Surah ke 109, mengandungi 6 ayat.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa
yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.
Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu
agamamu, dan untukku agamaku.” (al-Kafirun: 1-6)
Hadis-hadis berkaitan dengan surah ini:
1. Daripada Jabir r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. membaca surah ini dan surah
al-Ikhlas di dalam solat sunat tawaf dua rakaat. Riwayat Muslim
2. Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawa Rasulullah s.a.w. membaca surah ini
dan surah al-Ikhlas di dalam solat sunat Fajar dua rakaat. Riwayat Muslim
3. Apabila Rasulullah s.a.w. membaringkan badannya, Baginda membaca surah
ini hingga tamat. Riwayat at-Tabraniy
4. Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Az-Zalzalah
menyamai ½ al-Quran, al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran, al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran.”
Riwayat at-Tirmizi.
5. Daripada al-Harith bin Jabalah, dia berkata: saya berkata kepada Nabi
s.a.w., “Ya Rasulullah, ajarkan saya sesuatu yang boleh saya baca ketika hendak
tidur.” Baginda bersabda (maksudnya): “Apabila engkau mula merebahkan badan di
waktu malam, bacalah ‘al-Kafirun’. Sesungguhnya ia merupakan “bara’ah”
(pembebasan diri) daripada syirik.” Ibn Kathir
Ibn Jarir at-Tabariy, di dalam kitab tafsirnya memetik
kata-kata Ibn ‘Abbas r.a. bahawa sebab turun surah ini ialah: orang-orang
Quraisy menawarkan Rasulullahs.a.w. untuk memberinya harta yang banyak agar
baginda menjadi lelaki paling kaya di Mekah dan mengahwinkannya dengan mana-mana
wanita yang baginda mahu. Mereka berkata kepada baginda: “Ini janji kami
kepadamu wahai Muhammad. Dengan ini, kami meminta engkau berhenti daripada mencela
tuhan-tuhan sembahan kami. Jangan engkau sebut sesuatu yang tidak elok tentangnya.
Jika engkau tidak setuju permintaan ini, maka kami ingin kemukakan satu tawaran
yang baik untukmu dan untuk kami.” Baginda berkata: “Apakah tawaran itu?”
Mereka menjawab: “Engkau sembah tuhan kami, al-Lata dan al-‘Uzza satu tahun,
kami sembahTuhanmu satu tahun.” Baginda menjawab: “Aku akan tunggu apa yang dating
dari Tuhanku.” Maka turunlah wahyu “Qul yaayyuhal-kafirun” hingga ke akhir
surah.
Ibn Jarir juga memetik apa yang diceritakan oleh Sa’eid
bin Maina’: beberapa orang pemimpin Quraisy yang terdiri daripada al-Walid bin
al-Mughirah, al-‘Aas bin Waeil, al-Aswad bin al-Muttalib dan Umayyah bin Khalaf
telah mengadakan pertemuan dengan Rasulullahs.a.w. Mereka mengemukakan cadangan
dengan berkata: “Wahai Muhammad, marilah kita bersepakat; kami sembah apa yang
engkau sembah dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi dalam
semua perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa lebih baik daripada apa yang ada pada
kami, kami dapat berkongsi denganmu kebaikan itu dan mengambil habuan kami
daripadanya. Dan sekiranya apa yang ada pada kami lebih baik daripada apa yang
ada padamu, engkau pun dapat berkongsi dengan kami kebaikan itu dan engkau boleh
mengambil habuanmu daripadanya.” Lalu Allah menurunkan surah ini hingga akhir.
Ibn Kathir berkata, surah ini merupakan surah
‘al-bara’ah’, iaitu pembebasan diri daripada amalan yang dilakukan oleh kaum musyrikin.
Meskipun asalnya surah ini ditujukan kepada kafir Quraisy di Mekah yang
mengajak Nabis.a.w. berkompromi dengan mereka di dalam penyembahan dan peribadatan,
namun perkataan ‘al-kafirun’ itu sebenarnya merangkumi seluruh manusia yang
kafir di muka bumi ini.
Allah Ta’al perintah kanRasul-Nya agar membebaskan diri
daripada anutan dan pegangan mereka secara total. Tiada tawar menawar dan tiada
jalan tengah untuk mencampur adukkan kebenaran dengan kebatilan. Tidak ada ruang untuk menyatukan antara
aqidah tauhid dan syirik.
Surah dimulakan dengan kalimah ‘qul’ yang bermakna
‘katakanlah (wahai Muhammad)’ member gambaran bahawa penegasan ini dating daripada
Allah. Agama ini adalah urusan Allah semata-mata. Ia bukan urusan Muhammad
s.a.w.
Muhammad s.a.w. hanyalah seorang Rasul yang tidak ada kuasa
untuk campurtangan walau sedikitpun. Segala perintah datang daripada Allah. Dia
sekali-kali tidak bias menolak atau mengelak.
‘wahai orang-orang kafir!’, mereka diseur dengan sifat
dan hakikat diri mereka yang secara terang-terangan menolak iman, mengingkari tauhid
dan kerasulan Muhammad s.a.w. Penolakan iman sebenar merupakan sesuatu yang
berlawanan dengan fitrah mereka sendiri kerana hakikatnya setiap manusia mempunyai
naluri yang tertanam sejak mula dicipta, naluri mengenali dan mengimani Allah
Yang Esa. Lantaran itu orang yang tidak beriman dipanggil kafir. Iaitu orang
yang menutup fitrah nya sendiri.
‘aku tidak sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak
sembah apa yang aku sembah.’ Penegasan ini diulang sebanyak dua kali, iaitu ayat
empat dan lima mengulangi penegasan yang telah dinyatakan di dalam ayat dua dan
tiga. Kali pertama (ayat 2 dan 3) dalam bentuk ‘jumlah fi’liyyah’ (menggunakan katakerja
a’budu), manakala kali kedua (ayat 4 dan 5) menggunakan ‘jumlah ismiyyah’
(menggunakan kata nama ‘aabidu).
Penegasan kali kedua menggunakan jumlahismiyyah adalah
untuk menguatkan penegasan yang pertama. Menurut tatabahasa Arab, jumlah ismiyyah
menunjukkan sifat keteguhan dan ketegasan, tidak berganjak dari pendirian dengan
lebih mantap dan berterusan sampai bila-bila.
Ibn Kathir berkata, terdapat beberapa tafsiran yang
dikemukakan oleh para mufassirin mengenai maksud di sebalik pengulangan ini.
Pertama: semata-mata ta’kid, iaitu bermaksud menguatkan
penegasan yang pertama sahaja.
Kedua: menurut riwayat al-Bukhari daripada para mufassirin,
penegasan kali pertama di dalam ayat 2 dan 3 bermaksud pada masa lalu, iaitu aku
tidak pernah sembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah sembah apa yang
aku sembah. Penegasan kali kedua di dalam ayat
4 dan 5 bermaksud pada masa akan datang, iaitu aku tidak akan sembah apa
yang kamu sembah dan kamu tidak akan sembah apa yang aku sembah.
Ketiga: pandangan yang dikemukan oleh Ibn Taimiyyah, penegasan
yang pertama bermaksud menafikan perbuatan kerana ia jumlah fi’liyyah.
Penegasan yang kedua menafikan penerimaan tawaran itu secara tuntas kerana penafian
itu dibuat dengan menggunakan jumlah ismiyyah.Tafsiran ini membawa maksud “aku tidak
pernah sembah apa yang kamu sembah dan sekali-kali tidak mungkin akan menerima untuk
melakukannya”. Atau boleh dikatakan “aku tidak pernah dan tidak akan melakukannya”
dan perkara itu tidak mungkin diterima di sisiSyara’.
Dan ayat terakhir ‘bagimu agamamu dan bagiku agamaku’
merupakan kata putus yang amat jelas, tegas dan tuntas.Tiada titik pertemuan,
tiada jambatan penghubung dan tiada jalan penyambung antara iman dan kufur,
antara tauhid dan syirik, antara hak dan batil.
Islam dibina di atas landasan tauhid yang suci murni. Agama
selainnya dibina di atas dasar syirik yang batil, yang menyimpang dari landasan
kebenaran. Allah adalah satu-satunyaTuhan yang menciptakan. Daripada-Nya kita dating
dan kepada-Nya kita dikembalikan, daripada-Nya juga kita menerima syari’ah serta
manhaj kehidupan.
Justeru, mukmin wajib membersihkan diri, baik dari sudut
aqidah maupun dari sudut amalan dari segala unsur syirik serta saki bakinya. Mukmin
mesti jelas apa yang digariskan oleh Allah dalam semua bidang yang merangkumi dasar-dasar
aqidah, syari’ah, akhlak dan sebagainya. Allah juga telah menetapkan neraca,
nilai dan tasawwur yang benar tentang kehidupan dan hakikat kewujudan seluruhnya
yang wajib dipegang dan diimani.
Ini tidak bermakna Islam menyuruh umatnya mengasingkan
diri dari manusia. Islam tidak memerintahkan umatnya membina tembok-tembok tebal
yang memisahkan mereka dari dunia. Umat Islam mesti bergaul dengan manusia,
hidup di tengah-tengah mereka. Namun pada masa yang sama, umat Islam mesti dapat
membezakan yang hak dengan yang batil, berfikir dan menilai sesuatu dengan neraca
sendiri, berjalan mengikut rentak hukum Allah, bertindak berpandukan hidayah
Allah, berinteraksi di dalam batas akhlak yang digariskan Allah.
Terdapat satu athar
bermaksud: “Jangan kamu menjadi imma’ah (orang yang tidak tetap pendirian).
Kamu berkata: jika manusia baik, kami pun baik. Jika mereka zalim kami pun zalim.Tetapi
teguhkan pendirian kamu. Jika manusia baik, kamu hendaklah baik. Dan jika manusia
jahat, maka jangan kamu jadi zalim dan jahat.”
No comments:
Post a Comment