Wednesday, January 09, 2019

MENGGAPAI CINTA ALLAH


Siapakah yang tidak bercita-cita untuk meraih Cinta Allah?
Bukankah itu yang dipohon hampir setiap kali selepas solat “Ya Allah, kami mohon redhaMu dan Jannah, serta kami mohon berlindung denganMu dari kemurkaanMu dan azab Neraka”?

Bayangkan kalau kita telah memberitahu kepada seseorang yang kita cintai bahawa kita sukakan sesuatu, contohnya suka masakan yang pedas. Kemudian selepas kita beritahu, dia buat tak endah apa yang kita suka. Setiap kali, dengan sengaja dia menghidangkan makanan yang tak pedas sahaja.
Apakah perasaan kita terhadapnya?
Apakah akan bertambah cinta kita terhadapnya?

Jawab dengan jujur.

Berbalik kepada cita-cita dan hasrat kita untuk meraih cinta Allah.
Allah telah beberapa kali memberitahu kita tentang apa yang Dia suka dan apa yang Dia tidak suka.
Namun, adakah kita sedaya upaya telah cuba lakukan apa yang Dia suka dan menjauhi apa yang Dia tidak suka?
Jika tidak, apakah kita yakin Cinta Allah akan dapat kita raih?
Jujurkah kita apabila kita memohon redhaNya, tetapi pada masa yang sama kita tidak berusaha sedaya upaya untuk melakukan apa yang Dia suka?

Mari kita renung satu daripada ayat yang menyebut tentang apa yang Allah suka.
FirmanNya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff 61:4

Yang dapat difahami daripada ayat ini ialah:
Pertama: Allah suka dan kasih kepada orang yang berperang atau berjuang untuk membela dan menegakkan agamaNya.
Jadi, orang yang malas dan buat tak endah untuk membela agama tentulah Allah tidak kasih.

Kedua: berjuang membela agama itu pula Allah suka dilakukan di dalam barisan yang teratur rapi seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Jadi, kalau kita telah berjuang tetapi bersendirian. Tidak duduk di dalam saff.
Atau duduk di dalam saff tetapi tidak merapatkan saff dan tidak mengukuhkannya. Sebalik menjadi unsur yang membuat masalah. Melonggar dan mengkucar-kacirkan saff.
Adakah kita akan termasuk di dalam kalangan orang yang Allah kasih?
Adakah kita akan berjaya meraih cintaNya?

Ketiga: surah ini dinamakan dengan Surah Saff. Satu peringatan menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan, merapatkan dan mengukuhkan saff dalam usaha menegakkan dan membela agama Allah.
Apabila engkau telah meraih CINTA ALLAH, maka apakah lagi yang engkau cari?
Tiada apapun yang engkau rugi.
Sebaliknya, apabila telah hilang darimu CINTA ALLAH, maka apakah yang engkau perolehi?

Semuanya rugi dan rugi.

No comments: