Sunday, January 28, 2018

Harga Sebuah Istana


Merujuk kepada sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Sahal  bin Mu’az bin Anas al-Juhani daripada ayahnya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang membaca qul hua Allahu ahad sehingga habis (satu surah) 10 kali, Allah bina untuknya sebuah istana di syurga.”
Lantas Umar r.a. berkata, “kalau begitu kami akan membanyakkan membacanya ya Rasulullah.”
Baginda menjawab, “Allah (memberi) lebih banyak dan lebih bagus.” Riwayat Ahmad dan ad-Darimi.                

Merujuk hadis di atas saya ingin mengajak diri sendiri, anak-anak, saudara-saudara serta sahabat-sahabat yang dikasihi untuk mengambil masa dalam dua minit sehari membaca surah al-Ikhlas sebanyak 10 kali.

Faedah untuk kita adalah:

1.       Dibina sebuah istana di syurga sebagaimana dinyatakan di dalam hadis di atas.

2.      Menyamai khatam al-Quran sebanyak tiga kali berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Sa’eid r.a. Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabat r.a. “adakah kamu tidak mampu untuk membaca satu pertiga al-Quran pada setiap malam?”
Soalan baginda itu membuatkan mereka rasa berat. Lalu mereka berkata, “siapakah di antara kami yang mampu berbuat demikian ya Rasulullah?”
Baginda s.a.w. bersabda, “Allahul-Wahidus-Somad, satu pertiga al-Quran.” Riwayat Al-Bukhari.

3.      Memperolehi 4700 hasanah berdasarkan sabda baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan setiap satu hasanah 10 kali seumpamanya. Aku tidak berkata alif lam mim itu satu huruf. Tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain. Surah al-Ikhlas mengandungi 47 huruf. Satu kali baca diberikan 470 hasanah. Maka 10 kali baca, 4700 hasanah, hanya dalam masa dua minit sahaja.

Selepas membacanya, dicadangkan kita berdoa: “Ya Allah, telah sampai kepadaku sabda RasulMu s.a.w. bahawa sesiapa di kalangan hambaMu yang membaca surah al-Ikhlas 10 kali, Engkau akan bina untuknya istana di syurga. Maka atas keyakinanku terhadap janjiMU yang disampaikan melalui RasulMu, aku mohon Kau terima bacaanku dan binalah dengannya istana untuk ayah dan ibuku di sisiMu di syurga. Izinkanlah mereka memasuki syurgaMu dan istana yang Engkau bina untuk mereka tanpa hisab…”

Mudah-mudahan Allah qabulkan doa kita dan ia menjadi hadiah yang paling berharga buat ibu dan ayah yang kita sayangi, lebih-lebih lagi tidak semua di kalangan kita yang mampu atau sempat menghadiahkan istana buat mereka di dunia ini. Kalaupun mampu atau sempat pastinya tidak sama dengan apa yang dibina oleh Allah di syurga.


Ya Allah, terimalah permohonan kami.

No comments: