Hijrah Nabawiyyah yang penuh keberkatan
telah berlau 1435 musim yang lalu. Sedia maklum bahawa hijrah berlaku pada
bulan Rabiul-Awwal. Namun tahun hijriah dimulai daripada bulan Muharram.
Ketetapan ini telah berlaku pada zaman pemerintahan Amirul-Mukminin Umar bin
al-Khattab r.a. dengan persetujuan para sahabat r.a.
Kisah bermula apabila seorang lelaki
menuntut hutang daripada rakannya di hadapan Umar. Menurut perjanjian mereka hutang itu mesti dibayar
pada bulan Syaaban. Umar r.a. bertanya, Syaaban yang mana? Adakah Syaaban tahun
yang kita berada sekarang atau Syaaban tahun lalu atau Syaaban tahun akan
datang?
Kemudian Umar mengambil inisiatif
mengumpulkan para sahabat dan bermesyurat dengan mereka untuk menentukan tarikh
supaya mereka dapat mengetahui bilakah tiba masa hutang-hutang wajib dibayar.
Maka keluarlah beberapa cadangan:
1.
Guna tarikh Parsi
2.
Guna tarikh Rom
3.
Letak tarikh mengikut hari
kelahiran Nabi s.a.w.
4.
Letak tarikh mengikut hari
baginda diutus menjadi Rasul.
5.
Letak tarikh mengikut hari
baginda berhijrah.
6.
Letak tarikh mengikut hari
baginda wafat.
Maka Umar cenderung kepada cadangan
meletakkan tarikh mengikut hari baginda berhijrah kerana kemasyhuran dan
keluasan penyebarannya. Semua sahabat bersetuju dengan pandangan itu.
Seterusnya Umar meminta pandangan tarikh
hijrah ini hendak dimulakan dengan bulan apa? Maka timbul beberapa cadangan.
Ada yang mencadangkan mula dengan bulan Rajab dan ada yang mencadangkan mula
dengan bulan Ramadan. Uthman bin Affan r.a. mencadangkan agar dimulakan dengan
bulan Muharram kerana ia merupakan bulan haram. Dan ia merupakan awal tahun, masa manusia berangkat pulang setelah
selesai ibadah haji.
Bermula daripada situ, hari pertama bulan
Muharram menjadi awal tahun hijriah.
Tidak syak lagi, hijrah merupakan satu
peristiwa yang sangat penting dalam sejarah perkembangan Islam. Terdapat
beberapa check point yang patut menjadi iktibar sehingga ke akhir zaman.
Pertamaa : Keindahan Islam
Para pemimpin Quraisy yang menentang dakwah
dengan keras dan cuba menyekat penyebarannya tidak dapat menyembunyikan
kekagumana mereka terhadap keindahan Islam, kerasionalannya, keupayaannya
memikat hati, menguasai akal dan mengesankan jiwa. Buktinya mereka pernah
dicadangkan agar dihalau Rasulullah s.a.w. keluar dari kota Mekah supaya mereka
dapat merehatkan diri dari berdepan dengan dakwahnya yang kian merebak, supaya
mereka dapat menjalani kehidupan yang aman damai seperti sebelumnya tanpa
diganggu oleh agama baru yang dibawa oleh Muhammad. Namun, apa jawapan mereka
terhadap cadangan itu? Mereka berkata: Tidak, demi Allah! Ini bukanlah satu
idea yang menguntungkan kamu. Tidakkah kamu lihat betapa indah kata-katanya,
betapa manis tutur bicaranya, dia mampu menawan hati orang-orang yang matang
dengan apa yang dibawanya. Jika kamu laksanakan idea kamu itu, kamu tidak akan
selamat. Dia akan betapak di satu perkampungan orang Arab dan menguasai mereka
dengan kata-kata dan tutur bicaranya sehingga mereka semua akan mengikutinya.
Kemudian dia akan memimpin satu angkatan dan memijak kamu di negeri kamu
sendiri. Selepas itu, dia akan lakukan apa saja yang dia mahu terhadap kamu.
Sesungguhnya kata-kata itu merupakan
pengiktirafan yang jelas tentang keindahan Islam yang diluahkan oleh
musuh-musuhnya. Sebelum itu, Herculas telah mengakui kehebatan Nabi Muhammad
s.a.w. di hadapan Abu Sufyan dengan katanya: "Aku mengetahui bahawa dia
yang tidak pernah berbohong dengan manusia, tidak mungkin akan berbohong dengan
Allah. Demikianlah para rasul. Mereka tidak menipu. Sekiranya aku berada di
sisinya nescaya aku akan membasuh tapak kakinya.
Pengiktirafan sedemikian bukan saja
diucapkan oleh orang-orang terdahulu, malah sehingga kini ramai di kalangan
pemikir dan pengkaji menyatakan dengan terus terang kekaguman mereka terhadap
keindahan Islam dan pembawanya, Nabi Muhammad s.a.w. Antara kata-kata mereka:
1.
Pemikir dan penyair Perancis,
Lamartine: "Adakah di sana terdapat seorang yang lebih hebat daripada Nabi
Muhammad?"
2.
Bernard Shaw dari British:
"Sesungguhnya dunia sangat berhajat kepada seorang lelaki yang dapat
berfikir seperti Muhammad".
3.
Michael Hart dari Amerika:
"Muhammad merupakan tokoh sejarah yang paling penting dan paling
hebat".
4.
Durant, penulis ensiklopedia
tamadun manusia: "Muhammad merupakan tokoh sejarah paling hebat dari
kalangan yang hebat".
5.
Thomas Carlyle, penulis
berbangsa Inggeris: "Muhammad adalah rahmah dan kasih sayang. Sesungguhnya
aku cintakan Muhammad kerana tabiatnya yang bersih daripada mengada-ngada dan
meninggi diri.
6.
Sasterawan British, George
Wells: "Muhammad merupakan pemimpin paling hebat dalam mendirikan negara
yang adil dan bertoleransi".
7.
Ahli sejarah Perancis, Gustave
Le Bon: "Muhammad merupakan manusia paling agung yang diketahui di dalam
sejarah"
Kedua: Kebersamaan Tuhan
Quraisy telah mengatur konspirasi secara
besar-besaran untuk menghapuskan Islam. Mereka mengumpulkan segala kekuatan dan
tenaga yang mereka ada. Konspirasi itu turut disertai oleh Iblis laknatullah
yang menyamar sebagai orang yang memberi nasihat dan buah fikiran yang bernas. Konspirasi
terbesar mereka berligar di sekitar tiga cadangan: tahan di dalam bilik kurungan
dalam keadaan terikat dengan rantai besi, halau keluar jauh-jauh dan sekat dari mendapat keperluan hidup, dan
bunuh. Akhirnya mereka mencapai persepakatan untuk membunuh dengan cara yang
paling keji. Namun Allah Ta'ala menjamin keselamatan RasulNya. Dia
melindunginya dari tipu muslihat golongan kafirin sehingga dia dapat
menyampaikan risalah dengan sempurna. Hal ini ditegaskan di dalam firmanNya
yang bermaksud: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka
sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah)
mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua
(sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada
sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka
Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan
menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan
Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan
sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi
(selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:40)
Terdapat beberapa ayat yang menjelaskan
keadaan di mana Allah bersama dengan kita, iaitu:
1.
Bersama dengan orang yang
sabar. "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan
(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:153)
2.
Bersama dengan orang yang
bertaqwa. "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Baqarah:194)
3.
Bersama dengan orang yang
ihsan. "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (An-Nahl:128)
4.
Bersama dengan orang beriltizam
dengan syariat Allah. "dan Allah berfirman (kepada mereka): Bahawa Aku
adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu
dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala
Rasul (utusanKu) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah) dan
kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara
pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah
tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Al-Maaidah:12)
Ketiga: Peranan Wanita
Nabi s.a.w. merancang hijrahnya dengan
begitu rapi. Dan wanita memainkan peranan yang sangat besar yang mungkin sukar
dilakukan oleh kaum lelaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia
merupakan peranan paling penting dalam perancangan hijrah. Ibn Ishaq berkata:
Rasulullah s.a.w. berada di dalam gua selama tiga hari. Bersamanya Abu Bakar
as-Siddiq. Quraisy menawarkan 100 ekur unta sebagai hadiah kepada orang yang
dapat menangkap dan membawa baginda kepada mereka.
Abdullah bin Abu Bakar r.a. berada di
tengah-tengah orang Quraisy di waktu siang mendengar apa yang mereka rancang
dan apa yang mereka kata tentang Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. kemudian
dia datang ke gua waktu malam menyampaikan berita. 'Aamir bin Fuhairah,
hamba Abu Bakar r.a. mengembala kambing
di tempat orang-orang Quraisy mengembala kambing-kambing mereka. Bila petang
dia akan membawa kambing-kambaing Abu Bakar ke arah gua dan memerah susu untuk
mereka berdua. Apabila pagi menjelang Abdullah akan meninggalkan tempat
persembunyian menuju ke Mekah dan 'Aamir akan mengikuti jejak Abdullah dengan
kambing-kambing belaannya untuk menutup kesan-kesan tapak kaki Abdullah.
Setelah tiga hari berlalu, penduduk Mekah semakin reda, orang yang diupah untuk
menunjukkan jalan ke Yathrib datang dengan membawa dua ekur unta serta sesekur unta
tunggangannya sendiri. Ketika itu Asma' datang membawakan dua uncang bekalan
makanan. Ketika Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar hendak menggantungkan bekalan
itu pada unta masing-masing, Asma' baru tersedar rupanya dia lupa untuk
menyediakan tali pengikat uncang itu. Lalu tanpa teragak-teragak dia terus
membelah tali pinggangnya. Sebahagian dijadikan sebagai pengikat bekalan dan
sebahagiannya digunakan untuk mengikat kainnya. Dengan sebab itulah Asma'
mendapat gelaran 'dzatun-nitoqain'. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya apabila
dia membelah tali pinggangnya, "Sesungguhnya untuk Asma' dua tali pinggang
di syurga."
Kisah ini menerangkan betapa peranan yang
dimainkan oleh Asma' binti Abu Bakar yang ketika itu dalam lingkungan usia 17
tahun. Peranannya adalah membawa makanan kepada Rasulullah s.a.w. dan ayahnya
Abu Bakar r.a. yang berlindung di gua Thur. Orang yang memanjat gua Thur pada
hari ini pasti memahami betapa sukarnya jalan yang dilalui oleh lelaki yang
perkasa untuk sampai ke situ. Maka bagaimanakah seorang wanita seperti Asma'
melakukannya? Lebih-lebih lagi Asma' ketika itu sedang hamil dalam keadaan yang
telah sarat. Di dalam Sahih Muslim, Asma' keluar berhijrah ketika dia hamil.
Tiba di Quba', dia melahirkan Abdullah bin Zubair. Asma' membawa bayi yang baru
dilahirkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk ditahnik. Baginda meletakkan bayi itu
di atas ribanya, dibawakan kepadanya sebiji kurma. Baginda mengunyahnya dan
meludahkannya ke dalam mulut bayi. Jadi perkara pertama yang masuk ke dalam
perutnya adalah air liur Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya langkah Asma' memanjat gua
dalam keadaan sarat mengandung sambil membawa makanan merupakan satu tugas
berat dan sukar. Ini menunjukkan bahawa wanita memiliki semangat yang kental
dan tabah. Tidak ada kesulitan yang menjadi penghalang mereka menyumbang bakti
dan tenaga demi agama tercinta. Hal ini diperkuatkan lagi dengan
riwayat-riwayat yang menceritakan sumbangan kaum wanita yang sangat berkesan di
dalam pelbagai bidang seperti pertanian, merawat tentera yang cedera,
perniagaan dan sebagainya.
Keempat: Menunaikan amanah
Apabila kaum Quraisy telah membuat
keputusan muktamad untuk membunuh Nabi s.a.w. Allah Ta'ala mengutus Jibril
supaya menyampaikan wahyu, mengkhabarkan apa yang akan dilakukan oleh kaumnya.
Jibril memerintahkan Nabi agar tidak tidur di tempat yang biasa baginda tidur
kerana kaum Quraisy telah merancang apabila baginda tidur, mereka akan serbu
baginda di tempat tidur dan membunuhnya beramai-ramai. Rasulullah s.a.w. meminta
Sayyidina Ali r.a. tidur di tempatnya dan menggunakan selimutnya serta
menegaskan bahawa tidak akan berlaku ke atasnya perkara yang tidak baik.
Namun tugas Sayyidina Ali bukan sekadar
mengelirukan Quraisy dengan berbaring di tempat tidur Nabi s.a.w. baliau juga
ditugaskan memikul satu amanah yang lebih besar. Beliau ditugaskan supaya terus
berada di Mekah selama 3 hari selepas penghijrahan Nabi s.a.w. untuk
memulangkan barang-barang yang diamanahkan kepada Nabi s.a.w. menjaganya.
Setelah tugas itu selesai, barulah Ali boleh mengikuti Rasulullah s.a.w. ke
Yathrib.
Riwayat tidak menyebut secara ditil
nama-nama orang yang mengamanahkan barang-barang mereka di rumah Nabi s.a.w.
Cuma dinyatakan secara umum bahawa setiap orang penduduk Mekah yang memiliki
barang berharga yang disayangi akan mengamanahkan kepada Nabi s.a.w.
menyimpannya kerana Nabi s.a.w. terkenal dengan sifat benar dan amanah. Dan ini
terbukti, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menggunakan kesempatan memaksa Quraisy
memeluk Islam dengan cara mengugut tidak akan memulangkan barang yang
diamanahkan jika mereka tidak memeluk Islam, atau membawa lari semua
barang-barang itu bersama baginda ketika berhijrah.
Dipetik daripada tulisan Dr Muhammad Bassam
az-Zain
Majalah Manar al-Islam
No comments:
Post a Comment