Tuesday, March 07, 2017

Maksiat Memadamkan Barakat


Hari ini saya terbaca satu kisah yang menarik.

Seorang raja pergi berburu bersama dengan hulubalangnya. Tiba-tiba dia tenampak seekor binatang buruan. Dia mengekori binatang itu sehingga terpisah dari hulubalangnya.
Dengan tak semena-mena hujan turun dengan lebatnya. Dia kehilangan arah dan terputus hubungan.
Dia berjalan sendirian. Tidak tahu ke mana hendak dituju.
Tiba-tiba dia terpandang sebuah khemah.
Dia berjalan ke arah khemah tersebut. Di muka pintu tercegat seorang perempuan tua. Dia mempersilakan raja masuk ke dalam khemah.

Siang berinsut pergi dan malam mula melabuhkan tirainya.
Seorang gadis remaja pulang membawa seekor lembu yang dibelanya di padang rumput di siang hari. Lembu itu dibawa masuk bersamanya ke dalam khemah. Perempuan tua menghampiri lembu. Di tangannya sebuah balang. Dia memerah susu sehingga penuh balang yang dipegangnya. Raja memerhatikan apa yang dilakukan oleh perempuan tua dengan puterinya. Dia terfikir, sepatutnya bagi setiap ekor lembu dikenakan cukai sebab ia mengeluarkan susu yang banyak.

Di pertengahan malam, perempuan tua berkata anaknya, "wahai anakku, bangun dan perahkan susu untukku!"
Si anak bangun melaksanakan apa yang diperintahkan ibunya. Namun lembunya tidak mengeluarkan susu walaupun setitik. Dia memanggil ibunya, "wahai ibu, sesungguhnya raja telah menyimpan niat yang tidak baik terhadap kita!"
Ibunya bertanya, "bagaimana engkau tahu wahai anakku?"
Si anak menjawab, "tengoklah lembu kita ini, ia tidak mengeluarkan susu walau setitik pun."
Ibu berkata, "tunggulah sekejap..."
Raja yang mendengar percakapan kedua beranak itu sangat hairan. Dia tertanya-tanya di dalam hati, "dari mana gadis itu mengetahui niat di hatiku? Kalau begitu, aku tidak akan lakukan apa yang aku fikirkan tadi!"

Selepas menunggu seketika seperti yang disuruh ibunya, dia mendengar ibunya berkata, "anakku, cuba engkau perah semula susu lembu itu!"
Si anak lantas mendapatkan lembunya dan memerah susunya. Di dapati lembunya mengeluarkan susu sepenuh balang seperti kebiasaannya. Lalu dia memberitahu ibunya, "wahai ibu, niat buruk yang berligar di dalam hati raja telah lesap. Lembu kita sudah mengeluarkan susu dengan banyaknya!"

Keesokan harinya para hulubalang yang mencari raja menemuinya di khemah itu. Dia menitahkan hulubalang membawa kedua-dua beranak itu ke istana dan melayani mereka dengan sebaik-baiknya. Di suatu kesempatan dia bertanya kepada kedua beranak itu, bagaimana mereka tahu ada niat tidak baik dan kemudian niat itu telah padam?

Perempuan tua berkata, "kami telah ditinggal di situ sejak sekian tahun lamanya. Sepanjang yang patik alami, jika kami diperintah dengan adil, negeri kami akan subur, rezeki kami lapang dan hidup kami senang. Sebaliknya jika diperintah dengan zalim, kehidupan kami jadi sempit, hasil pendapatan kamipun merosot..."

Dari kitab Zaadul-Murabbin.

Teringat suasana hari ini.
Raja baru melakar niat, Allah terus tarik ni'mat. Di  zaman kita sekarang bukan niat, malah rakyat sudah dijerat dengan berbagai-cukai yang berat.
Mungkinkah segala kesulitan yang kita hadapi ini berpunca daripada ketidakadilan pemerintah serta kezaliman mereka?

Sama-sama kita fikirkan.....


1 comment:

zafnidar yasin said...

Assalamu'alaikum.
Pemimpin yg bergelumang dgn rasuah,yg membebankn rakyat dgn kenaikan harga barang spt minyak masak, petrol,diesel dan terkini gula pasir ditambah dgn cukai gst,akan berterusan mghimpit hidup rakyat dgn kos sara hidup yg makin tinggi. Pemimpin yg membiarkn hiburan yg mncambahkn gejala sosial dgn pergaulan bebas,hedonisme akan melahirkn generasi yg rapuh aqidahnya..
Jadi apa peranan kita..?
Zalimkah kita apabila tangan kita yg memilih mereka?