah, yang memimpin gerombolan kali kedua, agar dia menjadi presiden kepada seluruh rakyat Mesir, yang akan memimpin mereka dengan izin Allah ke arah kesatuan, membariskan mereka di dalam satu saf dan bersama-sama dengan mereka menuju ke pantai keamanan, kestabilan, kebangkitan dan kemajuan.

Meskipun berbagai-bagai percubaan secara terancang cuba dilakukan untuk mempengaruhi hala tuju rakyat Mesir, namun segala usaha itu berjaya dipatahkan oleh thaurah. Rakyat tetap tegas mahu menamatkan riwayat rejim yang lalu. Dan telah terdahulu di dalam ketentuan Allah Yang Maha Menyantuni untuk rakyat Mesir yang ikhlas dan suci hati, yang telah mempersembahkan kepada Tuhannya pengorbanan, syuhada’ dan orang-orang yang tercedera dan terluka. Maka berhaklah nama Mesir ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya. Dan Mesir kembali kepada kedudukannya yang sebenar di tengah-tengah bangsa-bangsa di dunia.

Dan Bermulalah Kebangkitan Ummah

Adapun di peringkat dunia Islam, maka sesungguhnya kebangkitan umat telah terisytihar sejak mula tercetusnya thaurah. Riak-riak perubahan telah mula mempamerkan dirinya dengan jelas di permukaan ufuk. Kelahiran baru telah memancarkan sinarnya ke serata penjuru alam dengan kehendak rakyat yang merdeka, yang semakin teguh dan mantap hari demi hari. Sesungguhnya benih kemahuan yang telah ditanam akan mengeluarkan buah yang lebat dan bertambah lebat. Kemuliaan, kebebasan dan keunggulan dikembalikan. Hak-hak yang dirampas dan dipijak-pijak oleh rejim lepas diambil kembali. Semua ini diperakui secara terang-terangan oleh bangsa-bangsa di dunia. Menurut kajian yang dilakukan oleh beberapa pertubuhan di Amerika, 70% daripada rakyatnya memandang positif kepada rakyat Mesir secara khusus dan 56% memandang positi terhadap bangsa Arab keseluruhannya.

Dan Bermulalah Masa Memetik Buah

Bangsa yang menyahut seruan kebenaran, maka bangsa itu memetik buah kemenangan yang nyata. Bangsa yang yakin kepada pertolongan Tuhannya, maka bangsa itu menuai buah kemuliaan dan keunggulan. Bangsa yang bangun untuk mendokong keadilan, maka bangsa itu menikmati buah kemerdekaan dalam mengatur urusannya. Bangsa yang mampu berbuat demikian adalah bangsa yang tidak akan disia-siakan Allah selama-lamanya. Inilah dia hakikat yang jelas, yang tidak dilihat oleh orang-orang yang berniat jahat, yang tidak diendahkan oleh orang-orang yang lalai. Namun hakikat ini disedari oleh orang-orang yang berakal. Semoga kita dapat melangkah sederap di dalam satu saf yang tersusun kukuh ke arah membina Mesir tercinta, agar ia berdiri teguh di atas kaki seluruh rakyatnya.

Di Ambang Kebangkitan Mesir

Bangsa yang tidak disia-siakan Allah dan tidak dikecewakanNya selama-lamanya, kini sedang mara di gerbang kebangkitan yang hakiki. Ia perlu berusaha dan bergerak dengan teratur, bekerja dengan berterusan menghadapi cabaran mengahrungi rintangan sehingga impian terjelma menjadi kenyataan yang terpampang di depan mata. Ia mesti menjauhkan diri dari slogan-slogan atau isu-isu yang tidak boleh direalisasikan. Sesungguhnya kemenangan ini adalah permulaan, bukan kesudahan. Hari kemerdekaan semakin dekat, fajar baru pasti akan menyingsing. Asy-Syahid Sayyid Qutub pernah berkata: “Dunia Islam tidak akan tidur lagi selepas ia terjaga, tidak akan mati lagi selepas ia hidup semula. Andainya ia ditakdirkan mati, dia akan mati. Namun aqidahnya tidak akan mati, aqidah yang memimpinnya kepada perjuangan ini kerana ia merupakan Ruh daripada Allah. Dan Allah itu Hidup dan tidak mati”.

Semoga Allah mencurahkan rahmatNya ke atas pemimpin kita, Muhammad s.a.w.

Allahu Akbar wa lilLahi-hamd.

Hidup Mesir dan hidup rakyatnya.

Cairo: 8 Syaaban 1433 bersamaan 28 Jun 2012

Sumber: http://www.ikhwanonline.com/new/president3/Article.aspx?ArtID=112854&SecID=213

Wednesday, June 27, 2012

Pilihan Allah Lebih Utama

Ibn al-Jauzi menulis:

Sesiapa yang ditimpa kesusahan kemudian dia berdoa, selayaknya jangan terdetik sedikitpun di hatinya sekiranya doanya lambat tertunai atau tidak tertunai kerana tanggungjawabnya hanyalah berdoa, atau memohon. Dan yang dimohon itu adalah dari Malik Hakim (Raja, Pemilik Yang Maha Bijaksana). Andai Dia tidak menyahut doa kita, maka Dia melakukan sesuatu yang Dia Kehendaki di dalam lingkungan apa yang dimiliki dan dikuasaiNya. Andai Dia melewatkan permohonan kita, maka itu menurut hikmah yang diketahuiNya.

Justeru, orang yang mempersoalkan ketentuan yang merupakan rahsiaNya, terkeluar dari sifat kehambaan yang sebenar, suatu percubaan untuk masuk campur dalam urusan yang tidak layak bagi seorang hamba.

Kemudian dia hendaklah mengetahui dengan yakin bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri untuk dirinya. Mungkin dia meminta banjir, akhirnya dia dihanyutkan oleh banjir yang dimintanya. Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki memohon kepada Allah agar memberinya peluang untuk berjihad. Maka dia terdengar suatu bisikan: “Sesungguhnya jika engkau pergi berjihad, engkau akan ditawan. Dan bila engkau ditawan, engkau akan jadi Kristian (murtad)”

Andainya seseorang hamba itu selamat daripada mempersoalkan hikmah (kebijaksanaan) Allah dan hukumNya, dan dia yakin bahawa segalanya adalah milikNya yang mutlak, akan tenanglah hatinya sama ada hajatnya tertunai atau tidak. Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiada seorang muslimpun yang berdoa kepada Allah melainkan diqabulNya. Sama ada Dia segerakan, atau melewatkan, atau menyimpannya ke hari akhirat nanti”. Riwayat Ahmad dan al-Bukhari.

Apabila hamba itu melihat pada hari qiamat nanti, apa yang telah diqabulkan telah tiada lagi dan apa yang belum diqabulkan tetap kekal pahalanya, diapun berkata: alangkah beruntungnya sekiranya Engkau tidak qabulkan satupun daripada doaku Ya Allah.

Maka fahamilah prinsip ini. Jangan biarkan hatimu dicuri masuk oleh sebarang keraguan atau diburu perasaan ingin segera diqabulkan.

Dari kitab ‘Soidul-Khatir’, Ibn al-Jauzi.

Sunday, June 10, 2012

Salamatus-sadr (berlapang dada)


Isteri kepada sorang lelaki yang paling baik hati pada zamannya berkata kepada suaminya:
- Aku tidak pernah melihat manusia yang paling keji akhlaknya selain daripada saudara maramu dan sahabat-sahabatmu.

Lelaki itu bertanya isterinya tentang alasan kenapa dia berkata begitu. Maka isterinya menjelaskan:
- Sebab aku lihat, ketika engkau kaya mereka selalu mendampingimu. Dan ketika engkau papa mereka tinggalkanmu

Dengan tenang si suami berkata kepada isterinya:
- Demi Allah, itulah tanda kemuliaan akhlak mereka. Mereka datang kepada kita di kala kita mampu memuliakan mereka. Dan mereka tinggalkan kita di kala kita tidak mampu menunaikan hak-hak mereka.

Kata seorang hukamak (orang bijak pandai) ketika mengulas kisah ini: “Llihatlah betapa tinggi pekertinya! Dengan ketinggian pekertinya itu dia mentakwilkan perbuatan yang buruk menjadi baik, tindakan yang zahirnya mungkir menjadi setia. Inilah yang dikatakan salamatus-sadr.

Salamatus-sadr adalah kerehatan di dunia, keberuntungan di akhirat. Ia juga merupakan antara sebab seseorang itu masuk syurga.”