Allah SWT berfirman maksudnya:
“Maka adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), Serta ia mengutamakan kehidupan dunia
semata-mata,
Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat
kediamannya.
Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia
berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan
dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat
kediamannya.” (An-Naazi'aat 79:37-41)
Dua jenis manusia yang berbeza cara serta corak hidupnya di
dunia. Maka kesudahannya di akhirat juga pastinya tidak sama.
Yang pertama terdiri dari mereka yang derhaka, dan mengutamakan
kehidupan dunia semata-mata tanpa membuat perancangan yang serius tentang
kehidupan selepas matinya. Atau dengan kata lain tidak bersedia untuk menghadapi
kematian dengan amalan-amalan yang selayaknya.
Maka, di manakah tempat tinggalnya di sana nanti? “sesungguhnya
neraka Jahanamlah tempat kediamannya”. Semoga kita dijauhkan darinya.
Yang kedua pula terdiri dari mereka yang sentiasa ingat saat
ketika dia berdiri di mahkamah Tuhanya di akhirat nanti, lalu dia mengawal
nafsu serakahnya sepanjang hidup di dunia. Maka tempat kediamannya adalah syurga yang penuh
dengan keni’matan yang tidak terduga oleh akal kita.
Pengajarannya, untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kita mesti
mengorbankan sebahagian daripada keinginan nafsu yang kadang-kadang suka kepada
keseronokan dan kepuasan yang segera dan bersifat sementara. Jika kita asyik
memikirkan apa yang nafsu kita suka dan tidak suka, dibimbangi kita akan
kehilangan ni’mat hidup di akhirat yang nilainya tiada tandingan sekelumitpun
dengan apa yang kita kecapi di dunia ini.
Fikirkanlah dalam golongan yang manakah kita!?
No comments:
Post a Comment