Wednesday, January 16, 2013

Kembali ke bumi Anbiaa' bumi sahabat

Alhamdulillah, syukur tak terhingga tanpa diduga dalam masa satu bulan Allah hantar diri yang hina ini sekali lagi menjejaki bumi Anbiaa', bumi sahabat, lembah Nil yang subur. Kesuburannya bukan terbatas pada aspek muka buminya, malah kaya dengan ilmu, budaya, khazanah insan yang berjasa kepada umat manusia dan dunia seluruhnya.

Pada 3 Disember 2012 yang lepas aku menjejakkan kaki di bumi ini sebagai persinggahan menuju ke bumi Ghazzah yang penuh barakah. 8 dan 9 Disember 2012 singgah lagi dalam perjalanan pulang ke tanahair. Dan pada pagi 10 January 2013 aku diizinkan tiba lagi di bumi yang banyak menyimpan sejarah hidupku lebih 30 tahun yang lalu.


Lebih bermakna lagi kedatangan kali ini membuka peluang bagiku bertemu dan mendengar ucapan seorang tokoh, mujahid fi sabilillah yang disanjungi kawan dan digeruni lawan, Abu al-Walid Khalid Mish'al.


Berkesempatan melawat tempat persemadian seorang yang sangat berjasa kepada umat manusia, mujaddid abad ke 20 yang fikrahnya tersebar dan menjalar di merata pelusuk dunia.


Melawat Markaz sebuah gerakan Islam tersohor, Ikhwan Muslimun yang diasaskan oleh asy-Syahid Hasan al-Banna, yang sudah berdekad-dekad lamanya ditekan dan dihalang dari bernafas dengan selesa di bumi kemunculannya. Kini dengan izin Allah ia tegak berdiri sesuai dengan kedudukan dan sumbangannya yang sangat besar terhadap umat Islam khususnya dan manusia umumnya.


Dan paling manis dipertemukan dengan Ukhti Murabbiah ketika aku berkelana di sini pada akhir tahun 70an yang lalu. Kami dipisahkan oleh jarak selama 34 tahun, sejak bulan Mac 1979, dan kedatanganku kali ini membuka peluang untuk kami melepaskan rindu yang tak pernah padam.

Tidak kurang pentingnya sempat bersama anak-anak, akhawat penggerak di Mesir dan Jordan




Selain itu, setelah 34 tahun berlalu sempat menjenguk dan menghimbau kenangan lalu di Imarah 25 dan 26 ketika mana benih-benih tarbiah mula ditabur dan terus subur hingga kini dan selamanya dengan izin Allah.




Ya Allah, sebagaimana Engkau himpunkan kami di dunia ini di atas landasan ukhuwwah di jalanMu maka himpunkanlah kami di jannahMu pada hari kami kembali ke pangkuanMu nanti.

Friday, January 04, 2013

Di rumah kami ada presiden

Di rumah kami ada presiden – temubual bersama tuan rumah yang disewa oleh Presiden Mesir oleh wartawan Bawwabah al-Hurriyyah wa al-'Adalah

Aku tidak tahu jalan mana yang harus aku lalui untuk ke rumah Presiden Republik Mesir, Dr. Muhammad Mursi untuk menemubual tuan rumah yang disewa oleh Presiden, tempat beliau menginap bersama anggota keluarganya. Tuan itu pula secara tidak langsung berjiran dengan Presiden kerana tinggal di tingkat bawah.

Al-Qahirah al-Jadidah adalah tempat di mana bangunan serta jalan-jalannya hampir sama. Bagamana hendak sampai ke rumah itu dan apa petunjuk untuk mengecamnya?

Aku berbisik di dalam hati: tentu tidak susah untuk dicari! Mestilah rumah itu senang dikenali dengan adanya pasukan keselamatan yang serba lengkap mengawal rumah tersebut. Kemungkinan aku akan terpaksa berjalan jauh kerana kenderaan tidak dibenarkan memasuki kawasan yang berhampiran dengan rumahnya!"

Bisikan itu terus berligar di dalam diriku. Pada masa itu aku teringat bagaimana kami berjalan untuk sampai ke rumah presiden yang dibuang. Adalah mustahil untuk kita melihat batu bata (bangunan lain) dari istananya.

Aku meneruskan perjalanan mengikut pandu arah yang diberikan kepadaku. Dan ketika melintasi salah satu jalan, tanpa disedari kenderaanku telah melintasi rumah presiden yang ku cari. Aku mengundurkan kenderaan untuk mendapat kepastian. Dan sesungguhnya itulah rumah presiden!

Pemandangan yang jauh berbeza daripada apa yang aku bayangkan. Anggota keselamatan yang bertugas mengawal rumahnya sangat sedikit. Jangan dibanding dengan apa yang berlaku pada masa lalu.

Rumah itu sangat sederhana, terletak di tengah-tengah manusia, dengan kawalan keselamatan yang telalu minimum. Kereta lalu lalang di hadapan rumahnya secara tabii. Boleh jadi ada yang melintas di situ tanpa menyedari bahawa dia sedang melintas di hadapan rumah yang didiami oleh presiden republik Mesir.

Haji 'Izz ad-Din Shukri, 50 tahun adalah tuan rumah yang disewa oleh Dr Mursi, Presiden Republik Mesir satu bahagian daripada rumahnya (tingkat atas). Dia seorang peniaga di bandar, merupakan salah seorang yang agak terjejas perniagaannya disebabkan thaurah dan beberapa peristiwa kekacauan yang berlaku di sepanjang tempoh peralihan. Isterinya bernama Hajjah Jihan. Dia dan isterinya bukan anggota Ikhwan dan tidak menganggotai mana-mana parti politik yang lain. Juga tidak ada sebarang hubungan kekerabatan dengan mana-mana pimpinan parti. Mempunyai lima orang anak: Ahmad, Ismail, Usamah, Islam dan Iyad.

Jiran kami orang Ikhwan

'Izz bercerita: apabila kami mengetahui jiran kami adalah anggota kepimpinan ikhwan ketika kami terserempak secara kebetulan temubual beliau di salah satu akhbar harian, hubungan kami dengannya tidak terjejas. Begitu juga hubungannya dengan jiran-jiran yang lain, meskipun ramai orang memperkatakan tentang Jamaah Ikhwan. Jamaah itu haram dan sebagainya. Sebaliknya kami rasa bangga kerana berjiran dengan seorang lelaki yang berjuang, yang dihormati, yang berusaha untuk mengambil kembali hak-hak rakyat dan dipulangkan kepada tuannya semula.

'Izz menerangkan bahawa Presiden menyewa flatnya secara tahunan. Sepanjang tahun beliau tidak pernah lewat membayar sewa dari tarikh yang ditetapkan. Malah kadang-kadang membayar sebelum tiba masa yang dijanjikan.

Ceritanya lagi: "Dr. Mursi jiran yang sangat baik dalam erti kata yang sebenarnya. Kadang-kadang kita tidak sedar kewujudannya melainkan setelah kelihatan lampu di rumahnya menyala atau ketika ternampak dia sampai dari tempat kerjanya. Kalau kita berada di belakang, kepulangannyapun kita tidak sedar."

"Semua penghuni bangunan ini adalah ahli keluarga kami. Dan disebabkan kemesraan dan kemuliaan akhlaknya kami menerima kehadirannya di tengah-tengah keluarga kami walaupun kami tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengannya. Malah boleh dikatakan sepanjang dia tinggal di sini seolah-olah dialah ketua keluarga kami kerana kemesraannya dan sikapnya yang sentiasa mengambil berat tentang kami."

Tiba-tiba Hajjah Jihan mencelah dengan penuh semangat: "Ketika kami mula membina bangunan ini, kami tidak berniat untuk memberi sewa kepada sesiapapun kerana kami lebih suka tinggal bersama anggota keluarga kami sahaja. Namun akhirnya kami bersetuju untuk memberi sewa sebagai percubaan. Akhirnya kami dapati Dr Mursi dan ahli keluarganya sangat baik akhlaknya. Kami tidak pernah terdengar kekecohan dan tidak pernah terganggu ketika mereka naik atau turun bangunan, sama ada sebelum atau selepas dia menjadi persiden."

Presiden kami dan penyimpanan air

Sebahagian media menghebohkan berita kononnya kawasan perumahan fasa 5 terputus bekalan letrik dan air sepenuhnya kecuali rumah Presiden. Jawapan 'Izz: "Kebanyakan rumah di fasa 5 melaksanakan sistem menyimpan air di mana terdapat air yang disimpan untuk kegunaan penduduk selama tiga hari apabila berlaku keputusan bekalan air. Dengan sistem ini kami tidak mengalami keputusan air. Bukan rumah presiden saja. Bahkan sebelum beliau menjadi presiden lagi, sistem ini telah kami jalankan.

"Dan saya ingin tegaskan bahawa Presidenlah yang menyelia tangki simpanan air, dialah yang merangka bagaimana cara membuatnya sehingga ia dapat menampung keperluan. Dia yang mencadangkan bagaimana cara tangki itu dibuat, kamudian beliau terus pantau dari semasa ke semasa."

Jiran kami Presiden!

'Izz terut menceritakan saat-saat Dr. Mursi menjadi calon presiden kemudian menang: "Kami sentiasa berdoa kepada Allah supaya Dr. Mursi menjadi Presiden kerana keikhlasannya dan negara sangat berhajat kepada individu sepertinya pada saat genting seperti ini."

"Ketika beliau menang, orang pertama yang merayakannya adalah jiran-jiran dan yang tinggal pada satu jalan dengannya. Kami berhimpun di hadapannya pada malam itu untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan keberkatannya. Bagi kami perhimpunan kami lebih hangat dan lebih meriah daripada apa yang berlaku di medan Tahrir."

Hajjah Jihan menambah pula: "Saya ingat banyak peristiwa dengan lebih ditil kerana saya lebih banyak tinggal di rumah berbanding dengan suami saya. Pada malam diumumkan kemenangan Dr Mursi itu berbetulan dengan malam pernikahan salah seorang anak kami. Kami telah menggantung lampu-lampu sejak siang hari kerana meraikan perkahwinan anak kami. Secara kebetulan malam itu diumumkan Dr Mursi menang. Maka lampu-lampu itu menjadi lambang kepada dua kegembiraan. Orang ramai pula menyangka kami telah mengetahui keputusan lebih awal kerana telah siap menggantung lampu."

"Pada malam itu seluruh rakyat Mesir ternanti-nanti dengan penuh debaran pengumuman keputusan. Namun isteri Dr. Mursi tidak lupa untuk hadir ke majli perkahwinan jirannya, duduk bersama mereka meraikan saat bahagia itu serta mambawa hadiah."

"Majlis perkahwian anakku yang lain, isterinya tidak sempat hadir. Saya menghantar kuih muih kepadanya. Setelah dia menerimanya, dia sangat-sangat berterima kasih kepada saya."

Katika aku tanya 'Izz tentang perubahan yang dirasakan pada peribadi Dr Mursi sebagai rakyat dan Dr Musri sebagai Presiden, 'Izz berkata, tidak ada perubahan sama sekali. Kalau adapun, perubahan ke arah yang lebih baik di mana dia jadi lebih tawadhu', lebih prihatin dan lebih mesra. 'Izz berkata: "Setiap kali berjumpa dia terlebih dahulu mendepakan tangannya untuk memeluk saya seerat-eratnya. Beberapa hari lalu saya menjalani satu pembedahan. Saya tidak memberitahunya kerana menyedari akan kesibukannya dan tanggungjawabnya yang berat. Tetapi dia mendapat tahu daripada pengawal. Lantas dia menghubungi saya berkali-kali untuk mempastikan saya dalam keadaan baik dan kesihatan saya segera pulih."

Seringkali rakyat datang berkumpul di hadapan rumahnya berjam-jam untuk mengadu kepada Presiden. Bila dia pulang, tidak kira lambat atau cepat, dia akan mendengar aduan mereka, duduk bersama mereka dengan mesra tanpa sombong sedikitpun. Kemudian dia cuba selesaikan masalah mereka sebelum mereka beredar. Setiap orang yang pulang berasa gembira dan mendoakan kesejahteraannya. Oleh kerana terlalu kerap orang datang, maka pengawal mengarahkan agar mereka pergi ke Istana Ittihadiyyah, tempat dia bertugas, bukan di tempat kediamannya."

Turut berada di rumah ketika temubual itu ialah Usamah bin 'Izz ad-Din 10 tahun. Usamah juga tidak mahu ketinggalan berkongsi cerita. Dia telah mengenali Dr Mursi sekeluarga ketika berada di darjah satu. Isteri Dr Mursi selalu berkata kepadanya bahawa dia sayang kepada Usamah. Katanya lagi: Usamah mempunyai tempat istimewa di sisinya kerana dia juga mempunyai seorang anak bernama Usama. Setiap kali bertemu, dia akan peluk dan cium Usamah.

"Suatu hari, Dr Mursi turun dari kereta dan berjalan untuk masuk ke rumahnya. Saya merempuh pengawal untuk bersalaman dengannya. Mereka menghalang saya. Lalu Dr Mursi berkata kepada mereka: "Biarkan. Dia adalah anak Haji 'Izz. Beliau memeluk saya dan bergurau-gurau dengan saya." Cerita Usamah.

Thursday, January 03, 2013

Surah an-Naml (Semut)


Surah an-Naml adalah surah ke 27 daripada 114 surah yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Bilangan ayat-ayatnya adalah 93 ayat.

Surah dimulakan dengan dua huruf hijaiyyah طسٓۚ, huruf “to” dan huruf “sin”.

Jika dihitung huruf "to" di dalam surah tersebut didapati jumlahnya adalah 27. Manakala huruf "sin" pula terdapat sebanyak 93.

Ajaib bukan? Adakah hanya suatu kebetulan? Atau sesungguhnya Allah Ta'ala benar-benar penghitung?

"... pada hal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: Satu persatu.” (Al-Jinn:28)

Selain itu, kebanyakan nombor dan bilangan huruf, ayat serta surah mempunyai kaitan dengan nombor 7. Misalnya surah al-Fatihah 7 ayat. Bilangan huruf hijaiyyah yang digunakan di dalam surah al-Fatihah adalah 21 huruf. 7 huruf tidak terdapat di dalam surah al-Fatihah. (Sila baca buku ana, Al-Fatihah dan Keajaiban angka 7).

Perhatikan nombor yang berkaitan dengan surah an-Naml ini. Nombor surah 27 dan bilangan ayat 93.

27 93 adalah bilangan yang boleh dibahagi dengan 7.

2793 / 7 = 399

Ayat yang mempunyai perkataan an-Naml adalah ayat ke 18. Ayat itu mengandungi 21 perkataan. 21 boleh dibahagi dengan 7.

21 / 7 = 3

Maha Suci Allah dari segala kelemahan dan kekurangan