Nukilan: Dr Muhammad Badi', Mursyid Am Jamaah Ikhwan Muslimin
25-10-2012
Itu adalah detik-detik yang menjadi garis pemisah dalam sejarah manusia keseluruhannya, iaitu ketika mana kekasih tercinta, Muhammad s.a.w. berdiri menyampaikan wasiatnya yang abadi kepada manusia sebagai penutup kepada risalah yang dibawanya... selepas baginda menjalani kehidupan selama 63 tahun, kehidupan yang telah menyumbangkan erti kebahagiaan kepada umat manuisa, selepas baginda menelusuri jalan dakwah yang sukar selama 23 tahun, baginda mengorbankan tenaga, harta dan jiwa, di samping kesabaran yang tidak terbatas dalam menghadapi kedegilan, cacian dan celaan, menanggung kesakitan yang dikenakan ke atas diri sendiri, keluarga dan para sahabat. Mendepani kebongkakan jiwa yang dilingkari kejumudan dan taqlid buta. Betapa berat dan sukarnya merungkai belitan itu dan menggantikan dengan kebebasan berfikir, mengenali hakikat kewujudan Yang Maha Tinggi, menghayati keindahan Tauhid yang hakiki dan meniti hubungan yang sejati dan mendalam antara hamba dengan Tuhan sekelian hamba.
Buah dakwah dan natijah pengorbanan yang telah tercurah telah terpampang dengan jelas. Di sekeliling baginda pada saat itu ribuan muslimin yang hadir berpusu-pusu mengelilingi baginda. Mereka belajar daripadanya, menerima wasiatnya yang terakhir. Telah dipertegaskan kepada mereka bahawa qiblat mereka satu, Tuhan mereka Satu dan manhaj mereka satu. Dan bergemalah alunan doa membelah langit, mendendangkan lagu tauhid yang tulus "aku menyahut seruanMu ya Allah. Aku datang menyahut seruanMu ya Allah. Tiada sekutu bagiMu ya Allah. Sesungguhnya segala puji dan ni'mat hanya milikMu dan juga kerajaan. Tiada sekutu bagiMu!"
Dan dunia seluruhnya menunduk sepi mendengar penuh teliti setiap patah ucapan baginda, mengutip butir-butir wasiat yang amat berharga untuk dibawa dan disampaikan kepada jenerasi berikutnya di seluruh ceruk bumi sehingga ke hari qiamat. Ucapan yang mengandungi perisytiharan kemuliaan insan, hak-hak asasi mereka, apa yang terbaik untuk kehidupan manusia seluruhnya hingga ke akhir dunia, malah lebih jauh daripadanya menjangkau ke alam akhirat selepas berakhirnya kehidupan di dunia ini, iaitu destinasi terakhir bagi umat manusia seluruhnya.
Wasiat pertama: Hak Asasi Manusia, setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan hak untuk memiliki harta. Maka tiada siapa yang harus mencerobohi kehidupannya, merampas harta dan rezekinya. "Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu haram dicerobohi sehingga kamu bertemu dengan Tuhan kamu sama seperti kehurmatan hari kamu ini, di dalam bulan yang haram ini dan di negeri kamu ini."
Dan tidakkah penderitaan yang dialami oleh manusia di dalam sejarahnya yang panjang tidak lain berpunca daripada aspek ini? Iaitu pencerobohan individu ke atas individu, kumpulan ke atas kumpulan, negara ke atas negara. Lalu berlakulah pertumpahan darah, nyawa-nyawa diragut, pembunuhan, penderaan, penculikan, perampasan, penjajahan, permusnahan yang menyeluruh, perosakan tanaman dan keturunan. Tiada yang terselamat hatta kanak-kanak, bayi-bayi yang senang menyusu, wanita-wanita yang lemah, orang tua yang tiada upaya. Kemajuan dan ilmu yang menggunung langsung tidak beruapaya menyekatnya. Malah ilmuan yang bertamadun telah memusnahkan puluhan juta umat manusia di dalam peperangan dunia pertama dan kedua. Hingga kini darah masih ditumpahkan tanpa alasan yang benar di serata dunia. Orang Islamlah yang menjadi mangsa paling utama. Di Palestin, Afghanistan, Iraq, Bosnia, Serbia, Kashmir, Burma, Chechnya dan lain-lain. Dan kita melihat pada hari ini bagaimana darah mengalir, nyawa puluhan ribu rakyat melayang di Syria tercinta dihentam diktator jahat yang ketagih menyembelih dengan kejam sehingga kanak-kanak bisa beruban dan manusia yang waras tidak mampu mengangkat dahi untuk menyaksikannya.
Semua itu dilakukan di hadapan mata dunia yang maju, namun tidak ada yang menolong. Bahkan pihak yang mempunyai kuasa berusaha pula untuk memecah belahkan sesebuah negara, membinasakan rakyat jelata supaya nanti tidak akan wujud kekuatan yang mampu menyekat kemaraan perancangan Zionis Amerika untuk menelan Timur Tengah. Darah berterusan mengalir, nyawa terbang melayang tanpa alasan yang benar sehingga Allah izin manusia kembali mengikuti hidayah Rasul terakhir, Muhammad s.a.w. yang menganggap kehurmatan darah manusia lebih besar di sisi Allah daripada kehurmatan Kaabah. Pada hal Kaabah adalah Rumah Allah Yang Mulia.
Wasiat kedua: Meruntuhkan segala saki baki yang diwarisi daripada jahiliah, iaitu berbangga dengan budaya taksub kepada puak, qabilah, membeza-bezakan manusia di atas dasar bahasa, keturunan, bangsa. Manusia memperhambakan saudaranya sesama manusia dengan memeras secara zalim, mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup yang dialami saudara dengan memberi hutang secara riba berlebih-lebihan. Baginda s.a.w. telah memulakan penghapusan warisan jahiliah dengan dirinya sendiri dan ahli keluarganya supaya menjadi contoh kepada pemimpin lain dan manusia seluruhnya. Baginda bersabda maksdunya: "Ketahuilah bahawa segala sesuatu daripada urusan jahiliah terkubur di bawah tapak kakiku ini. Tuntutan darah zaman jahiliah telah terkubur. Dan tuntutan darah pertama yang aku kuburkan daripada tuntutan adalah darah keluargaku, iaitu darah Ibn Rabi'ah bin al-Hatirh. Dan riba pertama yang aku hapuskan ialah riba al-'Abbas bin Abdul Muttalib. Sesungguhnya semua itu telah dihapuskan."
Demikianlah dengan satu kalimah baginda memadamkan dendam jahiliah yang mengganas sekian lama, baginda menghapuskan riba yang mencengkam kehidupan manusia sehingga ke hari ini, di mana para pemakan riba yang kebanyakannya Yahudi menghisap titik peluh dan hasil usaha manusia yang membanting tulang siang dan malam. Golongan pemodal yang merupakan minoriti tamak dan rakus sahaja yang menikmati kesenangan, sedangkan golongan pekerja yang fakir, yang merupakan majoriti terus dihambat kesempitan. Akibatnya terjadi krisis ekonomi yang kritikal yang membawa kepada kemunduran, kejatuhan, keruntuhan sosial, kepincangan akhlak atau memarakkan api peperangan yang memusnahkan segala-galanya.
Wasiat ketiga: Mengenai wanita. Baginda bersabda maksudnya, "Berpesanlah kamu tentang wanita dengan kebaikan, kerana sesungguhnya mereka di sisimu adalah tawanan." Ini merupakan wasiat yang kekal abadi yang menjamin kehurmatan dan kemuliaan wanita, memeliharanya daripada adat resam jahiliah yang menafikan hak anak perempuan, menanamnya hidup-hidup. Kalau dibiarkan anak itu hidup, dia hidup dalam keadaan dihalang dari menerima pusaka, disekat segala haknya. Dan wasiat itu tetap kekal demi memelihara wanita daripada jahiliah moden yang memandang wanita sebagai alat hiburan yang boleh dikongsi oleh semua golongan. Batang tubuhnya menjadi wasilah untuk melariskan barang dagangan, setiap sudut jasadnya sehingga bahagian yang sulit dipamerkan untuk menarik nafsu yang cukup memualkan.
Sesungguhnya wanita di dalam Islam adalah makhluk yang mulia, saudara kandung lelaki, mempunyai tanggungjawab seperti lelaki sepenuhnya. Dia mempunyai hak dan dia juga mempunyai tanggungjawab. Dia adalah ibu yang dimuliakan. Di bawah tapak kakinya diletakkan syurga. Dia adalah anak perempuan yang suci. Mendidiknya dan mengajarnya merupakan satu ibadah mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi pendinding dari api neraka. Dia adalah isteri yang penyayang, yang sentiasa dirindui suaminya dan suaminya tidak boleh berenggang dengannya. Firman Allah bermaksud, " Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Al-Baqarah:187). Dan dia juga suadara fillah yang saling tolong menolong dalam memikul amanah kehidupan. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)
Wasiat keempat: Seruan kepada kesatuan umat, mengukuhkan saf dan waspada terhadap sebarang unsur yang boleh mengoyak dan memecah belahkan kesatuannya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menjadikan dia disembah di bumi kamu ini selama-lamanya. Tetapi sekiranya dia ditaati dalam urusan yang lain daripada itu, iaitu dalam amalan yang kamu anggap remeh, maka sesungguhnya dia telah redha. Oleh itu waspadalah daripada dia merosakkan agama kamu.” Di dalam riwayat lain, “Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah oleh orang-orang yang solat di Jazirah Arab, tetapi dia akan jadikan mereka bercakaran sesama sendiri.” Tidakkah ini yang berlaku di negeri kita sekarang dan di kebanyakan negeri-negeri? Syaitan cuba melaga-lagakan antara satu bangsa dan satu umat. Dia memecahkan mereka kepada puak-puak, aliran-aliran yang sering bercakaran. Mereka tidak bertemu kecuali untuk berbeza pendapat, tidak berkumpul kecuali untuk saling melemparkan tuduhan dan cela mencela. Media pula memainkan peranan mengukuhkan permusuhan, mencari kesalahan, tuduh menuduh dan mereka-reka fitnah.
Umat ini tidak akan bersatu melainkan dengan mengikuti hidayah Nabinya yang terakhir, Muhammad s.a.w., berhati-hati dengan apa yang telah diperingatkannya, mengelakkan diri daripada fitnah dan sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan, walaupun perkara itu kita nampak kecil dan remeh.
Dan sehubungan dengan wasiat keempat ini ialah wasiat supaya dengar, taat, beriltizam dan berintizam dengan qiadah yang dipilih dengan cara pemilihan yang betul mengikut kehendak umat tanpa mengambil kira kecenderungan peribadi, keinginan nafsu atau kepentingan parti yang sempit. “Wahai sekelian manusia, dengarlah dan taatlah sekalipun kamu diperintah oleh hamba habsyi yang kemik hidungnya selagi dia menegakkan kitab Allah di dalam memerintah kamu.” Maka yang diambil kira adalah amal, pelaksanaan yang baik, beriltizam dengan undang-undang tertinggi, menegakkan keadilan dan kebenaran di antara sesama manusia tanpa perbezaan atau plihan kasih.
Akhirnya: Kata-katanya tetap kekal di dalam ingatan umatnya dan manusia seluruhnya selepas pemergiannya. “Maka fahamilah wahai manusia kata-kataku ini. Sesungguhnya aku telah sampaikan. Dan sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak akan sesat selepasku selagi kamu berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.”
Ya! Itulah warisan agung, perlembagaan yang mantap, undang-undang yang hebat, Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Mansuia selamanya tidak akan dapat mendarat di pantai keamanan, tidak akan mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat melainkan dengan melaksanakannya dan mengikuti petunjuknya. “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’:65)
Itulah dia khutbah wadak dan haji wadak yang dengannya sempurnalah agama, cukuplah ni’mat Tuhan Pemilik semesta alam untuk umat manusia. Maka adakah manusia telah menyahutnya? “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah:3)
Dan dengan segala krisis serta kegetiran yang dilalui oleh dunia hari ini, kita lihat percikan harapan telah muncul di ufuq, cahaya telah memancar dari dunia Islam dan dari negara-negara Arab. Semua itu membawa khabar dunia akan kembali kepada kebenaran, keadilan dan kebebasan berpandukan sinaran al-Quran, Syari’at ar-Rahman dan petunjuk Rasul pilihan. Maka sahutlah khabar gembira dengan pertolongan Allah, tersebar cahayanya menerangi alam yang telah lama menderita, yang telah lama menanti untuk membawa obor yang terang ini. “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah:15-16)
Semoga Allah terima ketaatan kamu. Dan setiap tahun kamu dalam keadaan yang baik.
Sumber:
http://www.alamatonline.net/l3.php?id=43412
No comments:
Post a Comment