Tuesday, January 24, 2017

PERIHAL REZEKI


Ramai di kalangan kita yang sering dihambat kegusaran kerana merasai sempitnya rezeki. Masing-masing memerah fikiran dan keringat mencari jalan untuk menambah rezeki. Namun kita sering lupa kepada yang mengatur dan yang membahagi-bahagi rezeki dengan cara, kadar, dan pada masa tertentu yang hanya dia maha mengetahui akan hikmahnya. Dan kita lupa untuk kembali kepada janji-janji serta jaminanNya.

Daripada Ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda:

من أكثر من الاستغفار جعل الله له من كل هم فرجا ومن كل ضيق مخرجا ورزقه من حيث لا يحتسب


Maksudnya: “Sesiapa yang memperbanyakkan istighfar, Allah jadikan untuknya dari setiap kesusahan kelapangan, dari setiap kesempitan jalan keluar, dan dikurnaikannya rezeki dari arah atau sumber yang tidak diduganya.” Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim, kitab Ulum wa Hikam. 

Tuesday, January 03, 2017

REDHA

Saya terbaca satu kisah menarik yang penuh dengan pengajaran di dalam bab redha, kitab Minhajul Qasidin karangan Imam Syaeikh Ahmad bin Abdul Rahman bin Qudamah rahimahullah.

Sa'eid bin Musayyab menceritakan bahawa pada suatu hari Luqman berkata kepada puteranya: "Wahai anakku, apa saja yang menimpa dirimu, sama ada engkau suka atau tidak suka, hendaklah engkau sematkan di dalam hatimu bahawa ianya baik untukmu."
Puteranya menjawab: "Hal ini saya tidak dapat janjikan tanpa saya mengetahui apa yang ayah katakan itu betul seperti itu."
Luqman menjawab: "Wahai anakku, sesungguhnya Allah telah mengutuskan seorang Nabi. Ayuh kita bertemu dengannya. Sesungguhnya beliau boleh menjelaskan apa yang aku katakan itu."
Anaknya menyahut: "Ayuh kita pergi menemuinya bersama-sama!"

Lalu kedua beranak itu keluar dengan menaiki himar masing-masing. Mereka juga membawa bekalan makanan dan minuman yang sepatutnya untuk sampai ke tempat yang dituju. Selepas beberapa hari dan beberapa malam berjalan, mereka berdepan dengan satu laluan yang sukar, padang pasir yang luas saujana. Berbekalkan semangat dan kekuatan yang ada kedua beranak itu terus berjalan meredah padang pasir yang luas itu sehingga matahari meninggi dan kepanasan hampir tak tertahan lagi. Bekalan air dan makanan yang dibawa  sudah tiada lagi. Himar yang ditunggangi melangkah perlahan bagaikan tidak berupaya mengangkat kaki di tengah padang pasir yang terik membahang. Melihat himar yang kepenatan, Luqman dan puteranya turun dari himar masing-masing dan berjalan kaki. Dalam keadaan demikian tiba-tiba Luqman terpandang jauh di hadapan sesuatu yang hitam dan asap berkepul-kepul. Dia menelah bahawa yang hitam itu pokok-pokok dan asap itu menandakan ada bandar dan manusia yang menghuninya.

Ketika kedua-duanya sedang melihat dan mengagak-agak tentang apa yang mereka pandang di kejauhan sana, tiba-tiba putera Luqman terpijak tulang yang tajam. Tulang itu mencucuk tapak kaki dan menembus sampai ke atas kura-kura kaki. Dia jatuh pengsan. Luqman terkejut bukan kepalang. Dengan pantas dia memeluk puteranya dan menarik tulang keluar dari kaki puteranya dengan gigi. Dia mengoyak serban yang melilit kepalanya lalu dibalut kaki puteranya. Dia menatap wajah puteranya yang pucat. Tanpa disedarinya air matanya meleleh lalu menitis di atas pipi puteranya.

Air mata kasih seorang ayah yang menitis di atas pipi, membuatkan sang putera tersedar dari pengsannya. Dia membuka mata dan merenung tepat ke wajah ayah. Dia hairan melihat ayahnya menangis. Dia bertanya: "Kenapa ayah menangis? Bukankah ayah telah berkata bahawa ini baik untukku? Kenapa sekarang ayah menangis?  Memang makanan dan minuman telah habis. Namun ayah dan saya masih hidup dan berada di sini!"
Luqman menjawab: "Wahai anakku, aku adalah seorang ayah yang hatinya sangat tersentuh apabila anaknya ditimpa musibah. Sebagai ayah, kalau boleh aku mahu menjadikan semua yang aku miliki di dunia ini sebagai tebusan untuk menyelamatkanmu. Dan apa yang menimpamu tadi memang itulah yang baik untukmu kerana mungkin dengan itu Allah mahu elakkanmu dari musibah yang lebih besar dan apa yang menimpamu itu lebih ringan daripada apa yang dielakkan dari menimpamu."

Dalam keadaan kedua-duanya berbicara tentang apa yang menimpa puteranya itu, Luqman menoleh ke arah pemandangan yang dilihatnya tadi. Hairannya, semuanya telah tiada. Yang kelihatan hanya langit yang cerah tidak berawan. Dia berbisik di dalam hati, tadi aku benar-benar nampak sesuatu, tapi sekarang tidak kelihatan lagi. Mungkin Allah telah melakukan sesuatu? Dalam dia terfikir-fikir mencari jawapan, tiba-tiba dia ternampak kelibat seseorang berpakaian putih menunggang kuda berbelang putih dan hitam menuju ke arahnya, pantas meredah angin.  Dia memandang tepat ke arah individu itu sehingga dia benar-benar hampir dengan tempat Luqman. Namun, sepantas kilat individu itu menghilang.  Kemudian Luqman terdengar suara memanggil namanya:
"Adakah awak Luqman?"
"Ya, saya Luqman?"
"Apakah yang dikatakan oleh anakmu yang tidak mengerti ini kepadamu?"
"Wahai hamba Allah, siapakah engkau? Aku tidak pernah melihat wajahmu dan tidak pernah mendengar suaramu!"
"Aku adalah Jibril. Tidak ada siapa yang boleh melihatku kecuali malaikat yang hampir dengan Allah atau Nabi yang diutus. Apakah yang dikatakan oleh anakmu yang tidak mengerti itu kepadamu?"
"Bukankah engkau telah mengetahuinya?"
"Aku tidak tahu sedikitpun tentang hal kamu berdua. Aku cuma dihantar ke mari untuk menjaga kamu berdua. Sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya ditenggelamkan bandar itu serta penduduknya dan kawasan sekitarnya. Mereka memberitahuku bahawa engkau berdua sedang berjalan menuju ke bandar itu. Aku berdoa kepada Tuhanku supaya menghalangmu dengan cara yang Dia kehendaki. Maka Dia telah menahanmu dengan musibah yang menimpa anakmu. Jika tidak, tentulah engkau berdua akan turut tenggelam bersama bandar itu serta penghuninya."

Lalu Jibril mengusap kaki putera Luqman dengan tangannya, lantas dia terus dapat berdiri tegak. Disentuhnya bekas makanan dan minuman, lalu kedua-duanya penuh dengan makanan dan minuman. Kemudian Jibril menerbangkan mereka berdua serta himar keduanya seperti burung, membawa mereka kembali ke tempat asal mereka.

 

Monday, January 02, 2017

ANDA TAK MINAT BERNIAGA?


Sepanjang Rabiul-Awwal, saya berkongsi satu hari satu hadis. Sekarang bukan hendak berhenti daripada berkongsi hadis. Cuma mungin tidak dapat setiap hari kerana ingin memberi tumpuan kepada sasaran lain pula, in syaa Allah. Hari ini saya hendak kongsi sudut pandangan tentang bisnes. Satu dimensi yang saya kurang beri perhatian sebelum ini. Sekarang ingin mencuba secara sambilan di samping tugasan yang telah sedia dipikul selama ini, aktivis NGO: IKRAM dan MAWADDAH.
Ramai orang yang rasa malu untuk berniaga. Kenapa malu? Pasti jawapannya berbagai-bagai. Bagaimana menghilangkan rasa malu?

BANYAK CARANYA. ANTARANYA:

Pertama – ingat bahawa berniaga adalah satu pekerjaan yang halal, dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran yang bermaksud: “...Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba...” (Al-Baqarah:275). Kita wajib malu kalau kita buat pekerjaan yang haram. Kalau pekerjaan yang halal, kenapa malu?

Kedua – berjual beli dengan jujur dan amanah merupakan amalan yang diberkati berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Dua pihak yang berjual beli mempunyai hak untuk menarik balik selagi mana keduanya tidak berpisah dari tempat urus niaga itu. Sekiranya kedua-duanya jujur dan tidak menyembunyikan fakta berkenaan dagangan itu, urus niaga mereka diberkati. Sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan fakta tentang dagangan itu, dihapuskan keberkatan dari urus niaga keduanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga – kesedihan kerana tiada harta untuk diinfaqkan. Allah berfirman maksudnya: “Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).” (At-Taubah 9:92)
Ayat ini menjelaskan bahawa jihad fi sabillah tidak diwajibkan ke atas orang miskin yang tidak ada harta untuk pergi berjihad. Maka mereka tidak berdosa jika tidak pergi berjihad atas alasan kemiskinan dan tidak cukup perbelanjaan atau bekalan. Walaupun tidak berdosa, namun ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi mukmin. Setiap mukmin bercita-cita untuk menjadi mujahid dan mati syahid di medan juang menegakkan Kalimah Allah.
Untuk menjadi pejuang dan penyumbang mukmin mesti memiliki harta. Dan berniaga adalah salah satu daripada jalannya.

Keempat – antara pemberi dan penerima zakat. Di dalam sepotong ayat Allah berfirman maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (At-Taubah 9:103)
Perhatikan, siapakah yang lebih beruntung, pemberi atau penerima? Allah janjikan tiga perkara untuk pemberi:
      i.        membersihkan mereka dari dosa
     ii.        mensucikan mereka dari akhlak yang buruk
    iii.        doa Rasulullah s.a.w. yang mendatangkan ketenangan dan ketenteraman bagi mereka

Untuk penerima, tidak ada satupun janji buat mereka. Jadi, kita ada peluang untuk memilih sama ada menjadi pemberi atau penerima.

Kelima – usia sudah semakin lanjut, cari harta banyak-banyak pun tak boleh dibawa mati. Betul usia sudah semakin lanjut. Tetapi mati tidak pernah memilih usia. Orang muda pun mati juga. Betul harta tidak boleh dibawa mati. Tetapi harta yang diwaqafkan itulah yang memanjangkan pahala selepas kita mati. Semakin banyak harta yang dwaqafkan dengan ikhlas, in syaa Allah semakin banyak pahala yang dapat diraih

Keenam – dengan berniaga kita dapat menghayati suruhan Allah agar saling tolong menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa. “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Al-Maaidah 5:2)
Jadi, berniaga menjual produk halal adalah satu medan menolong masyarakat mendapatkan apa yang mereka perlukan. Dan saya memilih HNI-HPAI kerana ia menyediakan produk halal dan berkualiti.

Ketujuh – sebenarnya bukan HNI-HPAI sahaja yang mengeluarkan produk halal. Banyak syarikat-syarikat lain dari dalam dan luar negara yang mengusahakannya. Yang bezanya, jika beli yang lain kita hanya berstatus pengguna. Yang untung hanya pengeluar. Di HNI-HPAI kita pengguna, dan pada masa yang sama kita dapat menjana pendapatan.

HNI-HPAI merupakan perusahaan Halal Network di Indonesia yang mengeluarkan produk-produk herbal halal dan berkualitas yang terjaga alamiah, ilmiah dan ilahiahnya. Syarikat ini telah berjaya meraih anugerah THE BEST TRUSTED MULTI LEVEL COMPANY OF THE YEAR 2016 di Indonesia.
Ramai yang tidak segan-segan mempromosikan produk luar negara yang dikeluarkan oleh orang asing. Walaupun mungkin terjamin kehalalan serta kualitinya, namun tidakkah lebih baik kalau kita utamakan produk keluaran muslim jika kita mempunyai peluang untuk membuat pilihan. Setidak-tidaknya kita membantu memperkayakan sesama muslim yang menggunakan kekayaannya untuk membayar zakat.


Itu dulu untuk hari ini. Ada yang berminat untuk bergabung? Ahlan wa Sahlan.