Friday, May 08, 2015

KEMULIAAN IBU

“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan -  dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Aali ‘Imran:35-36)

Ayat-ayat di atas merakamkan detik-detik paling indah perasaan seorang ibu ketika dia mengandung dan melahirkan cahaya matanya. Ketika mana seorang wanita menyedari kewujudan bayi di dalam kandungannya, yang bakal lahir membawa cahaya kebahagiaan di dalam hidupnya, tiada harapan lain yang terlintas di ruang fikirannya kecuali mahukan anak yang soleh. Anak yang soleh adalah penawar hati dan penyejuk mata di dunia serta pembawa harapan kebahagiaan di syurga.

Isteri Imran adalah teladan seorang ibu yang paling unggul. Beliau bukan saja menginginkan anak soleh dalam acuan biasa, berakhlak mulia, berbakti kepada kedua ibu bapa. Sebaliknya beliau inginkan lebih daripada itu. Beliau mahu anaknya seorang yang benar-benar hebat, seorang muharrar iaitu yang bebas dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada Allah semata-mata.

Daripada cetusan hati dan kemahuan yang tulus ikhlas seorang ibu, lahirlah seorang anak soleh yang diangkat dan diiktiraf sebagai penghulu wanita di dunia dan di syurga!

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Aali ‘Imran: 42-43)

Maryam dipilih dan diiktiraf sebagai wanita beriman, wanita solehah yang menjadi teladan sepanjang zaman.
“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran  yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (At-Tahrim:12)

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa. Dia berkata: Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat? Dia menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Ar-Rahman; maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini. Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendukung anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat! Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih bayi di dalam buaian? Dia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Maryam:16-33)

Maryam dinobatkan sebagai wanita teladan kerana sangat memelihara kehormatan dan kesucian diri dari disentuh lelaki dengan cara yang tidak halal di samping keteguhan iman dan kepatuahan kepada titah perintah Allah (At-Tahrim:12). Bukti kesungguhan Maryam dalam menjaga kesucian diri digambarkan di dalam surah Maryam ayat 17 hingga 20 ketika Allah menghantar malaikat yang datang kepadanya dalam rupa seorang lelaki kacak sewaktu Maryam bersendirian di tempat yang sunyi. Dengan penuh hikmah dan berterus terang Maryam yang tidak mengenali siapa yang datang itu mengingatkannya agar bertaqwa kepada Allah.


Di dalam ayat-ayat berikutnya Allah Ta’ala menggambarkan detik-detik cemas yang mendebarkan dilalui gadis suci yang dipilih untuk menjadi bukti kekuasaan Maha Agung itu. Bagaimana tabah dan beraninya Maryam mendukung anak yang diselimuti dengan pelbagai tuduhan dan keraguan tentang kesucian dan kejujurannya. Namun Allah tidak membiarkan gadis suci itu bersendirian menghadapi segala tohmahan liar. Allah Yang Maha Kuasa menciptakan putera Maryam dengan cara luar biasa daripada penciptaan manusia lain, sekali lagi mendedahkan Maha KuasaNya menjadikan putera Maryam yang masih dalam bedungan itu berbicara dengan fasihnya, luar biasa daripada manusia lain. Menariknya, dalam bicara sulung seorang bayi di dalam bedung itu, dia menyatakan bahawa dia diperintahkan taat dan berbuat baik kepada ibunya. Perintah itu tidak syak lagi menunjukkan betapa mulianya ibu pada pandangan Islam. Putera Maryam yang suatu hari nanti akan membesar dibela oleh seorang ibu tanpa ayah di sisi, dalam keadaan ibu ditohmah dan diragui, mungkin akan terdetik juga tandatanya di hati tentang status ibunya yang sebenar. Justeru, demi mengelak apa saja prangsangka disebabkan tohmahan liar kaumnya terhadap ibunya maka sedari awal Allah tanamkan kefahaman tentang kewajipan berbakti kepada ibu walau apapun keadaannya. Walau ibu dituduh, dikutuk dan diragui kesuciannya, dia tetap ibu dan kamu wajib berbakti kepadanya

No comments: