Wednesday, March 08, 2017

Duhai wanita


Engkau diciptakan sebagai pasangan kepada jejaka
Pelengkap keinsanan dan kelelakiannya
Di dalam dirimu ada sakinah buatnya
Mawaddahmu penenang jiwanya
Rahmahmu penambat hatinya
Hikmahmu pembuka mindanya
Kelembutanmu mencairkan egonya
Bicaramu penghibur laranya
Layananmu pengikat cintanya
Justeru....
Usah  kau rebut kerusi takhtanya
Usah kau rampas mimpi indahnya
Usah kau cabar sifat qawwamnya
Jadilah engkau wanita mulia
Seperti Hawwa di sisi Adamnya
Seperti Sarah di sisi Ibrahimnya
Seperti Khadijah di sisi Muhammadnya
Bahu membahu melakar sejarah
Membina ummah membangun hadharah
Memacu dunia berasaskan khilafah
Alam dan manusia kan dilimpahi rahmah

Engkau dan jejakamu berpimpin tangan menuju jannah

Tuesday, March 07, 2017

Maksiat Memadamkan Barakat


Hari ini saya terbaca satu kisah yang menarik.

Seorang raja pergi berburu bersama dengan hulubalangnya. Tiba-tiba dia tenampak seekor binatang buruan. Dia mengekori binatang itu sehingga terpisah dari hulubalangnya.
Dengan tak semena-mena hujan turun dengan lebatnya. Dia kehilangan arah dan terputus hubungan.
Dia berjalan sendirian. Tidak tahu ke mana hendak dituju.
Tiba-tiba dia terpandang sebuah khemah.
Dia berjalan ke arah khemah tersebut. Di muka pintu tercegat seorang perempuan tua. Dia mempersilakan raja masuk ke dalam khemah.

Siang berinsut pergi dan malam mula melabuhkan tirainya.
Seorang gadis remaja pulang membawa seekor lembu yang dibelanya di padang rumput di siang hari. Lembu itu dibawa masuk bersamanya ke dalam khemah. Perempuan tua menghampiri lembu. Di tangannya sebuah balang. Dia memerah susu sehingga penuh balang yang dipegangnya. Raja memerhatikan apa yang dilakukan oleh perempuan tua dengan puterinya. Dia terfikir, sepatutnya bagi setiap ekor lembu dikenakan cukai sebab ia mengeluarkan susu yang banyak.

Di pertengahan malam, perempuan tua berkata anaknya, "wahai anakku, bangun dan perahkan susu untukku!"
Si anak bangun melaksanakan apa yang diperintahkan ibunya. Namun lembunya tidak mengeluarkan susu walaupun setitik. Dia memanggil ibunya, "wahai ibu, sesungguhnya raja telah menyimpan niat yang tidak baik terhadap kita!"
Ibunya bertanya, "bagaimana engkau tahu wahai anakku?"
Si anak menjawab, "tengoklah lembu kita ini, ia tidak mengeluarkan susu walau setitik pun."
Ibu berkata, "tunggulah sekejap..."
Raja yang mendengar percakapan kedua beranak itu sangat hairan. Dia tertanya-tanya di dalam hati, "dari mana gadis itu mengetahui niat di hatiku? Kalau begitu, aku tidak akan lakukan apa yang aku fikirkan tadi!"

Selepas menunggu seketika seperti yang disuruh ibunya, dia mendengar ibunya berkata, "anakku, cuba engkau perah semula susu lembu itu!"
Si anak lantas mendapatkan lembunya dan memerah susunya. Di dapati lembunya mengeluarkan susu sepenuh balang seperti kebiasaannya. Lalu dia memberitahu ibunya, "wahai ibu, niat buruk yang berligar di dalam hati raja telah lesap. Lembu kita sudah mengeluarkan susu dengan banyaknya!"

Keesokan harinya para hulubalang yang mencari raja menemuinya di khemah itu. Dia menitahkan hulubalang membawa kedua-dua beranak itu ke istana dan melayani mereka dengan sebaik-baiknya. Di suatu kesempatan dia bertanya kepada kedua beranak itu, bagaimana mereka tahu ada niat tidak baik dan kemudian niat itu telah padam?

Perempuan tua berkata, "kami telah ditinggal di situ sejak sekian tahun lamanya. Sepanjang yang patik alami, jika kami diperintah dengan adil, negeri kami akan subur, rezeki kami lapang dan hidup kami senang. Sebaliknya jika diperintah dengan zalim, kehidupan kami jadi sempit, hasil pendapatan kamipun merosot..."

Dari kitab Zaadul-Murabbin.

Teringat suasana hari ini.
Raja baru melakar niat, Allah terus tarik ni'mat. Di  zaman kita sekarang bukan niat, malah rakyat sudah dijerat dengan berbagai-cukai yang berat.
Mungkinkah segala kesulitan yang kita hadapi ini berpunca daripada ketidakadilan pemerintah serta kezaliman mereka?

Sama-sama kita fikirkan.....


Wednesday, March 01, 2017

ENGKAUKAH SAUDARA YANG DICARI?


Seorang lelaki berkata kepada al-Junaid (ahli sufi terkenal hidup dalam kurun ke 3 hijriah di Baghdad):
“Sesungguhnya sukar sekali mencari ikhwan (saudara sejati) di zaman ini. Di manakah akan ku temui saudaraku fillah?”
Al-Junaid enggan menjawab sehinggalah lelaki itu mengulangi soalan yang sama sebanyak tiga kali. Setelah lelaki itu mengulang-ulangi soalan yang sama, barulah al-Junaid menjawab:
“Sekiranya engkau mencari saudara untuk mencukupkan keperluan hidupmu dan turut menanggung kesulitan yang kamu hadapi, maka demi umurku, saudara seperti itu amat sedikit. Jika engkau mencari saudara fillah yang engkau akan tanggung perbelanjaannya dan sabar menghadapi kerenahnya, maka seperti itu ramai. Aku akan perkenalkan mereka kepadamu.”
Mendengar jawapan itu, lelaki itu diam membisu. Lantas al-Junaid menyambung:
“Ketahuilah bahawa manusia terdiri dari tiga golongan:
Pertama – orang yang engkau dapat manfaat dengan bersahabat dengannya
Kedua – orang yang engkau memberi manfaat kepadanya tetapi dia tidak memudaratkanmu, cuma engkau tidak mendapat manfaat daripadanya
Ketiga – orang engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, sebaliknya dia memudaratkanmu. Ini adalah manusia yang bodoh atau berperangai buruk. Engkau hendaklah menjauhkan diri darinya.
Adapun golongan ke dua, jangan engkau jauhkan diri darinya kerana engkau akan mendapat manfaat daripadanya di akhirat kelak dengan syafaatnya, doanya dan pahala engkau menolongnya selama ini.
Ada orang berkata: “Aku berkawan dengan sebahagain manusia selama 50 tahun. Tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan antara aku dengan mereka. Ketika aku bersama mereka, aku menanggung keperluan mereka.”
Jadi, sesiapa yang begitu sifatnya, ramailah saudara-saudaranya.”


- dari kitab “Al-Mustakhlas fi Tazkiatin-Nafs” Sa’eid Hawwa, halaman 498-499