Friday, January 25, 2019

NABI SULAIMAN A.S. DAN PUTERI BALQIS

Adakah Nabi Sulaiman a.s. berkahwin dengan Balqis Ratu Saba'?
Ini yang dipercayai oleh kebanyakan orang Islam sehingga dalam doa perkahwinan disebut supaya Allah satukan pasangan pengantin sebagaimana Sulaiman dengan Baliqis.
Menurut ar-Razi (wafat 606H) di dalam tafsirnya, ulamak berselisih pendapat adakah keduanya berkahwin atau tidak.
Katanya, ramai yang berkata mereka berkahwin. Namun hal itu tidak dinyatakan di dalam al-Kitab dan tidak ada di dalam riwayat yang benar-benar diyakini sahihnya. 
Diriwayatkan darpada Ibn Abbas r.a. bahawa selepas Balqis memeluk Islam, Sulaiman berkata kepadanya: "pilihlah sesiapa saja lelaki dari kalangan kaummu, aku nikahkan engkau dengannya!". Balqis menjawab: "wanita sepertiku tidak akan dinikahi oleh lelaki-lelaki beserta dengan kekuasaanku."
Sulaiman berkata: " kalau begitu, kahwinilah dengan orang Islam!"
Balqis menjawab: "maka, nikahkan aku dengan yang mempunyai pengikut, Raja Hamdan!".
Lalu Sulaiman menikahkannya dengan Raja Hamdan kemudian menghantarnya pulang ke Yaman dan dia berterusan menjadi raja di situ. Allahu A'lam. 
Dipetik daripada Mafatih al-Ghaib - at-Tafsir al-Kabir.

Thursday, January 10, 2019

TAZKIRAH JUMAAT - DUA JENIS MANUSIA


Allah SWT berfirman maksudnya:
“Maka adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya),  Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, 
Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” (An-Naazi'aat 79:37-41

Dua jenis manusia yang berbeza cara serta corak hidupnya di dunia. Maka kesudahannya di akhirat juga pastinya tidak sama.

Yang pertama terdiri dari mereka yang derhaka, dan mengutamakan kehidupan dunia semata-mata tanpa membuat perancangan yang serius tentang kehidupan selepas matinya. Atau dengan kata lain tidak bersedia untuk menghadapi kematian dengan amalan-amalan yang selayaknya.
Maka, di manakah tempat tinggalnya di sana nanti? “sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya”. Semoga kita dijauhkan darinya.

Yang kedua pula terdiri dari mereka yang sentiasa ingat saat ketika dia berdiri di mahkamah Tuhanya di akhirat nanti, lalu dia mengawal nafsu serakahnya sepanjang hidup di dunia. Maka  tempat kediamannya adalah syurga yang penuh dengan keni’matan yang tidak terduga oleh akal kita.

Pengajarannya, untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kita mesti mengorbankan sebahagian daripada keinginan nafsu yang kadang-kadang suka kepada keseronokan dan kepuasan yang segera dan bersifat sementara. Jika kita asyik memikirkan apa yang nafsu kita suka dan tidak suka, dibimbangi kita akan kehilangan ni’mat hidup di akhirat yang nilainya tiada tandingan sekelumitpun dengan apa yang kita kecapi di dunia ini.


Fikirkanlah dalam golongan yang manakah kita!?

Wednesday, January 09, 2019

MENGGAPAI CINTA ALLAH


Siapakah yang tidak bercita-cita untuk meraih Cinta Allah?
Bukankah itu yang dipohon hampir setiap kali selepas solat “Ya Allah, kami mohon redhaMu dan Jannah, serta kami mohon berlindung denganMu dari kemurkaanMu dan azab Neraka”?

Bayangkan kalau kita telah memberitahu kepada seseorang yang kita cintai bahawa kita sukakan sesuatu, contohnya suka masakan yang pedas. Kemudian selepas kita beritahu, dia buat tak endah apa yang kita suka. Setiap kali, dengan sengaja dia menghidangkan makanan yang tak pedas sahaja.
Apakah perasaan kita terhadapnya?
Apakah akan bertambah cinta kita terhadapnya?

Jawab dengan jujur.

Berbalik kepada cita-cita dan hasrat kita untuk meraih cinta Allah.
Allah telah beberapa kali memberitahu kita tentang apa yang Dia suka dan apa yang Dia tidak suka.
Namun, adakah kita sedaya upaya telah cuba lakukan apa yang Dia suka dan menjauhi apa yang Dia tidak suka?
Jika tidak, apakah kita yakin Cinta Allah akan dapat kita raih?
Jujurkah kita apabila kita memohon redhaNya, tetapi pada masa yang sama kita tidak berusaha sedaya upaya untuk melakukan apa yang Dia suka?

Mari kita renung satu daripada ayat yang menyebut tentang apa yang Allah suka.
FirmanNya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff 61:4

Yang dapat difahami daripada ayat ini ialah:
Pertama: Allah suka dan kasih kepada orang yang berperang atau berjuang untuk membela dan menegakkan agamaNya.
Jadi, orang yang malas dan buat tak endah untuk membela agama tentulah Allah tidak kasih.

Kedua: berjuang membela agama itu pula Allah suka dilakukan di dalam barisan yang teratur rapi seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Jadi, kalau kita telah berjuang tetapi bersendirian. Tidak duduk di dalam saff.
Atau duduk di dalam saff tetapi tidak merapatkan saff dan tidak mengukuhkannya. Sebalik menjadi unsur yang membuat masalah. Melonggar dan mengkucar-kacirkan saff.
Adakah kita akan termasuk di dalam kalangan orang yang Allah kasih?
Adakah kita akan berjaya meraih cintaNya?

Ketiga: surah ini dinamakan dengan Surah Saff. Satu peringatan menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan, merapatkan dan mengukuhkan saff dalam usaha menegakkan dan membela agama Allah.
Apabila engkau telah meraih CINTA ALLAH, maka apakah lagi yang engkau cari?
Tiada apapun yang engkau rugi.
Sebaliknya, apabila telah hilang darimu CINTA ALLAH, maka apakah yang engkau perolehi?

Semuanya rugi dan rugi.