Satu daripada Hadis yang dibaca di dalam
kelas pengajian Hadis pagi tadi, ialah tentang cita-cita tinggi seorang
sahabat, Abu Firas Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslamiy. Beliau merupakan ahli suffah
dan khadim (pembantu) Rasulullah s.a.w.
Beliau menceritakan suatu malam beliau
bermalam bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w. bangun dari tidur,
beliau segera menyediakan air untuk Rasulullah s.a.w. berwuduk serta lain-lain
keperluan Rasulullah s.a.w. dan membawakannya kepada baginda. Maka Rasulullah
s.a.w. berkata kepadanya: "Mintalah hajat kamu!"
Abu Firas terus menjawab: "Saya
meminta untuk mendampingimu di syurga."
Subhanallah! Tak terbayang betapa tinggi
cita-citanya. Di pandang dari sudut
apapun kedudukannya di dunia ini amat jauh berbanding dengan Rasulullah s.a.w.
Di syurga pula Allah sediakan satu kedudukan paling istimewa untuk baginda yang
tidak setara dengan makhluk lain termasuk para nabi alaihimus-solatu wassalam.
Maka siapakah Abu Firas untuk berharap dapat mendampingi baginda?
Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya dengan
hikmah, tanpa sedikitpun memperkecilkan permintaan yang zahirnya seperti tidak
masuk akal, "Apakah tidak ada yang lain daripada itu?"
Tanpa ragu-ragu Abu Firas menjawab dengan
pantas dan tegas, "Hanya itulah permintaanku!"
Maka apakah reaksi baginda?
"Kalau begitu, bantulah aku (dengan menguasai
dirimu supaya) membanyakkan sujud." Riwayat Muslim
Ayat "bantulah aku" dalam hadis
itu menunjukkan baginda tidak berhak untuk memberikan tempat itu kepada Abu
Firas. Sebaliknya baginda akan berusaha mendoakan agar Allah mengurniakannya
dengan Abu Firas sendiri berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada
Allah 'Azaza wa Jalla.
Masyaa Allah. Itulah indahnya Islam.
Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w.
Seorang khadim tetap mahu bersama 'tuannya'
hingga ke syurga. Pada hal kebiasaannya di dunia ini, khadim selalu
bercita-cita mahu menjauhkan diri dari 'tuan' atau majikannya kerana tidak
tahan dengan kerenah yang bermacam-macam.
Untuk mendampingi baginda, Rasulullah
s.a.w. sarankan agar membanyakkan sujud, iaitu mendampingi Allah
sedekat-dekatnya. Ertinya tidak mungkin seseorang itu akan mendapat kemuliaan
bersama dengan kekasih Allah s.a.w. tanpa mendekatkan diri dengan Allah. Untuk
bersama dengan Rasulullah s.a.w. tidak ada jalan lain kecuali dengan taqarrub
kepada Allah melalui sujud. Membanyakkan sujud bermaksud membanyakkan solat
kerana sujud adalah sebahagian daripada solat. Tidak ada sujud di luar solat
kecuali sujud tilawah dan sujud syukur sahaja.
* Menurut Ibn Hajar, Suffah ialah kawasan
berbumbung terletak di hujung Masjid Nabawi disediakan sebagai tempat singgah
orang yang datang dari luar, orang yang tidak ada keluarga dan tidak ada tempat
tinggal.
Ahli Suffah ialah kaum muslimin yang faqir,
yang tidak ada tempat tinggal untuk mereka diami. Maka mereka tinggal di tempat
yang berbumbung di Masjid Nabawi. Mereka dikenali sebagai tetamu-tetamu Islam.
Abu
Hurairah berkata: "Ahli Suffah adalah tetamu-tetamu Islam. Mereka tidak
mempunyai keluarga, harta dan sesiapa yang melindungi mereka." Riwayat
al-Bukhari.
Kaum muhajirin yang berhijrah dari Mekah, sama ada yang
berhijrah sebelum Nabi, bersama Nabi atau selepasnya di peringkat awal sehingga
ke Ghazwah Badar, diberi perlindungan oleh orang Ansar di rumah-rumah mereka
serta berkungsi harta yang mereka miliki. Namun selepas itu, apabila Islam
semakin berkembang dan ramai manusia memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah,
orang-orang Ansar tidak dapat lagi menampung kehadiran muhajirin yang bertambah
ramai. Maka orang yang tidak mendapat tempat tinggal akan duduk di Suffah
sementara terbuka peluang untuk mereka mendapat tempat tinggal yang tetap.
No comments:
Post a Comment