And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Sunday, April 14, 2013
Seruan kepada pemuda
بقلم: د. محمد بديع المرشد العام لجماعة الإخوان المسلمين –
2013-04-11 15:38:05
Putera puteriku yang dimuliakan,
Kamu adalah harapan umat yang dijanjikan, masa depannya yang gemilang, tonggaknya yang segar, pembawa panji-panji kebangkitan dan kemajuannya. Kamu adalah Pembina keagungannya, yang memikul dan meletakkan umat ini di tempat yang sesuai baginya. Kamu adalah kekuatannya yang terpendam, yang menjadi bekalan buat menghadapi cabaran masa hadapan, dalaman dan luaran. Kamu adalah bekalan masa depan, tempat bergantungnya harapan. Itulah nilai kamu, itulah kedudukan kamu dan itulah tanggungjawab kamu serta amanah kamu di hadapan Allah Ta’ala, di hadapan umat kamu dan diri kamu sendiri. Sekadar mana kedudukan kamu, sekadar itulah pengorbanan yang dituntut daripada kamu. Sekadar mana hak-hak kamu, sekadar itulah kewajipan kamu. Dan semakin tinggi matlamat yang ingin dicapai, semakin banyak usaha yang perlu dicurahkan demi mencapainya.
Kamu sekarang berada di tahap usia paling subur di dalam hidup kamu dari segi spiritual, kejiwaan, keilmuan dan amalan. Justeru, wajib ke atas kamu menjaga kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Kekuatan yang aku maksudkan ialah segala jenis kekuatan dan segala unsur-unsurnya: material, spiritual, ruhani, jasmani dan lain-lain. Gunakan segala kekuatan itu untuk mendapatkan redha Allah, membantu umat manusia, menyumbang bakti dan khidmat berguna kepada tanah air kamu.
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berpesan supaya memberi perhatian kepada pemuda dan mengutamakan mereka. Daripada Sa’eid al-Khudriy r.a., apabila melihat pemuda, beliau akan berkata: “Marhaban (selamat datang) orang yang diwasiat tentangnya oleh Rasulullah s.a.w.! Baginda berwasiat kepada kami supaya melapangkan majlis untuk kamu dan mengajarkan kamu Hadis dengan mendalam kerana kamu adalah pengganti kami dan ahli Hadis.”
Begitu juga Abdullah bin Ma’ud r.a. apabila melihat pemuda sedang menuntut ilmu, beliau berkata: “Marhaban (selamat datang) kepada kamu. Kamu adalah taman-taman hikmah, lampu-lampu yang menerangi kegelapan, pakaian yang buruk, hati yang baru, penghias rumah dan wangian setiap qabilah.”
Di dalam sejarah kita, sejarah Islam banyak peristiwa yang boleh dijadikan bukti menunjukan pentingnya kedudukan kamu, dan betapa para pemimpin di sepanjang sejarah begitu mengambil berat tentang kamu. Nama-nama seperti Usamah bin Zaid, Mu’ab bin ‘Umayr, Mu’az dan Mu’awwiz bin ‘Afra’, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Anas bin an-Nadhar, Muhammad al-Fatih r.’anhum adalah sebahagian daripada contoh-contoh yang bergemerlapan di dalam sejarah kita. Mereka adalah terjemahan yang hakiki bagi kedudukan kamu serta kejayaan paling cemerlang pernah dicipta oleh pemuda sepanjang hayat sejarah.
Putera puteriku yang dimuliakan,
Pada zaman kita abad ini, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna yarhamuhuLlah, adalah contoh pemuda yang memiliki aqidah yang murni, dakwah yang suci dan hakiki, usaha yang tidak kenal jemu, langkah-langkah yang tiada henti demi mencapai matlamat yang disasarkan. Beliau mengasaskan jamaah Ikhwan Muslimin, meletakkan batu asasnya, strukturnya, garis panduan pemikiran dan pergerakannya. Beliau mengelilingi seluruh bumi Mesir serta sebahagian negara-negara di luar Mesir. Beliau berjaya meyakinkan ribuan manusia dengan fikrahnya dan menyebarkannya dengan bantuan ikhwan yang ikhlas kepada perjuangannya. Dan Allah ‘Azza wa Jalla menganugerahkan syahid di akhir perjalanan jihad dan dakwahnya yang hebat. Semua itu dilakukan di dalam usianya yang tidak melebihi 43 tahun.
Imam asy-Syahid telah mengkhususkan untuk kamu satu risalah “Ila asy-Syabab”. Di dalam risalah itu beliau menggariskan rukun-rukun kejayaan: “Sesungguhnya satu fikrah hanya akan berjaya apabila diimani dengan kuat, diperjuangkan dengan ikhlas, penuh semangat serta bersedia mencurahkan amal dan pengorbanan demi merealisasikannya.” Kita dapati, beliau meletakkan empat rukun kejayaan sesuatu fikrah: iman, ikhlas, hamasah (semangat) dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruhi dan aqidah (iman, ikhlas) di samping amali dan tatbiqi (pelaksanaan) iaitu hamasah dan amal. Ia merupakan gabungan yang cukup serasi antara hamasah asy-Syabab (semangat orang muda) dengan pengarahan yang baik serta kefahaman yang mantap.
Asy-Syahid juga telah menggariskan keperluan-keperluan utama bagi sesuatu bangsa dan umat yang mana pemuda adalah inti atau unsur penting bagi umat; iaitu keperluan untuk bangkit dan kembali membangunkan keagungannya. Beliau berkata: sesungguhnya pembentukan umat, pentarbiahan bangsa, pencapaian harapan, perjuangan menegakkan prinsip, berhajat kepada satu ummah yang cuba melakukannya atau satu golongan yang menyeru kepadanya. Golongan ini sekurang-kurangnya mestilah memiliki kekuatan jiwa yang hebat. Jiwa yang hebat teradun di dalamnya ciri-ciri berikut: kehendak yang kuat yang tidak akan dihinggapi perasaan lemah, kesetiaan yang teguh yang tidak diserang oleh tolak ansur dan tipu daya, pengorbanan yang tinggi yang tidak disekat oleh sifat tamak dan bakhil, memahami prinsip, beriman dengannya dan menghargainya yang menghalang daripada kesilapan, penyelewengan, tawar menawar serta terpedaya dengan yang lain.”
Antara makanah (kedudukan) dan amanah
Sesungguhnya amanah kamu sangat besar. Bebanan kamu sangat berat. Usaha yang dituntut untuk merealisasikan hadaf yang tinggi demi tanah air memerlukan himmah yang tinggi, keazaman yang tidak mungkin disekat. Ibarat kata seorang penyair dahulu kala:
Sesungguhnya engkau telah dicalonkan untuk memikul satu urusan kalaulah engkau memahaminya,
Maka perkemaskan dirimu, peliharalah ia dan jangan engkau cuai.
Maka bangkitlah untuk memikul amanah dengan kuat, jangan lemah. Dengan azam yang kukuh, tidak longgar. Dengan himmah yang tinggi, tidak malas. Dengan ilmu yang benar, bukan agak-agak. Dengan tawakkal kepada Allah, bukan tawakul. Dengan keyakinan kepada pertulungan Allah, dapat memelihara kamu dari terpesong dan tergelincir. Contohilah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua. Mereka berdoa kepada Allah dengan menjadikan amal soleh mereka sebagai wasilah. Mereka taat kepada Allah, meninggalkan dosa dan kejahatan.
Kewajipan-kewajipan
Sesungguhnya kamu mempunyai kewajipan yang besar dalam menghadapi cabaran yang menghalangi kamu dan dalam merealisasikan kemenangan yang diharapkan daripada kamu. Kewajipan yang pertama ialah kewajipan terhadap Tuhan kamu. Maka perelokkanlah hubungan dengan Tuhan kamu, ikhlaskan niat kamu. Awas! Kamu jangan lakukan apa yang menyebabkan Dia murka kepada kamu. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pelindung, Penulung dan Pembantu. Elokkan ibadat kamu dengan menunaikan apa yang difardhukan ke atas kamu. Jauhi apa yang dilarangnya. Berjalanlah mengikut landasan yang disukai dan diredahi-Nya. Jadikan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang dan lapangan sebagai senjata kamu. Mantapkan bidang pengkhususan kamu. Ia meluaskan penguasaan kamu dan penyuluh akal kamu. Ambil manfaat daripada usaha, ilmu, pengalaman orang-orang sebelum kamu. Tidak ada orang tua dalam bidang ilmu dan pembelajaran. Jauhi sifat sombong terhadap ilmu atau ulamak, atau orang yang tua daripada kamu dari segi usia dan pangkat, atau dalam mana-mana bidang dalam kehidupan. Sesungguhnya sombong itu jahat semuanya. Dan ia merupakan satu daripada factor yang membinasakan hati.
Hendaklah kamu benar-benar mengetahui dan memahami dengan mendalam rancangan jahat yang diatur untuk memusnahkan umat kamu dari dalam dan luar. Kamu hendaklah mengikuti peristiwa yang berlaku, mengkaji, memerhati dan menganalisisnya supaya kamu jelas hakikatnya serta mampu membongkar selok belok perancangan musuh yang rumit. Kamu mesti dapat membezakan antara gandum dan sekam, antara tulin dan palsu. “Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d:17)
Sesungguhnya pergaulan kamu dengan orang yang berlainan fikrah, sudut pandangan, ideology, berlainan bangsa, warna kulit dan agama menjadi teras kepada bangunan dan keteguhannya. Maka berhati-hatilah daripada mereka yang cuba memecah belahkan saf kamu dengan menabur benih perselisihan puak dan bangsa. Perselsisihan itu sebenarnya perkara yang sangat jauh dari tabiat mesyarakat kita. Hendaklah kamu hidup bersama secara harmoni dan bekerjasama. Maaf bermaafan sesama kamu dan berlapang dada selalu sebagaimana pesanan orang-orang terdahulu: kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati, dan kita beri keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.
Hiasilah diri kamu dengan akhlak terpuji dan nilai-nilai yang telah diasaskan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Kamu hendaklah berpegang dengan akhlak dan nilai-nilai amal jama’iy. Bekerja dengan semangat berpasukan, tulung menulung dengan rakan, bertolak ansur, bermaafan, jangan beri tumpuan kepada perkara remeh temeh, lupakan kesilapan yang tidak disengajakan, cari alasan buat mereka. Dengan itu akan tersebar perasaan kasih antara kamu, kemesraan akan berkekalan, lantas tanah air akan bangkit dan bergerak maju dengan izin Allah Ta’ala.
Kamu hendaklah bijak mengurus waktu. Gunakan waktu kamu untuk perkara yang bermanfaat. Pemuda yang ingin membangun ketinggian bangsa dan umatnya tidak mengenal erti membuang masa di dalam kamusnya. Sebaliknya dia sentiasa bekerja bersungguh-sungguh, berikhtiar mencari jalan dan peluang, tabah demi mencapai hadaf. Hingga pada waktu rehatnya dia akan memanfaatkan waktu dengan sebaik-baiknya.
Beramallah dengan ilmu kamu. Curahkan segala tenaga kamu. Tunaikan syukur kamu di atas segala ni’mat yang Allah anugerahkan dengan malakukan amal soleh dan sentiasa rajin melakukan apa saja yang mendatangkan kebaikan kepada tanah air dan warganya. Utamakan kepentingan awan daripada kepentingan khusus. Berhati-hati, jangan kamu dipergunakan untuk menjadi bahan bakar yang mencetuskan pertempuran padahal kamu tidak mempunyai unta jantan dan unta betina untuk ditunggang.
Hendaklah kamu berasa megah dengan berintima’ kepada tanah air kamu. Hendaklah kamu mementingkan kemajuannya daripada kemajuan peribadi kamu. Tingkatkan kemajuan diri kamu seiring dengan kemajuannya. Berkorbanlah demi kebaikannya. Peliharalah tanah air kamu dan segala khazanahnya supaya kamu dapat mewariskannya kepada anak cucu kamu kebaikan yang kamu terima daripada bapa dan datuk kamu. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat kamu, menyelesaikan permasalahannya dan bekerja untuk memajukannya. Talakan segala tenaga kamu untuk membina dan memakmurkannya. Jauhi segala perkara yang sia-sia yang tidak menghasilkan amal. Jadikan percakapan kamu percakapan yang baik. Diam kamu diam berfikir. Amal kamu amal yang berhasil.
Jadilah kamu qudwah (contoh ikutan)dalam tingkah laku dan cara bergaul. Hurmatilah orang tua, kasihilah orang muda. Berilah nasihat dengan cara terbaik, terimalah nasihat walau dari sudut manapun. Bersahabatlah dengan orang yang baik, yang membantu kamu taat kepada Allah. Maralah ke hadapan dalam setiap medan: iman, ilmu dan amal. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat ialah orang yang apabila kamu mengingati Allah dia membantu kamu dan apabila kamu lupa dia mengingatkan kamu. Serlahkan pada diri kamu 10 muwasafat yang diadunkan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna. Jadikan ia sebagai manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu. 10 muwasafat itu ialah: tubuh yang kuat, akhlak yang mantap, fikiran yang bermaklumat, mampu untuk bekerja, aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, bermujahadah memperbaiki diri, sangat menjaga waktu, urusan tersusun rapi, bermanfaat kepada orang lain. Ciri-ciri tersebut mampu membentuk peribadi yang kamil, peribadi yang mampu memikul bebanan dalam perjalanan, yang mampu menjadi landasan yang di atasnya terbina ummah yang cemerlang dan terbilang.
Awas! Awas!
Putera puteriku yang dimuliakan,
Awasi fitnah dan perancangan jahat yang diatur siang dan malam untuk memerangkap kamu, untuk menyekat kemaraan kamu dan menggagalkan usaha kamu. Hendaklah kamu sentiasa peka terhadap siapa yang mengatur dan membiayainya. Jangan kamu terheret di belakang mereka. Mereka menyembunyikan matlamat yang jahat yang disulami syaitan durjana. Berwaspadalah kamu daripada menyalah gunakan ni’mat Allah, iaitu ni’mat kekuatan dalam pelbagai lapangan: tubuh badan, ilmu dan kebendaan. Maka peliharalah ni’mat itu, semoga ia menjadi simpanan untuk masa depan kamu. Jangan kamu terpedaya dengan panjang umur. Kamu berada di antara dua tempoh lemah, “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Ar-Rum:54)
Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang tempoh masa muda ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seorang hamba pada Hari Qiamat sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang mudanya, untuk apa digunakan.. dan seterusnya”. Kita lihat, meskipun zaman muda itu termasuk di dalam lingkungan usia, Rasulullah s.a.w. menyebutnya secara khusus pula bagi menunjukkan betapa pentingnya zaman itu. Berhati-hatilah daripada salah guna kebebasan dengan mengecam peribadi-peribadi, institusi-institusi atau merosakkan khazanah tanah air. Setiap hak berakhir dengan menyalah gunakannya atau ketika berlawanan dengan kebebasan orang lain. Jangan sempitkan diri kamu apa yang luas. Dan berhati-hati dengan keinginan yang tidak terkawal yang boleh membawa kamu terpesong dari jalan yang benar. Keinginan yang sangat kuat kadang-kadang mendorong tuannya menghalalkan cara yang tidak baik, mengheret tuannya ke jalan yang salah, menjadikan matlamat menghalalkan cara, menjadikan dia sanggup meruntuhkan segala prinsip, nilai dan uruf yang baik.
Berhati-hatilah kamu daripada para pengkritik yang menghancurkan yang berusaha untuk memusnahkan orang lain. Di sana terdapat garis panduan etika yang tidak ada pertikaian tentangnya dalam mengemukakan pandangan dan perbezaan pendapat. Kamu mesti berpegang kepadanya, jangan terpesong walaupun sedikit. Sesungguhnya kita disuruh supaya memberi nasihat kepada pemimpin umat Islam dan orang awam. Itu merupakan kewajipan kita, tetapi mestilah berlandaskan tatacara dan nilai-nilai tertentu yang wajib dipatuhi.
Berhati-hatilah kamu daripada sifat gopoh, mahu memetik buah sebelum ia masak ranum atau memotong jalan, melangkahi marhalah-marhalah. Dengan cara itu sebenarnya kamu mensia-siakan waktu, tenaga, ilmu dan keupayaan umat seluruhnya. Ingatlah nasihat berguna yang ditinggalkan oleh Imam al-Banna: “Kekanglah runtunan perasaan dengan pandangan akal, dan terangilah pandangan akal dengan nyalaan perasaan.” Maka tetapkan hadaf kamu dengan terang dan jelas. Jenguklah masa depan dengan minda terbuka berlandaskan asas-asas ilmiah yang lurus, nescaya kamu akan mencipta kejayaan dengan nisbah paling tinggi dalam waktu yang paling singkat dan tenaga yang paling minimum.
Putera puteriku yang dimuliakan,
Kamu adalah harapan umat, mindanya yang terang benderang, masa depannya yang gemilang, kejayaannya yang dijanjikan, factor kemajuan dan keunggulannya yang paling utama. Itulah dia tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat kamu dan diri kamu. Maka peganglah amanah ini dengan kuat. Ingatlah pesanan seorang penyair:
Apabila kaum itu berkata siapakah pemuda?
Aku merasakan bahawa akulah yang dimaksudkan denganya
Maka aku tidak akan malas dan tidak akan berlagak bodoh.
Sesungguhnya umat kamu menanti daripada kamu banyak dan banyak. Maka jadilah kamu menepati sangka baik mereka terhadap kamu. Elokkanlah amal dan usaha kamu, nescaya kamu akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah:105)
Sumber:
http://www.alamatonline.net/l3.php?id=56621
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment