Sunday, July 21, 2013

Pertengahannya Maghfirah...


Alhamdulillah dengan rahmat dan izinNya kita sudah berada dipertengahan Ramadhan yang mulia. Ketika ini ramai yang mengingatkan tentang sopotong Hadis yang bermaksud: "Ramadhan adalah satu bulan, awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya bebas dari api neraka."

Berdasarkan Hadis itu, maka bulan yang mulia dibahagikan kepada tiga fasa: Rahmah, Maghfirah dan 'Itqun minan-Nar (bebas dari api neraka).

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam sahihnya no 1887 daripada Salman r.a., dan dia berkata sekiranya sahih. Juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syi'ab al-Iman, no 3608.

Menurut ahli Hadis, di dalam sanad (senarai periwayat) Hadis ini terdapat Ali bin Zaid bin Jad'an. Di dalam kitab al-Kasysyaf menyebut bahawa beliau salah seorang hafiz yang tidak mantap. Ad-Dar Qutni berkata: "Aku masih menganggap dia seorang yang tidak kuat." Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Zar'ah berkata bahawa Ali bin Zaid bin Jad'an ini tidak kuat. Yahya bin Ma'een pula berkata: "Dia tidak boleh menjadi hujjah."

Shaikh al-Albani meletakkan Hadis ini di dalam senarai Hadis-hadis dha'eef no 871 dan dia berkata, Hadis ini munkar.

Hadis yang mengandungi maksud yang sama diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya, al-Khatib dan Ibn 'Asakir daripada Abu Hurairah r.a.

Jalur ini juga dikategorikan sebagai dha'eef oleh  Shaikh al-Albani di dalam Dha'eef al-Jami', no 2135 dan di dalam Silsilah Dha'eef no 1569.

Haruskah berpegang dengan Hadis-hadis dha'eef?

Sebahagian ulamak meletakkan beberapa syarat untuk beramal dengan Hadis Dha'eef:
Pertama: ia berkaitan dengan fadhilat-fadhilat amal
Kedua: amal itu termasuk di bawah asal yang diamalkan dengannya
Ketiga: Hadis itu tidak terlalu dha'eef
Keempat: tidak beri'tiqad bahawa ia thabit daripada Rasulullah s.a.w., sebaliknya beri'tiqad sebagai suatu langkah mencari peluang sahaja.

Dalam konteks ini, Shaikhul-Islam Ibn Taimiyyah menulis di dalam kitabnya Al-Fatawa:
Apa yang dikatakan oleh ulamak tentang keharusan beramal dengan Hadis Dha'eef bukan bermakna mengithbatkan sunat sesuatu amal dengan Hadis yang tidak boleh dibuat hujjah. Sesungguhnya sunat itu adalah hukum Syara'. Ia tidak thabit kecuali dengan adanya dalil Syara'.  Sesiapa yang mengkhabarkan daripada Allah bahawa Dia telah mewajibkan sesuatu amal tanpa dalil yang syar'iy, maka dia telah mensyari'atkan agama (menetapkan hukum agama) dengan cara yang tidak diizinkan Allah kepadanya. Samalah kalau menetapkan wajib, haram dan sebagainya.

Yang mereka maksudkan harus itu ialah beramal dengan sesuatu yang telah thabit bahawa amal itu disukai Allah atau tidak disukai berdasarkan nas al-Quran dan Hadis atau Ijmak, seperti tilawah al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, memerdekakan hamba, berbuat baik kepada manusia, bencikan dusta, khianat dan seterusnya.

Maka apabila diriwayatkan Hadis tentang kelebihan amal-amal yang sunat dan ganjarannya, atau makruh sesuatu amal serta balasannya, jika diriwayatkan sesuatu Hadis tentang kadar ganjaran, balasan serta jenis-jenis atau bentuk balasan dan ganjaran yang kita tidak ketahui bahawa Hadis itu maudhu' (palsu), harus meriwayat dan beramal dengannya. Dengan erti kata, jiwa manusia ini mengharapkan balasan dan takut siksaan, laksana seorang lelaki yang mengetahui bahawa berniaga itu untung, kemudian diberitahu kepadanya bahawa keuntungan yang akan diperolehi sangat banyak. Maka jika dia cuba dan benar perkhabaran itu, dia dapat manfaatnya. Jika tidak benar, tidak memudaratkannya. Itulah contoh dalam bab targhib dan tarhib dengan membawa kisah-kisah israeliyyat, mimpi-mimpi, kata-kata salaf, ulamak dan peristiwa-peristiwa yang terjadi pada ulamak. Semua itu semata-mata tidak boleh dijadikan dalil untuk mengithbatkan sesuatu hukum sama ada sunat atau sebagainya, tetapi boleh sekadar untuk terghib (menggemarkan), tarhib (menggerunkan) tarjih (menimbulkan harapan) dan takhwif (menakutkan).

Maka apabila Hadis Dha'eef berkenaan fadhilat-fadhilat yang mengandungi kadar dan penetapan seperti dinyatakan solat pada waktu tertentu dengan membaca bacaan tertentu atau dengan sifat tertentu, itu tidak harus kerana itu bermakna menetapkan sesuatu yang tidak thabit dalil syar'iy.  Berbeza kalau menyebut bahawa siapa yang masuk ke pasar, lalu dia membaca zikir sekian sekian dia dapat sekian sekian. Ini kerana mengingati Allah di pasar memang sunat kerana mengingati Allah di kalangan orang-orang yang lalai.

Maka meriwayatkan kadar pahala, tidak menjejaskan sama ada thabit atau tidak.

Kesimpulannya, di dalam bab ini boleh meriwayatkan dan mengamalkan dalam memberi targhib (menggemarkan) dan tarhib (menggerunkan), bukan dalam menetapkan hukum sunat. Kemudian i'tiqad adanya ganjaran pahala dan siksa dalam kadar tertentu juga perlu ada dalil syar'iy . (Akhir kata-kata Ibn Taimiyyah)

Berbalik kepada Hadis yang diperkatakan tentang pembahagian Ramadhan kepada tiga fasa, pada pandangan penulis haruslah berdasarkan dalil yang sahih. Jika tidak, elok kembali kepada dalil yang diyakini kesahihannya seperti Hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang puasa Ramadhan dengan iman dan ihtisab (dengan bersungguh-sungguh mengharap pahala daripada Allah Ta'ala) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya." Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Seluruh Ramadhan wajib dihayati dengan iman bahawa puasa ini difardhukan Allah dengan melaksanakan puasa dalam keadaan tulus ikhlas mengharapkan pahala daripadaNya semata-mata, bukan mengharap sesuatu yang lain daripada itu. Allahu A'lam.

No comments: