Kisah Nabi Yusuf 'alaihis-salam telah
diceritakan dengan lengkap dan ditil di dalam satu surah, iaitu surah Yusuf.
Terlalu banyak pengajaran dan ibrah yang
terselit di sepanjang perjalanan kisah Nabi yang mulia ini.
Namun, cerita paling masyhur mengenai Nabi
Yusuf adalah kisah cintanya dengan wanita yang dikenali sebagai Zulaikha.
Siapakah Zulaikha sebenarnya?
Nama Zulaikha pastinya tidak terdapat di
dalam al-Quran. Nama itu muncul di dalam beberapa kitab tafsir ketika
menghuraikan ayat ke 21 bermaksud: "Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri
Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia
layanan yang sebaik-baiknya; semoga dia berguna kepada kita, atau kita jadikan
dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi
(Mesir untuk dihormati dan disayangi) dan untuk kami mengajarnya sebahagian
dari ilmu takbir mimpi dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah
ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia
tidak mengetahui.” (Yusuf:21)
Menurut Allah Yarham Sa'eid Hawwa di dalam
kitab al-Asas fi at-Tafsir:
"Taurat yang ada sekarang tidak
menyebut nama isteri pembesar yang membeli Yusuf. Namun mufassirin muslimin
mengatakan bahawa namanya Zulaikha. Sebahagian mereka mengatakan namanya
Ra'eil. Ibn Ishaq mengatakan bahawa Zulaikha adalah adik beradik kepada Raja
ar-Rayyan bin al-Walid. Namun di sana tidak ada sumber bagi riwayat-riwayat ini
melainkan daripada ahli kitab semasa kepada mufassirin. Dan kebanyakannya tidak
sahih untuk dijadikan sebagai sandaran." (Halaman 2650)
Ibn Kathir menyebut daripada Ibn Abbas r.a.
bahawa al-Aziz atau pembesar yang membeli Yusuf ialah Qatfir, menteri yang
bertanggungjawab ke atas khazanah Mesir. Raja ketika itu bernama ar-Rayyan bin
al-Walid. Nama isteri Qatfir ialah Ra'eil. Riwayat lain mengatakan namanya
Zulaikha.
At-Tobari juga membawa riwayat Ibn Ishaq
yang mengatakan bahawa namanya Ra'eil binti Ra'aeil.
Tasir al-Alusi menyebut riwayat daripada Mujahid, namanya Ra'eil
binti Ra'abil. Manakala riwayat lain menyatakan namanya Zulaikha binti
Talmikha. Yang lain pula berkata dia bernama Ra'eil, gelarannya Zulaikha. Ada
pula yang berkata sebaliknya, iaitu namanya Zulaikha dan gelarannya Ra'eil.
Kisah seterusnya berkaitan wanita ini dapat
diikuti di dalam ayat berikut:
Dan perempuan yang Yusuf tinggal di
rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan
perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf
menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari
perbuatan yang keji itu); sesungguhnya
tuanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang
zalim tidak akan berjaya". (23)
Dan sebenarnya perempuan itu telah
berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya
kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang
kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari
Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji kerana
sesungguhnya dia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (24)
Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu,
serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah
keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu
berkata (kepada suaminya): Tidaklah ada balasan bagi orang yang mahu membuat
jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang
menyiksanya". (25)
Yusuf pula berkata: "Dia lah yang
memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan
seorang dari keluarga perempuan itu
tampil memberi pendapatnya dengan berkata: "Jika baju Yusuf koyak
dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari
orang-orang yang dusta. (26)
Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka
dustalah perempuan itu dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar". (27)
Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak
dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu
orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.
(28)
Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau
(Wahai isteriku), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang
yang bersalah!" (29)
Jelas sekali apa yang diceritakan di dalam
ayat-ayat Allah di atas, bahawa ibu angkatnya berusaha untuk menggoda Yusuf.
Namun dengan rahmat dan 'inayah Allah, Yusuf terpelihara dari terjebak ke dalam
perbuatan durjana yang dirancang ibu angkatnya.
Setelah kejadian yang sangat memalukan itu
tersebar, apakah reaksi rakyat jelata mengenainya? Al-Quran menceritakan:
Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di
bandar Mesir (mencaci hal isteri al-Aziz dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu
memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada
Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami
memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (30)
Maka apabila dia (Isteri al-Aziz) mendengar
cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk
mereka, serta memberikan kepada tiap-tiap seorang di antara mereka sebilah
pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka
melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan
tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari
kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat
yang mulia!" (31)
(Isteri al-Aziz) berkata: "Inilah
orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya
berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada
kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku
suruh tentulah dia akan dipenjarakan dan akan menjadi dari orang-orang yang
hina." (32)
Yusuf (merayu ke hadrat Allah Taala dengan)
berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang
perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan
daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku
menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (33)
Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu
dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (34)
Kemudian timbullah fikiran bagi suami
perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka
nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu
masa. (35)
Walaupun dikecam pada mulanya, akhirnya
perempuan itu bukan saja berjaya mempertahankan tindakan jahatnya, malah
berjaya membalikkan isu. Orang yang tidak bersalah terhumban ke dalam penjara
beberapa tahun lamanya.
Kisah mengenai perempuan itu bersambung
lagi di dalam ayat-ayat yang berikut:
Dan (apabila mendengar tafsiran mimpi itu)
berkatalah raja Mesir: "Bawalah dia kepadaku! "Maka ketika utusan
raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya:
Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya
perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha
Mengetahui tipu daya mereka". (50)
(Setelah perempuan-perempuan itu
dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk
Yusuf mengenai dirinya?" Mereka menjawab: JauhNya Allah
dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu
kejahatan terhadap Yusuf". Isteri Al-Aziz pun berkata: "Sekarang
ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf
berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak); dan sesungguhnya dia adalah
dari orang-orang yang benar. (51)
"(Pengakuanku) yang demikian supaya
dia (suamiku) mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa dia tidak
hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya
orang-orang yang khianat. (52)
"Dan tiadalah aku berani membersihkan
diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,
kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah
dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani." (53)
Itulah kesudahan kisah perempuan isteri
al-Aziz yang cuba menggoda anak angkatnya, Yusuf. Kesudahannya dia mengaku bahawa
anak angkatnya itu tidak bersalah. Dan al-Quran tidak lagi menyebut tentang apa
yang berlaku ke atasnya selepas pengakuan itu.
Di dalam kitab-kitab tafsir juga tidak
ditemui kisah perempuan itu selanjutnya. Allah Yarham Sa'eid Hawwa memetik
daripada kitab Taurat yang ada sekarang mengenai kisah Nabi Yusuf
'alaihis-salam. Sebahagian petikan itu:
"Di dalam kitab Taurat Ishah 41
menyebut bahawa raja memanggil Yusuf dengan nama Sofanat Fa'anih. Dia
mengahwinkan Yusuf dengan Asnat anak perempuan Futiy Farie Kahin Aun. Ketika
itu Yusuf berusia 30 tahun. Beliau menjelajah ke
serata pelusuk Mesir.
Selama 7 tahun berturut-turut bumi
mengeluarkan hasil dengan banyaknya. Dalam masa itu Yusuf dikurniakan dua orang
anak lelaki dilahirkan oleh isterinya Asnat binti Futiy Farie Kahin Aun. Anak
pertama dinamakan Qannasa. Yusuf berkata, ini kerana Allah telah menjadikan aku
lupa segala kepenatanku dan apa yang berlaku di rumah ayahku. Anak kedua
dinamakan Afraiym kerana katanya, Allah menjadikan aku sebab setiap bumi yang
aku pijak subur dan berbuah."
Dalam petikan itu juga tidak menyebut
apa-apa kisah berkaitan dengan hubungan Yusuf dengan ibu angkatnya. Jadi dari manakah
kisah cinta yang begitu popular di kalangan sebahagian orang Islam sehingga
dijadikan sebahagian daripada teks doa di majlis-majlis walimah agar pengantin
disatukan sebagai pasangan yang serasi dan intim seperti Yusuf dengan Zulaikha.
Walhal nama Zulaikha itu sendiri tidak disebut di dalam Taurat dan tidak
sepakat di kalangan mufassirin?