Saya terbaca satu kisah menarik yang penuh
dengan pengajaran di dalam bab redha, kitab Minhajul Qasidin karangan Imam Syaeikh
Ahmad bin Abdul Rahman bin Qudamah rahimahullah.
Sa'eid bin Musayyab menceritakan bahawa
pada suatu hari Luqman berkata kepada puteranya: "Wahai anakku, apa saja
yang menimpa dirimu, sama ada engkau suka atau tidak suka, hendaklah engkau
sematkan di dalam hatimu bahawa ianya baik untukmu."
Puteranya menjawab: "Hal ini saya
tidak dapat janjikan tanpa saya mengetahui apa yang ayah katakan itu betul
seperti itu."
Luqman menjawab: "Wahai anakku,
sesungguhnya Allah telah mengutuskan seorang Nabi. Ayuh kita bertemu dengannya.
Sesungguhnya beliau boleh menjelaskan apa yang aku katakan itu."
Anaknya menyahut: "Ayuh kita pergi
menemuinya bersama-sama!"
Lalu kedua beranak itu keluar dengan
menaiki himar masing-masing. Mereka juga membawa bekalan makanan dan minuman
yang sepatutnya untuk sampai ke tempat yang dituju. Selepas beberapa hari dan beberapa malam berjalan,
mereka berdepan dengan satu laluan yang sukar, padang pasir yang luas saujana.
Berbekalkan semangat dan kekuatan yang ada kedua beranak itu terus berjalan
meredah padang pasir yang luas itu sehingga matahari meninggi dan kepanasan
hampir tak tertahan lagi. Bekalan air dan makanan yang dibawa sudah tiada lagi. Himar yang ditunggangi
melangkah perlahan bagaikan tidak berupaya mengangkat kaki di tengah padang
pasir yang terik membahang. Melihat himar yang kepenatan, Luqman dan puteranya
turun dari himar masing-masing dan berjalan kaki. Dalam keadaan demikian
tiba-tiba Luqman terpandang jauh di hadapan sesuatu yang hitam dan asap
berkepul-kepul. Dia menelah bahawa yang hitam itu pokok-pokok dan asap itu
menandakan ada bandar dan manusia yang menghuninya.
Ketika kedua-duanya sedang melihat dan
mengagak-agak tentang apa yang mereka pandang di kejauhan sana, tiba-tiba
putera Luqman terpijak tulang yang tajam. Tulang itu mencucuk tapak kaki dan
menembus sampai ke atas kura-kura kaki. Dia jatuh pengsan. Luqman terkejut
bukan kepalang. Dengan pantas dia memeluk puteranya dan menarik tulang keluar
dari kaki puteranya dengan gigi. Dia mengoyak serban yang melilit kepalanya
lalu dibalut kaki puteranya. Dia menatap wajah puteranya yang pucat. Tanpa
disedarinya air matanya meleleh lalu menitis di atas pipi puteranya.
Air mata kasih seorang ayah yang menitis di
atas pipi, membuatkan sang putera tersedar dari pengsannya. Dia membuka mata
dan merenung tepat ke wajah ayah. Dia hairan melihat ayahnya menangis. Dia
bertanya: "Kenapa ayah menangis? Bukankah ayah telah berkata bahawa ini
baik untukku? Kenapa sekarang ayah menangis?
Memang makanan dan minuman telah habis. Namun ayah dan saya masih hidup
dan berada di sini!"
Luqman menjawab: "Wahai anakku, aku
adalah seorang ayah yang hatinya sangat tersentuh apabila anaknya ditimpa
musibah. Sebagai ayah, kalau boleh aku mahu menjadikan semua yang aku miliki di
dunia ini sebagai tebusan untuk menyelamatkanmu. Dan apa yang menimpamu tadi
memang itulah yang baik untukmu kerana mungkin dengan itu Allah mahu elakkanmu
dari musibah yang lebih besar dan apa yang menimpamu itu lebih ringan daripada
apa yang dielakkan dari menimpamu."
Dalam keadaan kedua-duanya berbicara
tentang apa yang menimpa puteranya itu, Luqman menoleh ke arah pemandangan yang
dilihatnya tadi. Hairannya, semuanya telah tiada. Yang kelihatan hanya langit
yang cerah tidak berawan. Dia berbisik di dalam hati, tadi aku benar-benar
nampak sesuatu, tapi sekarang tidak kelihatan lagi. Mungkin Allah telah
melakukan sesuatu? Dalam dia terfikir-fikir mencari jawapan, tiba-tiba dia
ternampak kelibat seseorang berpakaian putih menunggang kuda berbelang putih
dan hitam menuju ke arahnya, pantas meredah angin. Dia memandang tepat ke arah individu itu
sehingga dia benar-benar hampir dengan tempat Luqman. Namun, sepantas kilat
individu itu menghilang. Kemudian Luqman
terdengar suara memanggil namanya:
"Adakah awak Luqman?"
"Ya, saya Luqman?"
"Apakah yang dikatakan oleh anakmu
yang tidak mengerti ini kepadamu?"
"Wahai hamba Allah, siapakah engkau?
Aku tidak pernah melihat wajahmu dan tidak pernah mendengar suaramu!"
"Aku adalah Jibril. Tidak ada siapa
yang boleh melihatku kecuali malaikat yang hampir dengan Allah atau Nabi yang
diutus. Apakah yang dikatakan oleh anakmu yang tidak mengerti itu
kepadamu?"
"Bukankah engkau telah
mengetahuinya?"
"Aku tidak tahu sedikitpun tentang hal
kamu berdua. Aku cuma dihantar ke mari untuk menjaga kamu berdua. Sesungguhnya
Tuhanku telah memerintahkan supaya ditenggelamkan bandar itu serta penduduknya
dan kawasan sekitarnya. Mereka memberitahuku bahawa engkau berdua sedang
berjalan menuju ke bandar itu. Aku berdoa kepada Tuhanku supaya menghalangmu
dengan cara yang Dia kehendaki. Maka Dia telah menahanmu dengan musibah yang
menimpa anakmu. Jika tidak, tentulah engkau berdua akan turut tenggelam bersama
bandar itu serta penghuninya."
Lalu Jibril mengusap kaki putera Luqman
dengan tangannya, lantas dia terus dapat berdiri tegak. Disentuhnya bekas
makanan dan minuman, lalu kedua-duanya penuh dengan makanan dan minuman.
Kemudian Jibril menerbangkan mereka berdua serta himar keduanya seperti burung,
membawa mereka kembali ke tempat asal mereka.
No comments:
Post a Comment