Hang Tuah adalah satu nama yang cukup masyhur. Watak yang menjadi ikon kepada kepahlwanan Melayu. Kata-kata yang masyhur, yang kononnya pernah diucapkan oleh Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia", dijadikan azimat dan pendorong semangat perjuangan mempertahankan maruah bangsa.
Malam tadi, secara kebetulan saya terlihat satu atau dua babak daripada filem Hang Tuah lakonan Allah Yarham Tan Sri P. Ramlee. Tentu ramai yang telah menonton filem itu berulangkali.
Apabila kita anggap Hang Tuah adalah pahlawan Melayu, maka yang kita andaikan dia mestilah berjiwa Islam dan menghayati ajaran Islam kerana Melayu ditakrifkan sebagai orang yang beragama Islam dan bercakap dalam bahasa Melayu.
Namun apa yang saya saksikan dalam filem itu semalam, percakapan dan tindakan Hang Tuah jauh menyimpang dari ajaran Islam. Adakah itu disebabkan kesilapan penulis skrip atau kandungan skrip itu memang sebenar dicedok dari naskhah asal hikayat Hang Tuah?
Setakat babak yang saya lihat itu (di tepi sungai), terdapat dua perkara yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam.
1. Hang Tuah bertekad untuk pergi ke Pahang mengambil Tun Teja yang telah menjadi tunangan orang, supaya dapat dijadikan permaisuri oleh sultan. Perbuatan merampas tunang orang adalah haram. Rasulullah s.a.w. melarang umatnya meminang wanita yang telah dipinang. Meminang saja pun haram, apalagi merampas dan membawa lari gadis yang telah bertunang?
2. Semasa Hang Tuah hendak berangkat, saudara-saudaranya mengingatkannya tentang kemungkinan bahaya yang akan ditempuhinya. Hang Tuah dengan tegas berkata sambil tangannya memegang keris di pinggangnya, "selagi ada keris ini, tiada siapa yang dapat menewaskanku" (atau lebih kurang begitulah, tak ingat perkataan secara tepat). Ini jelas bercanggah dengan aqidah kerana bergantung kepada kewujudan keris, bukan kepada Allah S.W.T
Lepas itu, Hang Tuah naik kapal/perahu dan belayar. Saya tak tengok lagi selepas itu. Tapi, boleh dikatakan ramai yang tahu kisah selanjutnya. Dengan kebijaksanaannya Hang Tuah memikat Tun Teja yang akhirnya terpedaya dan rela mengikuti Hang Tuah pulang ke Melaka.... dan seterusnya...
Adakah tindakan itu islamik? Adakah usaha Hang Tuah mendapatkan Tun Teja untuk sultan dengan cara itu merupakan suatu usaha yang terpuji?
Sedih. Watak yang digembar gemburkan sebagai pahlawan terbilang kepada bangsa kita yang muslim tidak mencerminkan akhlak Islam di dalam tindakannya.
Maka tidak syak lagi, contoh hakiki bagi kita tidak lain hanyalah Nabi junjungan kita, sollallhu 'alaihi wa sallam.
No comments:
Post a Comment