Di dalam satu forum tentang rumahtangga du’at, saya ditanya: “Ada orang melihat rumahtangga du’at penuh dengan
suasana serius, tidak happening, tiada senda gurau, komunikasi yang tegang,
ditambah dengan mentality lelaki Melayu yang sukar menunjukkan kemesraan…”
Adakah betul begitu?
Pada pendapat saya, persoalan itu timbul daripada salah faham yang amat
jelas. Ia boleh dirungkaikan dengan meneliti beberapa poin:
Pertama – du’at atau pendakwah adalah seorang manusia. Bukan malaikat,
bukan haiwan atau lain-lain. Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pemimpin utama
bagi seluruh pendakwah berulang kali
menegaskan hakikat kemanusiaan baginda sama ada menerusi ayat-ayat
al-Quran yang diwahyukan kepada baginda atau menerusi ungkapan kata-kata
baginda sendiri.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang
MANUSIA seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang
Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan
Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia
mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".
Di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada
Ummu Salamah r.a. baginda menegaskan (maksudnya): “Sesungguhnya aku hanyalah
seorang MANUSIA!....”
Seorang manusia yang mempunyai semua sifat-sifat kemanusiaan yang
ditanam dan dibekalkan di dalam diri setiap manusia sejak awal kejadiannya.
Manusia ada perasaan ingin mencinta dan dicintai. Ada sayang dan benci.
Ada suka yang ingin dikongsi. Ada duka yang mengharap simpati. Maka ke manakah
hendak diluahkan semua itu kalau bukan kepada pasangan suami atau isteri yang
halal?
Kedua –
Allah telah jelaskan tujuan penciptaan pasangan: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya,
bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis
kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Ruum 30:21)
Allah
menciptakan pasangan supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya
(sakinah), dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang
(mawaddah) dan belas kasihan (rahmah).
Bayangkanlah
sekiranya sesebuah rumahtangga itu penuh dengan suasana serius, tidak
happening, tiada senda gurau, komunikasi yang tegang; adakah terdapat padanya
sakinah, mawaddah dan rahmah?
Sepatutnya
du’atlah yang paling unggul dalam menghayatinya dan meni’matinya. Bagaimana
mungkin seseorang pendakwah dapat menyampaikan ajaran Islam dengan jelas dan
berkesan kalau cara hidupnya berbeza dengan apa yang diajarkan oleh agamanya
sendiri?
Ketiga – di dalam ayat yang lain, Allah menggambarkan hubungan suami
isteri dengan firmanNya yang bermaksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah
sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…” (Al-Baqarah 2:187)
Cuba bayangkan kalau pakaian yang kita pakai itu kesat, keras dan kasar.
Adakah ia selesa? Adakah kita rasa nyaman dan tenteram? Begitulah bandingannya
jika hidup dalam suasana tegang, serius tanpa usikan dan gurau senda.
Keempat – beberapa contoh dari sirah mengenai hubungan mesra antara
suami dan isteri serta larangan bersikap dingin terhadap pasangan:
i.
Nabi s.a.w. mandi junub bersama-sama
dengan isteri baginda. Daripada Mu’azah r.a. Dia berkata, Aisyah r.a. berkata:
“Aku dan Rasulullah s.a.w. mandi dengan air daripada satu bekas. Kami kongsi bersama-sama.
Maka baginda mendahuluiku, sehingga aku berkata: “Tinggalkan (air) untukku,
tinggalkan untukku!” Mu’azah berkata: “Kedua-duanya (Aisyah dan Rasulullah
s.a.w. berjunub)” Muttafaq ‘alaih.
ii.
Makan dan minum dari bekas yang sama. Aisyah r.a. berkata: “Aku meminum air,
ketika itu aku sedang haid. Kemudian aku hulurkan bekas itu kepada Nabi s.a.w.
Maka baginda meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu dia
meminum air dari tempat itu. Dan aku
menggigit tulang. Kemudian aku hulurkan tulang yang telah aku gigit itu kepada baginda.
Maka baginda meletakkan mulutnya di tempat aku gigit itu.” Riwayat Muslim.
iii.
Mencium isteri sebelum ke masjid. Urwah meriwayatkan bahawa Aisyah r.a. berkata bahawa
Nabi s.a.w. mencium sebahagian isteri-isterinya kemudian baginda keluar (ke masjid)
untuk solat tanpa mengambil wuduk.” At-Tirmizi.
iv.
Berusaha untuk menyenangkan
hati isteri. Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas r.a. berkata: “Sesungguhnya aku
berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka dia berhias untukku.”
v.
Aisyah r.a. menegur wanita
yang tidak menjaga penampilan diri. Beliau
menceritakan bahawa: “isteri
kepada Uthman bin Madz’un r.a. seorang wanita yang suka berhias; memakai inai
dan wangi-wangian. Pada suatu hari dia datang ke rumahku tanpa semua itu. Aku
bertanya: “Adakah suamimu ada bersama atau dia musafir?” Dia menjawab: “Dia ada. Tetapi dia tidak inginkan dunia dan wanita.”
Aisyah r.a. menceritakan hal itu kepada Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. menegur
Uthman dengan sabdanya bermaksud: “Wahai Uthman, adakah engkau beriman dengan
apa yang kami Imani?” Uthman menjawab: “Ya wahai Rasulullah. Aku beriman.” Lalu
baginda bersabda: “Kalau begitu, contohilah kami!” Riwayat Ahmad.
Kesimpulannya perkahwinan adalah satu tuntutan, satu
keperluan untuk memenuhi maksud dan tujuan penciptaan manusia itu sendiri,
iaitu menjadi khalifah yang berkembang biak di atas muka bumi ini. Tanpa
perkahwinan yang sah mana mungkin lahirnya zuriat generasi demi generasi.
Justeru, Allah SWT telah menghalalkan setiap pasangan meni’mati kemanisan hidup
bersama antara satu sama lain. Namun perlu diingat ia tidak boleh sama sekali menjadi
penghalang kepada perjuangan menegakkan Din Allah, menyebar dan
mempertahankannya. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda
yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab
seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang
fasik (derhaka).” (At-Taubah
9:24)