Pendahuluan
“Inilah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang memberi
penjelasan. (2) Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah
Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang
beriman. (3) Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan
melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas
sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan
hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang
membuat kerosakan. (4) Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan
kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka
pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi
(apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). (5) Dan Kami hendak memberi mereka
kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun
dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan
yang bertindas itu. (6) Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia;
dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara
Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan
janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami
akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang
dari Rasul-rasul Kami. (7) Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun;
kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka;
sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang
bersalah. (8) Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun:
(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;
mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal
mereka tidak menyedari (kesudahannya). (9) Dan (sepeninggalannya) menjadilah
hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya
itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan
sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya
(akan janji Allah). (10) Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: Pergilah cari
khabar beritanya. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang
ramai tidak menyedarinya. (11) Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu
kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu),
kakaknya berkata: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang
dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya? (12) Maka
(dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram
hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya) dan supaya dia
mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). (13) Dan ketika Musa
sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri
kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan dan demikian Kami membalas
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.“ (14)
…………………………………….
“Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan,
dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang
ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang
sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka
menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga
penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan
bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya. (23) Maka Musa pun memberi minum
kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada
sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan. (24) Kemudian salah seorang dari
perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan
tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas
budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya
dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya)
berkatalah orang tua itu kepadanya: Janganlah engkau bimbang, engkau telah
selamat dari kaum yang zalim itu. (25) Salah seorang di antara perempuan yang
berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala
kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah
orang yang kuat, lagi amanah. (26) Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa):
Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini,
dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada
itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah
dari kerelaanmu sendiri dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak
menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik
layanannya. (27) Musa menjawab: Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap
dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan,
maka janganlah hendaknya aku disalahkan dan Allah jualah menjadi Pengawas
terhadap apa yang kita katakan itu. (28) Setelah Musa menyempurnakan tempoh
kerjanya itu dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir),
dia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika
itu) berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah; sesungguhnya aku ada melihat
api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau
sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri.” (29)
Surah al-Qasas
Kisah bermula dengan satu bangsa yang tertindas,
ditindas dan diperhambakan oleh pihak pemerintah. Penindasan yang amat dahsyat
digambarkan di dalam ayat "Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi
(Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak.
Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan
membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari
golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas:4)
Mereka diperkotak-katikkan, dipecah-belah dan
dilaga-lagakan. Anak-anak lelaki dibunuh, manakala anak-anak perempuan
dibiarkan hidup.
Adakah terdapat scenario
sebegini pada hari ini?
Anak-anak lelaki dibunuh?
" PUTRAJAYA: Statistik penagih dadah golongan
belia yang dikesan dari Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan penurunan
sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Datuk Rohani Abdul Karim, berkata jumlah penagih belia pada tahun ini ialah
2,242 iaitu 70.4 peratus dari jumlah keseluruhan penagih, seramai 3,185 orang.
"Jumlah penagih tahun lalu ialah 3,767. Golongan
belia didefinasikan berumur antara 16 hingga 39 tahun," katanya dalam
sidang media selepas Majlis Perasmian Program Bual Bicara Kenali anak kita
peringkat kementerian serta Majlis menandatangani memorandum kerjasama antara
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Persatuan Pengasih
Malaysia (Pengasih), di sini, hari ini.
Beliau berkata antara faktor penurunan itu ialah
keberkesanan program yang dijalankan kementerian dalam memberi pendedahan
kepada ibu bapa mengenai bahaya dadah.
Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata, jurang
perbezaan antara remaja dan ibu bapa perlu diuruskan dengan bijaksana kerana ia
amat mempengaruhi hubungan kekeluargaan terutamanya membabitkan komunikasi dalam keluarga.” (BH 2013/11/13)
“SABAN tahun negara akan dikejutkan dengan isu nisbah
tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baharu ke Institusi
Pengajian Tinggi (IPT).
Hakikatnya, jumlah pelajar perempuan meneruskan
pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding lelaki sudah menjadi fenomena
sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin, nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan perempuan
di beberapa universiti untuk kemasukan sesi ini adalah sebanyak 30:70 di
Universiti Kebangsaan Malaysia dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia.
Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan perkara
ini tidak begitu membimbangkan, jurang tidak seimbang bilangan antara pelajar
lelaki dan perempuan akan
memberikan implikasi jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah kawalan dan
tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.” (UM 14/09/2011)
Apabila Allah takdirkan penindasan itu berakhir,
dilahirkan seorang anak lelaki sebagai pembela dan lihat betapa peranan yang
dimainkan oleh wanita dalam melahir dan memelihara dan mendidik anak itu.
Ibn Kathir menceritakan:
“Setelah Firaun membunuh begitu ramai anak-anak lelaki
Bani Israel, orang-orang Qibti berasa bimbang Bani Israel akan pupus. Jika
begitu, merekalah yang akan mengambil alih kerja berat yang selama ini dipikul
oleh Bani Israel. Apabila mereka menyatakan kebimbangan ini kepada Firaun, maka
Firaun perintahkan supaya pembunuhan dilakukan secara selang seli. Setahun
dibunuh dan setahu lagi dibiarkan. Maka Harun dilahirkan pada tahun yang tiada
pembunuhan. Musa pula dilahirkan pada tahun pembunuhan.
Firaun melantik pegawai-pegawai yang memantau
perkembangan Bani Israel dan melantik bidan-bidan yang khusus untuk menyambut
kelahiran anak-anak mereka. Jika lahir anak perempuan, mereka biarkan. Jika
lahir anak lelaki, bidan akan memanggil pembunuh lantas anak itu segera
dibunuh.
Ketika ibu Musa hamil, Allah lindungi kehamilannya dan
mereka tidak menyedarinya. Namun apabila dia melahirkan anak lelaki dia mula
rasa bimbang mereka dapat mengesaninya.
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia;
dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara
Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan
janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami
akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang
dari Rasul-rasul Kami.” (Al-Qasas:7)
PERANAN WANITA SEBAGAI IBU
Di sinilah terserlahnya peranan ibu atau wanita. Ibu
mesti beriman kepada janji Allah, tawakkal dan pasrah.
Ibu Musa telah dijanjikan anaknya akan dialantik
menjadi salah seorang daripada rasul-rasul Allah. Pengajaran untuk ibu-ibu,
letakkan harapan, jadikan cita-cita anak yang dilahirkan akan menjadi seorang
muslih, seorang yang berjasa membawa ummah keluar dari kemelut kejahilan,
kemuduran, penindasan dan sebagainya.
PERANAN WANITA YANG MEMPUNYAI KEDUDUKAN
Selain ibu, wanita yang mempunyai kedudukan di dalam
Negara atau masyarakat juga berperanan. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia
menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;
mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. Padahal
mereka tidak menyedari (kesudahannya).” (Al-Qasas:9)
Musa yang diletakkan di dalam sebuah peti hanyut
dibawa arus. Peti itu melintasi istana Firaun, lalu dipungut oleh
dayang-dayang. Dayang-dayang mempersembahkan peti itu kepada permaisuri tanpa
mengetahui apa yang ada di dalamnya. Mereka takut timbul fitnah jika mereka
membukanya tanpa kehadiran permaisuri. Apabila peti itu dibuka, mereka
mendapati di dalamnya seorang bayi yang sungguh comel membuatkan setiap orang
yang memandangnya akan menyayanginya. Apabila Firaun mengetahui tentang
kehadiran bayi itu, dia memerintahkan agar bayi itu dibunuh kerana disyaki ia
anak keturunan Bani Israel. Asiah bertegas mempertahankannya dan merayu agar ia
tidak dibunuh.
Ini menyerlahkan sikap seorang wanita yang berada di
puncak kuasa. Dia mestilah seorang yang beilmu, mengetahui yang benar dan yang
salah, prihatin, tidak membiarkan kezliman berlaku di depan mata. Berani
mempertahan dan membela kebenaran walaupun berhadapan dengan suami sendiri,
seorang maharaja yang ganas dan garang.
PERANAN WANITA SEBAGAI ANGGOTA MASYARAKAT
Seterusnya wanita sebagai anggota masyarakat yang
dilambangkan sebagai Ukhti Musa. “Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:
Pergilah cari khabar beritanya. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh
sedang orang ramai tidak menyedarinya. Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan
menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan
halnya itu), kakaknya berkata: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk
sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas
kepadanya?” (Al-Qasas: 11-12)
Sebagai anggota masyarakat, wanita mesti peka terhadap
apa yang berlaku di sekitarnya, mempastikan tidak ada bahaya yang bakal menimpa
dan tidak lengah dalam mengemukakan cadangan yang boleh menyelamatkan masyarakat
dari perkara-perkara yang tidak diingini.
Ibu Musa menyuruh puterinya memerhati keadaan peti
yang membawa adiknya dari jauh dan berhati-hati agar pergerakannya tidak
disedari dan dicurigai. Apabila Musa dijadikan anak angkat oleh permaisuri
Firaun, dipanggillah perempuan-perempuan yang ada di istana untuk
menyusukannya, namun bayi itu enggan menghisap susu mereka. Musa dibawa ke
pasar dengan harapan bertemu dengan perempuan yang dapat menyusukannya. Apabila
kakaknya terpandang bayi itu, dia mengenalinya namun dia tidak mendedahkan
identitinya. Dia berkata kepada mereka yang membawa adiknya: “Mahukah, aku
tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk
kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?” Mereka memandang kakak Musa dengan
penuh curiga dan berkata: “Mana kamu tahu keluarga itu akan menyayangi bayi ini
dan menjaga dengan ikhlas?”
Kakak Musa menjawab: “Mereka akan menjaga bayi ini
dengan sebaiknya dan menyayanginya dengan ikhlas demi menyenangkan hati Raja
dan menerima ganjaran darinya.”
Mereka dapat menerima jawapan yang diberikan, lantas
membawa Musa ke rumah yang ditunjukkannya. Musa diserahkan kepada ibunya.
Mereka begitu gembira melihat Musa mahu menyusu dengan wanita itu. Perkhabaran
yang baik itu segera disampaikan kepada permaisuri yang menyambutnya dengan
gembira yang tidak terkata.
Permaisuri menjemput ibu Musa ke istana. Dia
memuliakannya dan memberinya hadiah yang sangat lumayan. Dia menawarkan Ibu
Musa tinggal di istana untuk menyusukan Musa. Ibunya menolak dengan alasan yang
dapat diterima oleh permaisuri:
“Sesungguhnya patik ada suami dan anak-anak. Oleh itu patik tidak dapat tinggal
di sini. Namun sekiranya tuanku mahu patik susukan dia di rumah patik, patik
sedia lakukannya.” Permaisuri bersetuju. Dia memberikan upah yang lumayan,
sentiasa berhubung dan mengambil berat tentang urusan keluarga itu. (Ibn
Kathir)
Hasil didikan ibu yang solehah, lahirlah anak yang menjadi
pelindung wanita. “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak
mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai
Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang
Engkau berikan.” (Al-Qasas:24)
Pertemuan Musa dengan dua orang gadis puteri Syuaib
yang dikisahkan di dalam ayat ke 23 hingga 28 memaparkan banyak pengajaran.
Tentang hukum wanita keluar bekerja serta
tanggungjawab masyarakat, khususnya kaum lelaki dalam menangani masalah yang
dihadapi oleh wanita yang terpaksa bekerja. Dan apabila Musa dijemput untuk
bertemu dengan ayah gadis yang ditolongnya, beliau tidak langsung mengambil
kesempatan berbuat perkara yang tidak senonoh. Diceritakan bahawa ketika
berjalan ke rumah gadis itu, Musa meminta supaya gadis itu berjalan di
belakangnya agar dia tidak dapat melihat linggang lingguk dan susuk tubuhnya
ketika berjalan, lebih-lebih lagi waktu itu angin sedang bertiup kencang.
PERANAN WANITA YANG MASIH GADIS
Ayat-ayat di atas juga mengandungi panduan dalam
memilih pasangan. Untuk melahirkan generasi yang soleh dan musleh, wanita wajib
menyedari bahawa unsur yang paling penting yang mesti diberi keutamaan ialah
orang yang bakal menjadi ayah kepada anaknya. Jangan hanya memandang pada rupa,
pangkat atau harta semata-mata. Sebaliknya pilih pasangan yang berakhlak mulia,
amanah dan bertanggungjawab. “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu
berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing
kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang
kuat, lagi amanah. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): Aku hendak
mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini,….”
(Al-Qasas: 26 – 27)
Langkah yang diambil oleh Nabi Syuaib menawar
puterinya berkahwin dengan Musa melambangkan keprihatinan seorang ayah yang
menjadi pelindung kepada anak-anak perempuannya. Bayangkan sekiranya dia
menerima cadangan puterinya supaya mengambil Musa sebagai pekerja, secara tidak
langsung mungkin akan terjadi pergaulan bebas yang sukar dikawal. Untuk
menyelamatkannya, dia terus tawarkan supaya berkahwin di samping mungkin dia
sendiri telah dapat membaca riak rasa cinta yang berputik di dalam hati
puterinya. Maskahwin yang begitu tinggi adalah mengelak salah faham bahawa
tawarannya itu sesuatu yang terdesak.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, Allah Ta’ala mengiktiraf peranan wanita
dalam melahirkan generasi yang soleh dan musleh. Namun peranan ini tidak boleh
dimainkan secara bersendirian dan terpisah daripda kaum lelaki. Di dalam
al-Quran, banyak ayat-ayat yang menunjukkan bapa memainkan peranan yang
langsung dalam mendidik dan menanamkan nilai murni di dalam diri anak-anak.
Lihat surah Luqman ayat 13 hingga 19, al-Baqarah ayat 133 dan lain-lain.
Wacana Wanita Selangor
Shah Alam
22 Mei 2015
05 Syaaban 1436