Monday, October 27, 2014

Check Point Hijrah Nabawiyyah

Hijrah Nabawiyyah yang penuh keberkatan telah berlau 1435 musim yang lalu. Sedia maklum bahawa hijrah berlaku pada bulan Rabiul-Awwal. Namun tahun hijriah dimulai daripada bulan Muharram. Ketetapan ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Amirul-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. dengan persetujuan para sahabat r.a.

Kisah bermula apabila seorang lelaki menuntut hutang daripada rakannya di hadapan Umar. Menurut  perjanjian mereka hutang itu mesti dibayar pada bulan Syaaban. Umar r.a. bertanya, Syaaban yang mana? Adakah Syaaban tahun yang kita berada sekarang atau Syaaban tahun lalu atau Syaaban tahun akan datang?

Kemudian Umar mengambil inisiatif mengumpulkan para sahabat dan bermesyurat dengan mereka untuk menentukan tarikh supaya mereka dapat mengetahui bilakah tiba masa hutang-hutang wajib dibayar. Maka keluarlah beberapa cadangan:
1.     Guna tarikh Parsi
2.     Guna tarikh Rom
3.     Letak tarikh mengikut hari kelahiran Nabi s.a.w.
4.     Letak tarikh mengikut hari baginda diutus menjadi Rasul.
5.     Letak tarikh mengikut hari baginda berhijrah.
6.     Letak tarikh mengikut hari baginda wafat.

Maka Umar cenderung kepada cadangan meletakkan tarikh mengikut hari baginda berhijrah kerana kemasyhuran dan keluasan penyebarannya. Semua sahabat bersetuju dengan pandangan itu.

Seterusnya Umar meminta pandangan tarikh hijrah ini hendak dimulakan dengan bulan apa? Maka timbul beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan mula dengan bulan Rajab dan ada yang mencadangkan mula dengan bulan Ramadan. Uthman bin Affan r.a. mencadangkan agar dimulakan dengan bulan Muharram kerana ia merupakan bulan haram. Dan ia merupakan awal  tahun, masa manusia berangkat pulang setelah selesai ibadah haji.

Bermula daripada situ, hari pertama bulan Muharram menjadi awal tahun hijriah.

Tidak syak lagi, hijrah merupakan satu peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan Islam. Terdapat beberapa check point yang patut menjadi iktibar sehingga ke akhir zaman.

Pertamaa : Keindahan Islam

Para pemimpin Quraisy yang menentang dakwah dengan keras dan cuba menyekat penyebarannya tidak dapat menyembunyikan kekagumana mereka terhadap keindahan Islam, kerasionalannya, keupayaannya memikat hati, menguasai akal dan mengesankan jiwa. Buktinya mereka pernah dicadangkan agar dihalau Rasulullah s.a.w. keluar dari kota Mekah supaya mereka dapat merehatkan diri dari berdepan dengan dakwahnya yang kian merebak, supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang aman damai seperti sebelumnya tanpa diganggu oleh agama baru yang dibawa oleh Muhammad. Namun, apa jawapan mereka terhadap cadangan itu? Mereka berkata: Tidak, demi Allah! Ini bukanlah satu idea yang menguntungkan kamu. Tidakkah kamu lihat betapa indah kata-katanya, betapa manis tutur bicaranya, dia mampu menawan hati orang-orang yang matang dengan apa yang dibawanya. Jika kamu laksanakan idea kamu itu, kamu tidak akan selamat. Dia akan betapak di satu perkampungan orang Arab dan menguasai mereka dengan kata-kata dan tutur bicaranya sehingga mereka semua akan mengikutinya. Kemudian dia akan memimpin satu angkatan dan memijak kamu di negeri kamu sendiri. Selepas itu, dia akan lakukan apa saja yang dia mahu terhadap kamu.

Sesungguhnya kata-kata itu merupakan pengiktirafan yang jelas tentang keindahan Islam yang diluahkan oleh musuh-musuhnya. Sebelum itu, Herculas telah mengakui kehebatan Nabi Muhammad s.a.w. di hadapan Abu Sufyan dengan katanya: "Aku mengetahui bahawa dia yang tidak pernah berbohong dengan manusia, tidak mungkin akan berbohong dengan Allah. Demikianlah para rasul. Mereka tidak menipu. Sekiranya aku berada di sisinya nescaya aku akan membasuh tapak kakinya.

Pengiktirafan sedemikian bukan saja diucapkan oleh orang-orang terdahulu, malah sehingga kini ramai di kalangan pemikir dan pengkaji menyatakan dengan terus terang kekaguman mereka terhadap keindahan Islam dan pembawanya, Nabi Muhammad s.a.w. Antara kata-kata mereka:
1.     Pemikir dan penyair Perancis, Lamartine: "Adakah di sana terdapat seorang yang lebih hebat daripada Nabi Muhammad?"
2.     Bernard Shaw dari British: "Sesungguhnya dunia sangat berhajat kepada seorang lelaki yang dapat berfikir seperti Muhammad".
3.     Michael Hart dari Amerika: "Muhammad merupakan tokoh sejarah yang paling penting dan paling hebat".
4.     Durant, penulis ensiklopedia tamadun manusia: "Muhammad merupakan tokoh sejarah paling hebat dari kalangan yang hebat".
5.     Thomas Carlyle, penulis berbangsa Inggeris: "Muhammad adalah rahmah dan kasih sayang. Sesungguhnya aku cintakan Muhammad kerana tabiatnya yang bersih daripada mengada-ngada dan meninggi diri.
6.     Sasterawan British, George Wells: "Muhammad merupakan pemimpin paling hebat dalam mendirikan negara yang adil dan bertoleransi".
7.     Ahli sejarah Perancis, Gustave Le Bon: "Muhammad merupakan manusia paling agung yang diketahui di dalam sejarah"

Kedua: Kebersamaan Tuhan

Quraisy telah mengatur konspirasi secara besar-besaran untuk menghapuskan Islam. Mereka mengumpulkan segala kekuatan dan tenaga yang mereka ada. Konspirasi itu turut disertai oleh Iblis laknatullah yang menyamar sebagai orang yang memberi nasihat dan buah fikiran yang bernas. Konspirasi terbesar mereka berligar di sekitar tiga cadangan: tahan di dalam bilik kurungan dalam keadaan terikat dengan rantai besi, halau keluar jauh-jauh  dan sekat dari mendapat keperluan hidup, dan bunuh. Akhirnya mereka mencapai persepakatan untuk membunuh dengan cara yang paling keji. Namun Allah Ta'ala menjamin keselamatan RasulNya. Dia melindunginya dari tipu muslihat golongan kafirin sehingga dia dapat menyampaikan risalah dengan sempurna. Hal ini ditegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:40)

Terdapat beberapa ayat yang menjelaskan keadaan di mana Allah bersama dengan kita, iaitu:
1.     Bersama dengan orang yang sabar. "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:153)
2.     Bersama dengan orang yang bertaqwa. "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah:194)
3.     Bersama dengan orang yang ihsan. "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (An-Nahl:128)
4.     Bersama dengan orang beriltizam dengan syariat Allah. "dan Allah berfirman (kepada mereka): Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah) dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Al-Maaidah:12)

Ketiga: Peranan Wanita

Nabi s.a.w. merancang hijrahnya dengan begitu rapi. Dan wanita memainkan peranan yang sangat besar yang mungkin sukar dilakukan oleh kaum lelaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia merupakan peranan paling penting dalam perancangan hijrah. Ibn Ishaq berkata: Rasulullah s.a.w. berada di dalam gua selama tiga hari. Bersamanya Abu Bakar as-Siddiq. Quraisy menawarkan 100 ekur unta sebagai hadiah kepada orang yang dapat menangkap dan membawa baginda kepada mereka.
Abdullah bin Abu Bakar r.a. berada di tengah-tengah orang Quraisy di waktu siang mendengar apa yang mereka rancang dan apa yang mereka kata tentang Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. kemudian dia datang ke gua waktu malam menyampaikan berita. 'Aamir bin Fuhairah, hamba  Abu Bakar r.a. mengembala kambing di tempat orang-orang Quraisy mengembala kambing-kambing mereka. Bila petang dia akan membawa kambing-kambaing Abu Bakar ke arah gua dan memerah susu untuk mereka berdua. Apabila pagi menjelang Abdullah akan meninggalkan tempat persembunyian menuju ke Mekah dan 'Aamir akan mengikuti jejak Abdullah dengan kambing-kambing belaannya untuk menutup kesan-kesan tapak kaki Abdullah. Setelah tiga hari berlalu, penduduk Mekah semakin reda, orang yang diupah untuk menunjukkan jalan ke Yathrib datang dengan membawa dua ekur unta serta sesekur unta tunggangannya sendiri. Ketika itu Asma' datang membawakan dua uncang bekalan makanan. Ketika Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar hendak menggantungkan bekalan itu pada unta masing-masing, Asma' baru tersedar rupanya dia lupa untuk menyediakan tali pengikat uncang itu. Lalu tanpa teragak-teragak dia terus membelah tali pinggangnya. Sebahagian dijadikan sebagai pengikat bekalan dan sebahagiannya digunakan untuk mengikat kainnya. Dengan sebab itulah Asma' mendapat gelaran 'dzatun-nitoqain'. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya apabila dia membelah tali pinggangnya, "Sesungguhnya untuk Asma' dua tali pinggang di syurga."

Kisah ini menerangkan betapa peranan yang dimainkan oleh Asma' binti Abu Bakar yang ketika itu dalam lingkungan usia 17 tahun. Peranannya adalah membawa makanan kepada Rasulullah s.a.w. dan ayahnya Abu Bakar r.a. yang berlindung di gua Thur. Orang yang memanjat gua Thur pada hari ini pasti memahami betapa sukarnya jalan yang dilalui oleh lelaki yang perkasa untuk sampai ke situ. Maka bagaimanakah seorang wanita seperti Asma' melakukannya? Lebih-lebih lagi Asma' ketika itu sedang hamil dalam keadaan yang telah sarat. Di dalam Sahih Muslim, Asma' keluar berhijrah ketika dia hamil. Tiba di Quba', dia melahirkan Abdullah bin Zubair. Asma' membawa bayi yang baru dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk ditahnik. Baginda meletakkan bayi itu di atas ribanya, dibawakan kepadanya sebiji kurma. Baginda mengunyahnya dan meludahkannya ke dalam mulut bayi. Jadi perkara pertama yang masuk ke dalam perutnya adalah air liur Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya langkah Asma' memanjat gua dalam keadaan sarat mengandung sambil membawa makanan merupakan satu tugas berat dan sukar. Ini menunjukkan bahawa wanita memiliki semangat yang kental dan tabah. Tidak ada kesulitan yang menjadi penghalang mereka menyumbang bakti dan tenaga demi agama tercinta. Hal ini diperkuatkan lagi dengan riwayat-riwayat yang menceritakan sumbangan kaum wanita yang sangat berkesan di dalam pelbagai bidang seperti pertanian, merawat tentera yang cedera, perniagaan dan sebagainya.

Keempat: Menunaikan amanah

Apabila kaum Quraisy telah membuat keputusan muktamad untuk membunuh Nabi s.a.w. Allah Ta'ala mengutus Jibril supaya menyampaikan wahyu, mengkhabarkan apa yang akan dilakukan oleh kaumnya. Jibril memerintahkan Nabi agar tidak tidur di tempat yang biasa baginda tidur kerana kaum Quraisy telah merancang apabila baginda tidur, mereka akan serbu baginda di tempat tidur dan membunuhnya beramai-ramai. Rasulullah s.a.w. meminta Sayyidina Ali r.a. tidur di tempatnya dan menggunakan selimutnya serta menegaskan bahawa tidak akan berlaku ke atasnya perkara yang tidak baik.

Namun tugas Sayyidina Ali bukan sekadar mengelirukan Quraisy dengan berbaring di tempat tidur Nabi s.a.w. baliau juga ditugaskan memikul satu amanah yang lebih besar. Beliau ditugaskan supaya terus berada di Mekah selama 3 hari selepas penghijrahan Nabi s.a.w. untuk memulangkan barang-barang yang diamanahkan kepada Nabi s.a.w. menjaganya. Setelah tugas itu selesai, barulah Ali boleh mengikuti Rasulullah s.a.w. ke Yathrib.

Riwayat tidak menyebut secara ditil nama-nama orang yang mengamanahkan barang-barang mereka di rumah Nabi s.a.w. Cuma dinyatakan secara umum bahawa setiap orang penduduk Mekah yang memiliki barang berharga yang disayangi akan mengamanahkan kepada Nabi s.a.w. menyimpannya kerana Nabi s.a.w. terkenal dengan sifat benar dan amanah. Dan ini terbukti, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menggunakan kesempatan memaksa Quraisy memeluk Islam dengan cara mengugut tidak akan memulangkan barang yang diamanahkan jika mereka tidak memeluk Islam, atau membawa lari semua barang-barang itu bersama baginda ketika berhijrah.

Dipetik daripada tulisan Dr Muhammad Bassam az-Zain

Majalah Manar al-Islam

Saturday, October 25, 2014

Ku ingin bernaung di bawah lembayung rahmah-Mu ya Rahman

(Sebelum ditambah dan disunting. Untuk simpanan arkibku)

Aku seorang insan
Tercipta daripada satu jiwa
Aku makhluk mulia
Istimewa
Di hati ini iman terpelihara
Di pundak ini amanah bertakhta

Di kala kecil aku bergelar puteri
Sesiapa yang mengasihi dan mendidikku
Mengajarku adab dan tanggungjawab
Baginya syurga
Limpahan rahmah yang tiada tara

Hari beranjak tahun berganti
Aku melangkah ke gerbang remaja
Puteri kini bergelar isteri
Suami qawwam aku dilindungi
Bersama meniti sakinah berbekal mawaddah
Redha dan rahmah Ilahi sentiasa ditadah

Setelah dewasa aku bergelar ummi
Dalamnya kasihku tak daya diselami
Luasnya cintaku tak mampu disukat
Aku bersyukur
Aku berbangga
Rahmah Tuhanku yang tak terungkap nilainya
Di bawah kakiku diletakkan syurgaNya

Aku wanita
Puteri, isteri dan ummi
Rumah bagiku bukan penjara
Istana bagiku bukan dunia
Umat dan masyarakat wajib diambil berat
Makruf disebar mungkar di sekat
Bergandingan para mukminin dan mukminat
Bagai termaktub di dalam ayat
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)


Kami barisan pimpinan wanita IKRAM
Sederap melangkah menerobos segenap medan:

Tarbiah dimantapkan, wasael dipelbagaikan
Bekalan duat secara berterusan

Genarasi rabbani pengibar panji-panji
Penerus perjuangan menuju kemenangan
IKRAM Junior titik permulaan

Wanita muda harapan semua
Ilmu turath digali kemahiran dijana
Mewarisi perjuangan antunna tonggaknya

Teguh jati diri berteraskan ilmu
Ibu mithali isteri  solehah
Mendidik masyarakat teladan ummah

Surah al-Hujurat menjadi panduan
Bertaaruf, berkerjasama dengan semua lapisan
Menebar jaringan mengukuhkan persaudaraan

Faham Syariah celik undang-undang
Menegak keadilan membela kebenaran
Wanita terelak dari kekejaman dan penindasan

Menyampai maklumat tepat dan cepat
Menyebar fikrah jelas dan mantap
Mengupas isu menyelesaikan masalah
Media diperkasa wanita IKRAM menyerlah

Akhawat yang kami kasihi
Teguhlah berdiri di sisi kami
Andai lurus jalan kami, followlah di belakang kami
Andai lembab langkah kami, tolaklah kami
Andai tersasar jejak kami, luruskan kami
Kerana kita menggenggam satu janji
IKRAM wadah perjuangan
Kerana kita mendukung satu slogan
Ukhuwwah teras kegemilangan




Tuesday, October 14, 2014

Jauh perjalanan banyak pengalaman 2

Ketika berada di bumi Morocco, aku menerima mesej dari Malaysia bahawa aku diminta untuk mengisi program di Jepun pada 10 – 13 Oktober. Satu tuntutan yang agak mencabar. Aku akan sampai  Malaysia dari Morocco pada 7 Oktober, 10 Oktober akan ke Jepun pula? Penat juga, dari hujung benua Afrika ke hujung benua Asia... hemmm

Dengan semangat "faiza faraghta fansob", aku bertanya suami untuk mendapat pandangan serta keizinannya. Dan alhamdulillah seperti selalunya dia tidak pernah mengatakan tidak dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan dakwah dan jamaah.

Berlepas dari KLIA2 jam 0100 pagi 10 Oktober 2014 ditemani seorang ukhti fillah dan babynya yang sangat comel, berusia lapan bulan.



Pengalaman pertama yang menjengkelkan, sebelum jam 2400 kami telah masuk ke bilik menunggu kerana tertulis di boarding pass boarding time jam 0020. Sekian minit duduk di situ - alhamdulillah kerusi banyak – semua penumpang yang telah memenuhi tempat duduk di bilik menunggu itu di suruh keluar dan beratur dari luar. Kami pun keluar, tetapi tidak beratur kerana barisan terlalu panjang sedangkan bersama kami ada baby di atas dukung. Kami duduk di atas kerusi berhampiran dengan pintu masuk (bukan pintu sebenarnya, macam lorong saja). Setelah hampir separuh penumpang yang beratur tadi masuk dan diperiksa passport serta boarding pass mereka, tiba-tiba semua yang masih ada di luar di suruh masuk, tak perlu beratur pula. Ya Allah....! Yang sedihnya kami dan beberapa penumpang lain yang membawa baby langsung tidak diberi keutamaan sebagaimana lazimnya di tempat-tempat lain.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kansai Internasional Airport mengambil masa lebih kurang enam jam. Pesawat dijangka mendarat jam 0800 pagi waktu tempatan. Ini bermakna kami terpaksa menunaikan solat Subuh di atas pesawat. Bila tiba waktu solat, kami bertanyakan ruang untuk solat. Pelayan menjawab, "puan boleh solat di tempat duduk". Hai, dia pula bagi fatwa. Memang boleh solat di tempat duduk kalau tiada pilihan. Kami bertanya tentang pilihan untuk kami solat secara sempurna. Dia memberi alasan bahawa tiada ruang kosong kecuali tempat-tempat yang diperuntukkan untuk kes-kes kecemasan. Itulah realitinya. Solat bukan sesuatu yang diberikan keutamaan. Mungkin kita boleh kata, pesawat itu bukan milik orang Islam. Tetapi apa salahnya sebagai warga Malaysia yang diiktiraf sebagai "Negara Islam" memberi perhatian kepada keperluan utama penganut Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia? Ini belum lagi nak cakap tentang pakaian pelayan yang menjolok mata. Solat tiang agamapun tidak diambil kira, apa lagi bab-bab yang bukan tiang?

Dari Kansai Internasional Airport kami di bawa ke Kobe, menumpang di rumah seorang mahasiswi yang sedang menyiapkan pengajian di peringkat PhD. Rumah yang sangat comel dan lengkap.

Di sebelah petang kami dibawa melawat bandar Sannomiya yang sesak dengan manusia lalu lalang dengan menaiki kereta api. Petang itu adalah petang Jumaat. Sabtu dan Ahad adalah hari cuti. Ditambah pula dengan Isnin hari cuti am yang dinamakan Hari Sukan. Jadi petang dan malam Jumaat adalah masa untuk mereka enjoy dan mabuk-mabuk, Astaghfirullah. Itulah cara orang Jepun menghabiskan waktu hujung minggu mereka setelah penat bekerja selama lima hari.



Sempat melawat masjid Kobe yang merupakan masjid tertua di Jepun. Masjid ini dibina pada tahun 1928 di Nakayamate Dori, Chuo-ku. Kobe bererti gate of God atau gerbang Tuhan.

Tahun 1945, Jepun terlibat perang Dunia Kedua. Serangan Jepun ke atas pelabuhan Pearl Harbour di Amerika telah menyebabkan kerajaan Amerika memutuskan untuk menjatuhkan bom atom pertama dalam sejarah peperangan. Akibatnya Jepun menyerah kalah. Dua bandar di Jepun Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh Amerika. Saat itu, bandar Kobe juga tidak ketinggalan menerima kesan serangan pengeboman melalui udara walaupun tidak dibom dengan bom atom seperti Nagasaki dan Hiroshima. Boleh dilihat bandar Kobe juga menjadi rata.

Ketika bangunan di sekitarnya hampir rata dengan tanah, Masjid Muslim Kobe tetap berdiri tegak. Masjid ini hanya mengalami keretakan pada dinding luar dan semua kaca tingkapnya pecah. Bahagian luar masjid menjadi agak hitam kerana asap serangan bom. Tentera Jepun yang berlindung di bawah tanah masjid terselamat dari ancaman bom, begitu juga dengan senjata-senjata yang disembunyikannya. Masjid ini kemudian menjadi tempat untuk mangsa perang. (Cerita tentang masjid  Kobe di'copy' dari: http://detikislam.blogspot.com)



Singgah makan malam di sebuah restoran makanan halal di tengah-tengah bandar Sannomiya.  Makanan ala Arab dan India. Tetapi sama seperti di USA, walaupun restoran makanan halal, arak masih tetap dijual.

Orang Jepun memang terkenal dengan bersih, menepati masa dan berdisiplin. Semasa di dalam kereta api, terpandang sekumpulan remaja perempuan empat atau lima orang berdiri sambil bergurau bergelak ketawa sesama sendiri. Tiba-tiba air daripada air kotak yang dipegang salah seorang daripada mereka tertumpah di atas lantai kereta api. Kawannya segera mengeluarkan tisu daripada begnya. Gadis yang airnya tumpah itu mengambil tisu, mengelap air yang tumpah dan tisu yang basah itu disimpan di dalam begnya. Ma Syaa Allah!

11 Oktober berangkat ke tempat program di suatu kawasan tanah tinggi Shizen No Ie di Nara. Memberi sedikit pengisian dan perkongsian.



Yang menarik tempat program ni ialah sistemnya yang cukup kemas. Di pintu masuk bangunan disediakan rak-rak kasut untuk kita meletakkan kasut-kasut di situ dan mengambil kasut atau selipar yang disediakan untuk dipakai di dalam bangunan. Bila hendak ke tandas, terdapat pula selipar-selipar yang disediakan untuk masuk tandas. Semuanya berada dalam keadaan yang tersusun dan bersih.

Bilik tidur disediakan katil dua tingkat lengkap dengan tilam, bantal, cadar dan selimut. Ketika hendak keluar dari tempat ini, semuanya mesti dilipat dan disusun kembali sebagaimana asal.  Sebelum kita keluar, mereka akan periksa. Jika terdapat selimut atau cadar dilipat tidak seperti asalnya, mereka panggil kita supaya dilipat semula. Begitu juga sampah-sampah tidak boleh ditinggalkan. Semuanya mesti dibawa balik dan urus sendiri pembuangannya. Dewan makannya sangat menarik susunannya. Masuk pintu dewan, perkara pertama yang kita temui ialah sinki untuk membasuh tangan, siap dengan sabun dan mesen pengering tangan. Betul-betul ikut sunnah, basuh tangan sebelum makan walaupun mereka tak makan guna tangan. Guna chopsticks.

Selepas makan, bekas-bekas dihantar ke tempat yang disediakan mengikut kategori secara berasiangan. Mula-mula letak cawan, lepas cawan sudu dan chopstick, tisu, sisa, makanan, pinggan mangkuk dan akhir sekali dulang. Pinggan mangkuk, sebelum diletakkan di dalam bekas yang disediakan dibilas terlebih dahulu supaya tidak lekat kesan-kesan makanan padanya. Setelah semuanya diletakkan mengikut susunan dan tempat yang disediakan, baru keluar dewan melalui pintu keluar.

Hari Isnin kami berangkat pulang. Sepanjang hari, Kobe redup dan hujan. Bandar sepi. Kedai-kedai kebanyakannya tutup. Sebelum menaiki bas ke lapangan terbang, sempat singgah di restoran sushi. 

Kemudian terus ke airport dengan bas. Bas kosong. Hanya kami yang menjadi penumpangnya. Jalanpun lengang. Hujan sepanjang jalan. Perjalanan dari Sannomiya ke Kansai Internasional Airport  yang dijangka mengambil masa 65 minit tiba dalam tiga minit lebih awal. Orang Jepun memang sangat berkira setiap minit dan detik. Pantang lewat walaupun seminit. Satu perkara yang hampir sama dengan Malaysia ialah tol. Sepanjang perjalanan ke airport terdapat lima plaza tol. Berapa yen yang dibayar di setiap plaza tak tahulah?

Setelah selesai check-in, kami mencari surau untuk solat. Alhamdulillah, ma syaa Allah! Suraunya cantik dan selesa. Diasingkan tempat lelaki dan wanita. Siap dengan tempat mengambil wuduk yang proper. Terdapat rak telekung dan al-Quran. Tak ubah seperti kita singgah di sebuah negara Islam yang maju.

Ketika hendak menaiki pesawat, tidak berlaku lagi kekecohan seperti di KLIA 2. Kami terus ke depan mendukung baby. Dan bila petugas nampak kami dengan baby, dia terus tahan penumpang lain yang sedang beratur. Dan tidak ada di kalangan mereka yang merungut atau tunjuk muka tak puas hati.


Di dalam pesawat juga pramugari melayan dengan baik. Mencari tempat duduk yang lebih selesa untuk kawan yang memegang baby, alhamdulillah. Penerbangan pulang tidak timbul soal solat di dalam pesawat. Kami mendarat jam 0450, 25 minit lebih awal daripada jangkaan, alhamdulillah.

Beberapa perkataan dalam bahasa Jepun yang sempat dipelajari:

Midori = hijau
Abunai = bahaya
Gambarimasho = kerja sama-sama
Konnichiwa = selamat tengahari atau selamat petang