Thursday, January 01, 2015

Ibn Sirin

Muhammad bin Sirin atau dikenali sebagi Ibn Sirin merupakan salah seorang Tabi'e yang paling terkemuka. Antara pengiktirafan yang pernah diluahkan oleh orang yang mengenalinya:
"Aku tidak pernah melihat seorang yang paling faqih dalam kewarakannya, dan paling warak dalam kefaqihannya selain daripada Ibn Sirin".

Ayahnya bernama Sirin merupaka maula kepada pendamping Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik r.a. Selepas dimerdekakan oleh Anas, baliau bekerja sendiri sebagai tukang tembaga yang cekap dan mahir membuat periuk daripada tembaga.

Ibunya bernama Sofiah, maulah kepada Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sofiah telah tinggal di rumah Abu Bakar r.a. sejak awal remajanya lagi. Seorang wanita cantik, memiliki wajah yang putih melepak, akal yang pintar, akhlak yang mulia dan disenangi oleh semua wanita yang mengenalinya. Orang yang paling menyukainya adalah Ummahatul-Mukminin terutamanya Aisyah r.a.

Ketika Sirin masuk meminang Sofiah, Abu Bakar r.a. tidak terus menerima pinangan itu. Sebaliknya beliau menyelidiki latar belakang Sirin dan bertanya tentang agama dan akhlaknya. Beliau bertanya kepada bekas tuannya, Anas r.a. Anas r.a. dengan penuh yakin berkata: "Nikahkanlah dia, janganlah bimbang. Sesungguhnya aku tidak pernah mengenalinya kecuali seorang yang benar agamanya, diredhai akhlaknya, sempurna maruahnya. Dia telah mempunyai hubungan yang sangat rapat denganku sejak dia ditawan oleh Khalid bin al-Walid."

Sayyidina Abu Bakar r.a. bersetuju menikahkan Sofiah dengan Sirin. Beliau mengadakan walimah dengan menjemput ramai dari kalangan sahabat yang terkemuka termasuk 18 orang ahli Badar. Perkahwinan mereka didoakan oleh penulis wahyu, Ubai bin Kaab r.a. dan diaminkan oleh semua hadirin. Dan Sofiah dihiasi, didandan dan ditaburi wangian oleh tiga orang Ummul-Mukminin saat pertama kali dia diserahkan kepada suaminya.

Muhammad dilahirkan dua tahun sebelum berakhir pemerintahan khalifah ke dua, Umar bin al-Khattab r.a. Beliau dididik di dalam lingkungan rumah tangga yang penuh dengan ketaqwaan dan kewarakan dari segenap penjurunya dan membesar sebagai pengunjung Masjid Rasulullah s.a.w. yang setia.

Di situ beliau menimba ilmu daripada sahabat dan tabi'ein yang terkenal. Antara sahabat yang menjadi gurunya ialah Zaid bin Thabit, Anas bin Malik, Imran bin Husoin, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair dan Abu Hurairah  radhiallahu'anhum ajma'ein.

Ibn Sirin membahagikan jadual hariannya kepada tiga aktiviti; bermula dari fajar beliau di masjid belajar dan mengajar. Apabila hari telah meninggi beliau ke pasar menguruskan perniagaan. Dan apabila malam tiba beliau memasuki mihrabnya mengisi waktu dengan ibadah kepada yang Esa.

Ibn Sirin terkenal sebagai seorang yang sangat warak dan tidak takut memperkatakan kebenaran walau di mana, dalam keadaan apa dan di hadapan sesiapa sekalipun.
Diceritakan bahawa suatu ketika Umar bin Hubairah seorang pembesar Bani Umayyah yang menjawat jawatan gabenor di Iraq menjemput Ibn Sirin menziarahinya. Ibn Sirin menerima jemputan itu. Beliau hadir bersama anak saudaranya. Ibn Hubairah menyambut kedatangannya dan memuliakannya sambil bertanya berbagai-bagai soalan berkenaan agama dan dunia. Akhirnya Ibn Hubairah bertanya: "Bagaimana keadaan rakyat di tempatmu ketika engkau tinggalakan mereka wahai Abu Bakar?" Ibn Sirin menjawab: "Aku tinggalkan mereka dalam keadaan kezaliman melata, sedangkan engkau leka dari mengambil tahu hal mereka." Lalu anak saudaranya mencuit bahunya, dia menoleh kepada anak saudaranya seraya berkata kepadanya; "Bukan engkau yang ditanya tentang mereka. Sebaliknya aku yang ditanya. Dan sebagai menjaga amanah ilmu, ia mesti dijelaskan. Ia juga merupakan satu persaksian. Sesiapa yang menyembunyikan persaksiannya maka berdosalah hatinya."
Selesai majlis, Ibn Hubairah mengiringi kepulangannya dengan penuh kemuliaan dan kemesraan sebagaimana ketika menyambut kedatangannya. Dibawa kepadanya satu beg berisi 3000 dinar namun Ibn Sirin tidak mengambilnya. Anak saudaranya bertanya: "Apa yang menghalang pakcik mengambil hadiah gabenor?"
Beliau menjawab: "Dia memberi hadiah kepadaku kerana kebaikanku menurut sangkaannya. Kalau aku termasuk orang yang baik seperti sangkaannya, maka tidak sepatutnya aku mengambil hadiahnya. Sekiranya aku tidak seperti apa yang disangkanya, maka lebih wajar aku tidak menghalalkan diriku menerimanya."

Dari segi kewarakannya, Ibn Sirin selalu menjauhkan diri dari perkara syubuhah walau terpaksa menanggung kerugian sebanyak manapun. Satu ketika, beliau membeli minyak zaiton bernilai 40,000 dinar secara hutang. Setelah menerima dan membawa pulang minyak itu, beliau membuka satu daripada botolnya. Didapati di dalamnya terdapat bangkai tikus yang sudah reput. Maka beliau terfikir bahawa semua minyak ini diambil daripada bekas yang sama. Jadi najis tidak hanya terdapat di dalam botol ini sahaja. Pastinya botol-botol lain pun terdapat atau terkesan dengan najis juga. Jika aku pulangkan minyak ini kepada penjual dengan keaibannya mungkin dia akan menjualnya semula kepada peniaga yang lain? Lantas beliau membuat keputusan membuang semua minyak itu, dan beliau terpaksa menanggung hutang 40000 dinar. Tiba masa yang dijanjikan, penjual datang menuntut hutang, namun Ibn Sirin tidak mampu menjelaskannya. Penjual membawa kesnya ke mahkamah. Hakim memutuskan supaya Ibn Sirin di penjara sehingga dia membayar hutangnya. Setelah beberapa lama beliau meringkuk  di dalam penjara, pengawal berasa kasihan melihatnya, lebih-lebih lagi dia mengetahui bahawa Ibn Sirin  merupakan seorang ulamak yang sangat warak yang sentiasa mengisi masanya dengan ibadah yang khusyuk. Dia masuk penjara hanya semata-mata kerana takut kepada Allah, takut dibakar di dalam api neraka pada hari qiamat kelak. Pengawal tahu kisah sebenarnya. Ia tidak lain melainkan bukti kewarakannya. Pengawal berkata kepada Ibn Sirin: "Wahai tuanguru, saya mencadangkan supaya tuanguru pulang bermalam bersama keluarga di waktu malam. Manakala waktu siang tuan datang ke sini. Tuan seorang yang hebat. Saya tahu bahawa tuan masuk ke sini kerana kewarakan tuan yang begitu mendalam. Saya sedia membantu tuan untuk melakukan apa yang saya cadangkan sehingga tuan dibebaskan."
Ibn Sirin menjawab: "Tidak. Demi Allah aku tidak akan lakukan!"
Pengawal bertanya kehairanan: "Mengapa tidak? Saya yang membenarkan tuan berbuat demikian!"
Beliau menegaskan: "Supaya aku tidak menjadi penolongmu mengkhianati pihak berkuasa. Sesungguhnya kamu telah mengkhianati pihak berkuasa dengan cadanganmu itu. Sekiranya aku menerima cadangan itu, bererti aku menolongmu melakukan pengkhianatan!"

Ketika Anas bin Malik r.a. hampir menemui ajalnya, dia berwasiat supaya Ibn Sirin memandikan jenazahnya. Apabila Anas meninggal, warisnya datang meminta izin daripada pemerintah supaya membenarkan Ibn Sirin keluar untuk melaksanakan wasiat sahabat Rasulullah s.a.w. Namun Ibn Sirin berkata kepada mereka: "Aku tidak akan keluar kecuali dengan izin tuan hutang kerana yang berhak memberi izin adalah tuan hutang, bukan pemerintah."
Setelah mendapat keizinan tuan huatang, dia keluar dari penjara, lalu memandi, mengkafan dan mensolatkan jenazah Anas r.a. Setelah selesai dia terus kembali ke dalam penjara. Beliau tidak mengambil kesempatan balik ke rumah menziarahi ahli keluarga kerana beliau mendapat keizinan untuk memandikan jenazah, bukan untuk balik ke rumah.

Pada ketika yang lain selepas keluar dari penjara, seorang lelaki datang mendakwa bahawa Ibn Sirin berhutang dengannya sebanyak 2 dirham dan menuntut supaya beliau membayar kepadanya 2 dirham. Ibn Sirin enggan membayarnya kerana dia tidak pernah berhutang dengan lelaki itu. Lelaki itu meminta supaya beliau bersumpah bahawa beliau tidak pernah berhutang dengannya. Pada sangkaannya Ibn Sirin tidak akan bersumpah untuk menafikan hutang sebanyak 2 dirham. Namun sebaliknya, beliau bersumpah bahawa dia tidak pernah berhutang 2 dirham.
Orang ramai berasa hairan, mengapa beliau bersumpah menafikan hutang dua dirham sahaja? Mereka bertanya: "Wahai Abu Bakar, kenapa tuan bersumpah kerana 2 dirham saja, pada hal sebelum ini tuan sanggup tanggung 40000 dinar untuk sesuatu yang meragukan tuan?"
Beliau menjelaskan: "Aku bersumpah kerana jika tidak, aku mesti memberinya 2 dirham, padahal itu tidak halal baginya. Jika aku berikannya 2 dirham bererti aku memberikannya makan harta yang haram sedangkan aku tahu itu adalah haram."

Hidup yang penuh dengan bakti dan teladan yang segar sepanjang zaman berakhir dalam usianya 77 tahun. Beliau wafat pada tahun 110 hijriah, 100 hari selepas kewafatan Hasan al-Basri. Semoga Allah merahmati dan meredhai kedua-duanya.


No comments: