Ibn al-Jauzi menulis:
Sesiapa yang ditimpa kesusahan kemudian dia berdoa, selayaknya jangan terdetik sedikitpun di hatinya sekiranya doanya lambat tertunai atau tidak tertunai kerana tanggungjawabnya hanyalah berdoa, atau memohon. Dan yang dimohon itu adalah dari Malik Hakim (Raja, Pemilik Yang Maha Bijaksana). Andai Dia tidak menyahut doa kita, maka Dia melakukan sesuatu yang Dia Kehendaki di dalam lingkungan apa yang dimiliki dan dikuasaiNya. Andai Dia melewatkan permohonan kita, maka itu menurut hikmah yang diketahuiNya.
Justeru, orang yang mempersoalkan ketentuan yang merupakan rahsiaNya, terkeluar dari sifat kehambaan yang sebenar, suatu percubaan untuk masuk campur dalam urusan yang tidak layak bagi seorang hamba.
Kemudian dia hendaklah mengetahui dengan yakin bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri untuk dirinya. Mungkin dia meminta banjir, akhirnya dia dihanyutkan oleh banjir yang dimintanya. Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki memohon kepada Allah agar memberinya peluang untuk berjihad. Maka dia terdengar suatu bisikan: “Sesungguhnya jika engkau pergi berjihad, engkau akan ditawan. Dan bila engkau ditawan, engkau akan jadi Kristian (murtad)”
Andainya seseorang hamba itu selamat daripada mempersoalkan hikmah (kebijaksanaan) Allah dan hukumNya, dan dia yakin bahawa segalanya adalah milikNya yang mutlak, akan tenanglah hatinya sama ada hajatnya tertunai atau tidak. Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiada seorang muslimpun yang berdoa kepada Allah melainkan diqabulNya. Sama ada Dia segerakan, atau melewatkan, atau menyimpannya ke hari akhirat nanti”. Riwayat Ahmad dan al-Bukhari.
Apabila hamba itu melihat pada hari qiamat nanti, apa yang telah diqabulkan telah tiada lagi dan apa yang belum diqabulkan tetap kekal pahalanya, diapun berkata: alangkah beruntungnya sekiranya Engkau tidak qabulkan satupun daripada doaku Ya Allah.
Maka fahamilah prinsip ini. Jangan biarkan hatimu dicuri masuk oleh sebarang keraguan atau diburu perasaan ingin segera diqabulkan.
Dari kitab ‘Soidul-Khatir’, Ibn al-Jauzi.
No comments:
Post a Comment